112 kanak-kanak sertai
program berkhatan Pemuda UMNO
PONTIAN 16 Dis. _ Seramai 112 kanak-kanak menyertai program berkhatan beramai-ramai anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai di sini baru-baru ini.
Mereka yang berusia sembilan hingga 13 tahun terlebih dahulu diarak sambil diiringi paluan kompang mengelilingi Kampung Sawah menaiki dua buah lori dan kemudian dibawa ke Dewan Sekolah Agama (SA) kampung tersebut untuk dikhatankan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai, Mesnor Bujang berkata, program tersebut merupakan salah satu program Juara Rakyat bagi mendekati masyarakat setempat.
Katanya, ia juga bagi membantu golongan kurang berkemampuan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan hanya dikenakan bayaran RM25 setiap peserta dan kos selebihnya ditanggung pergerakan berkenaan.
"Kami gembira atas sokongan ibu bapa yang menjayakan program ini dengan menghantar anak-anak mereka untuk dikhatan secara beramai-ramai sempena cuti sekolah ini," katanya pada majlis yang dirasmikan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot.
Turut hadir Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai, Normah Mohamad dan Ketua UMNO Cawangan Kampung Sawah yang juga Pegawai Penerangan UMNO Bahagian Tanjung Piai, Selamat Othman.
Mesnor berharap program tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim pemimpin UMNO bahagian dengan masyarakat dan bercadang menjadikannya sebagai program tahunan pergerakan tersebut.
Sementara itu, pasangan adik-beradik, Firdaus dan Mohd. Norain Zaini, berusia sembilan dan 12 tahun mengakui tidak takut kerana telah bersedia untuk menempuh alam dewasa.
"Rasanya tak sakitlah seperti yang dikatakan oleh rakan-rakan yang telah berkhatan sebelum ini," katanya Mohd. Norain.
No comments:
Post a Comment