Berfikir Logikal
EDWARD de Bono dalam bukunya,Thinking Course,
menyatakan bahawa logik ialah
satu cara menjana maklumat daripada sesuatu keadaan.
Maklumat yang hendak dijana ialah
sesuatu yang benar dan diterima akal.
Berasaskan kefahaman ini bolehlah dirumuskan
bahawa berfikir logikal ialah suatu proses
pemikiran yang cuba mencari maklumat,
ilmu, data dan fakta mengenai
kebenaran sesuatu perkara.
Bagi para remaja
yang ingin menjana
pemikiran, maklumat, ilmu dan kebenaran,
pemikiran logikal adalah penting buat mereka.
Berfikir logikal akan menyingkirkan faham tahyul,
mitos dan perkara-perkara yang tidak
mempunyai asas maklumat, ilmu dan data.
Ia membimbing remaja kepada perkara yang benar.
Kebenaran adalah suluh.
Tanpa suluh pemikiran remaja akan gelap.
Di situlah lahirnya kejahilan dan kegelapan.
Dalam tradisi Islam, berfikir logikal
dikaitkan dengan hikmah.
Hikmah adalah sumber
daripada Pencipta alam ini.
Al-Quran
adalah sumber hikmah
yang amat hebat.
Perkhabaran daripada al-Quran,
maklumat yang dirakamkan,
kisah yang diceritakan,
ilmu yang terdapat,
petunjuk yang diberi
adalah sumber yang amat bernilai
bagi memandu remaja
ke arah kebenaran.
Kebenaran yang dijana oleh akal
adalah kebenaran yang bersifat zahiri.
Akal yang dihubungkan
dengan hikmah akan membawa
kepada kebenaran hakiki.
Kebenaran hakikilah
yang dicari oleh manusia
kerana ia bakal membimbing manusia
menemui fitrah diri.
Tanpa fitrah diri
remaja hanya berfikir
mengenai sesuatu yang berbentuk luaran,
zahiri dan tidak memberi makna
kepada pemikiran dan hati.
Berfikir logikal secara barat
berteraskan asas-asas empiris.
Asas empiris hanya menggunakan
kekuatan akal, intelek atau minda
untuk menanggapi atau membuat kesimpulan
terhadap sesuatu berasaskan
uji kaji, pemerhatian, pengalaman,
kutipan data dan menghubungkan
sebab-akibat secara zahiri.
Berfikir logikal secara Islam
tidak saja menggunakan pendekatan empiris
yang menjana pemikiran
terhadap faktor zahiri tetapi di sebalik
sebab-akibat terdapat faktor batini
yang perlu difahami.
Bila remaja berfikir,
bermakna ada sesuatu kekuatan
dalam diri remaja yang menyebabkan
akal berfungsi.
Bila remaja berkata-kata,
bermakna ada faktor hayat
yang menyebabkan keupayaan
bercakap wujud.
Bila remaja berlari,
bermakna ada sesuatu
dalam diri remaja
yang memberi kekuatan
bagi remaja berbuat demikian.
Secara logiknya
apabila seseorang itu mati,
seluruh sumber kekuatan
yang ada pada diri
akan hilang
dan
tidak bermaya.
Apakah yang hilang itu?
Yang hilang itu ialah hayat.
Hayat manusia dipertahan oleh roh.
Logiknya pergerakan tubuh badan
adalah kerana adanya roh
pada diri manusia
yang menyebabkan wujudnya hayat.
Apa itu roh dan siapa Penciptanya?
Daripada sumber akal,
di luar pemikiran logik manusia
untuk mengetahuinya.
Menerusi hikmah atau al-Quran,
Allah memberitahu bahawa
roh itu adalah milik-Nya
dan
yang diketahui oleh manusia
tentang roh adalah amat sedikit.
Inilah asas berfikir logikal
dari sudut Islam
yang memberikan kita pedoman batini
di samping
pedoman zahiri.
Orang-orang Barat berfikir
bahawa yang dikatakan logik itu
adalah sesuatu yang berasaskan
faktor wujud dan maujud.
Sekiranya faktor pokok
hendak dijadikan asas logik,
ia dikatakan wujud dan maujud.
Bermakna pokok itu boleh dilihat,
dipegang, dibilang
dan
wujud secara nyata.
Tradisi Islam
memberikan pedoman bahawa
asas logik tidak saja
menghubungkan sesuatu itu wujud
dan
maujud tetapi ia juga wujud
secara batini dan sifatnya ghaib
daripada pandangan mata zahir
dan
tidak semestinya wujud
dalam bentuk benda.
Tetapi terdapat tanda-tanda
dan
bukti mengenai kejadian tentang
wujudnya sesuatu
yang bersifat ghaib.
Alam ini umpamanya
adalah bukti yang nyata
tentang kewujudan Pencipta
kerana logik akal manusia
tidak boleh menerima sesuatu itu
terjadi dengan sendiri
atau
sesuatu itu tidak akan terjadi
tanpa sebab-musabab.
Kerusi yang kita duduki
tidak terjadi dengan sendiri.
Ia dibuat oleh tukang.
Rumah yang kita diami
tidak tegak secara tiba-tiba
tetapi hasil tukangan dan bikinan manusia.
Kayu yang digunakan
untuk membuat kerusi dan rumah
asalnya daripada pokok.
Siapakah yang mencipta pokok itu?
Tidak mungkin
pokok itu terjadi tanpa Pencipta
seperti tidak mungkin
kerusi dapat dibuat
dan
rumah dapat dibina tanpa tukang.
Manusia tidak boleh
melakukan penciptaan.
Penciptaan
adalah sesuatu yang asalnya
tidak ada kemudian menjadi ada.
Manusia
hanya mampu mereka
dan
menggubah.
Kerusi dan rumah direka dan digubah
oleh manusia daripada sumber
yang dicipta iaitu kayu
yang asalnya daripada pokok.
Pokok itu adalah ciptaan Allah.
Inilah asas logik
yang ada dalam tradisi
Islam.
Al-Quran
adalah sumber ilmu, hikmah dan petunjuk.
Ia memberi suluhan mengenai
kebenaran yang sifatnya
zahiri dan batini.
Al-Quran tidak saja
memberi remaja pedoman
dan
petunjuk tentang sesuatu
yang nyata dan zahir
tetapi juga
yang tidak nyata
dan
sifatnya ghaib.
Memahami faktor nyata
dan ghaib menerusi al-Quran
memberikan kita asas logik
yang memimpin diri, akal dan penerokaan ilmu
kepada kebenaran.
Al-Quran
sebagai kalam Tuhan
memberikan asas bahawa
“gunung-ganang adalah pasak-pasak bumi”.
Ia berkait rapat
dengan asas ekologi
atau
tentang kajian alam sekitar
apalagi tumbuh-tumbuhan.
Makna
“pasak-pasak bumi”
secara logikal ialah
faktor kewujudan gunung-ganang
memberikan perimbangan
kepada ketahanan bumi,
cuaca dan kehidupan.
Bayangkan
sekiranya bukit-bukau ditarah,
gunung-ganang diruntuhkan,
hutan-hutan ditebang,
sudah tentu ia akan
merosakkan ekosistem
dan
menyebabkan kepanasan, pencemaran,
gangguan terhadap sistem perairan
dan sebagainya.
Adalah sesuatu
yang logikal bahawa
pemeliharaan hutan, kehijauan,
bukit-bukit dan gunung-ganang
dilakukan supaya wujud
keseimbangan dalam
ekosistem dan persekitaran.
Hal yang sama
ditunjukkan secara logiknya
bila Allah menyatakan dalam al-Quran,
“diturunkan hujan
menghidupkan tanah-tanah yang mati
supaya tumbuh pohon-pohon
yang menjadi rezeki
kepada manusia.”
Tanpa air kehidupan tidak akan ada.
Sebab-musabab kepada air
menumbuhkan pohon-pohon
yang menghasilkan buah
bagi rezeki manusia.
Tanpa makanan manusia akan mati.
Bagi yang berfikir logik Islami,
siapakah yang berkuasa
mencipta awan dan menurunkan hujan
kalau tidak Allah.
Berfikir logik Islami
mendekatkan remaja dengan ilmu
yang sebenar dan menemukan remaja
dengan kebenaran
yang hakiki.
Para remaja Islam
harus insaf bahawa
apa yang difikirkan oleh remaja
adalah terbatas.
Pancaindera
yang dimiliki remaja
bukanlah segala-gala.
Apa yang remaja tahu
menerusi penglihatan, pembacaan,
penelitian, penulisan dan pengkajian
adalah terbatas.
Keterbatasan itu
menyebabkan pemahaman
tentang diri, hubungan diri dengan Pencipta,
hubungan diri dengan alam sekitar
adalah terbatas.
Menjadikan hikmah atau Kalam Tuhan
sebagai asas menyebabkan
fikiran berkembang dipandu dengan zikir.
Akal subur disirami petunjuk.
Daripadanya lahir keinsafan zahir batin
bahawa sifat nisyan atau lupa
dan
ghaflah iaitu lalai
yang ada pada remaja
tidak menjadikan remaja serba tahu
akan segala-gala.
Apabila pedoman hikmah atau al-Quran
dijadikan pedoman,
para remaja terbimbing
untuk tahu dan berilmu
secara lebih baik
dan
sempurna.
Para remaja
memiliki naluri ingin tahu
yang tinggi dan ia pasti
melibatkan pemikiran.
Naluri ingin tahu ini
adalah asas kepada dorongan
pemikiran secara logik.
Sekiranya remaja berfikir logikal
dengan dipandu oleh faktor zahiri
yang dipedomankan oleh hikmah,
maka
arah pemikiran logikal remaja
menuju ke tapak yang lebih seimbang
iaitu
ke arah kebenaran hakiki.
Andainya
remaja mengasaskan pemahaman logik
hanya terhadap benda-benda
yang zahir dan bersifat benda semata,
ia tidak membimbing remaja
mencari dan mengetahui sesuatu
yang sifatnya fitrah.
Fitrah di sini
bermakna wujud keserasian
antara apa yang difikir
dengan apa yang dirasa.
Apa yang terkandung pada akal
dan
apa yang tersirat dalam kalbu.
Allah
berikan remaja akal dan kalbu
supaya remaja mampu
mengimbanginya dalam percakapan,
perbuatan dan amalan.
Allah
berikan juga remaja nafsu
yang mendorong keinginan
melakukan sesuatu.
Nafsu ibarat kuda liar
boleh melakukan apa saja
mengikut kehendaknya.
Kuda liar
boleh dilatih dan dijinakkan
supaya ia mendengar kata tuannya.
Melatih dan menjinak nafsu
ialah dengan faktor rohaniah
yang tinggi supaya nafsu
dapat dikawal dengan baik.
Pemikiran logikal sebeginilah
yang harus subur pada diri remaja
supaya wujud perimbangan
antara faktor zahiri dan batini
untuk
memahami kebenaran hakiki.
- * PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.
Sumber: Bicara Agama -- Utusan Online -- 25 Jamadil Awal 1427 -- 22 Jun 2006