Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, June 1, 2011

Maahad Tahfiz Nurul Huda,Hulu Langat, Selangor



Lahir penghafaz profesional





DALAM keadaan duduk bersila dengan sarungan jubah putih serta lengkap berserban, tubuh mereka dibongkokkan sedikit menghadap papan rehal. Saat ayat suci al-Quran dibacakan, tubuh mereka ikut melenggok seiring dengan ritma yang dilantunkan.



Dengan suara yang tidak terlalu lantang, Mohd. Fitri Anas Khairul Omar, 16, khusyuk mengulang baca beberapa ayat bertulisan kaligrafi Arab itu.



Anak muda yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur ini sudah hampir empat tahun belajar menghafaz al-Quran di Maahad Tahfiz Nurul Huda di Hulu Langat, Selangor.



“Alhamdulillah, daripada 30 juzuk al-Quran, kini saya sedang menghafal juzuk ke-29. Tinggal satu juzuk lagi untuk dihafal sebelum boleh bergelar hafiz,” ujarnya.



Dalam usia remaja, dia yang mesra disapa dengan panggilan Anas mengambil keputusan untuk ke sekolah tahfiz sebagai menyempurnakan wasiat arwah bapanya yang inginkan salah seorang anaknya menghafal dan mendalami ilmu al-Quran.



Memasuki institusi persendirian tersebut pada usia 13 tahun, Anas mengakui pada awal kemasukannya, dia berdepan dengan konflik antara minat dan amanat.



Kepala ikan, rokok


“Pada awalnya saya memang tidak minat. Saya boleh membaca al-Quran, tetapi untuk duduk sepanjang hari menghafal baris demi baris, saya tak mampu lakukannya.



“Namun atas galakan daripada ibu dan guru-guru di sini serta sokongan rakan-rakan, saya jatuh cinta dalam bidang hafalan ini.



“Semakin banyak yang dibaca, saya semakin asyik untuk terus membaca,” katanya yang mampu menghafal satu muka surat dalam masa satu jam setengah.



Sudah merancang masa depannya, setelah bergelar hafiz, dia ingin melanjutkan pengajian agama di Yemen.



“Buat masa ini, saya mahu habiskan menghafal dan mendalami ilmu Islam menerusi kitab-kitab penulis hebat Islam di universiti di Yemen.



“Insya-Allah, selepas tamat belajar di Yemen nanti, saya ingin kembali ke Malaysia dan berkongsi ilmu yang diperolehi ini dengan masyarakat,” katanya yang sedang mencari penaja untuk menyambung pengajiannya ke luar negara.



Ditebak pertanyaan apa yang membuatkannya berusaha menghafal 6,666 ayat al-Quran itu, jawabnya mudah.




KANAK-KANAK perempuan

turut tidak ketinggalan meraih fadilat

menghafal al-Quran.


“Ini adalah hadiah untuk ibu dan arwah ayah. Rasulullah pernah bersabda, sesiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini, riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud,” ungkapnya.



Selain Anas, Muhammad Danial Azizi, 14, juga memilih pusat tahfiz tersebut untuk mendalami ilmu menghafal al-Quran.



“Seronok bila dapat jumpa rakan-rakan sebaya yang turut datang belajar di sini. Mula-mula memang susah untuk biasakan diri, tetapi lama-kelamaan, rasa sayang kalau tinggalkan rutin menghafal, walaupun sehari,” katanya yang sudah menghafal sembilan juzuk sejak memulakan pengajian setahun setengah yang lalu.



Mendekati teknik yang diguna pakai di maahad ini, guru hafazan, Ahmad Shahroini Sultan, 30-an, berkata, mereka menggunakan pendekatan Misri yang dipraktikkan oleh kebanyakan maahad tahfiz di negara ini.



“Ia teknik dengan cara mengulang bacaan sehingga dapat menghafal. Ada pelajar di sini mengulang empat kali sudah boleh hafal, ada juga yang ulang sampai 40 hingga 60 kali, baru boleh hafal.



“Selain itu, kita tekankan juga mengulang bacaan yang lepas sebelum menghafal ayat yang baru, ia membantu pelajar untuk ingat semua ayat,” katanya yang berasal dari Medan, Indonesia dan sedang melanjutkan pengajian peringkat ijazah di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.



Konvensional


Menurut Shahroini, bagi pelajar yang boleh menguasai teknik hafazan, mereka boleh menghafal satu muka surat sehari dan menghabiskan satu juzuk setengah dalam masa sebulan.



“Satu juzuk mempunyai 20 muka surat. Jika pelajar konsisten, mereka boleh menghafal al-Quran dalam tempoh satu hingga dua tahun. Namun, ia bergantung kepada kebolehan individu, ada yang cepat, ada yang lambat.



“Ada juga pelajar yang menghafal dari kulit ke kulit dalam masa enam bulan, ada juga yang ambil masa hingga lima tahun. Ia terserah kepada pelajar,” katanya yang belajar menghafal al-Quran di Thailand belasan tahun lalu.



Selain teknik hafal, pelajar di sekolah tahfiz ini juga mengamalkan pemakanan sihat yang mana dipercayai dapat membantu menguatkan hafalan mereka.




AKADEMI Darul Huffaz sengaja dibina

di kawasan bandar di Kajang

bagi menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka

mengaji dan menghafal al-Quran.


“Kepala ikan, makanan segera, organ dalaman haiwan dan rokok adalah kunci yang boleh melemahkan hafalan.



“Seeloknya ia dijauhkan jika ingin mendapatkan fokus dalam menghafal,” ujarnya yang mengamalkan memakan kismis setiap pagi dan malam.



Sebagai maahad yang dibangunkan untuk melahirkan para hafiz, Maahad Tahfiz Nurul Huda dibuka khusus untuk mengajar pelajarnya menghafal al-Quran sahaja selain mengikut kelas fardu Ain seperti ibadat, fikah dan bahasa Arab.



Dipantau oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), maahad tahfiz berbeza dengan sekolah pondok atau pesantren yang terkenal di Indonesia.



“Sekolah pondok tidak menekankan kepada hafalan al-Quran, pelajarannya lebih kepada pengajian agama menerusi kitab-kitab karya intelek Islam yang hebat.



“Ada juga maahad tahfiz yang memperkenalkan kokurikulum kebangsaan, di mana para pelajar boleh memperolehi dua ilmu serentak dan menduduki peperiksaan berdasarkan sistem pendidikan kebangsaan.



“Berbeza dengan kami, di sini kami fokus kepada menghafal al-Quran sahaja,” jelas Shahroini.



Walaupun kedengarannya agak konvensional, sekolah tahfiz tetap memiliki peminatnya tersendiri. Sepanjang perjalanan Jurnal menjejaki pusat pengajian tahfiz di sekitar Hulu Langat, terdapat lebih 15 institusi dari Batu 9, Cheras hingga ke Batu 20, Jalan Sungai Lui.



Profesional



Pandangan masyarakat terhadap nilai kebolehpasaran para pelajar juga sering dipertikai. Ramai pasti tertanya-tanya bolehkah pelajar tahfiz cemerlang dalam pelajaran dan bergelar golongan profesional?



“Sudah tentu boleh. Malah, jika teknik menghafal itu dipraktikkan dalam pengajian aliran kebangsaan, tidak mustahil mereka boleh menguasai hafalan al-Quran sekali gus cemerlang dalam bidang akademik,” ujar Lokman Shazly Datuk Sri Azlani Zaharin, pengasas Akademi Darul Huffaz yang beribu pejabat di Prima Saujana, Kajang, juga dalam daerah Hulu Langat.



Mengambil pendekatan untuk mempopularkan menghafal al-Quran dalam bandar, Lokman tidak memilih kawasan terpencil di dalam kampung seperti kebanyakan sekolah tahfiz.



Sebaliknya, kunjungan Jurnal ke premis miliknya, ia didirikan di dalam sebuah tapak komersil yang dikelilingi deretan kedai dan taman perumahan.




PELAJAR Maahad Tahfiz Al-Huda, Hulu Langat

mengikuti kelas fardu Ain dan bahasa Arab

di samping menghafal al-Quran.


“Ia lebih praktikal kerana ibu bapa mudah untuk mengambil dan menghantar anak ke sini.



“Selain itu, ia juga salah satu cara untuk menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka belajar membaca dan menghafal al-Quran,” katanya.



Sebagai pusat tahfiz persendirian yang diberi akuan oleh JAIS dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Darul Huffaz optimis melahirkan ahli tahfiz al-Quran profesional.



Tidak hairanlah, selain menyediakan kursus-kursus asas tahfiz, Lokman turut memberi peluang kepada para pelajarnya untuk mengikuti tahfiz akademi rendah dan tahfiz sains menengah.



Selain itu, Darul Huffaz juga menyediakan pengajian peringkat diploma yang akan dibuka pengambilannya pada bulan September nanti.



Dengan 10 cawangan selepas empat tahun ditubuhkan, Lokman menyasarkan untuk membuka 1,000 pusat tahfiz Darul Huffaz menjelang tahun 2020.



“Saya mahu program hafalan al-Quran ini dimulakan dari sekolah rendah. Jika pelajar menghafal secara berperingkat, misalnya empat ayat sehari, pelajar sudah boleh menghafal al-Quran sebaik sahaja memasuki tingkatan lima.



“Dengan cara ini, anak-anak boleh menghafal Quran tanpa rasa tertekan,” katanya.




Kosmo! Online


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0529&pub=Kosmosec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm











Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...