Terus berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Semoga anak didik menjadi anak Malaysia. Berwawasan, berilmu, berdaya saing, majulah negaraku Malaysia.
Kenalkah kau suara air menitis pada keras batu mengukir wajah tekun pada alur dan kerikil tajam sepi di gua menafsir lembut zikir syahdunya melarik runcing tanah dan batu melentur silau panas mentari gua hidup menghampar dalam gelapmu ketabahan dan ketekunan jitu manusia bergelar guru.
Masih ingatkan kau pada gelita malam tatkala manusia nanar dalam pencarian mencari jejak yang retak meneka takdir mimpi dengan lembut dia berdiri menabur bakti memberimu cahaya dari sinar tuhannya biarpun sedikit demi sedikit titis demi titis luruh terbakar dan kehilangan diri, kehilangannya tak pernah berganti.
Lupakah kau pada pengukir itu tekun berdiri mengukir mimpi melarik cinta hari dewasa berapa banyak debu pahit berjelaga di dalam hati berkumpul di pangkal jantung, sekalipun arca hidupnya retak seribu mimpimu juga ditenung diukir menjadi gambar abadi.
Dialah lembut suara air di tengah gua batu guru yang faham erti kepayahan menyulam perkerti dalam manis budi.
Dialah dian kerdil memberi suluh pencarian pendidik yang menerima kepayahan demi kesenangan anak didik di hari muka.
Dialah penekun tabah mengukir waktu pengajar bermandi keringat dalam debu dan batu-batu.
Dialah Manusia kecil yang sering memberi apa yang kita tidak tahu menafsir rahsia ilmu yang tertulis dengan bahasa kalbu.
Simpanlah di ingatanmu diksi kata pujangga; Guru laksana ombak tak jemu-jemu mendambai pantai
Guru seumpama dian membakar diri menerangi cahaya
Guru ibarat pengukir menitip jejak perjalanan hari muka
Guru bagaikan suara air di gua tekun titis lembut membelah batu.
KEGIATAN kokurikulum yang membabitkan aspek pendidikan muzik dan kesenian menjadi semakin penting dan sentiasa mendapat sambutan hebat daripada pelajar.
Kini, pembabitan warga pendidik dan pelajar dalam kegiatan seumpama itu dilihat berupaya melonjakkan elemen kokurikulum ke mercu yang lebih berdaya dinamik.
Demikian juga halnya dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu yang sinonim dengan pasukan pancaragamnya.
Sekolah berkenaan sering menjuarai pelbagai pertandingan sama ada di peringkat daerah, negeri mahupun peringkat kebangsaan, malah pernah mewakili Malaysia ke pertandingan di peringkat antarabangsa.
Ketua Guru Penasihatnya, Teo Gim Phey berkata, penubuhan pasukan pancaragam itu bermula hasil idea dan usaha gigih mantan pengetua, Wee Beng Tan pada 1985 dengan matlamat membuka ruang kepada pelajar berkecimpung dalam bidang seni muzik sebagai antara kegiatan kokurikulum utama.
Sejak itu, pasukan pancaragam sekolah itu tidak menoleh ke belakang lagi, sebaliknya terus berusaha gigih sehingga muncul sebagai antara pasukan pancaragam terkenal.
"Saya lihat sambutan daripada pelajar sangat baik dan ini petanda kegiatan dalam seni muzik pancaragam menjadi ikon baru di kalangan pelajar sekolah.
"Untuk menjadi ahli pasukan, pelajar dinilai daripada segi minat, disiplin dan bakat bermain alat muzik," katanya.
Menurutnya, aspek utama yang diberi perhatian adalah minat dan disiplin diri kerana bakat boleh dipelajari dan ditingkatkan dari semasa ke semasa apabila seseorang pelajar itu menjadi ahli pasukan.
Katanya, sesi latihan dijalankan dengan ketat di mana setiap ahli pasukan wajib menghadirinya tanpa gagal dan dalam sesi itu, ahli lama dan baru dipisahkan ketika sesi latihan untuk memudahkan jurulatih memberi tumpuan.
"Setiap kumpulan mengadakan latihan dua kali seminggu dan latihan penuh bersama ahli baru dan lama sekali sebulan.
"Selain itu, kami menekankan kepada sesi latihan mengadakan persembahan secara kawat formasi sebagai persediaan menghadapi sesuatu pertandingan," katanya.
Antara kejayaan dicapai pasukan itu adalah muncul juara 12 tahun berturut-turut dari 1999 hingga 2010 di peringkat negeri dan lebih membanggakan, mereka pernah mengadakan persembahan di Shanghai, China pada 2009.
Pelajar, Tan Kian Hua, 15, yang juga drum major pasukan meluahkan rasa bangganya kerana terpilih mewakili pasukan pancaragam sekolahnya.
Katanya, dia berasa sangat terharu apabila diberi kepercayaan memikul tanggungjawab sebagai drum major.
"Saya sedar tugas ini sangat berat dan memerlukan komitmen dan fokus tinggi, tetapi setakat ini saya mampu melakukannya dengan baik hasil bimbingan jurulatih.
"Lagipun, rakan sepasukan sangat kental dan memberi kerjasama selain saling membantu dan berdisiplin," katanya.
Rakannya, Lai Kok Chien, 17, yang bermain alat perkusi berkata, minatnya dalam bidang itu berputik sejak melihat rakannya bermain pancaragam.
"Melalui aktiviti seumpama ini saya mampu memantapkan kemahiran dalam muzik, malah juga dididik supaya sentiasa berdisiplin," katanya.
Sementara itu bagi Amanuddin Ariffin, 16, dia mendapat dorongan dan sokongan kuat daripada ibu bapanya, sekali gus membuatnya teruja menyertai pasukan itu.
"Saya bangga kerana menjadi antara pelajar yang berjaya menyumbangkan sesuatu untuk menaikkan nama sekolah melalui pertandingan pancaragam.
"Saya juga sangat optimis pasukan sekolah saya akan terus cemerlang pada tahun akan datang kerana persembahan barisan pelapis semakin hebat," katanya yang bermain quintton.
Seorang lagi ahli pasukan, Muhd Rifqi Danial Abdul Ghafar, 15, yang bermain alat saksafon mengatakan, tidak rugi bagi seseorang pelajar bergiat dalam bidang muzik pancaragam, malah kegiatan itu berupaya merangsang minda untuk cemerlang dalam akademik.
"Saya berharap lebih ramai pelajar turut sama menyertai kegiatan muzik pancaragam ini kerana ia menambah kemahiran dan pengalaman, sekali gus menjana ketrampilan diri yang unggul," katanya.
Sesungguhnya muzik dan pasukan pancaragam menjadi satu simbol kecemerlangan SMK Chung Hwa Wei Sin di persada dunia pendidikan negara.
INFO > Pasukan Pancaragam SMK Chung Hwa Wei Sin dianggotai 140 pelajar > Ditubuhkan pada 1985 dengan motto Swadaya yang bermaksud 'kekuatan dengan keupayaan sendiri' > Memenangi banyak pertandingan yang disertai > Diterajui oleh Ketua Guru Penasihat, Teo Gim Phey
>PROFIL NAMA: Tan Kian Hua UMUR: 15 tahun POSISI: Drum Major HOBI: Bersukan CITA-CITA: Juruterbang
>PROFIL NAMA: Lai Kok Chien UMUR: 17 tahun POSISI: Bermain alat perkusi HOBI: Bersukan dan mendengar muzik CITA-CITA: Usahawan
>PROFIL NAMA: Amanuddin Ariffin UMUR: 16 tahun POSISI: Bermain Quintton HOBI: Membaca novel, bersukan dan bermain alat muzik CITA-CITA: Jurutera
>PROFIL NAMA: Muhd Rifqi Danial Abdul Ghafar UMUR: 15 tahun POSISI: Bermain saksafon HOBI: Bersukan dan bermain permainan komputer CITA-CITA: Pramugara