Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, December 7, 2011

Usah ambil hak orang


BAGI mengingatkan umat Islam mengenai hal ini, Allah SWT berfirman:


“Dan janganlah sebahagian kamu

memakan harta sebahagian yang lain

di antara kamu dengan jalan yang batil

dan (janganlah) kamu membawa (urusan)

harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat

memakan sebahagian daripada harta benda

orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa,

padahal kamu mengetahui.”

(Al-Baqarah: 188)




Imam ibn Al-Arabi menegaskan, ini adalah satu daripada kaedah utama dalam muamalat Islam dan asas bagi semua kontrak pemilikan. Erti ‘makan’ dalam ayat itu ialah penerimaan pemberian dan penguasaan. Digunakan lafaz ‘makan’ sebagai perumpamaan saja.




Manakala maksud al-bathil menurut Ibn Al-Arabi:



“Apa saja yang tidak halal menurut syarak seperti riba, gharar dan seumpamanya yang tiada satu faedah dan manfaat (buat Islam).”





Imam Al-Qurtubi pula memasukkan perjudian, pertaruhan, penipuan, rampasan, khianat, mengingkari hak orang lain yang sebenar, mengambil hak orang lain tanpa direstuinya, upah pelacuran, upah tukang tilik, bomoh, harga dan untung jualan arak, babi serta yang memang jelas menyalahi hukum Islam adalah tergolong dalam makanan harta secara batil.





Ini sebagaimana dinyatakan beliau: “Sesiapa yang memakan harta orang lain tidak di atas landasan izin syarak, dia makan secara batil.”





Syeikh Rashid Ridha meluaskan lagi bentuk dan erti ‘batil’ kepada apa saja bentuk bayaran yang tidak mempunyai nilai timbal balik pada pandangan syarak yang sebenar.





Begitupun, mungkin ada yang akan bertanya mengenai hukum terhadap hak ke atas harta yang dimenangi membabitkan proses kehakiman di mahkamah dengan alasan harta berkenaan disahkan oleh hakim.





Mengenai hal ini, Imam Al-Qurtubi menjelaskan:



“Barang siapa memakan secara batil, walaupun jika seorang hakim memutuskan kemenangan kepadamu, sedang kamu sesungguhnya tahu kamu (hakikatnya) bersalah (menipu), yang haram tidak akan sesekali menjadi halal dengan keputusan hakim itu, dia hanya memberikan hukum berdasarkan zahir dan bukti, dan inilah (hukum yang) ijma.” (Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 2/338)





Pandangan ini jelas sebagaimana dinyatakan Rasulullah SAW bermaksud:



“Sesungguhnya aku hanya manusia

dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian

untuk diselesaikan olehku, dan mungkin

sebahagian kami lebih cekap berhujah

dari sebahagian lainnya, lalu aku memutuskan

hukuman berdasarkan apa yang aku dengar saja. "




“Barang siapa yang kujatuhkan

hukuman dan hukuman itu mengambil hak

yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujah),

janganlah kamu mengambilnya, sesungguhnya

ia bakal menjadi sepotong api neraka.”

(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi)





Kesimpulannya, umat Islam perlu mengambil berat mengenai perihal pendapatan mereka kerana dibimbangi mereka lupa mengenai objektif dalam mendapatkan harta serta pendapatan secara halal sehingga menganiaya pihak lain.





Secara ringkasnya, setiap kita perlu mengelak terbabit dalam mengambil hak orang lain (batil) seperti:




  • Menjual sesuatu yang memudaratkan masyarakat seperti menjual ubat dan makanan yang tamat tempoh, kesan buruk akibat tercemar atau mempunyai aib tapi disembunyikan.




  • Mendapatkan pendapatan daripada upah menjampi yang bercanggah dengan Islam.



  • Mengadakan kursus motivasi dengan ilmu karut dan meragukan seperti sandaran ramal masa depan sama ada melalui tarikh lahir, rupa paras dan yang sepertinya.



  • Menyalahgunakan pekerja sehingga mereka disuruh melakukan tugasan yang tidak dibayar setimpal serta dizalimi dari sebarang kenaikan walau mempunyai merit tinggi dan baik.



  • Mengambil upah hiburan (entertainment cost) daripada syarikat sebagai pra syarat untuk memastikan peluang kontrak dan tender sentiasa baik.



  • Sengaja berhutang dengan niat untuk tidak membayar semula dan sentiasa beralasan untuk melepaskan diri daripada pembayaran semula hutangnya walau dalam keadaan mampu.



  • Individu yang tidak termasuk dalam kategori asnaf zakat tetapi menerima wang zakat. Mereka juga ialah pemakan harta secara batil.



  • Individu yang mengambil dan menikmati harta wakaf secara peribadi dan menjadikannya sebagai hak miliknya secara tetap. Ini juga ditegah dan termasuk dalam harta batil.



  • Memakan dan menyalahgunakan harta anak yatim piatu.



  • Hadiah yang diberi oleh pelanggan atas alasan kononnya berterima kasih atas kecekapan dan bantuan kita selaku pekerja yang menyiapkan kerja tepat waktunya atau segera. Ia dinamakan wang ‘ghulul’ atau ‘khianat’ oleh Nabi SAW.



  • Mencipta dan menghasilkan filem, novel, penulisan majalah, artikel, kartun, animasi, drama, buku, cerpen dan sepertinya yang meraikan nafsu manusia, bertemakan nafsu dan hiburan bagi meraih keuntungan. Keuntungan yang diperoleh hasil daripada kerja ‘seni’ yang merosakkan jatidiri kemanusiaan.



  • Mencuri dan mengambil kesempatan di atas musibah yang menimpa orang lain.




  • Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Ibnu Abbas RA mendengar baginda Rasulullah SAW bersabda:




  • “Seandainya manusia memiliki dua lembah yang penuh dengan harta, nescaya dia mencari (lembah harta) yang ketiga. Tiada yang memenuhi isi perut manusia, kecuali tanah. Dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat.”












  • Teruskan membaca..

    Potret lucu Monalisa.



    SmileyCentral.com
































    Kucing Cerdik

    Dua orang perempuan

    sedang bercerita tentang kucing-kucing mereka.

    Keduanya saling membesar-besarkan cerita

    mengenai kepintaran kucing peliharaan mereka.





    Perempuan 1: Kucing aku hebat betul. Tiap pagi, dia tunggu penjual akhbar, kucing aku akan membawa akhbar tersebut ke tempat aku sedang bersarapan.”




    Perempuan 2: Ya, aku tahu tu.




    Perempuan 1: (hairan) Dari mana kau tahu?




    Perempuan 2: Kucing aku yang cerita.









    Teruskan membaca..

    Dosa-Dosa Dan Facebook




    Dosa-Dosa & Facebook



    Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.

    Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

    1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.

    Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.

    Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.

    Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.

    Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.

    Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.

    Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.

    2) Terlebih gambar

    Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.

    Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.

    Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.

    Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.

    Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .

    3) Penyamaran

    Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.

    Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.

    4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.

    Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

    Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.

    Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.

    5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.

    Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.

    Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.

    Ini boleh menjadi dosa, kerana :-

    a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.

    b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.

    c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.

    6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan

    Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.

    Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.

    Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.

    KESIMPULAN



    Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.

    Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.

    Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.

    Sekian

    Oleh

    Zaharuddin Abd Rahman

    www.zaharuddin.net



    Teruskan membaca..

    Budak Indon




    Mewah Bahasa:


    Budak Indon


    pix_gal0


    PADA hari pendaftaran masuk
    di sebuah kolej swasta di ibu kota,
    Asyraf ditempatkan dalam bilik asrama.
    Sedang Asyraf berbual-bual dengan Amirul,
    tiba-tiba seorang pelajar masuk ke bilik tersebut ….



    Asyraf: Ya ….


    Irfan: Oh! Ini kamar sayalah ya?!

    Asyraf: Haa … kalau gitu kita ni room matelah.
    Eh!! Masuklah, bawa beg tu masuk ….



    Irfan: Ya, ya … tapi sebentar tadi
    katanya satu kamar berdua.



    Asyraf: Ya! Berdua ….


    Irfan: Tapi ….


    Asyraf: Ooo …. Yang ini kawan saya, dia bilik lain.
    Dia datang lepak-lepak kat sini ….
    Eh! Lupa pulak, saya Asyraf dan yang ni
    kawan saya Amirul.



    Irfan: Ya! Selamat berkenalan, saya Irfan, dari Indonesia.


    Amirul: Ooo ... dari Indonesia?!
    Kenapa belajar kat sini?



    Irfan: Ini kolej internasional, diiktiraf seluruh dunia.
    Dibandingkan dari negara lain, feesnya lebih murah
    dan kos hidup juga lebih murah jika dibanding
    dengan Singapore dan Australi.



    Amirul: Patutlah ramai budak Indon belajar kat sini ….


    Irfan: Eh! Maaf ya, tolong jangan hina kami seperti itu!


    Amirul: Hina? Siapa yang hina?


    Irfan: Itu … perkataan itu!!
    Kami dari Indonesia bukan budak!!
    Orang Malaysia sering menghina kami sebagai budak.



    Asyraf: Bukan, kami tak pernah hina orang Indon,
    orang Indon yang selalu hina kami.
    Tengok masa sukan SEA,
    orang Indon hina lagu kebangsaan kami!!
    Apa yang orang Indon marah sangat kat orang Malaysia ni?



    Irfan: Masakan tidak marah!
    Kami sering dihina seperti ini, sering digelar
    sebagai budak dan kami juga digelar Indon.
    Ini yang kami marah!!



    Amirul: Aik!!
    Panggil budak pun marah?!



    Irfan: Hah!!
    Siapa yang tidak marah jika digelar budak??



    Asyraf: Eh! Nak marah apa pulak?
    Biasalah kita panggil budak. OK ...
    janganlah kita bergaduh, kita baru aja berjumpa
    dan berkenalan dan akan jadi rakan sekursus
    selama tiga tahun kat sini.
    Rasanya ni semua salah faham aje ni ….



    Amirul: A’ a, laa … buat apa gaduh-gaduh,
    mari kita selesaikan ….



    Irfan: Ya, ya, … tapi hati saya dan hati rakyat Indonesia
    terluka apabila digelar budak.
    Memang benar, sangat ramai orang Indonesia
    bekerja sebagai buruh dan pembantu rumah tangga di sini,
    tetapi kami bukan budak, kami adalah pekerja!!



    Asyraf: Eh!! Apa yang jadi isu sangat pasal perkataan budak ni??
    Apa makna budak ni dalam bahasa Indonesia?



    Irfan: Budak, bagi kami di Indonesia sama ertinya dengan
    slave dalam bahasa Inggeris!!



    Amirul: Oooo ... patutlah marah sangat!!
    Mereka ingat kita mengata mereka tu sebagai hamba abdi
    sebab banyak bekerja sebagai buruh binaan dan pembantu rumah.



    Asyrafl: Laa … gitu ke?! Kami bukan maksud macam tu.
    Kami di sini, budak tu maksudnya orang muda
    dan kadangkala juga bermaksud orang.
    Kalau dikatakan budak Indon, maksudnya
    orang Indonesia atau orang muda Indonesia.
    Tak ada maksud tak baik pun.



    Amirul: Haa …. Betul tu Irfan,
    kita pelajar kolej ni pun orang akan panggil budak kolej,
    yang masih bersekolah di panggil budak sekolah.



    Irfan: Ooo …. Begitu ya?!
    Bahasa kita serupa tapi tidak sama,
    maka terjadilah salah faham!!
    Tapi ada satu lagi yang orang Indonesia tidak suka ….



    Amirul: Apa pulak lagi??


    Irfan: Gelaran Indon itu, kami tidak suka,
    seolah-olah memperkecilkan bangsa kami!!



    Asyraf: Habis tu nak panggil apa?


    Irfan: Dengan penuh, Indonesia ....


    Amirul: Huh!!
    Sensitif betul orang Indonesia ni.



    Irfan: Ya, kami sensitif kerana kami punya
    semangat patriotik yang tinggi!



    Amirul: Ya, ya ... yang itu saya setuju!!
    Orang Malaysia kurang semangat patriotik ….





    Glosari


    Budak - (Indonesia) hamba abdi


    Nota Kaki


    Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan juga bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku.


    Bersama Prof Madya Dr Nor Hisham Osman






    Prof Madya Dr Nor Hisham Osman


    Pensyarah Jabatan Linguistik,


    Akademi Pengajian Melayu (APM),

    Universiti Malaya.











    Teruskan membaca..

    KEMELUT graduan ISMP





    Graduan ISMP terpilih jadi guru mesti beri komitmen, tak banyak kerenah



    KEMELUT kira-kira 5,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) lepasan institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang mendakwa digantung tidak bertali oleh Kementerian Pelajaran sudah terlerai. Kelmarin, mahasiswa ISMP lepasan IPTA yang sebelum ini mendakwa dianaktirikan kementerian kerana lebih mengutamakan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) untuk diserap sebagai guru tetap, mendapat jaminan daripada Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi sendiri, mereka akan ditempatkan di sekolah menengah seluruh negara mulai Januari ini.



    Komitmen kerajaan dalam isu ini amat dihargai kerana ia jelas menunjukkan kerajaan mahu mengatasi masalah pengangguran graduan ISMP, sekali gus memberi petanda jelas kerajaan tidak mengabaikan nasib graduan terbabit, sebaliknya berusaha membantu mereka mendapatkan pekerjaan setaraf dengan kelulusan mereka. Perkembangan ini juga jelas menunjukkan kerajaan benar-benar serius untuk memberikan tumpuan kepada pembangunan modal insan bagi melahirkan generasi masa depan yang cemerlang dengan mengambil graduan ISMP menjadi tenaga pengajar di sekolah menengah, sekali gus membantu kerajaan memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.



    Kita juga menghargai kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi menerusi penubuhan jawatankuasa bersama bagi menyelesaikan pelbagai masalah tertangguh yang dihadapi graduan ISMP, terutama dalam soal penempatan sekolah mengajar. Kita berharap Kementerian Pelajaran dapat menggunakan peruntukan RM50.2 bilion untuk sektor pendidikan melalui Bajet 2012 lalu bagi menyelesaikan isu berkaitan guru, termasuk soal penempatan guru yang membabitkan lepasan IPTA. Bagi graduan terpilih, mereka seharusnya bersyukur dengan tidak pula menimbulkan pelbagai kerenah kepada kementerian apabila dihantar bertugas di sekolah luar bandar, kawasan hulu atau pedalaman.




    Keprihatinan kerajaan mengenai nasib mereka perlu diberikan balasan sewajarnya dengan memberikan komitmen penuh mendidik anak bangsa supaya menjadi pelajar cemerlang. Pada masa sama, kita berharap GSTT yang ada dan belum diserap sebagai guru tetap tidak bimbang dengan masa depan mereka kerana peluang diberikan kepada mahasiswa ISMP hanya untuk mengisi kekosongan guru di sekolah menengah. Apapun keputusan yang dibuat kerajaan, baik membabitkan lepasan ISMP, institut perguruan dan GSTT, ia hanya bermatlamatkan mahu memenuhi aspirasi Dasar Pendidikan Kebangsaan.


    Teruskan membaca..

    Klinik UPSR 2012 (Fasa 1)





    Klinik UPSR 2012 (Fasa 1)


    Kekosongan tempat di Kuala Lumpur, 17 - 18 Disember 2011


    CALON Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu merebut peluang mengikuti program bimbingan peperiksaan berkualiti anjuran Unit Pendidikan Berita Harian yang akan berlangsung sepanjang tahun 2012 di beberapa lokasi seluruh negara.


    Bersempena dengan cuti sekolah akhir tahun 2011, Unit Pendidikan Berita Harian akan menganjurkan Klinik UPSR 2012 (Fasa 1) peringkat Kuala Lumpur di Dewan Seminar NSTP, 31 Jalan Riong, Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Disember 2011 bersamaan hari Sabtu dan Ahad.



    Klinik yang memfokuskan teknik belajar bagi setiap subjek iaitu Bahasa Melayu (Pemahaman & Penulisan), Bahasa Inggeris, Mathematics dan Science di samping menerapkan elemen motivasi akan dibimbing guru pakar dan penulis Fokus UPSR Didik.


    Pendaftaran terus boleh dibuat di Kios Pendidikan Berita Harian, Balai Berita, 31 Jalan Riong, Kuala Lumpur.


    Sebarang pertanyaan hubungi Qhusairi / 03-20569863, Muhammad Fakhri/Rosdi/Nuraihan - 03-20569368,03-20569912.


    Pendaftaran bagi mengikuti Klinik UPSR 2012 (Fasa 1) di lokasi lain seluruh negara boleh dibuat di alamat berikut:



    JOHOR BAHRU: Hubungi Roszaidi Ramli 016-7665886/019-7728844/016-7177364/011-15157504/07-2546261. Klinik pada 18 - 19 Februari 2012. Tempat: Dewan UniKL MITEC, Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru.


    SHAH ALAM: Hubungi Pusat Tuisyen Al-Hikmah, No 73A & B, Jalan Pelabur B, 23/B, Seksyen 23, Shah Alam. (03-55411771/55421598). Klinik pada 18 - 19 Februari 2012. Tempat: UiTM Shah Alam


    KLUANG: Hubungi Pareeth Hamzah 017-7865204. Klinik pada 18 - 19 Februari 2012. Tempat: Dewan Pejabat Pendidikan Agama Daerah, Kluang.



    Teruskan membaca..

    Motivasi bersama Sheikh Muszaphar



    http://upload.wikimedia.org/wikipedia/ms/b/b5/Muszaphartiba.jpg



    Temui Angkasawan Negara

    di Shah Alam, Sabtu ini





    Motivasi bersama Sheikh Muszaphar




    CERAMAH motivasi daripada Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, pastinya menjadi tarikan peserta Konvensyen Kecemerlangan Peperiksaan Berita Harian yang dijadual berlangsung di Management & Science University (MSU), Shah Alam, Selangor, Sabtu ini.



    Kira-kira 400 peserta membabitkan murid Tahun Lima dan pelajar Tingkatan Dua dan Empat yang akan mengambil peperiksaan awam tahun depan sudah mendaftarkan diri dan dijangka 100 lagi berbuat demikian pada saat akhir.


    Masing-masing adalah calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2012.



    Ini adalah peluang pelajar berinteraksi dan bermesra bersama Angkasawan Negara di samping memanfaatkan cuti persekolahan dengan kegiatan berfaedah sebelum sesi persekolahan bermula 4 Januari ini.



    Motivasi satu jam itu bukan saja dihadiri pelajar di sekitar Lembah Klang malah ramai pelajar dari negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung sudah mendaftar.



    Konvensyen julung kali anjuran Berita Harian dengan kerjasama MSU itu bertujuan memberi peluang pelajar dan ibu bapa mendapat gambaran jelas program anjuran Unit Pendidikan seperti Klinik UPSR, Seminar/Bengkel PMR dan SPM.


    Pengerusi konvensyen berkenaan, Ridzuan Yop, berkata program sedemikian dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan pelajar mengenai pentingnya persiapan awal menjelang peperiksaan tahun depan.



    “Ibu bapa dan penjaga juga boleh mengajukan soalan kepada penceramah mengenai kelemahan dan faedah yang diperoleh melalui klinik dan seminar yang akan dianjurkan,” katanya.



    Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan konvensyen berkenaan.



    Yuran penyertaan RM50 untuk seorang peserta bersama ibu atau bapa.



    Mereka yang berminat boleh menghubungi Zainon Kadim atau Mariayahtul Kibtiyah Ree dan Norliza Abdullah melalui talian 03-20569772 atau 03-20569780.



    Sophea Isabella Bte Sheikh Muszaphar


    Angkasawan Pertama Malaysia





    Teruskan membaca..

    Sea Walking


    Berjalan di dasar laut


    KASUT yang bersesuaian untuk dipakai oleh peserta ketika berada di dasar laut.





    Aksi 'orang bulan' yang sedang terapung-apung di udara ketika bergerak seolah-olah menunjukkan keseronokan berada dalam keadaan tarikan graviti sifar.



    Keadaan itu berlaku sekiranya anda berada di bulan, tapi bolehkah pengalaman itu diperolehi di daratan? Bagaimana pula sekiranya anda berjalan di dasar laut? Sebenarnya, kini anda juga boleh berjalan di dasar laut yang dipenuhi pelbagai misteri. Aktiviti ini dikenali sebagai Sea Walking.



    Bagi mereka yang berangan-angan untuk meniru gaya angkasawan berjalan, bolehlah mencubanya di dasar laut sambil menikmati keindahan alam semula jadi.



    Bagi yang berminat untuk merasai pengembaraan dasar laut ini bolehlah mengunjungi Taman Tunku Abdul Rahman yang terletak di negeri bawah bayu, Sabah.



    Warna-warni dasar laut



    Ini bukan cabaran biasa. Ia seolah-olah merealisasikan impian kita sekurang-kurangnya untuk meniru dan mengalami sendiri pengalaman angkasawan merentasi perjalanan ke angkasaraya tetapi bezanya di dasar laut. Setiap langkah yang anda lakukan pastinya akan terpukau dengan keindahan dasarnya yang mungkin 1,000 kali ganda lebih indah daripada permukaan bulan.



    Dari Pulau Sapi, setiap peserta akan dibawa ke sebuah pelantar khas yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan.



    Sebelum melangkah masuk ke dasar laut sudah tentu perasaan gemuruh menguasai diri memandangkan badan sudah tenggelam jauh ke dasar laut sedalam 20 hingga 40 kaki. Namun ketika berjalan, bekalan oksigen yang disalurkan dari generator angin yang terletak di atas pelantar mampu membekalkan udara selama yang anda inginkan.



    Malah anda tidak perlu bimbang dengan faktor keselamatan kerana anda akan ditemani oleh jurulatih selam yang berpengalaman dan tali yang boleh dijadikan pegangan ketika peserta berjalan di dasar laut.



    Aktiviti ini berbeza dengan selam skuba kerana anda tidak perlu memakai kelengkapan khas seperti baju renang, pemberat, tong oksigen dan peralatan rumit yang lain untuk melakukan aktiviti Sea Walking kerana cukup sekadar memakai Sea Trek Underwater Helmet Diving System yang menyerupai topi angkasawan.



    Untuk memakainya ia amat mudah malah sesuai buat seisi keluarga, dari kanak-kanak berusia tujuh tahun hingga orang dewasa.



    Malah peserta tidak perlu berada dalam keadaan ketakutan ketika turun ke dasar laut kerana laluannya tidak mencabar.



    Jika ada pun, anda akan dikejutkan dengan kehadiran makhluk marin berwarna-warni yang akan mengurumuni setiap peserta yang melalui perjalanan itu.



    Boleh dikatakan aktiviti di taman itu merupakan yang pertama di negara ini menyediakan perkhidmatan berjalan di dasar laut melalui perjalanan sejauh 200 meter dan sesuai dijadikan tempat riadah buat penggemar sukan air.



    Sebelum ke pelantar bot yang direka khas untuk aktiviti tersebut, para peserta perlu mendaftarkan diri di Pejabat Operasi Sea Walking yang terletak di Pulau Sapi.



    Di sana, peserta akan diberikan taklimat ringkas mengenai isyarat tangan asas untuk memudahkan para peserta berkomunikasi ketika berada di dasar laut, teknik-teknik berjalan dan langkah-langkah kecemasan.



    Setelah tamat sesi taklimat, para peserta akan dibawa ke pelantar di mana keseronokan sebenarnya bermula.



    Dari atas permukaan pelantar bot, setiap peserta akan diberikan sebuah topi oksigen seberat hampir 50 kilogram.



    Ketika menuruni tangga pelantar barulah peserta akan dipakaikan topi tersebut dan terus turun ke dasar laut secara bergilir-gilir.



    Sebaik berada di dasar laut, peserta bebas bergerak mengikut laluan tali yang dipasangkan dan anda tidak perlu bimbang mengenai soal keselamatan kerana setiap laluan dan peralatan dijamin selamat kerana ia sentiasa dibaik pulih dari masa ke semasa.



    Ketika bergerak, para jurulatih selam akan menemani para peserta maka sepanjang masa di dasar laut itu penuhilah masa menghayati pemandangan indah di dasar laut sebaik mungkin kerana masa yang diberikan agak terhad (20 hingga 30 minit sahaja).



    Jika berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini, bantuan kecemasan bakal dihulurkan kepada yang memerlukan.



    Selain itu, para jurulatih selam juga akan mengumpan sebanyak mungkin ikan-ikan eksotik yang berada di sekeliling untuk datang berdekatan dengan peserta.



    Ketika para peserta leka bermain dengan ikan-ikan tersebut, jurulatih akan merakamkan gambar dan video anda.



    Sementara itu jurulatih selam, Mohd. Arman Kasim berkata, apa yang perlu diutamakan oleh setiap peserta ialah kepercayaan terhadap diri sendiri ketika merintangi laluan dasar laut.



    "Jika anda percaya boleh lakukannya maka keselamatan anda telah pun dijamin 100 peratus, cuma jangan berebut-rebut untuk naik semula ke dasar laut dan jangan turun terlalu cepat kerana tekanan graviti dasar laut boleh membuatkan telinga berdesing atau sakit kepala.



    "Malah jika air masuk ke dalam topi yang disediakan, apa yang perlu anda lakukan ialah hembus nafas sekuat mungkin dan air tersebut akan keluar dengan sendiri," katanya.



    Untuk maklumat lanjut mengenai pakej yang disediakan di Taman Tunku Abdul Rahman, sila hubungi First Borneo Discovery Travel & Tours, (Yamin-0198728206) atau email kepada yamie1944@yahoo.com.my.

    Teruskan membaca..

    Lembaga Peperiksaan menilai skrip jawapan calon UPSR secara adil, terbuka


    Lembaga Peperiksaan

    menilai skrip jawapan

    calon UPSR secara adil, terbuka



    KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk surat di ruangan ini bertarikh 23 November 2011 bertajuk ‘Sistem pemarkahan UPSR mesti mesra pelajar’ dan 24 November 2011 dengan tajuk ‘Sokong kaji semula sistem pemarkahan’.


    KPM menghargai pandangan Pensyarah Kanan, Alor Setar, Amin Ali dan Ibu Kecewa, Malaysia, yang disiarkan berkenaan pemarkahan kertas bahasa Melayu Penulisan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).



    Lembaga Peperiksaan ingin menjelaskan tatacara pemeriksaan skrip calon dimaklumkan dengan jelas kepada semua pemeriksa dan maklumat berkaitan dimasukkan dalam buku Peraturan Pemarkahan.



    Garis panduan kepada pemeriksa seperti berikut:



  • Pemeriksaan dijalankan secara holistik iaitu melihat secara keseluruhan evidens dan penskoran dibuat mengikut kriteria ditetapkan.




  • Pemeriksa hendaklah membaca evidens dengan teliti untuk mendapat kesan (impression) daripadanya. Selepas itu, pemeriksa menilai dan menentukan tahap evidens itu berdasarkan kriteria penskoran.




  • Pemeriksa hendaklah membaca evidens itu sekali lagi sambil menurunkan tanda-tanda pemeriksaan dan menetapkan skor berdasarkan kriteria penskoran.




  • Bagi Bahagian B, karangan yang tidak mematuhi format iaitu karangan yang tidak memerlukan format tetapi ditulis berformat atau sebaliknya atau karangan ditulis dalam format lain, pemeriksa akan membuat pemarkahan tetapi ditolak dua markah daripada markah keseluruhan kerana tidak menepati tugasan.




  • Berdasarkan garis panduan itu, jelas penilaian terhadap hasil kerja calon adalah adil dan terbuka berpandukan objektif mata pelajaran bahasa Melayu sekolah rendah dan selari dengan kandungan kurikulum.




  • Justeru, Lembaga Peperiksaan ingin menegaskan semua skrip jawapan calon UPSR sudah dinilai secara adil.




  • UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,




  • Kementerian Pelajaran Malaysia.





  • Teruskan membaca..

    Cara mudah rawat katarak


    Cara mudah rawat katarak


    Katarak ialah kekaburan pada kanta semula jadi mata
    menghalang cahaya masuk ke dalam mata.
    - Gambar hiasan







    APABILA usia seseorang mencecah 45 tahun, badan pasti menjadi semakin kurang bertenaga. Anggota lain juga turut tidak secergas dahulu. Mata juga tidak terkecuali turut mengalami proses penuaan menyebabkan semakin kabur.



    Jika dahulu semua aktiviti mudah dilakukan seperti melihat paparan pada telefon bimbit atau membaca surat khabar tetapi kini penglihatan menjadi semakin tidak jelas.



    Keadaan ini berpunca daripada katarak yang dikatakan menyerang satu daripada enam individu yang telah melangkau usia 45 tahun ke atas.



    Katarak ialah kekaburan pada kanta semula jadi dalam mata yang menyebabkan menghalang laluan cahaya ke dalam mata.



    Lazimnya masalah ini berlaku disebabkan proses penuaan, namun ada juga yang berlaku kepada bayi yang baru lahir dikenali sebagai katarak kongenital.



    Biasanya seseorang yang dijangkiti katarak akan mula mengalami kekaburan penglihatan dan silau apabila melihat ke arah cahaya yang terang.



    Bagaimanapun dengan kecanggihan teknologi yang ada, katarak kini boleh disembuhkan melalui pembedahan yang hanya mengambil masa yang sangat singkat.



    Keajaiban untuk menangani masalah katarak kini boleh diperoleh dari Pusat Pakar Mata Vista yang terletak di The Curve, Damansara, Kuala Lumpur.



    Pusat rawatan yang beroperasi sejak tahun 2003 itu diakui selamat, mesra pesakit dan dianggap prosedur terbaik dalam menangani masalah katarak dan juga pembedahan laser.



    Tanggungjawab untuk memberi rawatan terbaik turut dipikul oleh Ketua Pakar Bedah Ophthalmik Vista, Dr. Aloysius Low.



    Kaedah yang dikenali sebagai pembedahan katarak tanpa pisau LenSx ini adalah satu prosedur dan teknologi terbaru dalam perubatan merawat masalah katarak menggunakan laser.



    Menurut Dr. Low, teknologi baru yang diperkenalkan itu membolehkan pakar bedah melakukan pembedahan dengan teliti dan tepat yang biasanya tidak mampu dilakukan dengan peralatan yang dipegang dengan tangan.



    "Rawatan ini yang hanya mengambil masa kurang 30 minit dan tanpa pembedahan besar.



    "Melaluinya masalah katarak yang dihadapi bertahun-tahun lamanya selesai dalam waktu yang cukup singkat,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini .



    Malah, melalui Laser LenSx , ia membolehkan pakar bedah membuat potongan 2.2 mm ke atas kapsul lensa untuk memecahkan katarak tanpa menggunakan pisau secara manual.



    "Serpihan lensa kemudiannya dikeluarkan untuk dihancurkan katarak yang keras dan pada masa sama mengekstrak serpihan tersebut,'' katanya .



    Dalam pada itu, doktor juga akan membersih kapsul belakang mata untuk mengurangkan kejadian kegelapan kapsul belakang iaitu katarak yang kedua.



    Uniknya kaedah ini, pesakit tidak akan merasai kesakitan sepanjang berlangsungnya pembedahan tersebut.



    Selain itu, manfaat lain termasuklah pengurangan risiko komplikasi termasuk buta dan penurunan tekanan pada mata.



    Beliau tidak menafikan, terdapat segelintir pesakit yang agak gemuruh apabila prosedur ini dimulakan.



    Bagaimanapun, peringkat awal sebelum pesakit bersetuju melakukan rawatan, mereka akan menjalani sesi kaunseling.



    ''Keadaan ini penting supaya pesakit lebih 'realistik' dengan hasil pembedahan yang akan dilakukan," katanya.



    Ditanya mengenai jangka masa yang diambil untuk membuat rawatan, Dr. Low memberitahu ia cukup singkat iaitu hanya kurang daripada setengah jam.



    Katanya, rawatan moden ini yang dilakukan tanpa rasa sakit, tanpa meninggalkan parut, cepat dan efektif hanya boleh dilakukan kepada individu yang berusia 45 tahun ke atas.



    Di Malaysia, lebih 55,000 orang menjalani pembedahan katarak setiap tahun, menjadikannya prosedur pembedahan besar yang paling banyak dijalankan kini.





    Teruskan membaca..

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...