
Najib hadiri
Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC
di Mekah
       
JEDDAH 12 Ogos - Keberkatan Ramadan terutama pada hari-hari terakhir  umat Islam menunggu kemunculan Lailatul Qadar menjadi pilihan Pertubuhan  Kerjasama Islam (OIC) mengadakan Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 pada  14 dan 15 Ogos ini di kota suci Mekah.
 
 
Inilah kali pertama, persidangan itu diadakan pada bulan Ramadan dan pemilihan tempat pula di As-Saffa Palace, Mekah.
 
Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan tetapi  komitmen yang ditunjukkan oleh ketua-ketua kerajaan amat menggalakkan di  mana setakat ini 25 ketua kerajaan dijangka menyertainya. 
 
Malaysia akan diwakili oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangka tiba awal pagi esok (Isnin).
 
Duta Besar Malaysia di Arab Saudi Prof. Datuk Syed Omar Syed Mohamad  Al Saggaf berkata, sesi luar biasa pada 14 dan 15 Ogos itu dijangka  mengeluarkan satu kenyataan bersama pada akhir persidangan yang akan  berlangsung di As-Saffa Palace, Mekah.
 
Ditanya isu yang akan dibincangkan, beliau berkata, pelbagai isu  mengenai perpaduan ummah terutama di negara seperti Palestin dan Syria  akan dibincangkan. 
 
Difahamkan setakat ini 56 negara dijangka menyertai sidang itu.
 
Menurut Syed Omar, kehadiran Perdana Menteri atas undangan Raja Arab  Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud pada bulan Ramadan ini  menunjukkan komitmen tinggi Malaysia terhadap OIC.
 
Kita faham kesibukan umat Islam pada malam-malam terakhir Ramadan  tetapi Perdana Menteri sedia meluangkan masa untuk memenuhi undangan ini  yang dianggap penting," katanya.
 
Pada masa yang sama ia juga menunjukkan peranan Malaysia amat penting dalam pertubuhan kerjasama negara-negara Islam itu. 
 
Bercakap kepada kumpulan wartawan Malaysia di sini petang ini, antara  kelainan persidangan kali ini adalah kerana ia berlangsung pada bulan  Ramadan, iaitu hari-hari terakhir umat Islam menjalani ibadah puasa.
 
Menurut program setakat ini, mesyuarat tersebut akan bermula pukul 11  malam selepas solat tarawih dan ketua-ketua negara dijangka bersahur  bersama Raja Arab Saudi. 
 
Inilah kali ke empat sidang luar biasa itu diadakan selepas penubuhan OIC dan kali terakhir berlangsung pada 2005.
 
Difahamkan ketua-ketua negara yang dijangka hadir ialah dari Bahrain,  Kuwait, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Yemen, Libya, Mesir, Turki,  Lebanon, Senegal dan Brunei. - UTUSAN
Sumber
