Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, December 8, 2011

Anjing gergasi tarik kereta kayu


Anjing gergasi tarik kereta kayu



SEEKOR anjing gergasi spesies Newfoundland
menarik sebuah kereta kayu yang membawa
sebatang pokok Krismas di Dalby, Britain kelmarin.








DALBY, Britain - Seekor anjing gergasi menarik kereta kayu yang membawa sebatang pokok Krismas dari sebuah hutan di sini dekat Pickering, utara England kelmarin.




Pemilik anjing itu, merupakan anggota pertubuhan kebajikan Aqua Nova Bears.




Anjing itu akan menarik kereta yang membawa pokok Krismas ke kereta para pelanggan.




Khidmat haiwan itu digunakan bagi memperoleh sumbangan wang untuk dana perkhidmatan ambulans Yorkshire.




Anjing itu adalah spesies Newfoundland yang beratnya boleh meningkat kepada 76 kilogram. - Agens









Teruskan membaca..

Tidak pernah potong rambut selama 14 tahun




Tidak pernah potong rambut selama 14 tahun


BEIJING - Seorang wanita, Ni Linmei yang tinggal di Taiyuan, wilayah Shanxi, China memiliki rambut sepanjang 2.53 meter.




Linmei yang berusia 55 tahun menyimpan rambut itu sejak 14 tahun lalu.




Beberapa jirannya turut membantu menyikat rambutnya yang panjang itu. - Reuters










Teruskan membaca..

Faktor perceraian




Faktor perceraian




PENDEDAHAN Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha, menerusi kajian yang dibuat pada 2008, mendapati wujudnya potensi tinggi berlakunya perceraian dalam usia perkahwinan 10 tahun ke bawah.




Dalam kajian pada 2007 pula, Jakim mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian dan bagi tempoh enam hingga 10 tahun pula mendapati 27.7 peratus bercerai.





Ini bererti tempoh 10 tahun pertama adalah paling kritikal kerana 59.9 peratus pasangan berakhir dengan perceraian.




Berdasarkan rekod 2009, 135,136 perkahwinan didaftarkan manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan.





Di negara kita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diwujudkan bagi menjaga kebajikan wanita supaya tidak teraniaya, tertindas, ketinggalan dan seumpamanya.





Namun, melihat keadaan semasa di negara kita pada masa kini, mungkin tiba masanya kita memikirkan sebuah badan khas untuk membantu lelaki yang kelihatan semakin pudar keupayaan mereka.

Allah SWT menciptakan isi dunia ini berpasangan supaya mereka saling bekerjasama memakmurkan dunia sesuai dengan fitrah mereka.





Namun, jumlah wanita lebih ramai memenuhi institusi pengajian tinggi dan seterusnya semakin banyak menguasai jawatan dalam bidang pekerjaan.




Pendidikan dalam rumah tangga semakin terhakis, satu puncanya adalah apabila wanita semakin ramai diperlukan untuk keluar bekerja sedangkan lelaki pula gagal menampung keperluan membantu dalam pendidikan anak.





Dalam kata mudahnya, dunia pekerjaan kini memerlukan bantuan wanita untuk terus bergerak tetapi dunia rumah tangga memerlukan bantuan lelaki untuk terus harmoni.





Apabila wanita kelihatan berjaya menampung keperluan dunia pekerjaan, tentu kemampuannya mengurus isi rumah tangga menyusut, ketika itulah peranan lelaki diperlukan tapi sedikit malang apabila lelaki terus terkebelakang.





Di dunia kerjaya mereka menyusut, di dalam rumah tangga mereka sering gagal menampung ruang kosong ditinggalkan isteri yang bekerja.





Hasilnya pergolakan pasti berlaku, rumah tangga berantakan, anak pasti terkena impak negatif dan seterusnya mendasar di dalam jiwa mereka sehingga dewasa.





Lebih buruk jika impak itu merosak jiwanya dan menjadikan anak berkenaan sebagai pembuli di sekolah, ‘virus’ di universiti, sampah dalam masyarakat dan pencipta masalah dalam negara.





Allah SWT menyebut dalam surah Al-Nisa, ayat 43, bahawasanya:



“Lelaki itu adalah ketua ke atas

wanita disebabkan kerana kurniaan

yang diberikan kepada mereka dan disebabkan

nafkah yang mereka berikan.”





Jelas daripada ayat di atas, Allah melantik lelaki selaku ketua dan pemutus keputusan di dalam sesebuah rumah tangga berdasarkan dua sebab utama iaitu, kelebihan fizikal mereka dan, tanggungjawab mereka selaku pencari nafkah untuk keluarga.





Nescaya, kalau kedua-dua itu tidak disempurnakan dengan baik, pasti masalah akan berputik satu demi satu, ketidakpuasan hati akan menjelma hari demi hari, kehidupan akan berubah kepada seribu satu macam jenis masalah hingga berakhir dengan perceraian dan anak bermasalah.





Kerana itu keharmonian keluarga sangat penting dalam Islam dan Rasulullah SAW mengatakan, krisis dalam keluarga boleh ‘menghakis’ agama kerana ia punca kepada masalah lebih besar dalam masyarakat.




Rasulullah SAW bersabda:




“Wahai sahabatku,


mahukah kamu aku khabarkan


satu amalan yang lebih besar fadilatnya


berbanding puasa (sunat), sedekah (sunat)


dan solat (sunat)?”


Maka Abu Darda’ menjawab:


“Ya, Rasulullah.”


Baginda membalas:


“Itulah mendamaikan perbalahan


dalam keluarga dan masyarakat.”


(Riwayat Al-Tirmidhi Abu Daud)





Rasulullah turut menyatakan bahawasanya:





“Kerosakan dalam hubungan rumah tangga,


kaum kerabat dan organisasi masyarakat


akan menghakis (ketaatan dalam agama).”


(Riwayat Ahmad dan Tirmidhi: Hadis Hasan)






Apabila wanita sudah bekerja dan berpendapatan sendiri, mereka tiada lagi punyai masalah untuk bercerai, hasilnya berdasarkan kajian, ‘trend’ perceraian bagi tempoh 1998-2002 menunjukkan hampir 70 peratus kes perceraian di Kelantan, Johor dan Terengganu dipohon oleh wanita (isteri).





Di beberapa negeri lain pula menyaksikan lebih 50 peratus wanita sebagai plaintif dalam kes perceraian.





Allah Maha Mengetahui wanita dan emosinya, ia satu perkara fitrah, justeru, kuasa cerai diberikan kepada suami.





Namun, isteri masih mempunyai kuasa untuk memohon melalui mahkamah apabila mereka benar-benar mempunyai kes dan sebab yang utuh di sisi syarak.





Fakta yang diberikan di atas menyokongnya, ia juga sekaligus menunjukkan kegagalan lelaki.





Artikel ini bukan bertujuan menyalahkan sesiapa, cuma mengajak kita berfikir sejenak kepada kelemahan lelaki dalam memainkan peranannya yang dianugerahkan oleh Allah, iaitu sebagai ketua keluarga.





Ia adalah satu tugas dan amanah yang datang dengan tanggungjawab dan peranan.





Tanggungjawab sebesar itu memerlukan ilmu dan kredibiliti secukupnya untuk bertindak selaku pemutus keputusan di dalam rumah tangga.





Keputusan dibuat pula mestilah rasional dan boleh diterima oleh ahli rumah, khususnya isteri, sama seperti sifat seorang hakim di dalam mahkamah, selain hakim, peguam bela dan pendakwa juga pakar di dalam bidang undang-undang, namun ia perlukan seorang pemutus keputusan.





Itulah sebaik-baik cara yang Allah SWT ajarkan untuk manusia, mereka perlukan pemimpin yang tidak mudah terpengaruh dengan emosi, tetapi lebih tumpu kepada rasional dalam membuat keputusan.





Berdasarkan ayat surah al-Nisa tadi, Allah melantik lelaki dan Allah Maha Mengetahui setiap kelemahan dan kelebihan makhluk yang diciptakan-Nya.





Hari ini, dengan segala kecukupan peralatan dan fizikal yang ada pada lelaki, semakin ramai menyalahgunakan kemudahan fizikal.





Kelebihan digunakan untuk menjadi penjenayah tegar, tenaga fizikal digunakan untuk ‘merempit’ dan menunjuk kekuatan dengan bergaduh dan tidak ketinggalan juga sebahagiannya diguna untuk mendera anak, isteri dan wanita lain.





Minda logik dan kurang emosi yang dianugerahkan Allah SWT digunakan untuk ‘menjustifikasikan’ segala kelalaian, menghiburkan diri apabila ditimpa kegagalan, padahal tiada usaha secukupnya dilaksanakan.





Akhirnya, semakin ramai lelaki gagal menggalas tugas ketua keluarga lantaran mendorongnya untuk terus mendesak isteri mengambil alih sebahagian tugasannya yang akhirnya menjadi punca kepada ‘rumahku nerakaku’.





Mungkin dengan sebab itu, kita kini memerlukan satu agensi khusus untuk melindungi lelaki sebagaimana peranan KPWKM yang melindungi wanita.





Kita sedar tabiat lelaki tidak suka dinasihati kecuali mereka yang datang meminta, tidak seperti wanita yang mudah menerima nasihat.





Justeru, adakah jika kementerian seperti ini diwujudkan, ia boleh mengubah situasi buruk yang melanda? Apapun, pemimpin negara dan semua pihak berkuasa memerlukan kaedah dan strategi lebih jelas dan berkesan bagaimana untuk kembali memperkasakan lelaki daripada aspek iman, ilmu, jiwa dan minda supaya mereka kembali menjalankan tanggungjawab dan bukan sibuk menjual ‘ubat kuat’ dan ‘tahan lasak’.





Tanpa pelan bertindak yang jelas dan jitu, krisis lebih buruk akan berlaku kepada lelaki, khususnya di negara kita.





Sudah tentu perkara pertama adalah mengembalikan mereka kepada fitrah mereka, membawa lelaki kepada agama kerana semua itu bakal mempengaruhi isteri dan anak mereka.





Sumber









Teruskan membaca..

Tempoh 15 hari untuk pilih SBPA atau kekal dalam SSM




Tempoh 15 hari untuk pilih SBPA atau kekal dalam SSM




PUTRAJAYA - Kira-kira 1.4 juta penjawat awam diberi tempoh selama 15 hari mulai 16 hingga 30 Disember ini untuk memilih kekal dalam sistem saraan lama atau menerima sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang menawarkan kenaikan gaji lebih baik.




Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah (gambar) berkata, selepas tempoh itu penjawat awam tidak lagi dibenarkan menukar sistem saraan dan mereka yang tidak memilih SBPA kekal dalam SSM (Sistem Saraan Malaysia) yang sedia ada.




"Berdasarkan penyusunan gaji, kita percaya sebahagian besar penjawat awam akan memilih SBPA yang menawarkan pelbagai faedah dan insentif lebih baik.




"Bagaimanapun kita tidak akan memaksa penjawat awam memilih SBPA kerana mereka yang bekerja dan perlu menentukan pilihan sendiri," katanya pada sidang akhbar Pelancaran Pekeliling SBPA di pejabatnya di sini semalam.




Katanya, penjawat awam yang memilih SPBA berpeluang memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus mulai tahun depan dan pelbagai faedah lain.



Sumber






Teruskan membaca..

Bintang Baru You Tube




Suara adik memang tip top!







Awan Yang Terpilu


Kerana cinta
Aku kembara
Bagai camar
Melintas laut
Mencari pohon
Untuk berteduh





Kerana cinta
Aku kembara
Ikut lagu
Bisikan hati
Mendamba kasih
Paling setia





Sepasang sayap tak terlihat
Umpama mimpi yang tersimpan
Jadi rintik-rintik hujan
Menciptakan
Awan yang terpilu





Puisi ini
Tercipta lantas
Tak kesampaian
Hajat meronakan
Gelora rindu
Ku kepadamu





Ingin sekali
Aku ungkapi
Isyarat jiwa
Dengan sempurna
Biarkan kau mengerti
Biarkan kau sedari
Keadaanku yang memujamu







Teruskan membaca..

LIMA '11: Catat rekod pengunjung

LIMA '11: Catat rekod pengunjung



Foto







15,000 pelawat perdagangan hadir hari pertama pelancaran





LANGKAWI: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2011 (LIMA '11) mencatat kunjungan 15,000 pelawat perdagangan pada hari pertama dilancarkan, kelmarin.






Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perangkaan itu amat membanggakan, malah ia jumlah kunjungan tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah penganjuran acara berkenaan sejak 20 tahun lalu.






Bagaimanapun, katanya, perangkaan itu tidak termasuk jumlah pelawat perdagangan pameran maritim di Jeti Awana Porto Malai dan hanya membabitkan ruang pameran aeroangkasa di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).





"Kita menjangkakan jumlah ini terus meningkat apabila pameran mula dibuka kepada umum esok, malah sejumlah 70,000 pengunjung disasarkan melawat LIMA '11 sepanjang lima hari acara ini berlangsung," katanya di sini, semalam.





Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Pengarah Urusan HW LIMA Sdn Bhd, Ahmad Dzuhri Abd Wahab.





Zahid berkata, sehingga semalam tujuh kontrak ditandatangani membabitkan pelbagai projek pertahanan dan komersial, malah keseluruhan 15 perjanjian dijangka ditandatangani sehingga pameran berakhir.





Malah, beliau menegaskan kementeriannya tidak bercadang menandatangani sebarang memorandum persefahaman (MoU) berhubung pembelian aset baru sepanjang pameran kali ini.





"Kita akan buat pengumuman kalau ada. Jika boleh, kita mahu kurangkan MoU tetapi melebihkan kontrak perjanjian, terutama di antara syarikat prinsipal dan pembekal tempatan. Contohnya, kontrak pemasangan dan penyelenggaraan helikopter antara gergasi dunia, Augusta Westland dengan syarikat tempatan, Westar Aviation.





"Ini yang diharapkan dari LIMA '11... kita mahu banyak perjanjian ditandatangani dalam sektor komersial, terutama membabitkan 178 syarikat berkaitan aeroangkasa dan maritim kita yang menyertai pameran kali ini. Ia penting bagi mendukung perkembangan industri pertahanan kita," katanya.







Teruskan membaca..

Wanita kita ejen keldai dadah


Wanita kita ejen keldai dadah

KUALA LUMPUR: Polis mendedahkan empat lelaki Nigeria yang ditahan bersama wanita tempatan di sebuah apartmen di Bandar Kinrara, Puchong, malam kelmarin, bukan saja terbabit dalam penyeludupan dadah, malah turut merekrut wanita tempatan untuk dijadikan keldai dadah.


Dalam serbuan kira-kira jam 8.45 malam itu, polis turut menemui 1.76 kilogram (kg) kokain bernilai lebih RM500,000 yang disorok dalam ruang khas sebuah beg pakaian yang sudah diubahsuai.


Dadah berkenaan dipercayai untuk diseludup ke luar negara oleh seorang keldai dadah direkrut kumpulan terbabit, namun polis masih menyiasat destinasinya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata penahanan berkenaan dilakukan berdasarkan risikan ke atas kumpulan itu.


Kita percaya suspek wanita tempatan berusia 21 tahun itu bertindak sebagai ejen kumpulan berkenaan yang bertanggungjawab mencari dan merekrut wanita tempatan sebagai keldai dadah untuk menyeludup dadah ke luar negara.


Modus operandi mereka adalah menjanjikan upah lumayan kepada keldai dadah yang berjaya membuat penghantaran dan buat masa ini kita masih meneliti berapa ramai wanita tempatan yang menjadi mangsa kumpulan ini, katanya pada sidang media di sini, semalam.


Noor Rashid berkata, Bukit Aman turut memandang serius peningkatan jumlah warga Nigeria yang ditangkap berhubung kesalahan dadah di negara ini kerana tahun ini saja 139 warga Nigeria ditahan berbanding 50 orang bagi tempoh sama tahun lalu.





Teruskan membaca..

Pelancong maut disondol gajah



Pelancong maut disondol gajah



KOTA KINABALU: Kegembiraan seorang pelancong wanita dari Australia ketika melihat seekor gajah jantan di Mud Lipad Vulcano, berhampiran Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Tabin, di Lahad Datu, kira-kira 400 kilometer (km) dari sini, berakhir tragedi apabila maut selepas dipercayai diserang gajah liar itu, pagi semalam.





Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Jenna OGrady Donley, 26, mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di perut akibat ditusuk gading gajah selepas dipercayai disondol berkali-kali oleh gajah jantan itu.





Bagaimanapun seorang lagi rakan senegara mangsa yang juga wanita berusia 25 tahun dan pemandu pelancong lelaki, terselamat selepas berjaya melarikan diri ke laluan utama di Tabin.




Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Dr Laurentius Ambu, berkata sebelum kejadian, kedua-dua pelancong itu dibawa pemandu pelancong ke Mud Lipad Vulcano atau kawasan lumpur gunung berapi itu.




Ketika balik dari situ, kedua-dua pelancong itu membuat keputusan untuk berjalan kaki ke denai gajah untuk melihat haiwan liar itu di Tabin.





Selepas berjalan beberapa minit, mereka ternampak seekor gajah. Gembira melihat gajah itu, mangsa cuba menghampiri hidupan liar itu yang berada kira-kira 10 meter dari tempat mereka berada dan cuba mengambil gambar dari dekat.




Dipercayai keadaan itu menyebabkan gajah berkenaan marah sebelum mengejar dan menyerang mangsa. Difahamkan mangsa melarikan diri ke hutan, manakala rakannya bersama pemandu pelancong itu berjaya melarikan diri ke laluan utama di Tabin, katanya ketika dihubungi di sini semalam.




Laurentius berkata, lazimnya apabila gajah itu bersama kumpulannya, haiwan liar itu tidak bahaya, sebaliknya ia berkelakuan yang tidak stabil jika bersendirian.




Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata pihaknya sedih dan kecewa dengan kejadian itu.




Bagaimanapun, polis sedang menyiasat perkara ini sebelum kita mengambil tindakan selanjutnya. Kami juga menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dan sedia menawarkan bantuan sewajarnya kepada mereka, katanya ketika dihubungi di sini semalam.




Sementara itu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengesahkan kejadian berkenaan.




Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mati mengejut di tempat kejadian, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan, katanya.



Teruskan membaca..

Pendapatan RM3,000 layak terima BR1M


Pendapatan RM3,000 layak terima BR1M



Ketua keluarga boleh mohon jika di bawah kategori


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki atau wanita yang menjadi ketua kepada ahli keluarga yang tinggal serumah dan memperoleh pendapatan kasar isi rumah kurang RM3,000 dikategorikan sebagai isi rumah yang layak memohon pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500.




Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam kenyataan semalam, berkata ia merangkumi individu berkahwin, ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan, bujang yang mempunyai tanggungan dan warga emas berusia lebih 60 tahun yang sebatang kara.





Katanya, setiap anak berkahwin yang mempunyai pendapatan kasar isi rumah RM3,000 ke bawah tetapi tinggal serumah dengan ibu bapa, dikira sebagai satu isi rumah berlainan.




“Pendapatan kasar isi rumah merujuk kepada pendapatan suami, isteri dan tanggungan yang masih bujang dan hanya ketua isi rumah saja yang layak memohon,” katanya.



Berikutan itu, Kementerian Kewangan membuka Bilik Gerakan untuk operasi Talian Hotline BR1M 1-800-222-500 bermula semalam bagi memudahkan orang ramai mendapat penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan BR1M.



Talian Hotline ini beroperasi setiap hari bekerja, mulai jam 9 pagi hingga 5 petang. Kementerian itu juga mengingatkan bahawa pendaftaran permohonan BR1M akan bermula pada 10 Disember ini hingga 10 Januari 2012.




Ahmad Husni berkata, borang pendaftaran boleh didapati secara percuma di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Penerangan Malaysia, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) serta akhbar tempatan.



“Borang yang lengkap diisi hendaklah disertakan salinan kad pengenalan dan slip gaji bagi yang berkenaan dan diserahkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, Jabatan Penerangan, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat LHDNM,” katanya.



Beliau berkata, kementerian juga akan membuka pendaftaran di sekolah terpilih, dewan komuniti serta dewan orang ramai yang berdekatan, dengan dibantu petugas sambilan bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran. – BERNAMA





Teruskan membaca..

1.4 juta kakitangan awam sambut baik SBPA




1.4 juta kakitangan awam sambut baik SBPA



PUTRAJAYA: Kajian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendapati Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diterima baik oleh hampir 1.4 juta kakitangan awam kerana menawarkan faedah dan insentif baru termasuk skim gaji serta prospek perjawatan yang lebih baik.




Sehubungan itu, jabatan menjangkakan hampir semua kakitangan akan memilih bertukar daripada Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada SBPA yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.




Beliau berkata, sebagai contoh, kakitangan awam Gred N11 akan menerima faedah kenaikan gaji 10.5 peratus, Gred U17 (10.9 peratus), Gred N27 (9.7 peratus) dan Gred J41 (9.5 peratus).



Abu Bakar berkata, kakitangan awam diberi tempoh bermula 16 Disember hingga 30 Disember untuk memilih sama ada kekal dalam SSM atau bertukar kepada SBPA dan tidak boleh menukarnya selepas tarikh itu.




Menerusi SBPA, hierarki perkhidmatan awam akan mempunyai empat kumpulan, iaitu Kumpulan Primier yang menerima peruntukan gaji secara ‘single point’ tanpa kenaikan gaji tahunan, Kumpulan Pengurusan Tertinggi yang menerima konsep gaji minimum-maksimum dengan kenaikan gaji tahunan mengikut pencapaian prestasi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana (menggantikan Kumpulan Sokongan) yang kedua-duanya menerima peruntukan gaji sebaris dan tangga gaji untuk kenaikan gaji tahunan.




Beliau berkata, skim itu turut membabitkan kenaikan gaji setara dengan gred kenaikan pangkat walaupun tanpa dinaikkan pangkat ke jawatan kosong bagi pegawai yang diiktiraf sebagai pakar dalam sesuatu bidang.




SBPA juga memperkenalkan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PPROSPEK) mengandungi dua komponen, iaitu Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP) dan Program Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP) sebagai mekanisme penilaian.







Teruskan membaca..

SBPA biar jadi pemangkin lonjak produktiviti, tingkat prestasi



Minda Pengarang:


SBPA biar jadi pemangkin


lonjak produktiviti, tingkat prestasi



TEKA-TEKI mengenai bentuk pembaharuan yang terkandung dalam Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sudah terjawab apabila pekeliling mengenainya dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semalam. Berdasarkan pekeliling itu, pembaharuan yang dilakukan itu selari agenda transformasi negara yang memberi cabaran kepada kakitangan awam untuk meningkatkan produktiviti, setimpal dengan pemberian gaji dan imbuhan kerajaan.






Kita berharap SBPA yang menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan sejak 2002 akan mendorong kira-kira 1.4 juta penjawat awam bekerja lebih keras lagi selepas ini. Kita berharap tidak timbul lagi kelemahan dan kecacatan terhadap skim ini kerana SBPA akan menggunakan mekanisme penilaian Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK).
Kita percaya Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP) serta Program Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP) adalah mekanisme penilaian berkesan bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan sewajar diberi ruang untuk dilaksanakan. Jaminan JPA yang akan mengutamakan penjawat awam berpengalaman dan cemerlang bagi mengisi jawatan tertinggi dalam sektor awam dan hanya mengambil orang luar apabila keadaan sangat memerlukan pastinya memberi kelegaan kepada pegawai tinggi yang bertugas ketika ini kerana mereka juga berpeluang mendapat kenaikan jawatan.









Kewujudan hierarki Perkhidmatan Awam diharapkan dapat mengatasi kelemahan yang wujud dalam skim saraan sebelum ini kerana matlamat asal perubahan skim perkhidmatan bertujuan meningkatkan prestasi kerja penjawat awam dan imej jentera pentadbiran kerajaan. Pengenalan sistem gaji baru dalam SBPA sepatutnya menjadi dorongan kepada kakitangan awam meningkatkan mutu perkhidmatan dan bukan sekadar mengharapkan bonus tinggi melimpah ke poket masing-masing setiap hujung tahun.






Harapan kita dan rakyat seluruhnya apabila SBPA dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari ini, ia bakal menerbitkan sinar harapan kepada seluruh rakyat untuk melihat matlamat mentransformasikan perkhidmatan awam negara supaya menjadi lebih dinamik, responsif dan berasaskan prestasi akan berjaya. Sudah sampai masa kakitangan awam memperbaiki kelemahan dan kebiasaan yang merugikan produktiviti negara seperti tabiat gemar pergi minum pagi terlalu lama atau kerap ghaib dari pejabat.






Kewujudan dasar pemisah atau ‘exit policy’ bagi menangani isu penjawat awam berprestasi rendah dan bertujuan melepaskan mereka daripada terus berkhidmat dalam perkhidmatan dengan memberikan pilihan kepada mereka untuk bersara awal tidak harus dijadikan isu besar. Apa yang penting, kita mengharapkan sistem penyampaian awam juga akan menjadi lebih cekap di samping kerenah birokrasi dapat dikurangkan.







Teruskan membaca..

Konvensyen Kecemerlangan Peperiksaan: Maklum balas ibu bapa penting




Konvensyen Kecemerlangan Peperiksaan:

Maklum balas ibu bapa penting



Foto




IBU bapa perlu memanfaatkan program bimbingan peperiksaan Konvensyen Kecemerlangan Peperiksaan sebagai medan memperoleh maklumat tambahan serta panduan mendidik anak yang akan menduduki peperiksaan awam pada 2012.





Pengerusi Konvensyen, Ridzuan Yop, berkata konvensyen itu memberi ruang ibu bapa serta penjaga mengetengahkan idea di samping bertukar fikiran menerusi sesi soal jawab.
Beliau berkata, perbincangan dua hala itu membentuk persefahaman yang menyeluruh selain mewujudkan hubungan erat antara guru dengan anak masing-masing.
Konvensyen itu katanya, adalah lanjutan seminar peperiksaan anjuran Unit Pendidikan, Berita Harian yang dilaksanakan sejak 17 tahun lalu.




“Klinik UPSR untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Seminar dan Bengkel Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terbukti memberi bimbingan bersepadu kepada calon.




“Maklum balas daripada ibu bapa penting sebagai usaha Unit Pendidikan ke arah penambahbaikan programnya selaras visi Berita Harian `Memperkaya Ilmu Merangsang Minda’,” katanya.




Beliau berkata demikian ketika meninjau persiapan konvensyen di Management & Science University (MSU), Shah Alam, Selangor, semalam.
Konvensyen yang akan dihadiri 1,000 peserta iaitu 500 calon UPSR PMR dan SPM yang akan menduduki peperiksaan tahun depan. Masing-masing datang bersama, ibu, bapa atau penjaga.




Majlis akan dirasmikan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengadakan lawatan rasmi ke Australia.




Konvensyen itu juga mengetengahkan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang memberi motivasi kepada peserta `Ke Arah Kecemerlangan’.




Mereka yang berminat boleh menghubungi Zainon Kadim atau Mariayahtul Kibtiyah Ree dan Norliza Abdullah melalui talian 03-20569772 atau 03-20569780.




Teruskan membaca..

JPA utama orang dalam


JPA utama orang dalam

SBPA tidak anak tiri kakitangan cemerlang,
berpengalaman sedia ada isi jawatan tertinggi




PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan penjawat awam yang berpengalaman dan cemerlang diberi keutamaan bagi mengisi jawatan tertinggi dalam sektor awam walaupun dasar Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dilaksanakan 1 Januari depan akan membuka ruang kepada ‘orang luar’ menduduki sesuatu jawatan.



Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, berkata pengambilan orang luar hanya dilakukan apabila keadaan sangat diperlukan tetapi masih tertakluk kepada penilaian dan saringan ketat.n hanya mahu mengatasi masalah sedia ada, malah melihat keperluan masa depan untuk generasi akan datang.





“Kita akan buat penilaian dari Jusa C, Jusa B dan seterusnya sehingga ke kumpulan Premier. Jika tiada yang benar-benar layak, barulah kita mencari bakat luar tetapi keutamaan tetap diberikan kepada penjawat awam yang berpengalaman dan cemerlang,” katanya pada sidang media, di sini semalam.


Justeru, katanya, dakwaan menyatakan sistem baru itu bertujuan membuang penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi baik menerusi dasar pemisah atau exit policy adalah tidak benar.


Beliau berkata JPA juga memberi jaminan tidak akan berlaku penganiayaan kepada sesiapa menerusi pelaksanaan skim baru itu.


Baru-baru ini, CUEPACS dilaporkan membantah cadangan membawa orang luar mengisi jawatan tertinggi sektor awam yang disifatkannya umpama menganaktirikan penjawat awam yang sudah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman serta kepakaran tertentu.


Pada masa sama, pembangkang mengambil kesempatan menggesa kerajaan membatalkan dasar membawa masuk orang luar kerana bimbang berlaku pelantikan politik, selain boleh menyebabkan institusi perkhidmatan kerajaan bercelaru.


Abu Bakar juga menafikan skim baru itu akan mengurangkan tenaga kerja sektor awam, sebaliknya memastikan jumlah kakitangan kerajaan mengikut keperluan.


“Sejumlah 29,000 jawatan dimansuhkan di bawah SBPA berdasarkan enam strategi inisiatif perkhidmatan awam iaitu kawalan saiz, kajian pertindihan fungsi, penjajaran fungsi utama, perkhidmatan boleh diserah urus, perekayasan proses kerja dan kajian semakan skim perkhidmatan,” katanya.




Teruskan membaca..

Pekeliling Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)

Teruskan membaca..

Video Taklimat Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) oleh Dato’ Haji Omar Haji Osman,



Video Taklimat

Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)

oleh Dato’ Haji Omar Haji Osman,

Presiden CUEPACS di UTHM .















Teruskan membaca..

Pelancaran Pekeliling Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiCLYr2QUHzuy3LbkSqYLLdyeuuV0ghje0M_xF25nj0t_XP1kxKGeibKBilNoYqpN6UtrAb0UCdkzNFPnjZeUObhbpjl00TCSZbg0Ye3K5Io_5OBAP7XiFty_Udzx2w7yhGPVP8hZIJrLc/s1600/Pekeliling+Sistem+Saraan+Baru+Perkhidmatan+Awam+SBPA.jpeg



Intipati Pelaksanaan SBPA

sempena pelancaran

Pekeliling Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)

oleh

YBhg Tan Sri Abu Bakar bin Haji Abdullah,

Ketua Pengarah

Perkhidmatan Awam Malaysia.



Teruskan membaca..

Penjawat awam tetap diutamakan dalam SBPA


PENJAWAT AWAM TETAP DIUTAMAKAN DALAM SBPA


Bernama



PUTRAJAYA 7 Dis. – Penjawat awam tetap akan diutamakan untuk mengisi jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan termasuk Kumpulan Premier, walaupun terdapat dasar membenarkan “orang luar” mengisi jawatan tersebut dalam skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan mula dikuatkuasakan Januari depan.




Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, penilaian akan dibuat terhadap penjawat awam yang layak mengisi kekosongan itu terlebih dahulu dan calon luar hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada calon dari kalangan penjawat awam yang layak untuk memegang jawatan itu.




“Penjawat awam jangan risau tentang perkara ini, sebab ini hanyalah persediaan. Kalau kita tak sediakan peruntukan ini sekarang dan kalau keperluan timbul nanti, waktu itulah baru kita nak buat pindaan dan sebagainya tentulah tak elok.




Setiap skim yang kita laksanakan bukan saja untuk mengatasi masalah sedia ada tapi juga melihat kemungkinan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.




Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa dalam skim baharu ini, jawatan premier perkhidmatan awam, peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Turus akan diubah suai bagi membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil masuk.




Bagaimanapun, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah dasar tersebut, mengatakan ia seperti menganaktirikan penjawat awam sedia ada yang telah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang tertentu.




Abu Bakar berkata, bakat dari luar itu turut perlu melalui proses sepertimana pegawai dalaman termasuk saringan dan penilaian oleh satu panel yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Audit Negara.




“Jadi dia akan dinilai keupayaannya dari segi pengetahuan peraturan-peraturan perkhidmatan, kewangan, pengauditan dan sebagainya yang bermakna dia perlu cekap tentang urusan pentadbiran kerajaan dan dicampur dengan keupayaan dan pengalamannya berkhidmat di luar perkhidmatan awam barulah diberi pertimbangan,” katanya.




Setakat ini tiada kuota spesifik ditetapkan untuk pengambilan tersebut, namun menjangka keperluannya tidak akan melebihi 20 peratus daripada jumlah jawatan yang ada, katanya.




Bagaimanapun, beliau berkata, untuk urusan spesifik jangka pendek, seperti untuk menyertai kumpulan perundingan kedudukan negara dalam ekonomi, mereka yang tidak berada dalam perkhidmatan awam boleh diambil bekerja secara kontrak.




Dalam pada itu, Abu Bakar berkata SBPA bukanlah bertujuan untuk mengurangkan penjawat awam, tetapi bagi memastikan tenaga kerja dalam sektor awam itu dapat dikawal mengikut keperluan.




Beliau berkata, tahun ini sehingga hari ini sahaja sejumlah 29,000 jawatan dalam perkhidmatan awam dimansuhkan dalam usaha tadbir urus perkhidmatan awam yang lebih baik.




“Sebagai contoh, dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah, kita mengambil 7,000 anggota polis yang selama ini berkhidmat di ibu pejabat dan balai, dipindahkan membuat kerja kawalan keselamatan awam dan tempat mereka ini digantikan dengan 4,200 penjawat awam dari agensi kerajaan lain,” katanya. – BERNAMA


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiCLYr2QUHzuy3LbkSqYLLdyeuuV0ghje0M_xF25nj0t_XP1kxKGeibKBilNoYqpN6UtrAb0UCdkzNFPnjZeUObhbpjl00TCSZbg0Ye3K5Io_5OBAP7XiFty_Udzx2w7yhGPVP8hZIJrLc/s1600/Pekeliling+Sistem+Saraan+Baru+Perkhidmatan+Awam+SBPA.jpeg




Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...