KUALA BERANG – Lambang menyerupai kalimah ALLAH SWT yang terdapat pada puntung rokok yang dijumpai dalam bekas habuk rokok seorang lelaki di rumahnya mengejutkan banyak pihak termasuk kawan sepejabatnya.
Junaidi Jusoh, 25, yang berasa hairan dengan penemuan itu curiga dengan lambang yang terdapat pada puntung rokok berkenaan yang dianggapnya sengaja diwujudkan pihak tidak bertanggungjawab.
“Lambang yang tercetak pada puntung rokok dipercayai rokok dari luar negara ini mungkin perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mahu perlekehkan kalimah berkenaan.
“Jika penghisap rokok membuang puntung rokok ini di serata tempat dan dipijak, ia seolah-olah menghina agama Islam yang sepatutnya diangkat tinggi martabatnya.
“Pada mulanya saya terkejut dengan penemuan ini dan berfikir kenapa ada pihak yang sanggup mencipta lambang yang menyerupai kalimah ALLAH SWT sedangkan ia tidak harus berlaku,” katanya.
Menurutnya, dia menghubungi Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu untuk memaklumkan hal berkenaan dan beberapa kakita-ngan daripada jabatan itu tampil serta melihat sendiri punting rokok yang dimaksudkan.
“Menurut perbincangan saya dan kakitangan itu, mereka memberitahu rokok ini memang ada dijual dan dari luar negara yang diseludup masuk ke sini, tetapi lambang yang dicetak pada puntung rokok tidak sepatutnya menyerupai kalimah ALLAH SWT kerana ia menimbulkan keraguan kepada orang ramai,” katanya.
Junaidi yang berasal daripada Kampung Bukit Kolam berkata, lambang puntung rokok seperti itu memang menimbulkan syak baginya dan begitu juga rakan lain yang turut melihatnya.
“Walaupun tidak menyerupai sepenuhnya, tetapi apabila seakan-akan kalimah ALLAH SWT, lambang berkenaan tidak harus diletakkan pada rokok kerana selepas dihisap ia akan dibuang dan berisiko untuk dipijak dan sebagainya.
“Saya harap pihak berkenaan pantau isu sebegini kerana percaya semua itu ada muslihat tertentu,” katanya.