Cerpen:
Retorika Cinta Kedua
SELURUH penduduk Kampung Sungai Serai heboh. Mak Piah yang telah kematian suami sejak sepuluh tahun lalu itu telah berkahwin lagi. Berita yang membabitkan wanita berusia hampir tujuh puluh tahun itu turut tersebar ke kampung berdekatan dengan begitu cepat.
“Kau tau siapa suami barunya tu?” Zulaikha menyoal Nur Juliana Azwa mengenai berita yang sedang heboh diperkatakan orang itu.
Nur Juliana Azwa hanya diam. Tidak sepatah kata pun meluncur keluar dari mulutnya yang biasanya tidak pernah ditutup itu. Wajahnya kelihatan tenang. Dia hanya memandang ke muka sahabat baiknya itu.“Kau dengar tak?” ulang Zulaikha.
Nur Juliana Azwa masih tidak bersuara. Dia cuma mengangguk lemah.
“Orang kampung heboh di sana sini. Janda kerepot, macam Mak Piah pun laku. Dapat kahwin dengan anak teruna muda trang tang-tang.”
“Tak masuk surat khabar? Macam kisah Mek Wook tu?”
“Entah, aku tak tahu. Tapi, ini cerita orang kampung kita. Kita mesti ambil tahu dulu, sebelum orang luar tahu.”
Mulut Nur Juliana Azwa tetap terkunci rapat. Prinsip cintanya semakin kukuh. Ada bukti terbaru. Cinta seseorang itu hak mutlaknya. Tiada sesiapa yang mampu merubahnya. Andaiannya sudah, tentu tidak ada gadis yang lari ke Lombok atau ke Bangladesh. Atau setidak-tidaknya, lari untuk berkahwin di negara jiran.
Semua itu adalah kerana cinta. Malah, ada gadis atau teruna yang menghilang ketika menanti hari untuk diijabkabulkan kerana kehilangan cintanya pada saat-saat akhir. Memang cinta tidak boleh ditukar ganti, biar apa pun yang terjadi. Hati Nur Juliana Azwa tidak pernah berganjak. Ketegasannya itu dikuatkan lagi dengan peristiwa-peristiwa yang sering terpapar di dada-dada akhbar itu.
“Itulah buktinya cinta itu hak mutlak seseorang. Tiada sesiapa dapat merubahnya.” Tiba-tiba Nur Juliana Azwa bersuara. Mengulang pendiriannya buat ke sekian kali.
Zulaikha diam.
Kali ini Nur Juliana Azwa tersenyum. Namun, mulutnya masih dikunci. Baginya, cinta seseorang wanita terhadap seseorang lelaki ternyata lebih hebat daripada cinta seseorang lelaki terhadap seseorang wanita. Cinta wanita lebih utuh. Lebih suci, malahan lebih ikhlas. Sukar digugat atau ditukar ganti. Begitu pendirian Nur Juliana Azwa.
“Aku kagum dengan pendirian kau. Tapi, bagaimana dengan kisah janda macam Mak Piah tu?”
Nur Juliana Azwa tersenyum puas. Ada sekelumit rasa bangga di hatinya. Cinta seseorang itu tidak boleh dihalang, jauh sekali diputuskan. Kebahagiaan yang diomongkan bukan berdasarkan cinta, hanyalah palsu atau sandiwara semata-mata.
“Alif tu sangat menyintai kau. Dia sanggup buat apa saja kerana kau. Kau pun tahu. Tapi, kau tetap menolak cintanya.” Zulaikha cuba mengungkit kisah cinta yang bagaikan mula tersemai antara sahabatnya itu dengan Alif.
“Cinta tak boleh dipaksa. Cinta akan lahir sendiri. Lebih daripada itu, cinta tidak pernah mati, biarpun orang yang dicintai itu telah tiada.” Tegas Nur Juliana Azwa berfalsafah.
Kali ini giliran Zulaikha pula terdiam. Rasanya tidak sanggup dia berdebat dengan Nur Juliana Azwa apabila dia menimbulkan soal cinta yang tidak pernah mati itu. Soal cinta orang yang telah tiada. Dia rasa soal cinta begitu terlalu sensitif dan boleh menitiskan air mata jika diperkatakan. Namun, tidak bagi Nur Juliana Azwa. Ketegasannya ternyata mampu menyembunyikan isi hatinya. Walaupun dia sebenarnya, pernah mengalami sendiri peristiwa itu.
“Aku rasa hidup kau akan kembali terurus dengan kehadiran Alif.” Suara Zulaikha diperlahankan. Dia sebolehnya tidak mahu perasaan Nur Juliana Azwa tersentuh.
“Kau yakin?”
Zulaikha mengangguk.
“Sememangnya hidup aku sudah kembali terurus tanpa kehadiran sesiapa.” Juliana Azwa tegas bersuara.
Zulaikha kembali diam. Wajah manis janda berusia awal tiga puluhan itu direnungnya. Ada keyakinan yang kukuh pada raut wajahnya. Seingatnya, Nur Juliana Azwa bukan begini sikapnya. Jauh sekali dengan ketegasannya yang sukar dicabar ini. Dia asalnya seorang yang tidak gemar membantah. Mudah diajak berbicara. Malah, seorang yang mudah pula menerima buah fikiran orang lain.
Sehingga, ada kalanya dia seolah-olah hilang keyakinan diri dan tidak mampu berfikiran rasional lagi. Masih terbayang di mata Zulaikha lagi, tatkala Nur Juliana Azwa kehilangan orang yang sangat dicintainya hampir lima tahun lalu.
Dia hampir berputus asa untuk meneruskan kehidupan. Setiap hari, dia akan bermenung dan menitiskan air mata. Dirinya yang sedang mengandungkan anak sulungnya itu sudah tidak dipedulikan. Hidup baginya sudah tidak ada ertinya lagi. Keyakinan diri Nur Juliana Azwa seolah-olah lenyap bersama pemergian arwah Zuhairi.
“Kau tak boleh berterusan begini Kau tu sedang mengandung. Kau tak sayangkan kandungan kau yang dah masuk tiga bulan tu?” Zulaikha cuba menenangkan Nur Juliana Azwa untuk ke sekian kalinya. Walaupun, dia sedar pujukannya itu, ibarat mencurah air ke daun keladi.
“Entahlah. Aku sendiri pun tak tahu. Aku rasa, aku dah tak ada keinginan lagi untuk meneruskan kehidupan ini. Segala-galanya kosong. Kosong … Ika, kosong.” Air mata Nur Juliana Azwa bercucuran bersama-sama dengan kata-katanya itu.
Zulaikha merenung sayu ke muka Nur Juliana Azwa. Rasa simpatinya yang sukar digambarkan, menyentap tangkai hatinya. Lalu, dia turut menangis teresak-esak. Kedua-duanya berpelukan.
“Aku sudah kehilangan segala-galanya di dunia ini, Ika.” Nur Juliana Azwa kembali bersuara sebaik pelukan mereka terlerai.
“Masih banyak lagi yang ada untuk kau di dunia ini.”
Nur Juliana Azwa mengesat matanya yang kelihatan merah dan agak sukar dibuka itu. Dia menggagahi juga mencelikkan matanya dengan mengelip-ngelipkannya beberapa kali.
“Kau mestilah meneruskan kehidupan. Arwah Zuhairi dah selamat di alam baqa. Biarkan dia tenang menghadapi Tuhan. Kau pasti bertemu jua dengannya nanti.”
“Aku … aku amat terasa kehilangannya, Ika. Kadang-kadang aku rasa seolah-olah dia pergi bekerja atau ke mana-mana dan akan pulang ke rumah. Aku pula menanti-nanti kepulangannya. Inilah yang amat mengganggu perasaan aku. Malah, ada masa tertentu aku rasa dia seolah-olah ada di sisiku. Aku sering kali pula mencari-carinya. Sama ada di bilik tidur atau di ruang tamu rumah aku. Dan hampir setiap hari, Ika. Aku merenung dan bercakap-cakap dengan gambarnya.”
“Itu hanya perasaan kau saja. Biasanya begitulah, jika berlaku kematian orang yang disayangi dan paling rapat dengan kita. Seolah-olah dia masih ada bersama kita. Terlalu sukar untuk melupakannya.”
“Tapi, kau tidak mengalaminya, Ika. Kau … kau tak tahu betapa hanya kebaikan arwah saja yang ada dalam fikiranku sekarang. Segala keburukannya, kalau pun ada sudah luput daripada ingatanku. Sudah kubuang jauh-jauh. Aku hanya terbayangkan keindahan ketika hidup bersamanya sahaja.”
Zulaikha tidak dapat menahan pilunya. Beberapa titis air jernih merembes ke pipi. Dia tahu, Nur Juliana Azwa menghadapi dugaan dan cabaran maha hebat, sejak kematian arwah Zuhairi. Segala-galanya dia perlu uruskan sendiri. Urusan rumah tangga, bayaran bil elektrik dan bil air, penjagaan kereta dan sebagainya. Sebelumnya, semua ini diuruskan oleh arwah Zuhairi semasa hayatnya. Tapi kini, semua terletak di bahunya. Ditambah lagi dengan keadaan dirinya yang sedang mengandung itu. Terlalu berat dia menanggungnya.
“Orang lain, ada juga ibu atau ayah. Setidak-tidaknya ibu atau ayah mentua. Mereka dapat kembali kepada ibu dan ayah sendiri atau ibu dan ayah mentua, jika peristiwa ini berlaku. Tapi, aku … aku Ika. Dah tak ada siapa-siapa lagi, Ika.”
“Cinta kau pada arwah Zuhairi terlalu hebat.”
Nur Juliana Azwa tidak menjawab. Dia membiarkan kata-kata Zulaikha tanpa noktah. Dia sedar, Zulaikha amat memahami dirinya. Amat memahami perasaannya. Perasaan cintanya kepada Zuhairi. Dia tahu, Zulaikhalah satu-satu sahabatnya yang telah sanggup berkorban sehingga dia mampu bersuamikan pemuda bernama Zuhairi. Masih tersimpul kukuh dalam fikirannya, bagaimana ibu dan ayah Zuhairi semasa hayat mereka menolak kemahuan Zuhairi untuk memperisterikannya. Dia dikatakan berasal dari keturunan yang tidak diketahui asal usulnya, semata-mata dia tidak mempunyai ibu dan ayah lagi. Dia pula tinggal bersama nenek yang sudah nyanyuk sehingga ada orang kampung yang menganggapnya kurang siuman. Zulaikhalah yang berjaya meyakinkan ibu dan ayah Zuhairi, sehingga kedua-dua orang tua itu sanggup menerima Nur Juliana Azwa sebagai menantu mereka.
“Bagaimana aku dapat menerima cinta Alif, jika bayangan arwah Zuhairi masih melekat kuat dalam fikiran dan hati aku sehingga kini?”
Zulaikha kebuntuan untuk menjawab. Ketiadaan pengalamannya, seperti pengalaman yang dialami Nur Juliana Azwa mematikan otaknya untuk berfungsi sewajarnya bagi menyelesaikan masalah berat ini.
“Kau terlalu mengikut perasaan. Malah, ada kalanya kau terlalu ego dengan tafsiran cinta yang kau anuti itu.”
“Hmmm … mungkin juga.” Nur Juliana Azwa bersuara agak lemah. Sekuntum senyuman terukir di bibirnya yang kemerah-merahan itu.
“Kalau kau terus-menerus mempertahankan keegoan cinta mutlak kau itu, aku pasti kau akan menjanda sehingga ke tua.” Zulaikha cuba bergurau, setelah dia dapat mengesan ada tanda-tanda perubahan dengan prinsip cinta sahabat baiknya itu.
Nur Juliana Azwa tersenyum lebar sehingga menampakkan barisan giginya yang putih bersih dan tersusun rapi itu.
“Kau tak sayangkan diri kau dan Nur Syafiqah?” Zulaikha sengaja menimbulkan soalan ini. Dia menanti reaksi Nur Juliana Azwa.
“Kerana aku sayangkan diri aku dan anak aku itulah, aku masih tetap dengan pendirian aku tu.”
“Tapi, sampai bila?”
Nur Juliana Azwa tertawa kecil. “Ya, sampai bila-bila.”
Zulaikha agak kecewa dengan jawapan yang tidak serius daripada Nur Juliana Azwa itu.
“Aku mahukan kau dan anak kau itu hidup bahagia. Ada dahan yang kukuh sebagai tempat bergantung. Urusan rumah tangga adalah urusan pasangan suami isteri. Bukannya urusan salah seorang daripada mereka saja.”
“Mungkin tafsiran kau itu silap. Atau mungkin aku yang membuat tafsiran yang silap pada pandangan kau. Tapi, terserah pada kau kerana bagi aku, aku sudah mencapai kebahagiaan yang kau katakan itu.”
“Bahagia? Segala urusan rumah tangga kau terpaksa uruskan sendiri dan semua keputusan kaubuat tanpa berbincang dengan sesiapa seperti orang lain?”
Nur Juliana Azwa tertawa. “Hah, itulah kebahagiaannya.”
“Kau mesti ingat. Usia kau semakin bertambah. Kesihatan tubuh badan kau tak semestinya akan kekal begini untuk selama-lamanya.”
Nur Juliana Azwa diam. Dia merenung ke muka Zulaikha. Lambat-lambat dia mengangguk lemah. Namun, Nur Juliana Azwa masih tetap dengan pendiriannya.
Cinta adalah hak mutlak seseorang yang lahir dari hati yang suci. Cinta tidak boleh ditukar ganti atau dijual beli. Cinta yang murni sentiasa subur dan kekal abadi, walaupun orang yang dicintai itu tidak ada di sisi. Pendirian Nur Juliana Azwa tidak pernah berubah sama sekali.
Biodata:
NORDIN Saad, Guru Bahasa Melayu di SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah, Kaki Bukit, Perlis, menulis dalam pelbagai genre seperti cerpen, sajak, novel, rencana, drama radio dan cerita rakyat. Karya-karyanya mendapat tempat dalam Dewan Sastera, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Mingguan Malaysia, URTV, Wanita.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kreatif_RetorikaCintaKedua/Article