Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, June 8, 2011

Mewah Bahasa: Bangat kerja






Mewah Bahasa: Bangat kerja



SEORANG kontraktor berbual dengan ketua pekerjanya yang berasal dari Indonesia...



Halim: Wardi … kamu tau kan?




Wardi: Tau!!.... Eh …. tau apa Pak?!




Halim: Hah! Kamu ni macam-macamlah Wardi, kata tau, tapi tak tau pulak?



Wardi: Hahaha …. Saya tau, tapi tau apa? Sebab Bapak tidak cakap pun tentang apa?



Halim: Hehehe …. Saja je ….



Wardi: Tentang apa? Ada projek baru ke? Bila mula kerja??



Halim: Kamu ni!! Kira nak mula kerja baru aje … kerja lama pun tak siap lagi. Projek jambatan kat kampung Merbuk tu kena siapkan, kita dah lambat.



Wardi: Tak … saya rasa tidak, Pak. Enggak lambat … masih dalam jadual.



Halim: Tadi aku jumpa Tuan DO, dia kata jambatan tu kena siapkan sebab dua bulan lagi, menteri nak datang.



Wardi: Menteri mau datang?? Dia mau bikin apa datang sini??



Halim: Eh! Banyak songe pulak dia ni. Menteri nak datang …. baguslah!! Dia nak melawat rakyat kat kawasan ni, nak tengok apa yang kurang dan apa yang perlu diberi untuk keselesaan rakyat. Itu menunjukkan menteri di Malaysia ni prihatin dengan masalah rakyat!! Sebab menteri nak datanglah jambatan tu kena buat … kita dapat projek!!



Wardi: Menteri mau datang baru jambatan mau kasi buat?? Kalau dia tak datang, jambatan tak buatlah ya?!



Halim: Yalah … kalau tak ada jambatan, susahlah Menteri nak pergi kampung tu walaupun sungainya kecil aje, tak luas pun. Yang ada sekarang jambatan gantung untuk pejalan kaki dan motosikal je … kereta tak boleh lalu.



Wardi: Jadi jambatan tu untuk menteri lah yea?!



Halim: Isy!! Jangan cakap macam tu …. Sebab menteri tu datanglah orang kampung boleh dapat jambatan baru … kalau tak, alamat pakai jambatan gantung tu ajelah!!



Wardi: Untunglah bos yang dapat projek tu!!



Halim: Jambatan kecil, dapatlah kita … kalau sungai ni luas dan jambatannya besar dan panjang, memang tak merasalah, syarikat luar negeri dari Korea atau China la yang dapat!!



Wardi: Kenapa kalau jambatan panjang bos tak mau buat??



Halim: Bukan tak mau buat … tapi tak tau buat!! Tak ada pengalaman dan teknologi. Eh!! Kamu ni banyak soal jawab pulak … kamu jangan tanya lebih-lebih, kamu tu orang asing, nanti tak sambung kontrak …. Baru padan muka!!



Wardi: hehehe … sori la boss!!



Halim: Ha!! Sedar pun! Aku nak kamu bangat siapkan jambatan tu.



Wardi: Bangat apa boss!!



Halim: Bangat siapkan jambatan tu laa …. bangat apa pulak lagi!!



Wardi: Maaf pak, saya tidak ngerti apa itu bangat siap pak …
yang saya ngerti seperti cepat bangat, lambat bangat, cantik bangat … bangat siap tak tau pak!!



Halim: Kenapa kamu ni?? Itu pun tak tau!! Tuan DO tapi suruh kita membangatkan projek jambatan ni, upaya sempat siap bila menteri datang nanti. Memanglah kalau ikut perjanjian dulu, kita ada empat bulan lagi tapi menteri nak datang lagi dua bulan, kita mau tak mau, boleh tak boleh, kena siapkan juga sebelum menteri tu datang. Faham sekarang?!!



Wardi: Oo …. Mau kasi siap dua bulan ya boss??



Halim: Hah! tau pun .…



Wardi: Itu saya tau boss ... tapi .…



Halim: Tapi apa lagi??



Wardi: Tapi saya tak tau caranya …. Cara membangatkan tu …. Kalau cara yang biasa tu saya taulah. Ini cara barukah boss?



Halim: Cara biasalah … apasal tak tau pulah?? Dah lama kerja dengan aku pun masih tak faham lagi?!



Wardi: Kerja macam biasa saya faham boss, tapi tak pernah guna cara membangatkan ini!!



Halim: Macam biasalah, cuma bangatlah sikit!! Kasi pekerja kerja overtime ....



Wardi: Itu saya tau … yang tak tau tu apa maksud bangat. Kalau kami di Indonesia maksudnya amat sangat.



Halim: Tapi orang sini pulak maksudnya cepat … orang Kelantan yang cakap macam tu. DO tu tadi orang Kelantan. Dia yang suruh bangat!! Kamu tu kerja cari makan kat Malaysia ni, hah!! Belajar cakap cara orang sini ….



Wardi: Ya boss …. Ya! Ya!



Glosari:


  • Bangat - (Kelantan) cepat, lekas, segera



  • Membangatkan - mencepatkan, menyegerakan, melekaskan; (Indonesia) amat sangat, terlalu

















Teruskan membaca..

Amal doa pagi, petang atasi masalah jiwa







Persoalan Agama:


Amal doa pagi, petang


atasi masalah jiwa



MENGAPA orang sekarang lebih banyak yang mengalami gangguan jiwa daripada orang dulu, sedangkan mereka sudah memiliki harta yang banyak. Ada yang mengatakan mereka sudah memiliki segala-galanya, namun jiwa terasa kosong. Boleh ustaz jelaskan.



FIRDAUS,
Kuala Lumpur.



Alhamdulillah wassolatuwassalam ‘ala rasulillah waba’d.





Imam Muhammad Mutawalli Asy-Sya’rawi menjelaskan dalam kitab beliau Anta Tas’alu wa Islaamu Yujiibu seperti berikut: “Orang beriman menghadapi tiap persoalan kehidupan dunia dengan memohon pertolongan Allah dan bertawakal kepada-Nya. Apabila ia gagal mencapai apa yang dicita-cita, ia tidak susah hati dan bersedih meskipun ia sedar bahawa kegagalan itu adalah kerana persediaan yang kurang sempurna.



Orang yang tidak beriman bergantung nasib dalam usahanya kepada kesempurnaan persediaan. Apabila gagal, dia gelisah, fikirannya terganggu, hatinya risau, takut yang menyebabkan sakit jiwa dan akhirnya bunuh diri. Keadaan seperti ini banyak kita jumpa di negara maju bukan Islam. Negara seperti ini ramai rakyatnya terkena gangguan jiwa.




Lalu orang pun bertanya mengapakah di negara maju berlaku ramai yang menghidap gangguan jiwa? Bukankah yang sepatutnya kena adalah masyarakat di negara yang sedang berkembang atau negara yang mundur?




Mereka iaitu orang yang mengabdikan diri dengan ilmu pengetahuan dan membuang agama dari diri. Apabila keimanan lenyap dari jiwa manusia, akan lenyaplah ketenangan, ketenteraman, kebahagiaan dan rasa reda.



Apabila jiwa kosong dari iman, lalu ia terjun ke dalam perjuangan hidup untuk memiliki kekuasaan dan ia gagal, maka mudah saja ia terkena gangguan jiwa dan menjadi gila. Seorang Muslim yang tidak memiliki iman yang kuat, mudah terkena penyakit itu. Dalam kesibukannya ia lupa kepada Allah SWT lalu Allah SWT pun melupakannya.



Yang dikerjakan dan diusahakannya hanyalah mengumpul harta dan hidup mewah. Apabila lupa itu dibiar berlarutan tanpa cuba diatasi, ia akan membawa kepada kufur akan nikmat Allah, lalu ia akan lupa diri, hilang kebahagiaan atau mudah sakit jiwa.



Nabi SAW menyuruh umatnya agar mengamalkan doa pagi dan petang bagi mengatasi masalah jiwa, antaranya seperti diriwayatkan oleh Abu Daud, daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a iaitu:



“Allahumma inni a’uzubika minal hammi walhazan. Wa’a’uzubika minal ‘ajzi wal kasal wa’a’uzubika minal jubni wal bukhli, wa ‘a’uzubika min ghalabatid daini waqahrir rijaal (yang bermaksud: Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada rundungan sedih dan duka. Aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Aku berlindung kepada-Mu dari beban hutang dan penindasan orang).”



Kedua, hendaklah mendekati al-Quran dengan membaca, memahami dan berusaha mengamalkannya dalam kehidupan nescaya anda akan menemui kebahagiaan bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat.



Al-Quran adalah penyembuh yang paling berkesan mengubat penyakit jiwa seperti firman-Nya dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud: “Wahai umat manusia!




Sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.” Demikianlah, wallahua’lam.






















Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...