MANUSIA sebenarnya cenderung menjaga sesuatu yang dianggapnya berharga dalam hidupnya. Sebaliknya, tidak akan mempedulikan atau membuang saja sesuatu yang dianggap tidak berharga.
Semakin bernilai sesuatu itu, semakin bersungguh-sungguh kita menjaganya.
Sesetengah manusia sangat menjaga hartanya kerana dianggap hartanya sangat berharga.
Ada pula yang sentiasa menjaga dan merawat mukanya supaya kelihatan awet muda kerana kecantikan adalah segala-galanya. Ada pula yang bermati-matian mempertahankan kedudukan kerana itu yang dianggap bernilai.
Kalaulah begini perilaku manusia, rupa-rupanya kita masih menganggap harta kebendaan adalah segala-galanya. Namun, ada juga yang bermati-matian menjaga hidayah dan petunjuk Allah.
Bagi golongan itu, mereka yakin hidup ini tidak akan selamat dan tenang tanpa bekalan taufik dan hidayah daripada Allah. Taufik dan hidayah sangat penting dalam diri manusia.
Pernah satu ketika seorang yang dibutakan matanya dalam permainan diminta supaya berjalan, tiba-tiba menangis. Dia berasa langkahnya berisiko, bimbang terhantuk dan jatuh tangga. Begitulah akibatnya kalau tidak dapat panduan.
Mereka yang berjalan tanpa arah sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan bingung. Ramai golongan kaya yang menderita dengan kekayaan mereka.
Pendek kata, orang yang jauh daripada petunjuk Allah dan al-Quran, apa saja yang Allah kurniakan kepadanya pasti menjadikan dirinya hina.
Harta, pangkat, kedudukan atau penampilan kalau tidak diiringi ketaatan pasti menyeksakan.
Syaitan adalah penjajah yang tidak pernah berputus asa. Dalam satu perisytiharan, menurut hadis Rasulullah, syaitan pernah berkata:
“Demi kebesaran-Mu,
aku bersumpah wahai Allah,
aku tidak akan berpisah dengan
anak Adam selagi nyawanya masih di badan.”
Bayangkan kesungguhan syaitan, isytihar perang dengan manusia jika kita masih main-main pasti akan mudah tertipu. Syaitan ibarat tukang joget atau penari.
Maknanya, syaitan tahu siapa sasarannya dan bagaimana untuk melakukannya. Kita memberikan tumpuan kepada yang nampak di mata, yang besar biasanya menjadi tumpuan, yang kecil tidak berapa dipedulikan.
Kita kadangkala lupa sesuatu yang tidak nampak itu sangat berharga. Iman kecil saja, tidak nampak lagi tapi sangat berharga. Jadi dalam hidup ini lihat dan utamakan pandangan Allah.