Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, December 12, 2013

Kepimpinan berprestasi tinggi

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi9XMShx-js90JoTEhalKqsR7NyuAKCzAA8ZCH4cg5Z8IH356qK2rKIb4W2QtOlbBeMkR_-N25_zKUgi3BtSj9Dg0_edB9wGdBqWgnZ_-AW8y6RnCdKDKwq0_rZNv6Enjj_XqLa8riT-aQ/s1600/kepimpinan-adalah-satu-amanah.jpg



Kepimpinan berprestasi tinggi 
oleh
Cikgu Sidek Baba
KEPIMPINAN berprestasi tinggi amat diperlukan di peringkat Kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan juga sekolah. Perlu ada korelasi yang erat di antara kepimpinan di setiap peringkat supaya sebarang dasar dan strategi baru yang dirumuskan oleh kementerian dapat diterjemahkan dengan baik.









Kualiti kepimpinan sekolah merupakan faktor berasaskan sekolah yang kedua terpenting, selepas kualiti guru dalam menentukan keberhasilan murid. Beberapa kajian antarabangsa tentang kepimpinan sekolah menunjukkan pengetua/guru besar yang cemerlang, iaitu yang memberi tumpuan kepada kepimpinan instruksional dan bukannya kepimpinan pentadbiran, dapat meningkatkan keberhasilan murid sebanyak 20 peratus.








Walau bagaimanapun, kriteria pemilihan yang diamalkan pada masa ini sebahagian besarnya ditentukan berdasarkan tempoh perkhidmatan dan bukannya kecekapan kepimpinan. Pengetua/guru besar cemerlang akan diberikan insentif untuk berkhidmat di sekolah berprestasi rendah, dan akan berperanan sebagai mentor dalam komuniti yang lebih luas.







Asas kepimpinan di setiap sekolah akan diperkukuh iaitu dengan membangunkan dan menjadikan guru penolong kanan, ketua bidang dan ketua panitia sebagai pemimpin instruksional. Pemimpin instruksional tidak saja mahir dalam hal-hal mekanistik kepimpinan sekolah tetapi mampu membentuk watak murid.








Setiap pengetua/ guru besar diperlukan mendapatkan sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi kepimpinan pendidikan (NPQEL) daripada Institut Aminuddin Baki (IAB) sebelum boleh dilantik sebagai pengetua/guru besar. Ia bagi membolehkan daya kompetensi kepimpinan meningkat dan keberhasilan murid bertambah.








Pengetua/guru besar mempunyai keluwesan untuk berkhidmat di sekolah rendah atau menengah melalui satu laluan perkhidmatan awam guna sama yang baharu. Mereka akan dinilai setiap tahun menggunakan satu instrumen penilaian baharu yang memberi penekanan kepada keupayaan kepimpinan dan peningkatan keberhasilan murid.








Keluwesan ini termasuklah perkara yang melibatkan kepimpinan instruksional seperti perancangan peningkatan sekolah, perancangan kurikulum dan kokurikulum dan juga berkaitan dengan kepimpinan pentadbiran seperti agihan peruntukan sekolah.







Sepertimana guru, aspirasi bagi pemimpin sekolah adalah untuk membina budaya kecemerlangan profesional pimpinan teladan rakan setugas. Pemimpin sekolah membimbing satu sama lain, membangunkan dan menyebarluaskan amalan terbaik, dan sama-sama bertanggungjawab bagi mencapai standard profesional.








Pendekatan kolaboratif ini penting kerana ALLAH tidak mengurniakan semua bakat kepimpinan kepada seseorang. Adanya asas kolaboratif atas muafakat di kalangan kepimpinan kependidikan membolehkan sikap saling melengkapi terjadi. Potensi yang ada dikongsi supaya manfaat instruksional dinikmati oleh murid.







Ia memerlukan kekuatan dalam diri pengetua/guru besar menghubungkan pendidikan sebagai suatu proses mengadabkan insan. Ia memerlukan disiplin kognitif atau akal yang tinggi, kekuatan dalam diri yang ampuh dan diterjemahkan dengan disiplin amal yang sifatnya menyumbang.







Kualiti kepimpinan seperti ini amat perlu untuk respons kepada sasaran pendidikan dan latar murid yang berbeza. Ia tidak saja memerlukan ilmu yang kukuh tetapi pendekatan instruksional yang berkesan supaya maksud pendidikan tidak hanya sekadar membangun keperluan kognitif atas maksud peperiksaan tetapi juga membangun watak dan sahsiah untuk dijadikan sumber teladan.







Kepimpinan sekolah amat penting menghubungkan peranannya sebagai suatu taklif atau amanah keguruan yang tinggi bagi membentuk generasi penerus yang memiliki kualiti pencapaian akademik yang terus meningkat di samping kualiti watak yang menjadi contoh mithali.






Hal ini menjadi matlamat akhir menghasilkan kualiti kepimpinan dan kepengikutan. Korelasi antara keduanya amat penting dibangunkan supaya wujud gerak muafakat ke arah amanah bersama iaitu menghasilkan generasi berprestasi tinggi yang bakal menyumbang kepada diri, masyarakat dan negara.






Teruskan membaca..

Keputusan PMR diumumkan 19 Disember ini


http://iprom.edu.my/v1/wp-content/uploads/2011/12/Exam-results.jpg

Keputusan PMR diumumkan 19 Disember ini 

 

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 akan diumumkan pada 19 Disember ini, demikian menurut Kementerian Pendidikan. 
 
 


Dalam satu kenyataan di sini hari ini, kementerian itu memaklumkan calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing selepas jam 10 pagi, pada hari yang sama.
 
 
 
"Calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan PMR melalui mySMS 15888 yang diaktifkan mulai 10 pagi 19 Dis hingga 11.59 malam, 25 Dis," menurut kenyataan itu. 
 
 


Seramai 462,940 calon menduduki peperiksaan PMR di 3,530 pusat peperiksaan di seluruh negara tahun ini. - BERNAMA 
 
 
 
Teruskan membaca..

Bahasa Melayu bahasa ilmiah


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg0RgWRE7qz301wTReJ3TdO4_bBRnKiF1t4vzs3-xl0XEj8aUTUMSTFArQHV4qrj4R7Z9Xu8diwwzg2vFWtd9Ei-nvn-MHCjDauga5qXLK1QKrDU7FgGImYj4xFEE_ArJpLpRAjTWQ-lkha/s1600/bmmmm.jpg


Bahasa Melayu bahasa ilmiah

 

Kuala Lumpur: Kemenangan Penerbit Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merangkul empat hadiah dalam Anugerah Buku Negara 2013 Kategori Industri Buku membuktikan bahasa Melayu berupaya diangkat sebagai bahasa ilmu termasuk bidang sains dan teknologi.
 
 
 


Pengarahnya, Dr Kassim Thukiman, berkata pihaknya memenangi kategori kreatif dan inovatif, kategori kejuruteraan dan kategori Islamik, selain novel terbaik (fiksyen sains dan teknologi) terbitan bersama penerbit swasta. 
 
 
 

Buku itu ditulis sarjana kami iaitu Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan, Prof Datuk Seri Dr Zaini Ujang, ketika menjawat Naib Canselor; Muhammad Nazri Mohd Jaafar, Mohammad Shaiful Ashrul Ishak dan Tamar Jaya Nizar. 
 
 
 


Martabat bahasa Melayu
 
 


Kemenangan itu menunjukkan usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu memberi penekanan dengan mengangkatnya sebagai bahasa ilmiah, katanya kepada BH selepas Majlis Penyampaian Anugerah Buku Negara 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
 
 


Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah menyampaikan hadiah kepada 30 pemenang pelbagai kategori Anugerah Buku Negara 2013.
 
 


Kassim berkata, kejayaan memenangi kategori paling banyak melalui buku dalam bahasa Melayu itu memberi semangat kepada Penerbit UTM untuk menerbitkan buku ilmiah dalam bahasa Melayu, sekali gus menjadi petunjuk kepada pihak lain terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. 
 
 
 
 

Sejak awal lagi, Penerbit UTM banyak menerbitkan buku ilmiah dalam bahasa Melayu sehingga pernah mencapai 80 peratus daripada keseluruhan terbitannya, tetapi pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) memberi kesan kepada penerbitan buku ilmiah tanah air mutakhir walaupun ia dilaksanakan di sekolah.


Justeru dengan kepimpinan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melalui dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) diharap akan melonjakkan penerbitan buku sains dan teknologi dalam bahasa Melayu, katanya.
 
 


Sementara itu, Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron, berkata kemenangan pihaknya meraih tiga hadiah Anugerah Buku Negara 2013 hasil usaha semua pihak termasuk penulis, editor, penyusun atur dan kakitangan ITBM. 
 
 
Sumber
Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...