Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, January 27, 2012

Institut Wasatiyyah bukti komitmen pemimpin perkasa peradaban Islam





Institut Wasatiyyah bukti komitmen


pemimpin perkasa peradaban Islam




Oleh Dr Adanan Mat Junoh

KETIKA Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau menubuhkan Institut Islam Hadhari selaras dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan ketika itu. Institut yang ditempatkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu antara lain berperanan sebagai pusat penyelidikan yang memperkasa peradaban Islam di samping mewujudkan jaringan ilmiah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam kalangan cendekiawan peradaban.





Kini institut itu berkembang pesat dan berperanan aktif memperkasakan peradaban Islam melalui pelbagai aktiviti ilmiah seperti seminar, forum, penyelidikan dan penerbitan. Kita yakin Institut Islam Hadhari akan terus berfungsi dengan berkesan dalam membangunkan masyarakat dan negara secara menyeluruh berdasarkan perspektif tamadun Islam seperti yang dihasratkan oleh mantan Perdana Menteri itu.
Beliau tentu mengharapkan lebih banyak institut akan ditubuhkan untuk menangani isu semasa khususnya berkaitan umat Islam kerana Institut Islam Hadhari saja tidak memadai untuk berdepan pelbagai permasalahan yang semakin kompleks.





Penubuhan institut ini akan membuka mata masyarakat dunia khususnya Barat bahawa Malaysia adalah antara negara Islam yang terawal mempromosi kesederhanaan global. Lebih penting daripada itu, inisiatif ini memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai contoh kepada dunia.





Justeru, ketika merasmikan Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan Institut Wasatiyyah. Saya sangat yakin bahawa, idea menubuhkan institut itu sudah lama bersarang dalam fikiran Perdana Menteri, cuma menunggu masa dan ketika sesuai untuk diumumkan.




Sehubungan itu, pengumuman penting dibuat di hadapan hampir 300 delegasi dari dalam dan luar negara termasuk pemimpin utama dunia dilihat amat tepat pada masanya. Lebih-lebih lagi pengumuman itu dibuat ketika dunia berdepan pelbagai krisis seperti krisis kemanusiaan, budaya, ekonomi dan politik serta kegiatan ekstrem yang semakin berleluasa.




Komitmen kerajaan meletakkan Islam sebagai agama dihormati pada peringkat global semakin terpancar apabila Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan Kerusi Wasatiyyah di Universiti Malaya serta Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global pada majlis sama. Iltizam kuat kerajaan untuk melihat institut itu menjadi pemangkin kepada gerakan kesederhanaan di Malaysia dan antarabangsa terserlah apabila pemimpin nombor satu negara itu membuat keputusan yang sangat tepat dengan meletakkan Institut Wasatiyyah di bawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri.




Istilah wasatiyyah mungkin agak baru bagi sebahagian daripada rakyat Malaysia dan umat Islam walaupun konsep wasatiyyah adalah pendekatan sangat dituntut Islam. Menurut Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan Prof Datuk Dr Khairil Annas Jusoh, dua nama besar di Jabatan Perdana Menteri dalam penulisannya yang berjudul Pendekatan Wasatiyyah Dalam Mengahayati 1 Malaysia, wasatiyyah berasal dari perkataan ‘wasat’ bermaksud pertengahan dan seimbang.




Perkataan lain yang sama dengan perkataan ini adalah i’tidal yang membawa maksud tidak melampau dalam setiap perkara dan menunaikan hak kepada yang berhak. Penulis ini seterusnya menjelaskan dalam bahasa Inggeris perkataan wasatiyyah bermaksud ‘middle’ atau ‘balance’. Oleh demikian, secara umumnya pendekatan wasatiyyah bermaksud amalan kesederhanaan dan berimbang yang berpaksi kepada ajaran Islam secara menyeluruh demi kesejahteraan ummah dan dunia sejagat.




Sama seperti Institut Islam Hadhari, penubuhan Institut Wasatiyyah adalah agenda besar kerajaan menyelesaikan permasalahan umat Islam. Di institusi pengajian tinggi, kita menyaksikan penubuhan pusat kecemerlangan khusus untuk menyelesaikan isu berdasarkan bidang tujuhan universiti melalui kegiatan penyelidikan, penerbitan dan konsultasi.




Demikian juga dengan Institut Wasatiyyah. Seluruh lapisan masyarakat sama ada di dalam atau luar negara sedang menunggu dengan penuh minat impak penubuhan institusi ini terhadap umat Islam. Penubuhan institusi ini adalah landasan terbaik memastikan segala intipati wasatiyyah diaplikasikan dalam kehidupan manusia khususnya dalam kalangan umat Islam.




Pada masa sama Institut Wasatiyyah dijangka berperanan secara aktif menjawab segala kekeliruan berkenaan Islam melalui pelbagai penerbitan ilmiah serta dialog dan forum bertaraf antarabangsa. Penubuhan institut ini akan membuka mata masyarakat dunia khususnya Barat bahawa Malaysia adalah antara negara Islam yang terawal mempromosi kesederhanaan global. Lebih penting daripada itu, inisiatif ini memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai contoh kepada dunia yang mengamalkan kesederhanaan dalam pelbagai aspek termasuk pentadbiran, ekonomi, politik dan pembangunan fizikal.




Perdana Menteri tentu mempunyai perancangan tersendiri dalam menentukan hala tuju Institut Wasatiyyah demi kepentingan Islam dan rakyat khususnya penganut agama Islam. Segala perancangan dan gerak kerja institut ini tentu sekali selari perencanaan sedia ada kerajaan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).




Masyarakat Islam Malaysia perlu yakin bahawa Institut Wasatiyyah bakal memacu umat Islam ke hadapan seperti dilakukan oleh Institut Islam Hadhari. Umat Islam juga perlu yakin bahawa penubuhan kedua-dua institut ini adalah bukti bahawa kerajaan komited terhadap pembangunan Islam di negara ini.




Persoalannya, apakah kita bersedia untuk sama-sama memberi sumbangan bermakna dan berganding bahu bagi memajukan institut ini? Sesungguhnya komitmen dari setiap lapisan masyarakat amat diperlukan untuk memajukan sebuah institusi yang bakal menjadi kebanggaan bersama.




Penulis ialah Pensyarah Kanan


di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,


Universiti Sains Islam Malaysia











Teruskan membaca..

4 lagi universiti dapat autonomi



4 lagi universiti dapat autonomi





pix_gal0






Langkah wujud IPTA jadi institusi taraf antarabangsa, berdaya saing








PUTRAJAYA: Selepas Universiti Teknologi Malaysia (UTM), empat lagi universiti, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) diberi autonomi semalam, bagi membolehkan pusat pengajian terbabit membuat perancangan sendiri dalam usaha menjadi institusi bertaraf antarabangsa.
Pemberian autonomi itu hanya diberikan dalam empat bidang iaitu tadbir urus institusi, kewangan dan penjanaan kekayaan; pengurusan sumber manusia dan pengurusan akademik serta kema-sukan pelajar.






Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata autonomi adalah prasyarat penting untuk mewujudkan persekitaran kampus yang dinamik melalui pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang lebih berdaya saing, kreatif dan anjal.






“Universiti selalu menyatakan mereka tidak mendapat kecemerlangan kerana wujud halangan dan kekangan akibat terikat dengan kaedah dan polisi kerajaan, jadi pemberian autonomi dengan penurunan kuasa bermakna tiada lagi alasan untuk mereka mencapai kecemerlangan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baru 2012 yang bertemakan ‘Berfikiran Global Bertindak Glokal’ di sini, semalam.







Pemberian autonomi kepada lima universiti itu dibuat selepas melaksanakan proses audit menggunakan instrumen ‘Tadbir Urus Baik Universiti’ dan ‘Petunjuk Tadbir Urus Baik Universiti’.







Beliau berkata, walaupun lima universiti diberikan autonomi dalam kemasukan pelajar, pelajar tetap perlu memohon kemasukan universiti menerusi Unit Pusat Universiti (UPU).
“Bagaimanapun, lima universiti akan dapat memilih dulu mana-mana pelajar yang memohon menerusi UPU dan mereka sendiri yang akan menentukan kesesuaian kursus kepada pelajar berkenaan serta pemberitahuan mengenai kemasukan ke lima universiti itu dibuat oleh pihak universiti sendiri,” katanya.







Mengenai Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Mohamed Khaled berkata, ia bukan tiket kebebasan mutlak, jauh sekali membenarkan pelajar melakukan aktiviti subversif sehingga mengganggu keselamatan awam.







Beliau berkata, pindaan AUKU juga akan mengekalkan persekitaran kampus yang terus menjamin kebebasan akademik.







“Kita amat sedih kerana akhir-akhir ini, kebebasan akademik disalah guna, disalah erti, disalah tafsir dan lebih membimbangkan, ia menjadi modal politik jalanan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.







Mohamed Khaled juga melahirkan kebimbangan dengan kurangnya pelajar yang berminat mengikuti aliran sains di sekolah dan universiti yang semakin kritikal.






“Tahun ini, hanya 29 peratus pelajar jurusan sains di sekolah. Keadaan ini berterusan ke tahap universiti yang mana hanya 40 peratus pelajar bidang sains sedangkan sasaran kita adalah 60 peratus. Jika ini berterusan, ia boleh membantutkan usaha meningkatkan inovasi teknologi ke arah tranformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi,” katanya.











Teruskan membaca..

3,996 lulus 10 subjek STAM



3,996 lulus 10 subjek STAM




MOHAMMAD Azrul  (kiri) meraih keputusan 10A+ (Mumtaz Sofi) dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 bersama rakannya, Muhammad Irfansyah Mahdi Farid  berkongsi kejayaan  ketika ditemui di Maahad Johor, semalam. Untuk berita lanjut, dapatkan akhbar Berita Harian hari ini. - Foto Dazar Suarman
MOHAMMAD Azrul (kiri) meraih keputusan 10A+ (Mumtaz Sofi)
dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011
bersama rakannya, Muhammad Irfansyah Mahdi Farid
berkongsi kejayaan ketika ditemui di Maahad Johor, semalam.




Kelulusan 60.7 peratus melayakkan calon lanjut pelajaran di universiti






PUTRAJAYA: Seramai 3,996 atau 60.7 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 memperoleh sijil dengan sekurang-kurangnya pangkat Maqbul (Lulus) dalam semua 10 mata pelajaran yang diambil pada peperiksaan itu, tahun lalu.







Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Na'imah Ishak, berkata daripada jumlah itu, 326 calon mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang), 529 pula Jayyid Jiddan (Sangat Baik), 1,602 Jayyid (Baik) dan selebihnya, Maqbul.





Lembaga akan cari mekanisme terbaik untuk menambah baik penguasaan bahasa Arab calon. - Dr Na'imah Ishak, Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia
“Seramai 6,584 calon menduduki peperiksaan itu pada tahun lalu di 108 pusat peperiksaan berbanding 6,537 orang pada tahun sebelumnya, ” katanya ketika mengumumkan keputusan STAM 2011, di Kementerian Pelajaran, di sini, semalam.
Na'imah berkata, Gred Purata Nasional (GPN) bagi STAM 2011 turut menunjukkan peningkatan 0.04 peratus berbanding 3.23 pada 2010.







Peperiksaan STAM yang mula dilaksanakan sejak 2000 melayakkan pelajar yang memperoleh sijil itu untuk memohon mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.






Mengenai prestasi mata pelajaran, Na'imah berkata, enam mata pelajaran iaitu Fiqh, Balaghah, Hadith dan Mustolah, Insya' dan Mutala'ah, Tafsir dan Ulumuhu serta 'Arudh dan Qafiyah mencatatkan peningkatan calon lulus (Mumtaz hingga Maqbul) lebih tinggi berbanding 2010.





Selain itu, katanya, empat mata pelajaran lagi mencatatkan penurunan peratusan kelulusan calon iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Nahu dan Sarf, Adab dan Nusus serta Tauhid dan Mantiq.






Sehubungan itu, katanya, satu kajian terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti aspek yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan peratusan calon lulus pada semua mata pelajaran untuk peperiksaan akan datang.






“Antara yang boleh dikaji mungkin aspek pengajaran dan pembelajaran, lokasi atau faktor calon sendiri yang menjadi punca penurunan empat subjek itu dan peningkatan jumlah calon yang mencatat semua Rasib (gagal).






“Lembaga akan cari mekanisme terbaik untuk menangani perkara ini, termasuk menambah baik penguasaan bahasa Arab dalam kalangan calon.






“Calon yang kurang berjaya boleh menduduki semula atau memperbaiki pencapaian mata pelajaran yang kurang memuaskan dalam tempoh tiga tahun sebelum melanjutkan pengajian mereka ke universiti,” katanya.






Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...