Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, December 17, 2011

Idea belia wajar diterima maju negara





Surat Pembaca:


Idea belia wajar diterima maju negara



USAHA serius kerajaan untuk menerima idea belia membangunkan negara seharusnya mendapat pujian masyarakat. Belia adalah aset negara dan idea mereka tidak harus diketepikan kerana ada yang boleh diterima pakai.




Sebagai pensyarah, saya sering meraikan kepelbagaian pendapat ketika berada di bilik kuliah. Ada kala saya membuat provokasi sebagai cara menggalakkan mereka memberi pendapat dan berdebat sesuatu isu.
Pada pandangan saya, provokasi sebegini perlu untuk melahirkan pelajar berfikiran kritis dan boleh menyumbang idea kepada negara. Maklum balas diberikan belia seharusnya diberi perhatian dan cadangan dikira mendatangkan manfaat sepatutnya dilaksanakan dalam bentuk tindakan.



Antaranya, cadangan supaya kawasan perumahan 1Malaysia diatur mengambil kira percampuran masyarakat pelbagai bangsa bagi memperkukuhkan lagi semangat perpaduan rakyat. Bagi memastikan ia mendapat sambutan, rumah itu perlu dijual pada harga murah. Insentif tambahan juga perlu diberikan kepada rakyat yang berkongsi kenderaan untuk berulang alik ke tempat kerja seperti potongan harga untuk bayaran tol dan pemberian subsidi pengangkutan.




Langkah ini juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya utama seluruh negara.
Kerajaan juga boleh memikirkan untuk mengadakan gotong-royong perdana peringkat nasional yang membabitkan semua kaum. Gotong-royong sebegini diharap dapat melahirkan interaksi mantap selain menggalakkan rakyat memelihara alam sekitar untuk kepentingan generasi akan datang. Penganjuran sukan perlu digiatkan kerana perpaduan boleh diperkukuhkan melalui aktiviti kesukanan. Rakyat juga digalakkan membawa semua ahli keluarga me-nyertai aktiviti sukan dan menganggap ia sebagai hari keluarga rakyat Malaysia.




Badan bukan kerajaan perlu mempergiatkan penganjuran pertandingan menulis esei mengenai perpaduan dengan memberikan hadiah lumayan kepada pemenangnya. Pemenangnya boleh diumumkan dalam pesta budaya yang dianjurkan secara besar besaran pada peringkat nasional. Antara pengisian pesta budaya ini ialah pameran produk makanan dan kraftangan tradisional pelbagai kaum. Tokoh perpaduan juga boleh diberikan anugerah yang bersesuaian di dalam majlis yang sama. Karyawan seni yang berjaya mengeluarkan filem dan hasil seni yang berunsur perpaduan nasional perlu diberikan pengiktirafan. Menyedari kepentingan perpaduan nasional dalam pembangunan dan kestabilan negara, dicadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu pasukan kerja yang turut diwakili belia bagi memikirkan lebih banyak langkah inovatif untuk membangunkan bangsa serta negara.






AMIN ALI,


Pensyarah Kanan


Pusat Pengajian Perakaunan,



Universiti Utara Malaysia.















No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...