'Bantu kami', guru GSTT Cina rayu Muhyiddin | ||
|
Perkara: Rayuan Kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Agar Menganjurkan Lebih Banyak Kursus KPLI-SR Dan KDPM-SR Bahasa Cina Serta Pengambilan Lebih Ramai Calon Untuk Bahasa Cina Bagi GSTT Mod Kursus Dalam Cuti (KDC).
Berhubung dengan perkara di atas, dengan segala hormat dimaklumkan bahawa kami sebagai GSTT di SJK(C) dari seluruh negara, ingin merayu kepada YAB agar memberikan peluang kepada kami untuk menjadi seorang guru yang berikhtisas dan dedikasi sepenuhnya dalam pendidikan.
Lantaran tiada sesiapa dapat membantu, maka kami terpaksa merayu kepada YAB untuk memberikan perhatian terhadap nasib kami GSTT di SJK(C) dan memberi bantuan dengan tindakan segera yang sewajarnya.
Dianggarkan seramai 2,000 orang GSTT daripada SJK(C) memohon kursus Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) pada November 2009 lalu, bagi mengisi hampir 3,000 kekosongan guru tetap SJK(C) di seluruh negara pada masa kini.
Malangnya KPM hanya menawarkan pengambilan 200 calon bagi kursus perguruan KPLI-SR Bahasa Cina dan 300 calon saja bagi KDPM-SR Bahasa Cina bagi Mod KDC pada November lalu.
Pengambilan calon Bahasa Cina telah menurun jika dibandingkan dengan tahun-tahun lepas, maka kami membuat rayuan kepada YAB agar dapat menyelesaikan masalah ini dan meningkatkan pengambilan calon bagi Bahasa Cina.
1. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sistem GSTT begitu unik dan jarang terdapat di negara lain. Oleh sebab itu, sistem ini mempunyai pengaruh yang penting terhadap sistem pendidikan di negara kita.
Sistem pendidikan negara dan sukatan pelajaran telah diselaraskan dan disistematikkan, tetapi sistem pengambilan guru masuk ke institusi perguruan masih tidak dilaksanakan dengan sistematik.
Sistem pengambilan guru baru bagi kursus perguruan yang tidak disistematikkan ini telah memberikan beban bagi aliran sekolah tertentu di negara ini khususnya SJK (C) dan SJK (Tamil) kerana kekurangan guru tetap dan berikhtisas.
2. Sehubungan itu, dalam pengambilan guru baru bagi kursus perguruan di Malaysia, adakah jumlah pengambilan calon guru ditetapkan berdasarkan kadar persaraan guru? Adakah pengambilan guru kursus perguruan ini mencerminkan kadar kekurangan guru di semua aliran sekolah rendah dan menengah?
Jika statistik menunjukkan persaraan 500 orang guru, adakah KPM akan mengambil 500 orang guru kursus perguruan mengikut keperluan dalam semua aliran sekolah?
(Sekolah Cina dan Tamil memerlukan guru yang mahir dalam kedua-dua Bahasa Malaysia dan Bahasa Cina/Bahasa Tamil, tetapi pengambilan calon kursus perguruan hanya menumpukan dalam pengambilan guru yang hanya mahir dalam Bahasa Malaysia?)
3. Di samping itu, semua GSTT rajin mencurahkan khidmat dan dedikasi untuk pendidikan megara tetapi adakah negara kita menghargai sumbangan GSTT?
Kebajikan kami tidak dijaga dan kerja sebagai GSTT tidak terjamin. Sekiranya terdapat guru tetap yang baru diagih masuk ke sekolah, perkhidmatan GSTT akan dihentikan. Kejadian ini menyebabkan semua GSTT berasa kecewa dan terasa tidak diberikan jaminan.
Adakah ini caranya negara melayan GSTT yang berdedikasi untuk pendidikan negara?
4. GSTT mengharapkan kursus perguruan akan dianjurkan setiap tahun sebab ia satu-satunya cara untuk GSTT menjadi seorang guru tetap dan berikhtisas. Malangnya, kadar pengambilan calon kursus perguruan pada setiap tahun kurang daripada kadar guru yang telah bersara.
Akibatnya, sekolah rendah Cina menghadapi kekurangan guru tetap pada tahap yang serius sehingga 2,000 orang.
5. Sehubungan itu, adakah KPM mempunyai perancangan untuk membantu GSTT yang sedia ada, misalnya bagi GSTT yang telah berkhidmat lebih tiga tahun, untuk diberikan keutamaan dalam pengambilan dalam permohonan kursus perguruan?
6. Adakah Kementerian Pendidikan Malaysia mempunyai rancangan untuk GSTT di SJK(C) yang tidak berpeluang untuk memasuki institusi perguruan walaupun mereka telah banyak kali memohon kursus perguruan?
Syarat KPM menetapkan bahawa GSTT mestilah tidak melebihi umur 35 tahun bagi siswazah dan umur 30 tahun bagi bukan siswazah.
Ia tidak adil bagi para GSTT yang telah bertungkus-lumus dalam bidang pendidikan. Walaupun mereka mempunyai pengalaman untuk mengajar, mereka tetap tidak diterima oleh institusi perguruan hanya kerana umur mereka melebihi had usia yang disyaratkan?
Jika tidak diberi peluang untuk menjadi guru yang berikhtisas, mereka terpaksa menceburi bidang ain dan, susulan itu, sekolah-sekolah akan kehilangan guru yang berpengalaman dan penuh dedikasi.
7. Kami mencadangkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil pensyarah dari universiti tempatan sebagai pensyarah kontrak dalam institusi pendidikan.
Langkah ini bukan sahaja boleh menyelesaikan masalah kekurangan pensyarah yang serius dalam institusi pendidikan, malah mengurangkan perbelanjaan pihak kementerian.
Dengan adanya bilangan pensyarah yang mencukupi, kementerian boleh melatih GSTT untuk menjadi guru secara kumpulan.
Ia bukan sahaja boleh menyelesaikan masalah kekurangan guru yang serius di seluruh negara, malah para GSTT dapat memberi sepenuh perhatian dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan tidak perlu berasa risau untuk mencari jalan demi menjadi seorang guru berikhtisas.
Akhir sekali, kami berharap YAB dapat memahami nasib GSTT di SJK(C) dan boleh membantu kami mendapatkan peluang temuduga terbuka (walk-in interview) bermaksud semua GSTT kini terus diterima masuk KDPM-KDC dan KPLI-KDC (mod Bahasa Cina) seperti mana program ini pernah dilaksanakan oleh bekas timbalan menteri pelajaran Datuk Hon Chun Kim.
Ia membuka lebih peluang kepada para GSTT agar dapat menyelesaikan masalah kekurangan 3,000 guru SJK(C) berikhtisas di seluruh Malaysia. Sistem Pelajaran yang mantap adalah asas pembanguan negara.
Sekian. terima kasih.
"1Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan"
Sumber : Malaysiakini