Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, April 24, 2012

Mini Olimpik



Mini Olimpik

pupuk semangat kesukanan,

jayakan 1Murid 1Sukan

Gavin Anderson (tengah) dan Joachim Gunsalam
(lima dari kiri) bersama para guru, jurulatih serta kakitangan
Kementerian Pelajaran pada program Mini Olimpik
di Ranau, Sabah, baru-baru ini.




SEMPENA 100 hari sebelum menjelangnya temasya Olimpik London 2012, British Council Malaysia baru-baru ini menganjurkan Mini Olimpik dalam usaha menerapkan semangat kesukanan yang tinggi di kalangan pelajar sekolah di negara ini.




Pengarah Negara British Council Malaysia, Gavin Anderson berkata, program yang mendapat kerjasama Kementerian Pelajaran, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia dan UNICEF itu dianjurkan selaras dengan matlamat kerajaan untuk melaksanakan dasar 1Murid 1Sukan.




"Sukan merupakan medium paling sempurna untuk mendidik pelajar mengenai kehidupan seperti kerja berpasukan, cara menghadapi tekanan dan pengurusan diri apabila berhadapan kegagalan atau kejayaan.




"Ini merupakan sebab yang menjadikan sukan sebagai platform ideal untuk mengajar serta melibatkan diri dengan generasi pemimpin pelapis masa hadapan," katanya ketika berucap pada program Mini Olimpik di Kompleks Sukan Ranau, Sabah, baru-baru ini.




Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Dr. Joachim Gunsalam dan Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah, Dr. Muhyiddin Yussin.




Pada program Mini Olimpik itu, pelbagai acara sukan melibatkan kesemua kelima-lima sekolah itu antaranya acara padang dan balapan seperti lari 100 meter, lompat jauh, lompat tinggi dan merentas desa serta futsal dan bola baling.




Sementara itu, Timbalan Pengarah Program British Council Malaysia, Clare Walker memberitahu, Mini Olimpik ini membuktikan bahawa nilai sukan mampu menyatukan semua orang dan menyokong matlamat utamanya untuk mendekati anak muda di seluruh dunia serta menghubungkan mereka dengan inspirasi temasya sukan tersebut.




"Ia juga menjadi harapan kami agar latihan dan pengalaman yang diperolehi oleh Pemimpin Muda Sukan melalui platform ini akan membolehkan mereka menjadi rakyat yang aktif di kalangan masyarakat, mempertingkatkan nilai kerja berkualiti dan memahami kepelbagaian budaya di kalangan mereka," ujar beliau.




Pada majlis itu, obor sukan Olimpik Beijing 2008 turut dinyalakan dan dibawa mengelilingi stadium sebagai simbolik Sukan Olimpik.






Sumber










Teruskan membaca..

BELAJAR Matematik Cara Kacang (BMCK)







BMCK

terap konsep guru

di sisi murid

HISSAMUDDIN Mohd. Amin bersama
dengan sebahagian produk BMCK keluaran syarikatnya,
di Kuala Lumpur, baru-baru ini.




BELAJAR Matematik Cara Kacang (BMCK) menerapkan konsep guru sentiasa di sisi murid menggunakan teknik mudah dan senang difahami merupakan salah satu alat bantuan pembelajaran selain kelas tambahan di sekolah serta pusat tuisyen.



Pengarah Urusan Aspati Sdn. Bhd., Hissamuddin Mohd. Amin berkata, produk BMCK adalah klip video penerangan konsep dan contoh penyelesaian soalan kesemua 11 topik matematik tingkatan empat dan 10 topik matematik tingkatan lima.



"BMCK menawarkan jumlah klip satu masa selama hampir 30 jam yang mana durasi penerangan setiap satu klip video mengambil masa lapan hingga 15 minit. Pelajar mengunakan konsep pembelajaran kendiri dalam mengatasi masalah memahami sub topik yang kurang dikuasai atau diingati.



"Dengan konsep ini, pelajar lebih mudah mengingati sesuatu kemahiran matematik kerana mereka berusaha sendiri untuk mencari jawapannya," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.



Kesemua bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang terkandung di dalam video BMCK merupakan silibus daripada Kementerian Pelajaran yang dikelolakan guru berpengalaman mengajar matematik tingkatan empat dan lima.



Pelajar boleh menggunakan video BMCK untuk belajar dengan guru khas matematik secara peribadi. Penerangan dalam video sangat mudah difahami walaupun disampaikan mengunakan bahasa Inggeris.



Menerusi BMCK, pelajar boleh membuat latihan dan mengulang video sekerap mungkin dan boleh menghentikannya pada bila-bila masa mengikut kesesuaian pelajar itu sendiri.



Hissamuddin berkata, BMCK bukan sahaja boleh digunakan oleh pelajar tetapi juga guru-guru sekolah atau pusat tuisyen bagi mempelbagaikan kaedah pengajaran seperti projek klinik matematik, projek bantu relief dan projek gilap potensi.



Teknik belajar BMCK ini didatangkan dalam dua versi iaitu atas talian (online) dan offline. Pembelajaran secara online adalah khusus untuk Internet yang berkelajuan tinggi (1MB ke atas) dan boleh juga di akses di iPad atau Android.



Versi offline pula adalah berbentuk data DVD bagi kawasan pedalaman yang tidak mempunyai capaian Internet.



Sebarang pertanyaan tentang produk BMCK atau mereka yang berminat mendapatkan atau menjadi pengedar produk boleh menghubungi talian 017-210 3873 atau 018-3128385.






Sumber














Teruskan membaca..

Rakyat Malaysia Rajin Membaca




Tabiat membaca terus meningkat




KUALA LUMPUR: Tabiat membaca rakyat Malaysia terus menunjukkan peningkatan berdasarkan penambahan 33.2 peratus bilangan pinjaman buku yang dicatatkan di Perpustakaan Negara (PN) tahun lalu.





Statistik pinjaman bahan bacaan di PN pada 2011 menunjukkan peningkatan yang amat ketara iaitu dengan catatan jumlah keseluruhan sebanyak 1.03 juta buku dipinjam oleh pembaca tempatan, berbanding 2010 hanya 776,347 buku.




Ketua Pengarah PN, Datuk Raslin Abu Bakar, berkata faktor utama peningkatan berkenaan disebabkan oleh pertambahan jumlah pinjaman berkelompok dari 289 institusi pada 2011 berbanding 240 pada 2010.




“Kalau 10 tahun dulu seorang rakyat Malaysia cuma membaca dua buku setahun tapi pada tahun lalu kenaikan yang amat ketara dapat dilihat dengan jumlahnya meningkat kepada lapan buku seorang.




“Peningkatan tabiat membaca ini membuktikan tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenai pentingnya ilmu pengetahuan jelas kelihatan dan ia juga sejajar dengan misi kerajaan untuk mencapai status negara maju pada 2020,” katanya ketika ditemui pada pelancaran sambutan Hari Buku Sedunia di Perpustakaan Negara, di sini, semalam.




Sementara itu, PN juga melancarkan ‘Kempen Bulan Bebas Denda’ kepada peminjam yang gagal memulangkan buku pada tarikh yang ditetapkan tanpa dikenakan sebarang bayaran sehingga 23 Mei ini.




Raslin berkata, pemulangan boleh dilakukan di PN, perpustakaan komuniti PN di AEON Mahkota Cheras dan AU2 Setiawangsa serta perpustakaan desa di seluruh negara selain menggunakan perkhidmatan pos.



“Penawaran ini adalah selaras dengan Kempen Bulan Bebas Denda untuk menggalakkan peminjam memulangkan kembali buku yang melebihi tempoh pinjaman tanpa dikenakan denda lewat pulang.




“Setakat ini sebanyak 162 naskhah buku bernilai RM5,800 tidak dipulangkan semula ke PN pada 2010 manakala 173 naskhah (RM 6,500) pada 2011,” katanya.








Sumber













Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...