Photobucket

Sahabat Maya :

Showing posts with label Kaki Bola. Show all posts
Showing posts with label Kaki Bola. Show all posts

Monday, November 4, 2013

Tabik Tok Gajah

Tabik Tok Gajah


SHAH ALAM - Setelah 21 tahun menanti, Pahang akhirnya menamatkan kemarau juara Piala Malaysia dengan meranapkan impian Kelantan mempertahankan kejuaraan dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Shah Alam, semalam.



Kejayaan Pahang itu bukan sahaja disambut dengan sorakan ribuan penyokong Pahang di stadium, malah pastinya menggembirakan setiap rakyat negeri itu yang menyaksikannya menerusi skrin televisyen yang bersiaran secara langsung. 



Sekalung tahniah buat pemain import dari Argentina, Matias Conti yang muncul wira Tok Gajah, apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-58 sudah cukup buat Pahang memahat sejarah merangkul kejuaraan ketiga dalam sejarah penganjuran Piala Malaysia selepas melakukannya (juara) pada tahun 1983 dan 1992.



Di hadapan 85,000 penonton yang membanjiri stadium, anak-anak buah Dollah Salleh sewajarnya layak dinobat sebagai juara berdasarkan aksi yang lebih berkualiti dengan penguasaan di bahagian tengah dikemudi pemain berbakat besar, Azamuddin Akil dan Mohd. Amirulhadi Zainal.



Perlawanan semalam bagaikan mengulangi keputusan 1-0 ketika mereka menang ke atas Kedah pada tahun 1992 dan lebih menggembirakan kali ini, mereka hanya dilabel sebagai underdog untuk menang tetapi berupaya mengejutkan Kelantan yang jauh lebih berpengalaman.



Selain Conti dan Azamuddin yang layak dilabel sebagai wira pasukan, aksi cemerlang yang dipamerkan oleh penjaga gol muda, Khairul Azhan Mohd. Khalid wajar diberikan pujian apabila menafikan banyak peluang The Red Warriors terutama pada penghujung permainan apabila menyelamatkan percubaan Mohd. Nor Farhan.



Kelantan yang dianggap pilihan untuk memenangi perlawanan ini mempamerkan aksi yang tidak begitu bermaya dengan kelibat ketua pasukan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi tenggelam manakala Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Norfarhan Muhammad tidak dibiarkan bebas di bahagian sayap.



Ketiadaan Obinna Nwaneri di pertahanan jelas mengundang masalah apabila gandingan Nik Shahrul Mohd. Azim dan Azizi Matt Rose tidak mampu mengekang kelincahan Conti dan Azamuddin yang acap kali dapat melepaskan diri ke dalam kotak penalti The Red Warriorrs.



Permainan antara kedua-dua pasukan seperti kurang bernyawa pada babak pertama ekoran hujan lebat sebelum perlawanan bermula yang banyak merencatkan pergerakan bola.



Tok Gajah lebih banyak menguasai jentera tengah tetapi Kelantan memilih taktik secara serangan balas kilat bagi mendapatkan jaringan dengan Dickson Nwakaeme banyak memberikan ancaman kepada pertahanan Pahang.



Kelantan nyaris memecahkan kekebalan pintu gol pada minit ke-25 melalui Nwakaeme yang dapat melarikan diri secara solo ke arah gawang Pahang, mujur tindakan Damion Stewart menjatuhkan pemain import Nigeria di atas garisan berhampiran kotak penalti menyelamatkan Pahang buat seketika.



Nasib tidak bersama Pahang seminit kemudian apabila percubaan jarak jauh pemain kelahiran Bera, R. Surendran mengenai palang walaupun Khairul Fahmi sudah tertewas.



Penonton akhirnya terhibur dengan aksi pada babak kedua apabila hujan berhenti dengan lebih banyak serangan pantas dan bermutu dapat dipamerkan oleh kedua-dua pasukan sebelum jaringan pertama hadir, 13 minit kemudian.


Taktikal Dollah meletakkan Azamuddin di bahagian sayap kanan menggantikan Surendran selain memasukkan Mohd. Fauzi Roslan begitu menjadi dengan pemain kelahiran Kampung Relong, Kuala Lipis itu menjadi punca kepada gol sulung Pahang. 



Selepas berjaya melepasi kawalan Zairul Fitree, hantaran silangnya berjaya menemui Matias Conti yang begitu bergaya menanduk masuk ke dalam gawang Kelantan bagi memastikan Pahang memimpin perlawanan pada minit ke-58 dan menggembirakan kira-kira 40,000 penyokong setia Tok Gajah yang hadir.



Walaupun tempo permainan Kelantan berubah sedikit selepas jaringan dari Pahang dengan kehadiran Faiz Subri serta Ahmad Fakri Saarani tidak mampu mengubah kedudukan 1-0 bagi memastikan Piala Malaysia akhirnya singgah ke bumi Kuantan setelah sekian lama.
Teruskan membaca..

Sunday, September 15, 2013

Pestabola Merdeka-Harimau Muda A muncul juara

Hadiah Hari Malaysia

Hadiah Hari Malaysia  
PEMAIN bersama pegawai dan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee (kiri), meraikan kejayaan menjuarai Piala Pesta Bola Merdeka, pada final pertemuan dengan Myanmar di Stadium Darul Makmur Kuantan, malam tadi. - Foto Hasriyasyah Sabudin
 
Harimau Muda A muncul juara
 Pestabola Merdeka benam Myanmar 2-0


Kuantan: Malaysia yang menampilkan Harimau Muda A mencipta sejarah sekali lagi apabila muncul sebagai juara Pestabola Merdeka selepas menundukkan Myanmar 2-0 pada final di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi. 

Kejayaan diperoleh itu lebih manis kerana pasukan yang pernah menjuarai kejohanan sama pada 2007 meraih kemenangan pada saat negara menyambut Hari Malaysia, esok.
Teruskan membaca..

Sunday, June 30, 2013

Piala FA kekal milik Kelantan


Piala FA kekal milik Kelantan


KUALA LUMPUR: Kelantan berjaya mempertahankan Piala FA 2013 selepas menundukkan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.


Pemain tengah Mohd Norfarhan Muhammad meleburkan impian pasukan berstatus bintang dengan jolokan 'Harimau Selatan' apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-15, hasil hantaran kapten Mohd Badhri Mohd Radzi.


Kelantan memulakan permainan dengan tenang tetapi berbisa dengan gerakan kemas sehingga pasukan lawan terpaksa memperketatkan benteng pertahanan selepas asakan bertali arus dilancarkan oleh skuad 'The Red Warriors'.


Jurulatih Kelantan Bojan Hodak mempertaruhkan gandingan Mohd Norfarhan, Mohd Badhri dan pemain import Dickson Nwakaeme untuk memburu gol.'


 
FotoJuara Piala FA 2013. FOTO Goh Thean Howe

Bagaimanapun, Johor DT bangkit seketika untuk membalas dan hampir menyamakan kedudukan apabila sepakan deras pemain import Leonel George Nunez, yang menggantikan Mohd Safee Mohd Sali, berjaya ditepis oleh penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-22.


Pada babak kedua, Kelantan kembali dengan semangat untuk merobek gawang gol lawan dan percubaan bahaya oleh Nwakaeme pada minit ke-54 berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Johor DT, Muhammad Al-Hafiz Hamzah.

Usaha penyerang berbisa Johor DT, Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-63 tidak dikira apabila berlaku kekasaran sebelum jaringan gol.

Johor DT yang semakin tertekan dengan ketinggalan 1-0 memperkemaskan jentera serangan namun cubaan yang dilakukan oleh Nunez pada minit ke-80 sedikit tersasar melepasi gawang gol.

Terdahulu sebelum perlawanan, kira-kira 90,000 penonton dengan kebanyakan berpakaian warna biru dan merah dihiburkan dengan nyayian lagu Negaraku oleh penyanyi terkenal Jaclyn Victor. - Bernama

Barisan Pemain:

KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Azizi Mat Rose, Obinna Nwaneri, Nik Shahrul Azim Abd Halim, Mohd Daudsu Jamaludin (Farisham Ismail), Mohd Shakir Shaari, Mohd Norfarhan Muhammad, Mohd Badhri Mohd Radzi (kapten), Zairul Fitree Ishak (Indra Putra Mahayuddin), Dickson Nwakaeme, Ahmad Fakri Saarani (Zairo Anuar Zailani).

JOHOR DT: Muhd Al-Hafiz Hamzah, Kamarul Afiq Kamarudin (kapten), Ahmad Tharmini Saiban, Muhd Nazri Ahmad, Andrezinho (K. Thanaraj), Mohd Nurul Azwan Roya, Mohd Nazri Ahmad, Safiq Rahim (Ahmad Ezrie Shafizie), Jasazrin Jamaluddin, Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Safee Sali (Leonel George Nunez).

Pengadil: Syed Azhar Syed Kamar
 
 
 
Teruskan membaca..

Saturday, June 1, 2013

Johor Darul Takzim mara, jumpa Kelantan pada final Piala FA


Johor Darul Takzim mara,

 jumpa Kelantan pada final Piala FA



PEMAIN Johor Darul Takzim, Andre Francisco menjaringkan
 gol kemenangan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 
menentang Pahang selaku tuan rumah yang berkesudahan 1-2 
 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini. 
Johor DT layak ke final Piala FA berdasarkan agregat 2-2 
dan kelebihan jaringan di tempat lawan. -
 UTUSAN/HAFIZ JOHARI
KUALA LUMPUR 1 Jun - Johor Darul Takzim mara ke final Piala FA walaupun terikat agregat 2-2 dengan Pahang, namun pasukan itu layak kerana kelebihan satu jaringan di tempat lawan dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini malam ini.


Johor Darul Takzim akan bertemu Kelantan pada perlawanan akhir.


Perlawanan malam ini, berkesudahan Pahang menang 2-1. Namun, Johor Darul Takzim mara ke final selepas menang 1-0 pada perlawanan pertama di tempat sendiri di Johor Bahru sebelum ini. 


Pertemuan kedua-dua pasukan pada malam ini diadakan di stadium berkecuali berikutan kekecohan yang berlaku di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Selasa lalu. - UTUSAN ONLINE

Teruskan membaca..

Mental pemain Johor DT tidak terjejas: Fandi


Mental pemain Johor DT

 tidak terjejas: Fandi

 



Johor Bahru: Mental pemain Johor Darul Takzim (DT) tidak terjejas biarpun terpaksa menempuh detik hitam ketika di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu malah sudah bersedia untuk berdepan Pahang pada saingan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
 
 
 
 
 


Pengendali skuad Harimau Selatan, Fandi Ahmad berkata, perlawanan yang dibatalkan selepas kekecohan di Kuantan nyata meningkatkan lagi moral pemain yang sudah bersedia untuk berdepan skuad Tok Gajah tatkala memiliki bekalan 1-0 selepas menang pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lalu. 
 
 
 
 

Moral tinggi
 
 
 


"Perlawanan akan diteruskan. Kita sudah bersedia tidak kisah beraksi di gelanggang mana pun. Moral pemain tampak begitu tinggi untuk membuat perhitungan di gelanggang berkecuali.
 
 
 


Kita sudah bersedia bagi menentukan slot ke final Piala FA. Pemain juga tidak trauma dengan insiden di Stadium Darul Makmur tempoh hari kerana mereka adalah pemain profesional dan perlu menerima kenyataan apa yang terjadi.
 
 


"Sebenarnya kita sudah bersedia untuk beraksi di Kuantan tetapi apakan daya perlawanan itu terpaksa dibatalkan malah kita juga tidak sabar untuk beraksi di Bukit Jalil," katanya.
 
 


Fokus buru kemenangan
 
 
 
 

Mengulas Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi medan penentu memburu slot final untuk berdepan Kelantan, 29 Jun ini, Fandi nyata akur dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
 
 



"Keputusan sudah dibuat oleh FAM dan kita ikut apa jua yang ditetapkan. Apa yang kita inginkan adalah beraksi di padang dan memburu kemenangan untuk layak ke final. Saya juga arahkan pemain supaya fokus selepas kita sudah berhempas pulas untuk layak ke separuh akhir dan rugi jika tidak ambil kesempatan itu," kata Fandi.
 
 
 
 
 
 
Teruskan membaca..

Thursday, December 13, 2012

Selamanya Harimau Malaya ( With Lyric )







 

Misi cipta kejutan


JANGAN GENTAR! 


Itu amanat ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal kepada barisan pemain Harimau Malaya menjelang pertembungan getir menentang Thailand bagi aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2012, malam ini.


Atas kertas, skuad kebangsaan berdepan misi mencabar untuk menggapai tiket ke final dalam usaha mempertahankan kejuaraan dimenangi di Jakarta, dua tahun lalu selepas sekadar seri 1-1 pada pertemuan pertama di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Keputusan itu meletakkan Harimau Malaya dalam kedudukan bahaya kerana Thailand yang dikendalikan Winfried Schafer hanya memerlukan keputusan seri 0-0 untuk mara ke final buat kali keenam dengan mengambil kira format gol di tempat lawan.



Namun tidak mustahil untuk anak buah Rajagobal mencipta kejutan ke atas pasukan pilihan itu di Stadium Supachalasai yang bakal dipenuhi 20,000 penyokong kerana kemenangan 1-0 sudah cukup buat melangkah ke final.

“Saya yakin dengan kemampuan pemain. Kami tidak perlu gentar kerana kami mempunyai pengalaman berdepan situasi seperti ini sebelum ini. Pemain saya akan menunjukkan karektor sebenar pada perlawanan ini, kami mahu menang dan melangkah ke final,” katanya kepada pemberita pada sidang media semalam.


Biarpun persiapannya terjejas berikutan layanan buruk tuan rumah yang menyediakan padang latihan seperti sawah padi kelmarin, Rajagobal tetap positif mampu merancang strategi ampuh untuk menyingkirkan juara tiga kali, Thailand dari kejohanan dwitahunan ini.

Tempoh sejam latihan rasmi Harimau Malaya di Stadium Dhebhasadin, semalam digunakan sebaik-baiknya oleh pengendali berusia 56 tahun itu memperkemaskan taktikal dan menilai pemain.

“Kami menjangkakan persiapan berjalan lancar apabila tiba di Bangkok tapi sebaliknya yang berlaku, mana-mana jurulatih pasti kecewa dengan perkara ini. “Kami akan melakukan apa yang perlu dalam latihan hari ini (semalam) bagi persiapan menentang Thailand,” katanya yang membuat sentuhan magis ketika membimbing Harimau Malaya menjulang kejuaraan pada 2010.









Teruskan membaca..

Sunday, December 2, 2012

Harimau Malaya makin garang



Harimau 

Malaya 

makin 

garang



PENJAGA gol Malaysia, Farizal Marlias berjaya menangkap kemas bola percubaan pemain Indonesia pada aksi Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.  




MASALAH komunikasi dilihat masih menghantui skuad Harimau Malaya sebaik melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012 apabila membenam Indonesia 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Andai ia tidak diatasi segera, tidak mustahil anak-anak buah Datuk K. Rajagobal berdepan tugas getir ketika melayan kunjungan juara Kumpulan A, Thailand dalam aksi separuh akhir pertama pada 9 Disember ini.


Kesukaran benteng pertahanan Harimau Malaya mengekang larian deras Andik Vermansyah, Elie Aiboy dan Oktovianus Maniani malam tadi juga seolah-olah memberikan petunjuk jelas buat Thailand nanti.



Namun pada masa sama, kejayaan menewaskan Sang Garuda malam tadi sememangnya detik yang paling istimewa buat seluruh rakyat Malaysia, sekali gus mengulangi kecemerlangan final edisi dua tahun lalu yang menyaksikan Malaysia muncul juara buat julung kalinya.



Ternyata, skrip yang lebih kurang sama seperti mana edisi dua tahun lalu masih menjadi pilihan Rajagobal kali ini apabila kembali bangkit melakar dua kemenangan bergaya setelah dikejutkan Singapura 0-3 dalam aksi pembuka tirai kumpulan, Ahad lalu.



Sebaik membelasah Laos 4-1 dalam perlawanan kedua, Harimau Malaya tidak lagi menoleh ke belakang apabila menjadikan Sang Garuda sebagai medan melepaskan geram malam tadi sebaik dikritik hebat penyokong fanatik negara pada permulaan kempen kali ini.



Lebih manis, kekalahan Indonesia itu juga bermakna Sang Garuda ditunjukkan jalan keluar lebih awal dalam kempen kali ini setelah Singapura berjaya menewaskan Laos 4-3 dalam satu lagi aksi dramatik kumpulan yang berlangsung serentak di Stadium Shah Alam malam tadi.



Dengan keputusan itu, Singapura muncul juara kumpulan biarpun berkongsi enam mata dengan Harimau Malaya, namun kedua-dua pasukan dibezakan dengan jaringan gol.



Dalam perlawanan malam tadi, Harimau Malaya nyaris 'lemas' dengan asakan bertali-arus Sang Garuda yang dilihat beberapa kali berjaya memerangkap benteng pertahanan negara yang diterajui Aidil Zaquan Abdul Razak dan Mohd. Fadhli Shas.



Masalah komunikasi antara jentera tengah dan benteng pertahanan negara juga nyaris mengundang padah pada awal babak pertama, mujurlah kecekapan penjaga gol negara, Farizal Marlias melegakan lebih 60,000 penyokong tuan rumah.



Namun, keghairahan skuad kendalian Nil Maizar memburu gol awal akhirnya dihukum pasukan negara apabila Azammuddin Mohd. Akil tenang memecah kebuntuan pada minit ke-26.



Pemain pertahanan, Mahalli Jasuli menambah derita Indonesia apabila menggandakan kelebihan tiga minit kemudian hasil hantaran kemas Wan Zack Haikal Wan Nor sekali gus mengatasi jangkauan penjaga gol lawan, Wahyu Tri Nughoro.



Indonesia yang terdesak memburu gol penyamaan dilihat semakin garang lantas mengundang aksi kasar beberapa pemain negara selepas itu sehingga memaksa pengadil dari Uzbekistan, Kovalenko Valentin melayangkan kad kuning kepada Aidil dan Shakir Shaari.


Mujur kebijaksanaan Fadhli dan Zubir Azmi merantai pergerakan Andik dan M. Syafiq sepanjang babak kedua juga menyebabkan Indonesia berputih mata bagi menyamakan kedudukan.



Begitupun, kecederaan beberapa pemain seperti Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha yang dilihat terhincut-hincut pada penghujung babak kedua dilihat meresahkan menjelang pertemuan menentang Thailand nanti.


  




Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2DtmEnTla
 

Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...