Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, July 8, 2012

Sistem Modular



Sistem Modular

diperluas di peringkat

sekolah menengah




KOTA BHARU: Kementerian Pelajaran akan memperluas Sistem Modular iaitu peperiksaan mengikut semester di peringkat sekolah menengah atas ke seluruh negara mulai tahun ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian belum bercadang mengadakan sistem itu secara berpusat seperti yang terdapat di pusat matrikulasi. "Walaupun sistem ini bukanlah sistem baru kerana sudah diperkenalkan beberapa tahun lalu di peringkat tingkatan enam di negara ini, tetapi ia akan diperluaskan lagi ke seluruh negara mulai tahun ini," katanya kepada kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi Sekolah-Sekolah Kelantan 2011 hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussin Awang.

Pada majlis itu, Abd Ghafar turut menyampaikan hadiah kepada pengetua dan guru besar mewakili sekolah yang berjaya dalam kategori masing-masing, termasuk anugerah bagi Gred Purata Sekolah (GPS), Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) dan Anugerah Lonjakan.

Abd Ghafar berkata, sistem modular yang diperkenal itu memerlukan pelajar tingkatan enam menjalani pengajian tiga semester untuk mengumpul mata sebelum diterima melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi mengikut sistem merit.

Beliau berkata, sistem itu mempunyai kelebihan dan setiap pelajar diberi pengisian dalam bidang pendidikan yang lebih luas berbanding sistem biasa.
"Ini membolehkan mereka menerima pendidikan dengan lebih cepat selepas diterima melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi," katanya.

Mengulas penyerapan sekolah agama rakyat di bawah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), beliau berkata langkah itu lebih memberi kebaikan kepada Kementerian Pelajaran ke arah penambahbaikan mata pelajaran di negara ini selaras strategi transformasi Pendidikan Negara.

Tanpa menyebut jumlah sebenar bilangan sekolah di Kelantan yang bakal diterima sebagai sekolah di bawah SABK kementerian itu, Abd Ghafar berkata beliau bangga dengan pencapaian pelajar sekolah menengah agama di bawah kerajaan negeri itu kerana ia turut meningkatkan mutu pendidikan negara. - BERNAMA

















Teruskan membaca..

Projek perintis transformasi Tingkatan 6




GAGASAN saran

projek perintis transformasi

Tingkatan 6





KUALA TERENGGANU: Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGAGSAN) menyokong penuh langkah kerajaan untuk menambah baik pendidikan tingkatan enam selaras dengan sistem pendidikan prauniversiti lain termasuk kolej matrikulasi.

Setiausaha Agungnya, Syed Anuar Syed Mohamad, berkata untuk itu, GAGASAN mencadangkan agar Kementerian Pelajaran menjalankan projek perintis secepat mungkin dengan memilih sebuah sekolah di setiap negeri bagi merealisasikan transformasi tersebut. "Langkah itu penting sebagai satu permulaan dan sekiranya memberi kesan positif, ia perlu diperluaskan ke sekolah lain di seluruh negara.
"Memang sejak dulu lagi GAGASAN mencadangkan usaha itu dan kesediaan kerajaan berbuat demikian amat dialu-alukan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta, mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Yogyakarta, Indonesia kelmarin, bahawa kerajaan akan membuat penjenamaan semula pendidikan tingkatan enam selaras dengan sistem pendidikan prauniversiti lain seperti di kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dilapor berkata selain dipisahkan dari sekolah menengah sedia ada, pelajar tingkatan enam juga akan dididik oleh golongan guru yang berbeza.

Mengulas lanjut, Syed Anuar berkata pada amnya pelajar tingkatan enam tidak lagi sesuai untuk berada dalam kelompok yang sama dengan pelajar lain kerana mereka lebih matang.
"Cadangan pengasingan itu memang wajar khususnya dalam usaha membentuk daya kepimpinan berkualiti setaraf dengan pelajar prauniversiti," katanya.

Katanya, Gagasan juga menyambut baik hasrta Kementerian Pelajaran untuk menjadikan semua sekolah di seluruh negara sebagai sekolah satu sesi.

Bagaimanapun, katanya, kementerian itu perlu terlebih dahulu memastikan segala inrafstruktur lengkap bagi menampung keperluan pelajar dan guru di sekolah terbabit. - BERNAMA














Teruskan membaca..

Pantun Teka-teki







Ada sejenis benda,

Nampaknya ringan,

Bila disuruh angkat,

Seribu orang pun tidak terdaya.


Jawapan : YBGAAN-AANBYG




Ada seekor burung sakti,

Muncungnya tajam seperti besi,

Bila dipegang menari-nari,

Memberi makna tidak terperi


Jawapan : LPNSEI





Ada sejenis kenaikan,

Dikayuh tidak seperti sampan,

Ada tempat duduk dan haluan,

Cubalah kamu berikan jawapan.


Jawapan : LSBKAIA





Ada mulut tapi tidak boleh bercakap,

Ada lidah tidak berkata,

Ada mata tidak boleh memandang,

Tiada kaki tapi boleh berjalan.


Jawapan : ASTUK






Ada satu peti wasiat,

Empat penjuru senang diangkat,

Dia ada di merata tempat,

Pada orang ia lebih rapat.




Jawapan : UALPSM STRAU











Teruskan membaca..

Sukan Malaysia (Sukma) XV




Temasya Sukma XV dirasmi



















MAJLIS perasmian pembukaan temasya Sukan Malaysia (Sukma) XV berlangsung penuh gilang-gemilang dan warna-warni di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.


Percikan bunga api yang menghiasi segenap ruang angkasa di stadium tersebut dilihat sebagai kemuncak majlis perasmian pembukaan Sukma kali ini yang menampilkan penyertaan 5,828 atlet dan pegawai termasuk kontinjen jemputan dari Brunei.

Terdahulu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dibawa menaiki pedati mengelilingi Stadium Darul Makmur tepat pada pukul 8.30 malam.

Turut hadir, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Majlis perasmian temasya Sukma XV yang dihadiri kira-kira 30,000 penonton itu dimulakan dengan nyanyian lagu Allah Selamatkan Sultan Kami.

Ia diikuti persembahan khas dengan diketuai Rosli Selasih dan melibatkan seramai 2,000 peserta yang terdiri daripada para penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Pahang, pelatih Pusat-Pusat Latihan Khidmat Negara dan pelajar-pelajar sekolah di sekitar Pahang.

Persembahan khas itu yang berlangsung selama 40 minit itu terbahagi kepada tiga segmen - Pergendangan Serasa Kuala Tahan diikuti Sukan Ke Arah Perpaduan dan Evolusi Sukma XV.

Kehangatan majlis itu semakin dirasai sebaik sahaja 15 kontinjen masuk ke dalam stadium untuk memberi lintas hormat diiringi empat maskot temasya Sukma XV iaitu Tahan, Puteh, Rajah dan Teku.

Mendahului perbarisan ialah kontinjen Brunei diikuti Perak, Selangor, Kelantan, Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sarawak, Perlis, Sabah, Wilayah Persekutuan, Terengganu dan Pahang.

Acara diteruskan dengan larian baton Sukma XV melibatkan tiga atlet tuan rumah iaitu jaguh angkat berat, Amirul Hamizan Ibrahim diikuti R. Haridas (olahraga) dan Chan Zhi Hui (gimnastik).

Selepas titah pengisytiharan Sukma XV oleh Sultan Ahmad Shah, sejurus kemudian berlangsungnya upacara menaikkan bendera temasya, bacaan ikrar dan nyalaan obor.

Sebagai tuan rumah Sukma kali ini, Pahang menawarkan 369 pingat emas daripada 24 acara yang membabitkan 24 venue di Kuantan, Temerloh dan Pekan.

Tumpuan sudah pasti terarah kepada kontinjen Terengganu yang tampil selaku juara keseluruhan selama tiga edisi berturut-turut iaitu pada 2011 di Kuala Lumpur, Melaka (2010) dan Terengganu (2008).

Biarpun Sukma XV dibuka secara rasmi malam tadi, karate merupakan acara paling awal dipertandingkan pada temasya kali ini iaitu pada Ahad lalu.

Selain karate, lima lagi acara bermula awal sebelum majlis perasmian pembukaan Sukma XV ialah berbasikal, bola sepak, hoki, taekwondo dan perahu layar.

Setakat ini, Selangor muncul pendahulu apabila mengumpul tujuh pingat emas, enam perak dan lima gangsa.






Sumber







Teruskan membaca..

Bangkit lepas gagal




Bangkit lepas gagal



Orang yang ingin berjaya
perlu bersedia untuk berhadapan dengan kegagalan.
- Gambar hiasan





SESEORANG yang ingin berjaya perlu bersedia berhadapan dengan apa sahaja onak dan duri dalam perjalanan untuk menuju ke destinasi kejayaan. Ini kerana, orang yang gagal ialah mereka yang melihat kegagalan itu perhentian dan destinasinya terakhir. Walhal, ia hanyalah persinggahan sementara dalam laluannya ke destinasi.






Inilah realiti dalam kehidupan. Rasulullah SAW dan para sahabat yang berhadapan dengan ujian dan cabaran dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT.






Sehinggalah ada di kalangan mereka yang gugur syahid sebelum melihat kemenangan perjuangan.






Terdapat juga segelintir daripada mereka yang berpaling dan memisahkan diri daripada perjuangan kerana tidak sanggup berhadapan dengan kegagalan dan ujian yang dahsyat.






Inilah tapisan secara langsung daripada Allah SWT untuk melihat siapa yang benar dan siapa yang berdusta.






Maka, yang paling beruntung di kalangan mereka ialah sahabat-sahabat yang istiqamah dan tetap sabar menempuh keperitan mehnah dan tribulasi sehingga berjaya menegakkan agama Allah SWT dan seterusnya menyaksikan Islam disebarkan di seluruh pelosok dunia.






Rasulullah SAW juga berhadapan dengan ujian dalam kehidupan baginda. Baginda kehilangan ibu dan bapa di kala usia masih kecil. Kemudian diuji dengan kehilangan orang-orang dikasihi seperti isteri baginda Khadijah r.a dan bapa saudaranya Abu Talib.






Beberapa kali dakwah baginda ditolak oleh masyarakat Mekah sehingga beliau terpaksa berhijrah ke Madinah. Di Madinah, Rasulullah SAW dan para sahabat berhadapan dengan tentangan daripada kafir Quraisy Mekah, serangan dan pengkhianatan daripada Yahudi dan musuh-musuh Islam.






Namun, atas sifat sabar dan terus berusaha di samping pergantungan mutlak kepada Allah SWT, maka kejayaan dapat dikecapi.






Sebenarnya, sekiranya kita mengkaji kehidupan orang-orang yang berjaya seperti cendekiawan ulung, pemikir-pemikir hebat, usahawan dan golongan yang berjaya, kebiasaannya mereka pernah menempuh kegagalan.






Kisah yang paling menarik untuk kita hayati bersama ialah tentang tokoh inovasi terkenal, Thomas Alva Edison. Beliau telah menemui formula untuk menghidupkan mentol sehingga digelar Tukang Sihir dari Menlo Park.






Beliau berhadapan dengan pelbagai ujian dalam kehidupannya seperti pernah dibuang sekolah dan kerugian dalam perniagaan. Namun, semua itu dapat dipatahkan dengan semangat dan usaha yang tinggi.






Ketika mencipta mentol, beliau telah melakukan percubaan sehingga 1,000 kali. Bayangkan sekiranya beliau kecewa dan berputus asa pada kali ke 999. Tentunya kejayaan tidak akan diraih. Namun, dia tetap berusaha tanpa berputus asa dan belajar daripada setiap kegagalan yang dihadapi.






Kisah Thomas Alva Edison ini boleh kita jadikan inspirasi dalam meneroka kejayaan. Sebenarnya, kecerdikan beliau hanya menyumbang sebanyak 1 peratus daripada kejayaannya.






Namun, 99 peratus daripada faktor kejayaannya itu banyak bergantung kepada usaha yang dilakukan untuk bangkit dari kegagalan.






Oleh itu, orang yang ingin berjaya perlu bersedia untuk berhadapan dengan kegagalan.






Setiap kali berhadapan dengan kegagalan, kita perlu mengenal pasti kelemahan yang pernah kita lakukan terlebih dahulu. Ini untuk mengelakkan kita daripada mengulangi kesalahan dan kelemahan yang sama.






Sumber











Teruskan membaca..

Jaminan buat para belia dan remaja-Datuk Seri Najib Tun Razak








PM beri jaminan kepada belia




KUALA LUMPUR 7 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan para remaja dan belia di negara ini akan terus membangun bersama kerajaan, dalam sebuah negara yang aman, stabil serta sedang menuju ke arah masa depan lebih baik.






Perdana Menteri berkata, jaminan itu dibuktikan melalui keadaan negara masa kini serta segala perancangan rapi kerajaan menerusi pelan transformasi dan pelbagai dasar yang diamalkan.






Menurut beliau, berbeza dengan keadaan di Asia Barat, sesetengah negara Afrika malahan di Eropah yang mencatatkan kadar pengangguran sehingga 40 peratus, situasi belia di negara ini lebih terjamin melalui pelan strategik






"Belia Malaysia amat yakin dengan kepimpinan negara dan inilah perjalanan yang kita lalui dan agenda transformasi kerajaan,'' katanya.






Beliau yang juga Presiden Agung Persekutuan Pengakap Malaysia berkata demikian semasa berucap pada Program Ekspresi Remaja Bersama Perdana Menteri di Stadium Negara, di sini hari ini.






Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor selaku Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia.






Dalam pada itu, program tersebut yang julung-julung kali diadakan menyaksikan kehadiran 4,000 ahli Pandu Puteri dan 2,000 Pengakap dari seluruh negara.






Sementara itu, Rosmah berkata, generasi muda hari ini diseru menjadi insan terbilang, sekali gus diberi amanah membawa bangsa dan negara mencipta kejayaan lebih cemerlang.






"Apatah lagi kehebatan golongan belia menjadi cerminan kepada kekuatan kepimpinan secara tuntas bagi mengekalkan paksi kekuatan negara pada masa hadapan," katanya dalam ucapan pada program itu.





Sumber









Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...