Photobucket

Sahabat Maya :

Monday, December 19, 2011

Majlis Pengumuman Analisis Keputusan PMR 2011




https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgpHpqUcMCNsHtXARyyDa-6CcIINQuhtTp20MUnaqPGeYY4xHUIuFQtCNw_8-oxqZKd11WB4MHOVyPCuOGo8I9FeBvLYOIHuGMWP55T9QBEq8LuKpyFTAfBuAcskgDZ9vDfx4Vm1AdN9jM/s1600/Banner+Semakan+Result+PMR+2011%25281%2529.jpg




Majlis Pengumuman Analisis Keputusan PMR 2011




Majlis Pengumuman Analisis Keputusan PMR 2011 akan diadakan pada hari Khamis, 22 Disember 2011 pada jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya.




Calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama.





Mulai tahun ini juga Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan perkhidmatan semakan keputusan PMR melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi, 22 Disember 2011 dan akan ditamatkan pada 12 tengah malam, 28 Disember 2011.


















Teruskan membaca..

Sayembara Menulis Skrip Drama Pentas


Sayembara Menulis Skrip Drama Pentas



SAYEMBARA Menulis Skrip Drama Pentas yang menawarkan hadiah lumayan kini dibuka kepada mereka yang berminat dan johan akan menerima wang tunai RM8,000, kedua (RM5,000), ketiga (RM3,000) di samping tiga hadiah sagu hati RM1,000 setiap satu.


Penyertaan dibuka kepada warganegara Malaysia dan karya perlu ditulis dalam bahasa Melayu dan asli, bukan saduran atau terjemahan, manakala temanya bebas, tetapi peserta digalakkan mengangkat isu semasa yang boleh meningkatkan jati diri bangsa dan nilai murni dalam masyarakat.



Peserta dikehendaki menghantar karya berserta borang penyertaan kepada Urus Setia, Sayembara Menulis Drama Pentas, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, 59460, Kuala Lumpur.






Borang penyertaan boleh didapati di laman sesawang www.dbp.gov.my, ibu pejabat atau cawangan DBP, manakala tarikh tutup penyertaan 31 Disember ini dan maklumat lanjut hubungi Zaiton Hussin di talian 03-21482922 atau emel di zaiton2@dbp.gov.my.






Teruskan membaca..

Pemimpin Korea Utara meninggal dunia






http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/4/48/Kim_Jong-il_on_August_24%2C_2011.jpg

Kim Jong-Il meninggal dunia



SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Il, meninggal dunia pada usia 69 tahun akibat serangan jantung, menurut media rasmi negara itu.





Menurut Korean Central News Agency (KCNA), pemimpin itu “meninggal dunia akibat tekanan hebat mental dan fizikal" pada 8.30 pagi Sabtu (7.30 pagi waktu Malaysia) ketika berada dalam kereta api untuk jelajah "turun padang".
Ia menggesa rakyat Korea Utara supaya mengikut anak lelaki bongsu Jong-Il dan penggantinya, Kim Jong-Un, yang berusia lewat 20an.
“Semua ahli parti, tentera dan orang awam patut mentaati kepemimpinan komrad Kim Jong-Un dan melindungi dan mengukuhkan lagi parti, tentera dan orang awam," kata penyampai TV agensi berita itu yang berpakaian serba hitam sambil menangis.






Menurut KCNA, bedah siasat dilakukan semalam.





Pemimpin terbabit mengalami serangan angin ahmar pada Ogos 2008.






Pengebumian beliau akan diadakan pada 28 Disember ini tetapi tiada delegasi asing dijemput hadir.






Tempoh berkabung diisytihar dari 17 hingga 29 Disember.





Sementara itu, agensi berita Yonhap melaporkan tentera Korea Selatan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. - Reuters

Teruskan membaca..

2 pusat pemindahan banjir dibuka di Johor






2 pusat pemindahan banjir dibuka di Johor




JOHOR BAHARU: Dua pusat pemindahan banjir dibuka di Kluang malam semalam apabila 144 penduduk dipindahkan berikutan banjir di daerah berkenaan.




Pusat terbabit ialah SK Kampung Mengkibol yang menempatkan 101 mangsa dan SJKC Ping Ming seramai 43 mangsa banjir.
"Seramai 350 penduduk di lima buah kampung Orang Asli di Kahang juga terputus hubungan apabila jalan ke kampung berkenaan tidak dapat dilalui," kata petugas di bilik gerakan banjir Kluang, Ishak Atan ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata, bilik gerakan banjir daerah berkenaan belum dibuka secara rasmi namun pihak berwajib sudah mulai menggerakkan jentera masing-masing bagi membantu mangsa yang terbabit.





Mangsa banjir mula berpindah semalam apabila paras air Sungai Mengkibol naik ke tahap 25.99 meter berbanding tahap bahaya 25.46 meter berikutan hujan berterusan.





Laman Public InfoBanjir milik Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia menyatakan, seramai enam mangsa banjir dari Kampung Parit Haji Kamisan di Ladang Chaah, Batu Pahat dipindahkan semalam.




Mereka dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan apabila air Sungai Lenik meningkat kepada 6.63 meter, melebihi paras bahaya 6 meter.
Aras air Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat juga melebihi paras normal 18.95 meter apabila mencatat kenaikan kepada 19.85 meter.





Aras air Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat juga meningkat dari 7.92 meter kepada 8.55 meter.





Orang ramai di kedua-dua kawasan berkenaan dinasihat agar berjaga-jaga dengan kemungkinan aras air sungai akan meningkat. - BERNAMA








Sumber






Teruskan membaca..

Pengguna tak asing sisa pepejal akan didenda





Pengguna tak asing sisa pepejal akan didenda



PUTRAJAYA: Orang ramai akan diwajibkan untuk mengasingkan sisa pepejal masing-masing yang boleh dikitar semula dalam tempoh tiga tahun lagi dalam usaha kerajaan mengurangkan jumlah sisa pepejal di negara ini.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, berkata bagi merealisasikan hasrat itu, kementerian akan mewujudkan sistem kutipan sisa pepejal yang boleh dikitar semula sekali seminggu bermula 1 September 2012 di semua negeri di Semenanjung kecuali Selangor, Pulau Pinang dan Perak.
“Kementerian menyasar untuk mewujudkan peraturan pengasingan sisa pepejal dari sumber secara mandatori dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang. Apabila kita sudah mewajibkan kitar semula ini, mereka yang tidak melakukannya, akan didenda.
“Bagaimanapun, sebelum dapat melakukan langkah mandatori, orang ramai perlu diberi kesedaran dan diminta mengamalkan proses kitar semula ini di rumah, sebab itu kita mewujudkan sistem kutipan sisa pepejal ini.


“Kita turut menyediakan tong kitar semula untuk semua isi rumah bagi memudahkan mereka mengasingkan sisa pepejal masing-masing,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan di sini, semalam.


Pada majlis itu, beliau melancarkan talian bebas tol, 1-800-887-472 untuk orang ramai membuat aduan berhubung masalah sampah di rumah masing-masing.


Tiga syarikat konsesi iaitu Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) akan bertanggungjawab melaksanakan pengurusan sisa pepejal di Zon Tengah dan Timur Semenanjung; Environment Idaman Sdn Bhd (Environment Idaman) di Zon Utara dan SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) di Zon Selatan.




Chee Heung berkata, 40 peratus daripada sisa pepejal dibuang setiap hari oleh setiap isi rumah adalah sisa pepejal boleh dikitar semula dan berharap orang ramai dapat melakukan pengasingan sisa pepejal di rumah mereka.



“Kita percaya dengan menyediakan infrastruktur dan sistem kutipan boleh dipercayai, ia dapat menjadi pemangkin untuk menyemarakkan hasrat masyarakat mengitar semula,” katanya.



Beliau berkata, sebanyak 11 tapak pelupusan sampah sanitari kini dibina di seluruh negara bagi menggantikan tapak pelupusan konvensional yang berpotensi mencemarkan alam sekitar terutama sumber air dan udara.









Teruskan membaca..

Mengapa sekarang CUEPACS bersuara?


Surat Pembaca:


Mengapa sekarang CUEPACS bersuara?



TERKEJUT apabila Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah opsyen yang terkandung dalam Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Perdana Menteri ketika membentangkan bajet juga menyatakan bahawa pelaksanaan SBPA mengandungi 'dasar pemisah.'
Sepatutnya pada waktu itu, CUEPACS mengambil langkah proaktif untuk mengkaji apakah dasar ‘exit policy’ yang akan dilaksanakan dan mengemukakan cadangan balas, bukan mengambil tindakan membantah apabila dasar itu bakal dilaksanakan. Sebelum ini pemimpin CUEPACS sentiasa mengucapkan terima kasih setiap kali perjumpaan diadakan kerana kerajaan sedia berunding dalam apa saja perkara membabitkan penjawat awam.



Tetapi mengapa sekarang CUEPACS menyatakan mereka tidak pernah diajak berbincang?


Sebagai penjawat awam, kita seharusnya memahami kandungan pekeliling yang dikeluarkan, jika faham kita tidak akan membantah sebaliknya mengemukakan cadangan untuk penambahbaikan.


Mengenai pergerakan gaji tahunan mengikut kadar peratus yang dimaklumkan, kita perlu melihat jadual gaji yang diberi kepada kumpulan perkhidmatan yang ditawarkan. Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana yang ditetapkan Gaji Sebaris (JGS) mengikut kadar pergerakan gaji tahunan dari RM80 hingga RM320 dan ia lebih tinggi daripada Skim Saraan Malaysia (SSM).



Kadar peratus yang dinyatakan untuk kumpulan Premier yang gajinya ‘single point’ dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi yang mempunyai Jadual Gaji Minimum dan Maksimum saja. Kita juga perlu faham dengan kaedah ini kerana bukannya semua jadual gaji dapat melaksanakan kaedah peratusan.


Pemimpin CUEPACS menasihatkan kepada sesiapa yang tidak berkaitan supaya jangan campur tangan dalam hal ini. Tetapi sedarkah bahawa mereka sendiri yang mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju sekiranya kerajaan melaksanakan pengambilan ‘orang luar’ untuk mengisi jawatan dalam kumpulan Premier sedangkan kumpulan Premier dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi bukan anggota CUEPACS.


Sudah tiba masanya CUEPACS berbincang dalam majlis kongres apa sebenarnya yang terkandung dalam pelaksanaan SBPA.


BAKAL PESARA SETUJU SBPA,


Jitra, Kedah






Teruskan membaca..

Bakar sampah dekat rumah



Bakar sampah dekat rumah



 Penduduk meninjau  tempat pembakaran sampah jarak 50 meter dari kawasan perumahan di Taman Megah Ria.
Penduduk meninjau tempat pembakaran sampah
jarak 50 meter dari kawasan perumahan di Taman Megah Ria.




Penduduk Taman Megah Ria tidak tahan hidu asap sejak dua bulan




JOHOR BAHRU: Lebih 300 penduduk Taman Megah Ria, di sini, mengadu kehidupan mereka terganggu akibat asap daripada sebuah pusat pembakaran sampah haram yang mula beroperasi kira-kira dua bulan lalu di kawasan berkenaan.
Operasi pembakaran dilakukan selepas jam 7 malam hingga jam 10 pagi keesokan harinya, menyebabkan penduduk yang mendiami kawasan kira-kira 50 meter dari situ menghidu bau asap hitam yang menyesakkan hidung.




Sudah dua kali saya membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar kerana bimbang masalah kesihatan, malangnya tiada tindakan susulan. - Lim Fang Ling, Penduduk
Penduduk, Lim Fang Ling, 36, berkata kehidupan harian keluarganya terganggu apabila pihak terbabit memulakan aktiviti pembakaran mengakibatkan udara dicemari kepulan asap hitam dan masuk ke dalam rumah didiaminya.





“Antara bahan dibakar adalah perabot terpakai, sisa klinikal, getah serta plastik yang dibakar di tiga tempat berasingan di tanah persekitaran itu, menyebabkan rumah kami berbau asap dan hal ini mengganggu kami sekeluarga tidur nyenyak.





“Sudah dua kali saya membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berikutan bimbang kesihatan kami sekeluarga terjejas kerana masalah ini sudah berlarutan lebih dua bulan tanpa ada usaha menyelesaikannya,” katanya.





Pekerja pembinaan, Leong Ngek Peg, 50, berkata beliau kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak berkenaan yang beroperasi secara haram dan gagal meletakkan sebarang notis pemberitahuan aktiviti dijalankan walaupun ia dimiliki pihak persendirian.
“Sebelum ini, saya pernah melihat dua lelaki berada di kawasan ini pada waktu malam, namun apabila didekati, mereka melarikan diri dan meninggalkan petrol digunakan untuk membakar bahan sisa industri dekat sini,” katanya.





Beliau berkata, hasil tinjauan penduduk mendapati kawasan berkenaan mula dijadikan pusat pembakaran sampah haram kira-kira dua bulan lalu.





“Kami berharap pihak berkuasa tempatan turun padang menyelesaikan masalah ini kerana penduduk sukar melakukan tindakan sendiri kerana kawasan itu milik persendirian,” katanya.






Teruskan membaca..

Universiti di Perancis



Universiti di Perancis

Oleh

Mohd Feroz Abu Bakar

yang mengikuti kunjungan ke

Paris, tajaan Kedutaan Perancis.

Sekolah Kejuruteraan Arts et Metiers adalah antara grande ecole terkemuka di Perancis.
Sekolah Kejuruteraan Arts et Metiers
adalah antara grande ecole terkemuka
di Perancis.




Tawar ijazah sarjana muda, PhD



LULUSAN sekolah mempunyai pilihan mendapat ijazah sarjana muda hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) dari universiti di Perancis dengan peluang bersaing dengan pelajar seluruh dunia.



Negara berkenaan menggalakkan kemasukan pelajar antarabangsa dengan Campus France sebagai agensi yang mengadakan promosi di seluruh dunia.
Perancis menawarkan kelayakan akademik pada peringkat siswazah dan pasca siswazah yang mendapat pengiktirafan global. - Dr Jean-Pierre Trotignon, Penasihat Program Kejuruteraan Campus France




Penasihat Program Kejuruteraan Campus France, Prof Dr Jean-Pierre Trotignon, berkata negaranya menawarkan kelayakan akademik pada peringkat siswazah dan pasca siswazah yang mendapat pengiktirafan global.





Beliau yang juga Pengarah Eksekutif n+i, iaitu pertubuhan gabungan 70 grandes ecoles (sekolah kejuruteraan) di Perancis berkata, negaranya mempunyai program khas untuk graduan kejuruteraan seluruh dunia meneruskan pengajian peringkat sarjana.





Katanya, graduan yang sudah mempunyai ijazah sarjana muda kejuruteraan dari negara masing-masing akan disaring untuk mengikuti program dua tahun di grandes ecoles itu.





Beliau berkata, program persediaan n+i di Malaysia selama enam bulan disediakan Universiti Kuala Lumpur-Malaysia France Institute.
"Sesi pengajian di grandes ecole bermula pada September setiap tahun dan graduan kejuruteraan boleh memohon antara Ogos hingga Mac sebelum kakitangan dari n+i menemubual mereka.





"Kami akan meneliti keputusan akademik untuk empat tahun peringkat ijazah sarjana muda dan grandes ecole pula akan menawarkan tempat kepada graduan yang mempunyai motivasi tinggi," katanya diketika ditemui di sini, baru-baru ini.





Trotignon berkata, lebih 2,000 graduan sarjana antarabangsa dari 64 negara sudah dilahirkan oleh grandes ecoles menerusi kerjasama n+i sejak 10 tahun lalu.





Perancis juga mempunyai lebih 200 institusi atau universiti teknologi yang menganugerahkan ijazah sarjana muda kejuruteraan yang bernaung di bawah Majlis Sekolah Kejuruteraan dan Universiti Teknologi (CDEFI).




Sementara itu, Wakil CDEFI ke Kesatuan Eropah, Prof Michel Mudry, berkata institusi kejuruteraan di Perancis mempunyai kekuatan dalam semua pengkhususan seperti telekomunikasi, tenaga, elektronik, komputer, penerbangan, aeroangkasa atau mekanikal.





Katanya, standard pendidikan kejuruteraan di Perancis berada pada tahap tinggi kerana kualitinya dikawal badan profesional Commission des titres d'ingenieur (CTI) yang memberi akreditasi kepada institusi setiap enam tahun.





Beliau yang juga bekas pensyarah University of Orleans, Perancis, berkata institusi kejuruteraan di negara itu juga mempunyai hubungan rapat dengan industri.





"Jurutera yang sedang bekerja menjadi pensyarah di universiti dan grandes ecoles supaya pelajar mendapat pendedahan mengenai perkembangan terkini dalam setiap bidang.





"Pelajar kejuruteraan pula mesti menjalani latihan industri sekurang-kurangnya tujuh bulan sama ada di Perancis atau di negara lain," katanya.




Teruskan membaca..

Iktiraf Najib 'Bapa Transformasi'


Iktiraf Najib 'Bapa Transformasi'




NAJIB bersama Yin Huah (kanan) menunjukkan isyarat 1Malaysia pada  majlis pecah tanah Menara 12 tingkat HuaZong  di Seri Kembangan, semalam.
NAJIB bersama Yin Huah (kanan) menunjukkan
isyarat 1Malaysia pada majlis pecah tanah
Menara 12 tingkat HuaZong di Seri Kembangan, semalam.





Gabungan Persatuan Cina Malaysia kagum perkhidmatan cemerlang PM




SERI KEMBANGAN: Gabungan Persatuan Cina Malaysia (HuaZong) mencadangkan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dianugerahkan gelaran 'Bapa Transformasi' sebagai bukti dan pengiktirafan kepada zaman pemerintahan yang cukup istimewa dan dinamik.



Presiden HuaZong, Tan Sri Pheng Yin Huah, berkata pengalaman politik lebih 33 tahun menyaksikan Najib berjaya melakukan banyak transformasi serta pembaharuan untuk negara.




Malaysia sudah melalui perjalanan penuh cabaran dan halangan, tetapi berjaya tanganinya gunakan konsep dan acuan sendiri berteraskan semangat 1Malaysia. - Najib Razak, Perdana Menteri




“Perdana Menteri mempamerkan perkhidmatan cemerlang dalam senario global yang kian bergolak serta persaingan politik tempatan yang cukup kompetitif. Rakyat dan negara dapat menyaksikan perubahan digerakkan untuk faedah semua lapisan masyarakat,” katanya pada majlis pecah tanah Menara 12 tingkat HuaZong oleh Perdana Menteri di Seri Kembangan di sini, semalam.





Menara HuaZong dengan kos RM55 juta, bakal dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk muzium kebudayaan, dewan bankuasi, perpustakaan, bilik penyelidikan serta kemudahan persidangan moden.





Yin Huah berkata, HuaZong yang menaungi lebih 1,000 persatuan perniagaan Cina dengan keahlian lebih 1.5 juta orang, berikrar terus menyokong kerajaan melaksanakan semua agenda transformasi.





Sementara itu, Najib ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, falsafah 1Malaysia dibentangkan kerajaan bukan slogan kosong, tetapi mampu mentransformasikan pemikiran rakyat ke arah pembentukan negara maju dan makmur.
“Jika kita benar-benar memahami bagaimana mempertahankan negara menerusi konsep ini, kita yakin dapat membentuk sebuah negara yang kuat dan kukuh.





“Falsafah 1Malaysia yang sudah diterima ramai ketika ini, adalah yang terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya sambil mengumumkan bantuan kerajaan RM5 juta untuk tabung pembinaan Menara HuaZong yang bakal dibayar dalam tempoh dua tahun, selain mengumumkan kesediaan kerajaan meluluskan pelepasan cukai kepada penyumbang dana itu.





Najib berkata, Malaysia sudah melalui perjalanan penuh cabaran dan halangan, tetapi berjaya menanganinya menggunakan konsep dan acuan sendiri berteraskan semangat 1Malaysia, selain dasar jangka panjang disusun bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran berkekalan di negara ini.








Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...