Maksud Kata Ganda
Kata ganda ialah perkataan yang mengalami proses pengulangan pada kata dasarnya. Dalam proses demikian itu, penggandaan boleh melibatkan seluruh atau sebahagian kata dasar. Kata dasar ini boleh juga digandakan secara serentak, yakni dengan perubahan bunyi tertentu, baik pada huruf vokal mahupun huruf konsonan.
Apabila perkataan mengalami penggandaan, maka wujud pelbagai makna. Antaranya termasuklah makna jumlah yang banyak, kepelbagaian, kesamaan atau keserupaan, nama haiwan, maksud tidak tentu, makna perbuatan yang berulang, dan perbuatan saling berbalasan, penekanan dan penegasan.
Lazimnya, kerap kali makna kata ganda itu mendukung erti jumlah yang banyak. Misalnya meja-meja bermaksud banyak meja, kereta-kereta bermaksud banyak kereta, sayur-sayuran bererti banyak sayur.
Selain itu, penggandaan juga membawa maksud kepelbagaian jenis. Contohnya, sayur-mayur mendukung makna pelbagai jenis sayur, kayu-kayan mermaksud berbagai-bagai kayu, lauk-pauk menunjukkan pelbagai jenis lauk, dan rempah-ratus menunjukkan makna pelbagai jenis rempah.
Bagi sesetengah perkataan, bentuk ganda membawa maksud kesamaan atau keserupaan. Misalnya, jika dikatakan orang-orang, maksudnya sesuatu yang seperti orang. Kuda-kuda bermaksud seperti kuda, langit-langit atau lelangit bererti seperti langit, gula-gula seperti gula manisnya, kehijau-hijauan mendukung maksud menyerupai warna hijau, dan kebodoh-bodohan bermaksud seperti orang bodoh.
Seterusnya, terdapat sejumlah perkatan berbentuk kata ganda yang merujuk nama haiwan. Antara contohnya termasuklah biri-biri (binatang ternakan yang berbulu tebal), rama-rama (sejenis serangga yang sayapnya lebar dan cantik), kunang-kunang (sejenis serangga yang mengeluarkan cahaya berkelip-kelip pada waktu malam). Kura-kura bermaksud sejenis binatang reptilia yang mempunyai kulit keras di belakang dan dapat hidup di air dan di darat; dan ayam-ayam (sejenis burung yang menyerupai ayam).
Maksud tidak tentu ialah maksud kata ganda yang seterusnya. Antara contohnya apa-apa, siapa-siapa atau sesiapa, mana-mana, bila-bila dan sesuatu. Jika kita diminta membuat pilihan sesuatu barang yang tidak ditentukan barangannya, maka kita bebas memilih mana-mana barangan yang kita suka; dan jika kita diminta melaksanakan satu-satu tugas tanpa ditetapkan waktu mula dan waktu selesai tugasan itu, maka kita mempunyai kebebasan untuk melaksanakannya pada bila-bila masa menurut kesesuaian dan kelapangan kita.
Perbuatan yang berulang ialah maksud kata ganda yang seterusnya. Misalnya: bertanya-tanya, berulang-alik, berlari-larian, dan mengibar-ngibarkan. Maksud berulang-ulang ini hampir sama pula dengan maksud kata ganda yang menunjukkan perbuatan yang berpanjangan. Contohnya berangan-angan, tersenyum-senyum, berkibar-kibar dan menanti-nanti. Perhatikan perbezaan maksud mengibar-ngibarkan dengan berkibar-kibar dalam contoh ayat yang berikut:
1. Di sepanjang jalan murid sekolah berdiri mengibar-ngibarkan bendera.
2. Ratusan bendera kecil berkibar-kibar di tepi jalan.
Bagi sesetengah kata kerja bahasa Melayu, penggandaan membawa maksud saling berbalasan. Contohnya bersalam-salaman, berlambai-lambaian, kejar-mengejar, dan pukul-memukul. Maksud perbuatan saling berbalasan ini tersirat dalam ayat-ayat contoh yang berikut:
3. Apabila bertemu, mereka bersalam-salaman.
4. Kanak-kanak suka bermain kejar-mengejar di taman bunga.
Kebanyakan kata adjektif yang digandakan membawa maksud penekanan atau penegasan terhadap sifat yang dibawa oleh perkataan berkenaan. Contohnya, semuanya bijak-bijak (maksudnya semuanya sangat bijak), tinggi-tinggi belaka (semuanya amat tinggi), sepandai-pandai (tahap yang paling pandai), gilang-gemilang ( sangat gemilang), gelap-gelita (sungguh gelap), huru-hara (amat tidak teratur), dan kacau-bilau (sangat kacau).
Harus diingat, dalam bahasa Melayu jumlah banyak tidak hanya ditandai dengan penggandaan. Jika maksud banyak telah ada dalam ayat, tidak perlu kita menggunakan penggandaan lagi. Perhatilah beberapa kesalahan ayat yang berikut:
5. Semua murid-murid sedang berehat.
(seharusnya: Semua murid sedang berehat.)
6. Para guru-guru sedang bermesyuarat.
(seharusnya: Para guru sedang bermesyuarat.)
Jelaslah betapa banyak maksud yang terkandung dalam perkataan ganda bahasa Melayu. Dengan memahami maksud perkataan ganda tersebut, maka dapatlah para pelajar menggunakannya dengan tepat lagi persis dalam binaan ayat.