Terus berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Semoga anak didik menjadi anak Malaysia. Berwawasan, berilmu, berdaya saing, majulah negaraku Malaysia.
NOOH Gadot menyiram kanak-kanak yang akan dikhatankan di Pontian, baru-baru ini.
PONTIAN 16 Dis. _ Seramai 112 kanak-kanak menyertai program berkhatan beramai-ramai anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai di sini baru-baru ini.
Mereka yang berusia sembilan hingga 13 tahun terlebih dahulu diarak sambil diiringi paluan kompang mengelilingi Kampung Sawah menaiki dua buah lori dan kemudian dibawa ke Dewan Sekolah Agama (SA) kampung tersebut untuk dikhatankan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai, Mesnor Bujang berkata, program tersebut merupakan salah satu program Juara Rakyat bagi mendekati masyarakat setempat.
Katanya, ia juga bagi membantu golongan kurang berkemampuan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan hanya dikenakan bayaran RM25 setiap peserta dan kos selebihnya ditanggung pergerakan berkenaan.
"Kami gembira atas sokongan ibu bapa yang menjayakan program ini dengan menghantar anak-anak mereka untuk dikhatan secara beramai-ramai sempena cuti sekolah ini," katanya pada majlis yang dirasmikan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot.
Turut hadir Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai, Normah Mohamad dan Ketua UMNO Cawangan Kampung Sawah yang juga Pegawai Penerangan UMNO Bahagian Tanjung Piai, Selamat Othman.
Mesnor berharap program tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim pemimpin UMNO bahagian dengan masyarakat dan bercadang menjadikannya sebagai program tahunan pergerakan tersebut.
Sementara itu, pasangan adik-beradik, Firdaus dan Mohd. Norain Zaini, berusia sembilan dan 12 tahun mengakui tidak takut kerana telah bersedia untuk menempuh alam dewasa.
"Rasanya tak sakitlah seperti yang dikatakan oleh rakan-rakan yang telah berkhatan sebelum ini," katanya Mohd. Norain.
JOHOR BAHRU 16 Dis. - Syarikat pengurusan sisa pepejal, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) akan mengedarkan tong sampah beroda (TSB) berkapasiti 120 liter secara percuma kepada penduduk di sekitar bandar raya ini.
Program tersebut dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) serta Jawatankuasa Penduduk selaras dengan penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) oleh kerajaan Persekutuan sejak 1 September lalu.
Ketua Komunikasi Korporat SWM, Shahrul Amir Abdul Rahim dalam satu kenyataan memberitahu, program itu melibatkan beberapa skim kawasan di bawah perkhidmatan konsesi SWM iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan secara berperingkat- peringkat dan mengikut tempoh transisi penswastaan pada 2014.
''Pada 18 Disember ini, Taman Seri Setia (Serene Park), Johor Bahru dipilih untuk pengedaran TSB fasa pertama bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang.
''Sebanyak 519 unit TSB akan diedarkan kepada penduduk taman berkenaan dengan konsep 'datang dan ambil' ke lokasi kutipan di Pusat Khidmat Komuniti Jalan Aneka, Taman Seri Setia," katanya.
Menurutnya, pada 26 dan 27 Disember pula penduduk Taman Nong Chik, Taman Kolam Air, Kampung Tarom, Bukit Kesenangan dan Kampung Baharu akan menerima TSB dengan lokasi pengagihan di Tapak Letak kereta Taman Tasik Merdeka, Johor Bahru.
Penduduk hanya perlu mengisi borang pendaftaran butiran pemilik dan SWM akan merekodkan nombor siri tong serta orang ramai diminta menyertakan salinan kad pengenalan dan bil utiliti seperti air, telefon tetap atau elektrik.
MELAKA 16 Dis. - Kerajaan memutuskan tidak akan menggunakan novel Interlok sebagai buku teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar tingkatan lima mulai tahun depan.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, perkara itu telah diputuskan kerajaan pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini.
''Saya harap penarikan balik novel karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain itu dapat diterima oleh semua pihak dan sekali gus menamatkan kontroversi yang timbul sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perlawanan bola sepak Piala Datuk Seri S. Samy Vellu anjuran Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Najib Tun Razak menyampaikan Anugerah Tokoh Imam kepada Roslan Abd Halim (kanan) pada Majlis Perdana Ulama-Umara dan Imam di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Jamil Khir Baharom dan Dr. Mashitah Ibrahim.
KUALA LUMPUR 16 Dis. - Golongan ulama tidak boleh bersikap fanatik, berpihak kepada parti politik tertentu serta taksub secara melulu sehingga terlalu mudah menjatuhkan hukuman terhadap orang lain tanpa usul periksa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebagai barisan hadapan, golongan ulama perlu melupakan perbezaan politik dan bersatu mempertahankan akidah serta maruah umat Islam daripada sebarang bentuk pencerobohan.
"Kita amat sedih apabila ada segelintir ulama sanggup menegakkan hujah yang bercanggah dengan al-Quran dan sunah, semata-mata mahu mempertahan ideologi politik kepartian, hatta dalam isu mengerjakan haji ke tanah suci Mekah.
"Sedangkan golongan ini iaitu ulama dan umara yang mempunyai tanggungjawab besar dalam menentukan kesejahteraan rakyat dan negara," katanya semasa berucap pada Majlis Perdana Ulama, Umara dan Imam di sini, hari ini.
Majlis tersebut dihadiri kira-kira 2,000 ulama, umara dan imam dan serentak dengan itu turut diumumkan Tokoh Imam Kebangsaan yang dianugerah kepada Imam Besar Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah, Sheikh Roslan Abdul Halim.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib menyeru golongan ulama, umara, imam dan seluruh umat Islam agar berwaspada dengan penyebaran fahaman pluralisme serta liberalisme yang mengugat akidah umat Islam.
Katanya, ada pihak tertentu di negara ini cuba mengambil kesempatan dengan 'menangguk di air yang keruh' untuk memisahkan orang muslim daripada ajaran Islam iaitu dengan meracuni fikiran mereka mengenai pluralisme dan liberalisme.
"Ini sudah memadai untuk mereka, tidak semestinya sehingga menukar agama. Sebab itu kita mesti sentiasa berwaspada terhadap apa jua perancangan dan tindakan pihak berkenaan dalam mengancam akidah kita," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan membendung dan menolak sebarang usaha daripada pihak tertentu untuk menganjurkan apa jua program yang bersifat songsang dengan fitrah manusia.
Tegas beliau, setiap kebebasan ada batasnya dan segala pandangan yang dikeluarkan oleh setiap individu tidak boleh lari daripada kerangka perundangan yang dibenarkan atau bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.
"Pada saat ini, umat Islam sedang diasak secara fizikal dan mental dari segenap penjuru dan kita tidak seharusnya hilang fokus. Sebagai manusia, seseorang itu wajar diberi kebebasan, tetapi ia ada batasnya," ujarnya.
SEBAHAGIAN pelajar IPTA gembira sambil melaungkan slogan 1Malaysia selepas menerima replika cek Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM260,000,000 yang disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN
PUTRAJAYA 16 Dis. – Seramai 1.3 juta penuntut yang mengikuti pengajian di institut pengajian tinggi tempatan dan pelajar sekolah menengah di tingkatan enam layak menerima baucar buku bernilai RM200 seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012, baru-baru ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM260 juta untuk diagihkan kepada penuntut-penuntut tersebut yang dikategorikan sebagai aktif.
Katanya, pemberian baucar tersebut diberikan tanpa mengira penuntut itu mengikuti pengajian pada peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan pun Doktor Falsafah (PhD) secara sepenuh masa atau pun sebaliknya.
“Semua pelajar warga Malayasia yang aktif dan berdaftar dalam tempoh Januari hingga Mac tahun depan di institusi pengajian awam dan swasta (IPTA/S), politeknik, matrikulasi/asasi mahu pun di peringkat pengajian persediaan layak menerima dengan syarat daftar sebelum hujung Mac.
“Seorang penuntut akan mendapat empat baucar bernilai RM50 sekeping dan mereka hanya dibenarkan membeli buku akademik, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan IPT masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Pusat Kecemerlangan (CoE) Berpotensi kementerian tersebut di sini, hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, tempoh sah laku baucar tersebut hanya selama tiga bulan iaitu bermula pada 1 Januari hingga 31 Mac tahun depan.
Sehubungan itu, katanya, penuntut boleh menebus baucar itu di mana-mana kedai buku yang menyertai program tersebut namun dilarang menebus dengan wang tunai.
KETIKA sesetengah pihak dalam negara sibuk memperkatakan mengenai isu 'kitar semula' pengajian dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kadangkala mereka lupa masalah sebenar yang berlaku sebalik semua itu adalah Bahasa Melayu.
Saya sebagai generasi Y (Gen-Y) yang dibesarkan di persekitaran ledakan teknologi akhir 1980-an adalah antara mereka yang terasa bahangnya mengenai isu terbabit apa lagi ia membabitkan bahasa ibunda negara iaitu bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.
Menerusi perkembangan teknologi masa kini, kita melihat bahawa kemunculan media sosial, blog dan drama menerusi televisyen ternyata memberi banyak kesan kepada masyarakat terutamanya membabitkan etika pertuturan.
Melalui pengamatan yang dilakukan, kebanyakan anak muda masa kini semakin tidak peka dengan pertuturan bahasa Melayu apatah lagi kadangkala mereka mencampuradukkan dengan bahasa Inggeris sehingga ia digelar ‘bahasa rojak’.
Contohnya, penggunaan perkataan ‘so’, yang digunakan bagi menggantikan perkataan ‘jadi’ sudah menjadi satu fenomena yang biasa dilihat dalam pertuturan mereka.
Misalnya, “Saya sudah kembali ke tanah air, so (jadi) saya mahu berehat sebentar.”
Begitu juga dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya’ yang sudah pun diganti dengan ‘at least’ serta berpuluh-puluh frasa lain yang digunakan.
Tetapi yang menghairankan ialah ada di kalangan anak muda hanya tahu menggunakan frasa bahasa Inggeris yang asas sedangkan mereka tidak pula fasih untuk berbahasa Inggeris.
Keadaan mungkin menjadi lebih membimbangkan apabila orang Melayu sekarang sudahlah tidak fasih berbahasa Inggeris ditambah pula bahasa sendiri pun tidak tahu bertutur dengan betul.
Seperti mana yang kita tahu, isu penggunaan bahasa rojak pernah dibangkitkan sebelum ini tetapi perbahasan hanya tinggal perbahasan saja. Di mana pula badan bertanggungjawab iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu?
Apa sudah jadi dengan generasi kini yang tidak pernah mendengar perkataan ‘membanting tulang’, ‘lazim’ atau ‘terkesima’?
Saya melihat senario ini berlaku kerana mereka terpengaruh dengan tontonan drama di televisyen atau filem yang gemar memperlihatkan suasana korporat kononnya berbahasa rojak atau dunia penuh ‘glamor’ yang menerapkan pengamalnya menggunakan bahasa rojak.
Fenomena sebegini semakin menjadi-jadi di kalangan selebriti di negara ini. Apabila menonton rancangan berbentuk hiburan santai, selebriti pastinya memberikan pendapat atau komen, ‘slanga’ atau loghat tidak ubah seperti seorang ‘Mat Salih’ yang mahu berbahasa Melayu namun tidak pula tahu menggunakan frasa ayat atau tatabahasa Inggeris yang betul.
Adakah mereka layak digelar sebagai ‘Trying too hard to sound English or American’. Adakah selebriti ini sedar mereka memberikan kesan kepada peminat yang ghairah menjadikan mereka ini sebagai idola?
Secara peribadi, saya dilahir dan dibesarkan di ibu kota dalam keluarga yang menggunakan kedua-dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Melalui pemahaman saya, jika kita ingin menggunakan bahasa komunikasi yang betul membabitkan kedua-dua bahasa itu, maka perlulah mempunyai kaedah yang betul agar mesej yang mahu disampaikan jelas dan diterima.
Contoh, “Nama saya Alin and I tinggal di Selangor. Saya masih single.” Wajarlah ia dianggap bahasa rojak yang tidak beretika. Berbeza pula jika konteks ayatnya adalah, “Nama saya Abdullah. I’m living in Selangor. Saya masih bujang”, lebih difahami dan melengkapi.
Satu ayat selepas ‘titik’ atau noktah boleh menggunakan bahasa lain tetapi tidak boleh dicampur dalam satu ayat sebelum dan selepas ‘titik’ noktah. Teknik ini saya yakin bukan saja sesuai untuk memberi pemahaman jelas dalam komunikasi malah sesuai bagi mereka yang ingin mempelajari bahasa Inggeris.
Lihat contoh di Indonesia, bukan saja artis malah ahli politik, atlet sukan, penjaja jalanan dan setiap lapisan masyarakat begitu petah berkata-kata apabila ditemubual wartawan. Bukan saja tidak mencampur aduk bahasa, malah sedap didengari dengan lenggokan bersahaja.
Pendekatan 'holistik' perlu diambil. Semua pihak termasuk agensi kerajaan seperti Lembaga Penapisan Filem, Kementerian Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Pelajaran perlu terbabit dalam mendidik generasi kini dan penggiat seni tanah air perlu peka mengenai perkara itu.
Percayalah, jika pihak tertentu mahu mencari keuntungan dengan menggunakan teknik 'trend setting’ melalui media hiburan, mereka masih lagi bertanggungjawab menyebarkan idea yang beretika.
Tidak salah mahu mempelajari bahasa Inggeris, tetapi biarlah menggunakan teknik yang betul dan rujuklah kepada yang pakar.
Bahasa adalah ejen 'kelangsungan hidup dan mati sesuatu bangsa'. Saya khuatir jika tidak ada langkah drastik diambil dari sekarang, rakyat khususnya orang Melayu akan hilang identiti mereka.
Penulis ialah Pegawai Perhubungan Awam Puncak Niaga (M) Sdn Bhd
Menjaga kesihatan diri berupaya menjauhi rumah sakit. Mulakannya dengan memantau kesihatan jantung anda secara tetap diikuti dengan pengambilan diet yang seimbang serta melakukan rutin senaman tetap.
Pemantauan di Rumah
Pemantauan di rumah memaklumkan tentang tahap kesihatan anda berdasarkan pantauan hari ke hari ketika pengesanan 3 faktor utama penentu kesihatan jantung dilakukan iaitu kadar tekanan darah (BP), kandungan glukosa dalam darah (BG) dan lemak dalam badan (BF). Anda boleh menambah kesihatan jantung dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat seperti melakukan senaman secara tetap dan sikap pemakanan yang seimbang.
Senaman Secara Tetap
Senaman secara tetap boleh membantu anda mencapai tahap berat badan yang sesuai disamping mempertingkatkan keseluruhan kesihatan fizikal dan mental. Ia juga membantu menguruskan kadar BP, BG dan BF anda sejajar dengan usaha merendahkan risiko kepada sakit jantung.
Diet Seimbang
Diet harian anda boleh memberi kesan kepada kadar BP, BG dan BF anda. Maka itu, amatlah penting untuk mengamalkan pengambilan pelbagai jenis makanan pada hidangan yang disarankan supaya anda memilih pemakanan yang lebih sihat tanpa menjejas kesihatan jantung anda. Meskipun pelbagai jenis makanan boleh didapati, merancang pemakanan terlebih dahulu boleh membantu mencapai matlamat anda agar sentiasa mengamalkan cara pemakanan yang lebih baik.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Kinsmedic Sdn Bhd Careline: 1300-88-8848. Emel: estore.admin@kinsmedic.com.my
USAHA serius kerajaan untuk menerima idea belia membangunkan negara seharusnya mendapat pujian masyarakat. Belia adalah aset negara dan idea mereka tidak harus diketepikan kerana ada yang boleh diterima pakai.
Sebagai pensyarah, saya sering meraikan kepelbagaian pendapat ketika berada di bilik kuliah. Ada kala saya membuat provokasi sebagai cara menggalakkan mereka memberi pendapat dan berdebat sesuatu isu.
Pada pandangan saya, provokasi sebegini perlu untuk melahirkan pelajar berfikiran kritis dan boleh menyumbang idea kepada negara. Maklum balas diberikan belia seharusnya diberi perhatian dan cadangan dikira mendatangkan manfaat sepatutnya dilaksanakan dalam bentuk tindakan.
Antaranya, cadangan supaya kawasan perumahan 1Malaysia diatur mengambil kira percampuran masyarakat pelbagai bangsa bagi memperkukuhkan lagi semangat perpaduan rakyat. Bagi memastikan ia mendapat sambutan, rumah itu perlu dijual pada harga murah. Insentif tambahan juga perlu diberikan kepada rakyat yang berkongsi kenderaan untuk berulang alik ke tempat kerja seperti potongan harga untuk bayaran tol dan pemberian subsidi pengangkutan.
Langkah ini juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya utama seluruh negara. Kerajaan juga boleh memikirkan untuk mengadakan gotong-royong perdana peringkat nasional yang membabitkan semua kaum. Gotong-royong sebegini diharap dapat melahirkan interaksi mantap selain menggalakkan rakyat memelihara alam sekitar untuk kepentingan generasi akan datang. Penganjuran sukan perlu digiatkan kerana perpaduan boleh diperkukuhkan melalui aktiviti kesukanan. Rakyat juga digalakkan membawa semua ahli keluarga me-nyertai aktiviti sukan dan menganggap ia sebagai hari keluarga rakyat Malaysia.
Badan bukan kerajaan perlu mempergiatkan penganjuran pertandingan menulis esei mengenai perpaduan dengan memberikan hadiah lumayan kepada pemenangnya. Pemenangnya boleh diumumkan dalam pesta budaya yang dianjurkan secara besar besaran pada peringkat nasional. Antara pengisian pesta budaya ini ialah pameran produk makanan dan kraftangan tradisional pelbagai kaum. Tokoh perpaduan juga boleh diberikan anugerah yang bersesuaian di dalam majlis yang sama. Karyawan seni yang berjaya mengeluarkan filem dan hasil seni yang berunsur perpaduan nasional perlu diberikan pengiktirafan. Menyedari kepentingan perpaduan nasional dalam pembangunan dan kestabilan negara, dicadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu pasukan kerja yang turut diwakili belia bagi memikirkan lebih banyak langkah inovatif untuk membangunkan bangsa serta negara.
Halalan taiyyiban perlu penuhi setiap amalan baik digariskan Islam
HALALAN taiyyiban adalah kaedah yang terbukti memberi manfaat untuk meraih kejayaan serta keberkatan sumber rezeki umat Islam, juga kepada bukan Islam. Ia kaedah menyeluruh yang boleh diguna pakai dalam semua urus tadbir pemakanan, produk, perbankan dan perkhidmatan.
Namun, perkataan halal sering dikaitkan dengan makanan khususnya dalam aspek sembelihan atau sama ada mempunyai logo halal sedangkan kaedahnya sangat menyeluruh dan luas meliputi sumber, proses dan hasil usaha.
" Wahai sekalian manusia!
Makanlah dari apa yang ada di bumi
yang halal lagi baik dan janganlah kamu
ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya
syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu."
- Surah al-Baqarah, Ayat 168
Dari sudut hukum, halal memberi maksud apa yang dibolehkan oleh syarak. Menurut Imam Nawawi, baik atau taiyyiban bermaksud suci dan bersih dari segala keburukan amal seperti riak, sombong, angkuh, kecuaian, pecah amanah, penipuan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya.
Seseorang pernah bertanya kepada Ibn Abbas, bagaimana hasil kerja yang dilakukan dengan penganiayaan dan mengambil yang haram, kemudian ia mengerjakan haji, memerdekakan hamba dan bersedekah. Adakah itu dapat menyucikan harta yang diperoleh.
Ibn Abbas menjawab dengan tegas dan ringkas:
“Sesungguhnya yang kotor tidak menghilangkan yang kotor.”
Jawapan ini menunjukkan kualiti amalan zahir dan batin yang amat dititikberatkan walaupun rukun serta syarat sah amalan telah dipatuhi.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Allah memerintah
orang mukmin dengan apa yang Ia perintahkan
kepada sekalian rasul. Maka Allah SWT berfirman:
Hai sekalian rasul!
Makanlah dari segala yang baik
yang telah direzekikan kepada kamu.
Kemudian ia menyebutkan seorang lelaki
yang jauh perjalanan, kusut rambutnya
lagi berdebu mukanya menghulurkan
dua tangannya ke langit (berdoa):
Hai Tuhanku! Hai Tuhanku!
Padahal makanannya haram, dan mulutnya
disuapkan dengan yang haram, maka bagaimanakah
akan diperkenankan baginya?”
(Hadis riwayat Muslim) Hadis ini menjelaskan apa dimakan seseorang itu hendaklah daripada sumber yang baik iaitu makanan itu baik dan sumber untuk mendapatkan makanan itu juga daripada jalan yang halal.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Wahai sekalian manusia!
Makanlah dari apa yang ada di bumi
yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut
jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya
syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”
(Surah al-Baqarah, ayat 168)
Antara sahabat Rasulullah SAW yang amat menitikberatkan sumber rezeki halal dan cara membelanjakan atau menggunakannya ialah Saad Abi Waqqas yang diriwayatkan berkata: “Aku tidak pernah mengangkat mulutku sesuatu makanan melainkan aku tahu dari mana datangnya dan dari mana pula keluarnya.”
Hal inilah yang diberi penekanan oleh Ibn Hajar al-Haitami dalam penjelasan hadis di atas iaitu Allah SWT tidak menerima sedekah daripada hasil haram kerana yang bersedekah telah mengambil hak dan menzalimi orang lain.
Konsep halalan taiyyiban adalah kefarduan yang mesti diperluaskan dan difahami sebagai kunci piawaian kualiti Islam termasuklah dalam konteks perkhidmatan.
Bagi memastikannya sampai kepada standard kualiti Allah dan pelanggan, halalan taiyyiban perlu diaplikasi dalam tujuh aspek meliputi niat bekerja, matlamat, sumber, operasi, penilaian, pengeluaran dan penyampaiannya.
Tujuh kitaran halalan taiyyiban dapat memastikan kelangsungan usaha menjadi ibadat dan berkat.
Daripada Jabir Abdullah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Wahai Kaab bin ‘Ujrah ,
Sesungguhnya seseorang tidak akan masuk syurga
jika terdapat daging yang tumbuh di dalam
tubuh badannya daripada sumber yang haram.”
(Hadis riwayat Ad-Darimi)
Justeru, dalam perkhidmatan, halal atau niat yang baik kerana Allah SWT, jujur dan bersih mengelak daripada sifat khianat, prejudis, prasangka serta bangga diri.
Halal matlamat bukan sekadar jelas, baik, boleh diukur, dicapai dan bermanfaat tetapi bebas daripada unsur yang boleh mendorong kepada penindasan, sabotaj, serta kepentingan peribadi. Halal sumber bermaksud diperoleh dengan berintegriti tanpa penipuan, rasuah, suapan, salahguna kuasa.
Halal proses dan operasi selain mempamerkan persekitaran tempat kerja yang bersih, ditekankan ialah halal dan baik berteraskan nilai seperti cermat, teliti, cekap, cepat, telus, mesra, bersungguh, konsisten dan tanpa kesilapan berulang serta tidak meninggalkan solat kerana bekerja.
Halal penilaian bermaksud dibuat dengan seadil yang mampu, menyeluruh, mengikut peraturan dan prosedur. Halal pengeluaran bermaksud memenuhi spesifikasi dan matlamat disasar tanpa kecacatan atau kecelaan produk, kos berpatutan, tanpa pembaziran serta eksploitasi.
Keseluruhan kitaran halalan taiyyiban menatijahkan pencapaian yang halal lagi baik iaitu bukan sekadar pada ukuran keuntungannya tetapi hasil usaha benar, jujur, beramanah, bermanfaat serta memenuhi kriteria pencapaian.
Justeru, pemakaian sebenar konsep halalan taiyyiban dalam semua urusan perlu dihayati untuk mencapai kualiti menyeluruh yang diberkati di dunia serta diberi ganjaran di akhirat kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Dewi Sandra berdoa perkahwinan ketiga kekal ke akhir hayat
DUA perkahwinan terdahulunya berakhir dengan kegagalan, namun sejarah hitam itu tidak pernah membuatkan penyanyi, Dewi Sandra serik dan mengalah kepada suratan yang tertulis untuknya.
Perkahwinan pertama dengan aktor, Surya Saputra tidak menjanjikan kebahagiaan berpanjangan apabila mereka berpisah pada Januari 2005 selepas lima tahun hidup bersama.
”Pertama kali bernikah, saya fikir ia untuk selama-lamanya namun ternyata sebaliknya berlaku,” kata pemilik nama lengkap, Dewi Sandra Killick ketika ditemui wartawan di Jakarta, tidak lama dulu.
Penyanyi yang cukup dikenali di Malaysia dengan lagu Ku Akui dan Tak Ingin Lagi ini, bagaimanapun bernikah buat kali kedua dengan penyanyi terkenal, Glenn Fredly pada 3 April 2006.
“Saya mencuba lagi untuk kali kedua. Tidak pernah saya menyangka akan kembali bergelar isteri dalam tempoh sepantas itu.
“Namun Tuhan mempunyai rencana lain untuk saya. Saya menerima ujian lagi. Tapi, saya terus berdoa agar dipertemukan dengan lelaki terbaik,” katanya lagi. Namun seperti pernikahan pertama, perkahwinan kedua juga tidak membawa wanita kelahiran Brazil berusia 30 tahun itu ke mercu kebahagiaan yang diimpikannya.
Disember 2008, teka-teki kehancuran rumah tangganya dan Glenn mula dihidu media, mencambahkan kekalutan dalam kehidupan artis yang memegang profesion sebagai pengacara, penyanyi dan bintang sinetron itu.
Ketika media ligat memburu, Dewi bijak menyembunyikan status sebenar perkahwinan yang diadakan di Bali itu. Seakan tidak terganggu dengan permasalahan itu, Dewi sempat melahirkan album, Wanita ketika rumah tangganya diamuk badai.
Bagaimanapun, Dewi terpaksa akur menerima kenyataan kebahagiaan yang cuba dipertahankan bukan miliknya. Buat kali kedua, pelakon filem XL dan Antara Aku, Kau Dan Makerot kembali memegang status janda apabila disahkan bercerai pada 27 Ogos 2009.
“Pengalaman lalu buat saya adalah pengalaman berharga dan jadi pengajaran yang tidak terganti. Mereka yang pernah hadir dalam hidup saya adalah guru terbaik,” katanya.
Impak dua perpisahan itu membuatkan wanita berdarah kacukan Inggeris-Indonesia ini begitu berhati-hati apabila diajak berbicara mengenai hal peribadinya.
Saat ditemui media pada 7 Disember lalu, empat hari sebelum Dewi diijabkabulkan dengan jejaka berusia 33 tahun, Agus Rahman, bibirnya seakan terkunci kemas apabila soalan berkaitan perkahwinan kembali diajukan.
“Mohon maaf jika saya meletakkan batasan dalam soalan peribadi. Sudah terlalu banyak air mata saya yang mengalir sebelum ini.
“Saya tidak boleh menyalahkan orang lain atas kemahuan sendiri. Saya tidak mahu apa yang pernah saya lalui berulang kembali.
“Setiap sesuatu dalam hidup ini sudah diatur cuma saya mengharapkan doa daripada semua yang menyayangi,” katanya memohon isu peribadinya tidak dibicarakan secara terbuka di media.
Doanya diperkenankan Allah apabila pernikahan ketiga Dewi berlangsung tanpa kehadiran media pada pagi Ahad lalu di Plataran, Jagakarsa, Jakarta Selatan.
Menolak pernikahan mereka diadakan secara tergesa-gesa, Dewi berharap kebahagiaan yang sedang berputik itu akan berpanjangan hingga ke akhir hayat.
Jauh di sudut hati pembawa lagu Kapanlagi Kau Bilang I Love You itu berharap Agus Rahman menjadi lelaki terakhir menghuni sanubarinya hingga maut memisahkan mereka.
“Saya tidak mahu mengungkit masa lalu dan ingin melangkah ke depan dalam kehidupan saya. Saya banyak belajar daripada pengalaman dan kegagalan lalu. “Saya berharap dapat mendampingi Agus Rahman dan diberkati Allah sebagai pasangan yang sakinah sehingga maut memisahkan kami,” katanya.
Upacara ijab kabul disempurnakan pada jam 9 pagi di mana Dewi menerima sepersalinan kelengkapan solat dan wang emas seberat 25.5 gram.
“Maaf kerana baru berkesempatan berterus terang selepas selesai pernikahan. Tiada tujuan lain kecuali memastikan acara pernikahan berjalan lancar,” kata Agus yang mengangkat batik sebagai tema majlis resepsi mereka.
Agus mengakui, mereka sudah lama berkenalan diawali dengan persahabatannya bersama pengurusan, Star Management yang menguruskan karier nyanyian Dewi.Pertemuan demi pertemuan membuka pintu hati Agus untuk menjadikan Dewi sebagai permaisuri hidupnya.
“Bohong jika saya cuma melihat hatinya. Namun secara fizikal dan keperibadiannya, Dewi memiliki ciri menarik malah berharap dia akan menjadi pasangan saya yang paling ideal,” katanya.
Agus serius
ENGGAN tergopoh-gapah mencari pengganti, serta tidak mahu terus ditemani air mata apabila kebahagiaan diimpikan bertukar menjadi mimpi ngeri, Dewi mengambil masa yang panjang sebelum memberikan kata persetujuan untuk bergelar suri kepada Agus.
Akui Dewi, dia membiarkan perkenalan mereka melalui satu demi satu fasa kerana ingin betul-betul mengenali peribadi suaminya yang sebenar.
Hanya selepas melihat keserasian yang terjalin serta masing-masing mempamerkan keseriusan untuk melangkah ke satu fasa berbeza, Dewi yakin Agus ialah pilihan yang tepat.
“Banyak fasa yang kami lewati dan dari situ, saya melihat Agus seorang yang serius dan bertanggungjawab. Lebih penting, kami mempunyai pegangan iman yang sama.
“Saya berharap Agus akan menjadi imam yang saya perlukan dan bersedia membimbing ke arah kebaikan. Perkara ini terlebih dulu kami bincangkan dengan keluarga, lalu pernikahan ini terjadi,” katanya.
Kesilapan yang pernah dilaluinya kata Dewi, tidak seharusnya dijadikan sebagai suatu isu yang menyebabkan ia kembali diungkap dan diperdebatkan.
“Saya selalu memberitahu, jejaka yang mampu menerima saya itu ialah lelaki yang luar biasa. Saya punya masa lalu dan pengalaman yang menjadi landasan untuk kami berdua belajar,” kata Dewi.
Pelakon: Matt Damon, Scarlett Johansson, Elle Fanning, Colin Ford, Maggie Elizabeth Jones, Thomas Haden Church, Carla Gallo Genre: Drama, Komedi, Keluarga Tarikh Tayangan: Mulai 22 Disember 2011
SIAPA sangka, 'keamanan' yang dicari seorang bapa tunggal untuk menyempurnakan kehidupan kekeluargaan yang sentiasa tegang akhirnya terjawab di sebuah zoo yang dipenuhi haiwan liar, malah keputusan berpindah ke ruang yang dihuni lebih 200 spesies haiwan liar mula diwarnai kegembiraan.
Jika dilihat dari pandangan mata kasar, We Bought A Zoo hanyalah sebuah filem bergenre drama yang pernah ditonton sesiapa saja sebelum ini, tetapi menyingkap isu kekeluargaan yang cuba dibawa oleh pengarah, Cameron Crowe, ia sebuah naskhah layar yang bernilai dan berbeza.
Hampir 70 peratus isi penceritaan filem ini membawa penonton menyusuri kasih sayang seorang bapa untuk mencari titik keserasian yang sudah lama hilang antara dirinya dan si anak, Dylan Mee lakonan Colin Ford. Dan, kelainan yang tercipta melalui filem ini adalah apabila sebuah zoo mampu membawa kebahagiaan kepada keserasian yang dicari, dan bukanlah sebuah kota indah.
Filem yang diangkat daripada kisah benar ini berkisar pada anak muda berusia 14 tahun yang suka memberontak. Sikap itu pula, yang disebabkan kehilangan kasih sayang seorang ibu, dipaparkan pengarah melalui hasil lukisan yang diconteng dengan gambaran yang cukup ganas.
Malah perubahan sikap remaja itu kemudian diperlihatkan kembali dengan hasil lukisan Dylan yang mula melukis haiwan di kawasan penempatan baru mereka dan ia sebuah paparan yang sungguh mengagumkan.
Setiap visual turut diisi dengan kesungguhan lelaki yang terpaksa membesarkan sepasang anak dan pada masa sama mengalami konflik diri akibat terlalu merindui isteri yang sudah pergi meninggalkan mereka.
Walaupun pada 15 minit pertama, penceritaan filem ini agak lembap dan membosankan, keseronokan mula timbul sebaik saja penonton dibawa menonton keluarga Benjamin Mee (Matt Damon) berpindah ke zoo terbiar yang dihuni kira-kira 200 jenis haiwan termasuk singa, harimau dan beruang.
Di sinilah segala konflik antara anak lelaki yang enggan berpindah dan kesungguhan Benjamin menunaikan impian anak perempuannya, Rosie, bermula.
Kelakuan Dylan yang menjadi-jadi membuatkan hubungan mereka semakin tegang. Dylan langsung tidak menyukai keputusan bapanya berpindah ke situ dan membeli zoo untuk dibangunkan.
Akhirnya, ketabahan Benjamin membuktikan kasih sayangnya kepada anak dan haiwan di zoo yang memerlukan pembiayaannya, cukup berbaloi apabila sebuah taman haiwan dapat dibuka semula dengan bantuan lima pekerja yang masih setia bersama membangunkan kemudahan serta penjagaan zoo berkenaan.
Walaupun pada mulanya, Benjamin hampir putus asa dengan pembiayaan makanan, penjagaan kesihatan dan kemudahan zoo yang perlu diganti dengan spesifikasi yang tepat, akhirnya tuah menyebelahinya apabila duit peninggalan isteri tercinta mula menyelamatkan keadaan.
Indahnya cerita ini bukan terletak kepada keseluruhan penceritaan, tetapi dari sudut pandang berbeza seorang pengarah yang membawa penonton merasai pengorbanan dan usaha keras, yang akhirnya memberi pulangan lumayan kepada seseorang. Benjamin bukan saja berjaya mencuri hati seorang anak lelaki yang keras kepala, tetapi pada masa sama menyelamatkan haiwan terbiar menjadi koleksi yang diminati masyarakat setempat.
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperoleh pinjaman lima tahun bernilai £300 juta (RM1.48 bilion), yang juga pinjaman luar negara pertamanya, untuk membiayai pembelian tiga hartanah di London, demikian menurut laporan penerbitan Thomson Reuters, Basis Point.
Memetik sumber, Basis Point berkata, pinjaman dana persaraan negara berkenaan ditingkatkan daripada asal iaitu £240 juta (RM1.18 bilion).
Citigroup bertindak sebagai pengatur utama dan penaja jamin tunggal bagi urus niaga berkenaan.
“Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ, OCBC Bank, Scotiabank dan Sumitomo Mitsui Banking Corp juga bertindak sebagai pengatur bersama,” kata Basis Point.
Unit KWSP, KWASA UK solo Ltd adalah peminjam urus niaga berkenaan yang akan digunakan untuk membiayai pembelian tiga hartanah di London bernilai £490 juta (RM2.4 bilion).
Basis Point berkata, KWSP membiayai baki harga pembelian berkenaan dengan tunai. Pinjaman itu ditetapkan harganya pada margin 123 mata asas berbanding Kadar Ditawarkan Bank London (LIBOR) dengan yuran permulaan 110 mata asas, kata Basis Point, memetik satu sumber.
Basis Point berkata, KWSP tidak menyediakan sebarang jaminan untuk pinjaman itu, meskipun terdapat pilihan iaitu KWSP mesti membeli hartanah itu daripada KWASA pada harga yang sekurang-kurangnya menyamai jumlah baki pinjaman itu jika berlaku kegagalan membayar semula hutang. – REUTERS
SULTAN Mizan bersalaman dengan jemaah diiringi Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua’az pada perasmian Masjid Sultan Ismail, Chendering, semalam.
Kejadian dalam beberapa daerah di Terengganu
KUALA TERENGGANU: Sultan Mizan Zainal Abidin semalam melahirkan rasa dukacita baginda terhadap kejadian dua solat Jumaat dalam satu qariah tanpa kebenaran yang masih berlaku di beberapa daerah di Terengganu.
Sultan Terengganu bertitah, kejadian itu disebabkan tiada persefahaman dalam mencari jalan penyelesaian ke atas sesuatu masalah yang dihadapi, sekali gus menyebabkan Islam tercemar, maruah bangsa Melayu Islam ternoda dan umat Islam dihina serta dipermainkan.
“Keadaan ini amat menyedihkan Beta selaku ketua agama dan pemimpin umat Islam di negeri ini,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Sultan Ismail di Chendering, semalam. Turut berangkat, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua’az serta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Baginda kemudian menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Masjid Raja.
Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Mohd Rozali Salleh, berkata masalah solat Jumaat di dua masjid dalam satu mukim sejak lebih 20 tahun lalu sukar diselesaikan walaupun pelbagai tindakan dilakukan jabatan itu.
Sambil mengakui ada 11 masjid di Marang, Setiu dan Besut masih melakukan dua solat Jumaat dalam satu kariah berbanding 23 masjid sebelum ini, beliau mengesahkan sedang menyiapkan kertas laporan mengenai perkara itu sebelum diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) untuk dipersembahkan kepada Sultan Terengganu.
Bercakap ketika ditemui pada majlis perasmian program temu mesra Setiausaha Kerajaan negeri bersama warga kerja Kompleks Seri Iman, di sini yang turut dihadiri Mufti negeri, Datuk Dr Alias Abdullah, Mohd Rozali berkata, satu jawatankuasa khas bagi menangani masalah itu turut ditubuhkan.