Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, August 18, 2012

Raikan Aidilfitri









Raikan Aidilfitri






HARI Raya Puasa atau Hari Raya Aidilfitri adalah hari kebesaran yang disambut oleh seluruh umat Islam seluruh dunia. Ia besar bagi umat Islam yang dirayakan pada 1 Syawal setiap tahun setelah berakhir puasa di bulan Ramadan.





Aidilfitri adalah lambang kejayaan dalam menunaikan satu perintah Allah SWT. Ia merupakan kemenangan dalam bentuk maknawi. Aidilfitri juga adalah tanda tamatnya satu tempoh latihan kerohanian. Kegembiraan yang dirasai adalah atas dasar kesyukuran kerana mendapat sesuatu yang berharga iaitu iman dan takwa.





Pada hari itu juga segala dosa umat Islam yang telah menunaikan puasa Ramadan sebulan penuh dan membayar zakat fitrah akan dibersihkan sehingga seperti bayi yang baru dilahirkan ke dunia.





Hari Raya Aidilfitri seharusnya dirayakan mengikut sunah Nabi SAW. Antaranya disunatkan bangun pagi awal daripada biasa. Digalakkan memberus gigi dan membersihkan badan. Mandi sunat hari raya dan berpakaian indah mengikut syariat.





Umat Islam juga digalakkan memakai pakaian terbaik (yang tidak semestinya baru). Hal ini bagi mengelakkan supaya seseorang itu tidak berhutang atau melampaui batasan Islam dalam kesederhanaan berpakaian. Digalakkan memakai minyak wangi yang dibolehkan dibawa sembahyang.






Tunaikan solat hari raya, pada kebiasaannya bagi Mazhab Syafi'e dilakukan di masjid dan boleh juga dilakukan di kawasan terbuka jika masjid penuh iaitu di kawasan padang dan tanah lapang yang terbuka lagi bersih.






Digalakkan makan sedikit sesuatu yang manis pada Hari Raya Aidilfitri sebagai contoh kurma dengan bilangan ganjil, iaitu satu atau tiga biji kurma sudah memadai. Ini bagi mengelakkan perut terasa lapar sewaktu solat yang mengambil masa yang agak lama.





Disunatkan pergi ke tempat solat pada awal waktu bagi mengelakkan kesesakan di jalan dan terlambat dalam menunaikan solat Aidilfitri. Digalakkan berjalan kaki ke tempat solat hari raya, jika ia dalam lingkungan yang tidak jauh mengikut jarak perjalanan. Gunakan jalan yang berlainan pergi dan balik dari tempat solat Hari Raya Aidilfitri bagi mengenali jiran dan merapatkan silaturahim.






Mengikut mazhab Syafi'e digalakkan membaca takbir dengan kerap dan boleh dibaca dengan kuat. Apabila tiba di masjid lakukan solat sunat dua rakaat tanpa azan atau iqamah. Adalah dilarang untuk menunaikan solat sunat sebelum atau selepas solat hari raya di padang. Tetapi boleh dilakukan jika bersolat di dalam masjid , umpamanya solat Dhuha dan Tahiyatul Masjid.






Lakukan solat sunat dua rakaat apabila tiba di rumah iaitu setelah selesai solat sunat Aidilfitri. Selepas itu digalakkan menerima tetamu yang berkunjung ke rumah bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kejiranan.






Semasa solat hari raya, dalam rakaat pertama , Rasulullah SAW akan membaca surah al-A'la dan surah al-Ghasiyaah dalam rakaat kedua. Boleh juga dibaca surah Qaaf pada rakaat pertama dan al-Qamar pada rakaat kedua.






Diriwayatkan pada zaman Rasulullah SAW, apabila selesai menunaikan solat hari raya baginda akan berdiri menghadap orang ramai yang sedang duduk dalam barisan mereka, memberi khutbah, mengeluarkan arahan dan memerintahkan umat Islam melakukan kebaikan.





Jika ingin menghantar tentera atau jemaah, baginda akan lakukan dan begitu juga mengeluarkan arahan yang khusus yang baginda inginkan.





Khutbah diberikan selepas solat hari raya. Khutbah hari raya adalah sunat tetapi mendengarnya adalah wajib. Adalah dilarang keras (haram) untuk berjalan sekeliling, berbual atau menunaikan solat semasa khutbah.





Hal ini penting bagi mendengar amanat yang ingin disampaikan oleh Imam kepada makmum. Jika para makmum tidak memberi perhatian yang khusus sudah tentu amanat yang ingin disampaikan tidak tercapai.





Bersalaman antara satu sama lain adalah dibenarkan tetapi janganlah dilakukan sebagai adat atau dengan keterlaluan.





Bertemu dengan orang yang datang dari jauh dengan berjabat tangan atau dengan berpelukan apabila bertemu mereka adalah dibolehkan.




DR. AMINUDIN MANSOR ialah


bekas pendidik berkelulusan


Ijazah Doktor Falsafah Persuratan Melayu.



Sumber
















Teruskan membaca..

Ramadhan..





Thanks google :)





Selamat jalan Ramadhan



Kulihat Ramadhan di penghujung jalan..

Ia telah bergegas pergi..

Kusapa

“Hendak ke mana engkau Ramadhan ?”

Ia menoleh dan tersenyum..

Jawabnya

“Aku harus segera pergi..

Sampaikan salamku untuk setiap muslim..

Sebulan lamanya kita berjumpa..

Namun sayang..

Banyak orang yang menyia-nyiakan diriku..

Banyak orang yang tidak merasakan keindahanku..

Aku hanyalah utusan Rabbku..

Untuk menempa keimanan..

Agar mereka melatih kesabaran..

Agar mereka membuang segala keangkuhan..

Lalu tunduk dan sujud di hadapan Ar Rahman..

Saudaraku..

Aku bimbang

Bila aku tinggalkan mereka..

Dalam keadaan tidak meraih ampunan..

ia mendapatkan do’a Jibril,

“Celaka hamba yang masuk Ramadlan,

lalu keluar darinya dalam keadaan tidak mendapat ampunan..

Saudaraku..

Semoga kita dapat bertemu kembali di masa mendatang..

Dengan penuh kerinduan dan kegembiraan..

Kulambaikan tangan kepadanya..

Seraya berkata lirih,

“Selamat jalan Ramadhan..










:)D




p/s :


ISNIN cari SELASA ,

Nak tanya nampak x RABU,

Agar ingatkan KHAMIS,

bagitau JUMAAT, supaya x lupa

Mesej kat SABTU,

yang AHAD dah raya!!

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri

Maaf Zahir Batin.










Teruskan membaca..

Hormati 1 Syawal

http://ibnismail.files.wordpress.com/2008/09/1117467-masjid-ubudiah-in-kuala-kangsar-1.jpg




Hormati 1 Syawal


KEDATANGAN 1 Syawal seringkali dinantikan dengan pelbagai persepsi. Di Malaysia, keghairahan menyambutnya telah bermula pada hari pertama Ramadan lagi. Malah dari hari ke sehari, umat Islam seolah-oleh tidak sabar-sabar menunggu kehadiran Hari Raya Aidilfitri, lebih-lebih lagi di hujung-hujung bulan Ramadan.





Warga Islam dari semua golongan di Malaysia biasanya akan sibuk dengan persiapan raya. Golongan dewasa sibuk memastikan sambutan raya kali ini adalah yang paling meriah berbanding tahun sebelumnya. Golongan remaja pula sibuk memastikan hari raya nanti terisi dengan aktiviti-aktiviti bersama teman-teman. Manakala, anak-anak kecil asyik menagih pakaian dan kasut baru serta memikirkan agenda mengutip duit raya terbanyak.






Daripada senario yang berlaku pada setiap kali hari raya Aidilfitri di Malaysia, ia menunjukkan bahawa masyarakat Islam kita begitu meraikannya dalam suasana yang penuh kegembiraan.






Namun, apa yang menjadi persoalannya adakah kegembiraan meraikan hari kemenangan itu disambut sebagaimana yang dituntut oleh syariat Islam.






Mantan Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz menjelaskan, pada zaman Rasulullah SAW di Mekah, pada masa itu mungkin umat Islam belum ada hari raya kerana belum ada lagi kewajipan berpuasa atau mengeluarkan zakat.





"Mengikut riwayat pada tahun yang kedua selepas hijrah Nabi ke Madinah iaitu pada bulan Syaaban, baru turun ayat yang diwajibkan puasa sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:





" Hai orang-orang yang beriman,


diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana


diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu


agar kamu bertakwa."


(al-Baqarah: 183)






"Jadi apabila diwajibkan berpuasa itu ia adalah tempoh sebulan sebelum Ramadan dan kebetulan pada masa itu, orang Islam masih terikut dengan cara orang Yahudi di Madinah berhari raya. Pada masa itu, termasuk di Mekah sendiri telah ada sambutan hari raya di kalangan masyarakat Yahudi iaitu yang dikenali dengan nama Nairus dan Mahrajan.






"Jadi cara mereka menyambutnya lebih menjurus kepada kemaksiatan seperti, minum arak, berjudi, berzina atau lebih tepat seperti sebuah pesta maksiat.






"Kemudian, apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah, perayaan sebegini masih lagi diraikan. Ini menambah kesedihan Nabi SAW kerana umat Islam turut sama meraikannya," kata Abu Hasan yang ditemui di rumahnya, petang Ahad lalu.






Lantas tambah Abu Hasan, apabila sahaja disyariatkan berpuasa maka dalam bulan puasa itulah Nabi bertanya kepada umat Islam ketika itu: "Hendakkah kamu kalau aku tukarkan dua hari raya kamu itu dengan dua hari raya yang lebih baik iaitu Aidiladha dan Aidilfitri?"






Maka dari situ, barulah bermulanya syariat dalam Islam tentang hari raya. Malah cara perayaan hari raya umat Islam itu jauh berbeza dengan sambutan Yahudi.






Nabi tegaskan dengan kata-katanya:





"Hiasilah raya kamu dengan bertakbir,


bertasbih dan bertahmid


sebagai tanda kesyukuran."






Dalam konteks ini, ia jelas menunjukkan seolah-olah hari raya ini dikaitkan dengan soal ibadah iaitu mengadap Allah SWT, mengingat Allah SWT dan mengagungkan Allah SWT.






"Sebab itulah diutamakan mendirikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat. Umat Islam turut digalakkan untuk menziarah pusara, melawat sanak-saudara dan saling bermohon kemaafan.






"Sayangnya apa yang berlaku hari ini, menerusi pemerhatian saya, orang kita terlalu berlebihan terutamanya dalam soal makan. Biarpun ia tidak salah tetapi janganlah hingga sampai kepada riak dan pembaziran," tegas Abu Hasan.






Kebimbangan beliau disuarakan dengan melihatkan cara hari raya diraikan hari ini iaitu terlalu ke arah hiburan semata-mata dan ini terang-terangan telah menyalahi ruh Syawal itu sendiri.






"Dibimbangi akan kembali seperti bagaimana orang Yahudi menyambutnya iaitu menerusi dua perayaan mereka iaitu Nairus dan Mahrajan. Ia seolah-olahnya pada hari kemenangan tersebut kita seperti berpesta. Contohnya paling mudah apa yang dihidangkan oleh stesen televisyen, radio dan panggung wayang.






"Sepatutnya, saya mencadangkan pada 1 Syawal itu seharusnya isikan dengan slot-slot rancangan atau program dalam konteks agama, kalau boleh apa sahaja bentuk penerbitannya biarlah berunsur ibadat.






"Malah pada zaman baginda Rasulullah SAW juga Aidilfitri hanya disambut sehari sahaja tidak seperti di negara kita ini yang menyambutnya sebulan dengan alasan telah berpuasa sebulan," ujarnya itulah kesilapan masyarakat Melayu Islam di sini.




Hari kemenangan





Menurut Abu Hasan lagi, Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.






Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya.





Oleh kerana itu, Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.





Mengulas definisi sebenar kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan dalam konteks ini, terang Abu Hasan bagi orang yang berpuasa, dia layak menerima dua kegembiraan iaitu, ketika menyambut hari raya dan kedua ketika balik mengadap tuhan.






"Kegembiraan ini khas kepada mereka yang berpuasa kerana telah berpuasa penuh sebulan, kejayaan melawan nafsu makan dan pancaindera yang lain dan ketiga, melunakkan syaitan-syaitan.






"Jumhur ulama berkata bergembira menurut hadis di atas ini iaitu farhatun. Dari segi bahasa ialah farhah dan perkataan ini berbeza dengan hiburan atau dalam bahasa Arabnya, lahwun.






"Jadi menerusi hadis ini jelas perbezaan ketara antara perkataan farhah dan lahwun. Oleh sebab itu, pada hari raya kita bukannya ke arah hiburan tetapi lebih tepat ialah bergembira," kata Abu Hasan.






Jelas beliau lagi, Allah SWT tidak mahu umat Islam pada saat itu bersedih, maka itu kita digalakkan bersedekah terutamanya pada sepanjang Ramadan. Ini supaya semua insan tidak kira, kaya atau miskin akan dapat meraikan Syawal mengikut kemampuan masing-masing.






Pesan Abu Hasan, umat Islam perlu memahami, sekali gus dapat membezakan antara dua istilah ini dengan sebenar-benarnya.






"Harapan saya agar semua pihak dapatlah menghormati satu hari ini sahaja iaitu pada 1 Syawal dengan benar-benar memeriahkannya secara Islamik," katanya.



Sumber








Teruskan membaca..

Taqoballahu Minna wa Minkum, Minal Aidin wal Faizin


http://rahmatbonus.blogdetik.com/files/2011/08/kartu-ucapan-lebaran-ucapan-selamat-idul-fitri-1430h.jpg




Salam taaqoballoAllah huminna wamingkum.......

minna wamingkum taqabal ya kareem.

Semoga ALLAH SWT memberi kekuatan kepada kita

setelah sebulan menjalani tarbiyah rohiyah.

Minnal aidil walfaizzin....














Teruskan membaca..

Kembali kepada fitrah



http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2012081700304120120817003041/pix_gal1
BERTAUBAT...
Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang bertaubat
dan mendekatkan diri kepada-Nya dengan cara meninggalkan maksiat.



http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2012081700304120120817003041/pix_gal2
MOHON DOA...
semoga kita dipanjangkan umur dan dapat bertemu lagi
dengan bulan yang penuh keberkatan ini.




http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2012081700304120120817003041/pix_gal3


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2012081700304120120817003041/pix_gal4
SOLAT BERJEMAAH..
.prestasi terbaik dapat melaksanakan solat secara berjemaah
perlu dikekalkan pada bulan-bulan lain.





Kembali kepada fitrah


ESOK, Ramadan bakal sampai tiba ke penghujungnya. Ramadan ternyata memberi kebahagiaan, di dalamnya ada kedamaian malah jiwa kita begitu dekat kepada Maha Pencipta.






Berdoalah selalu semoga Allah mempertemukan kita Ramadan akan datang. Ganjaran pahala yang Allah tawarkan pada bulan ini tidak mungkin ditemui di bulan lain.




Allah mensyariatkan puasa supaya nafsu kita dapat dikalahkan. Mengekalkan konsisten selepas Ramadan itulah menjadi matlamat utama.





Ia proses manusia kembali semula kepada fitrahnya. Allah berfirman yang bermaksud:





" Wahai orang-orang yang beriman,


diwajibkan ke atas kamu berpuasa


seperti orang-orang yang terdahulu.


Mudah-mudahan kamu bertakwa.”



(Surah al-Baqarah ayat 183).





Tarbiah Ramadan terbukti mampu melahirkan manusia yang memiliki keperibadian tinggi. Semakin tinggi nilai takwa seseorang, semakin banyak manfaat yang diberikan kepada orang di sekelilingnya.





Berdasarkan hadis nabi, baginda menjelaskan pintu syurga dibuka seluas-luasnya, manakala pintu neraka ditutup serapat-rapatnya di sepanjang Ramadan ini.




Keikhlasan akan melahirkan kesungguhan dalam melaksanakannya serta mencapai apa yang diharapkan. Peluang itu sentiasa terbuka buat kita semua walaupun Ramadan tahun ini hanya berbaki sehari saja lagi.




Perpisahan dengan Ramadan bermakna kita meninggalkan kesempatan meraih pahala berlipat kali ganda selain ‘terlepas’ kesempatan memperoleh keampunan Allah terhadap dosa yang tidak mampu kita kira banyaknya.




Sebab itu, jangan kita sia-siakan detik perpisahan ini. Teruskan amalan berzikir, membaca al-Quran, munajat, memohon keampunan dari Allah. Renungi dan menangislah kerana kita akan berpisah dengan kemuliaan dan keberkatan Ramadan.




Pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Shukri Hanapi berkata, matlamat khusus puasa Ramadan adalah bagi menimbulkan rasa ketakwaan kepada Allah SWT.





“Ramadan bermatlamat mendidik umatnya menjadi individu lebih beriman dan bertakwa sepanjang masa, bukan untuk tempoh atau musim tertentu saja.





“Kejayaan tarbiah Ramadan boleh dilihat daripada tingkah laku serta amalan dalam kehidupan seseorang. Umat Islam perlu berusaha mengekalkan prestasi ibadah yang dilakukan sepanjang Ramadan ini dalam bulan berikutnya supaya ia selari dengan matlamat khusus Ramadan,” katanya.





Beliau berkata, beberapa langkah boleh diamalkan bagi mengekalkan istiqamah amal soleh selepas Ramadan.





“Pertama, sentiasa memohon pertolongan Allah supaya terus diberi hidayah dan keteguhan iman. Allah memuji orang yang sering berdoa supaya sentiasa diberikan hidayah.




“Allah berfirman yang bermaksud, “(Mereka berdoa dengan berkata):





“Wahai Tuhan kami!


Janganlah Engkau memesongkan hati kami


sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami,


dan kurniakanlah kepada kami


limpah rahmat dari sisi-Mu;


sesungguhnya Engkau jualah Tuhan


Yang melimpah-limpah pemberian-Nya”


(Surah Ali ‘Imran ayat 8). "





“Kedua, sentiasa menghadiri majlis ilmu seperti kuliah agama, ceramah dan tazkirah. Ketiga, berusaha mengenali dan menghayati sejarah hidup sahabat, tabi’in dan orang soleh melalui pembacaan atau kuliah agama.





“Keempat, sentiasa menjaga dan menitikberatkan perkara fardu seperti solat lima waktu dan mengqada’ puasa Ramadan yang pernah ditinggalkan.





“Kelima, sentiasa melakukan ibadah sunat walaupun sedikit. Rasulullah bersabda yang bermaksud,





“Amalan yang paling disukai Allah ialah


amalan yang istiqamah (berterusan atau konsisten)


walaupun sedikit.”


(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).





“Keenam, memperbanyakkan berzikir kepada Allah dan sentiasa beristighfar kerana ia adalah amalan yang mudah dilakukan. Manfaatnya sangat besar iaitu dapat menguatkan iman dan hati.





“Ketujuh, melakukan taubat nasuha supaya tidak kembali ke lembah kehinaan.
Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang bertaubat,” katanya.






Menurutnya, Indeks Prestasi Utama (KPI) puasa Ramadan dinilai berdasarkan perubahan tingkah laku dan amalan seseorang Muslim yang menjalani ibadah puasanya.





“KPI pekerja lebih bersifat kuantitatif, manakala KPI puasa Ramadan bersifat kualitatif atau dalam bentuk yang tidak boleh dihitung peratusannya.





“Manusia mudah menuruti apa saja keinginannya meskipun keinginan itu sesuatu yang tidak baik, mengganggu serta merugikan orang lain.




Sebab itu, dalam Islam terdapat perintah supaya memerangi hawa nafsu.




Allah berfirman yang bermaksud,





“Maka pernahkah kamu melihat


orang yang menjadikan hawa nafsunya


sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya


sesat berdasarkan ilmu-Nya.”


(Surah al-Jathiyah ayat 23).





“Puasa yang dilaksanakan membuatkan seseorang terus mempertahankan keinginan yang baik, meskipun peluang melakukan penyimpangan terbuka luas,” katanya.





Menurutnya, segala nikmat yang dimiliki perlu di syukuri dengan membuat perbandingan dengan golongan lain yang barangkali terpaksa mendapatkan sesuatu dengan penuh kesukaran.





“Mengingati dan merasakan penderitaan orang lain dapat memberikan keinsafan bagaimana beratnya keperitan yang terpaksa mereka tanggung.





“Umat Islam di sesetengah negara ada yang tidak mempunyai bekalan makanan, minuman dan barang keperluan harian seperti yang berlaku di Syria, Palestin serta Rohingnya,” katanya.




Beliau berkata, puasa melahirkan sifat jujur dan amanah dalam diri yang berpaksikan takwa kepada Allah.




“Apabila sifat ini terbina dalam diri, logiknya tidak akan timbul masalah mencuri tulang pada waktu bekerja, datang lewat ke tempat kerja, pecah amanah, tidak jujur, rasuah dan penyelewengan di kalangan umat Islam.




“Tidak dinafikan, dalam bulan Ramadan kita sentiasa menepati masa; berbuka tepat pada waktunya, begitu juga ketika bersahur kita akan berhenti apabila tamat waktunya.





“Lebih hebat lagi, kita boleh menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid yang selama ini tidak mampu dilakukan. Justeru, sifat menepati masa ini perlu dibawa setiap masa bukan pada bulan Ramadan saja,” katanya.





Menurutnya, faktor ganjaran turut memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku dan amalan manusia sepanjang Ramadan.




“Terdapat pelbagai ganjaran dalam bulan Ramadan. Walaupun ganjaran pahala itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun kepercayaan kita terhadapnya ditunjangi keimanan, nas dan dalil.





“Pada penghujung Ramadan umat Islam seharusnya semakin seronok meningkatkan amal ibadat. Orang berpuasa seperti pelumba lari; semakin hampir ke garisan penamat, semakin laju lariannya.





“Jika tidak ada sikap ingin menang, cepat lemah semangat dan lalai, sudah tentu mereka mudah tertewas. Sejarah kehidupan generasi salafus soleh dulu, semangat beribadah mereka cukup tinggi hinggakan sanggup bergilir-gilir tidur, bangun dan saling mengejutkan bagi memastikan mereka dapat melaksanakan qiamullail.





“Malah Perang Badar Kubra juga tercatat sebagai sejarah hebat buat umat Islam kerana berlaku ketika tentera Islam berlapar dan dahaga kerana berpuasa,” katanya.










Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...