Terus berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Semoga anak didik menjadi anak Malaysia. Berwawasan, berilmu, berdaya saing, majulah negaraku Malaysia.
Tuesday, September 16, 2014
Saya anak Malaysia! Selamat Hari Malaysia!
Saya anak Malaysia!
Selamat Hari Malaysia!
Menariknya bumi bertuah bernama Malaysia ini kerana kita menyambut
Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lalu - iaitu hari pembebasan negara
daripada belenggu penjajah.
Dan hari ini seluruh negara meraikan satu lagi tarikh yang cukup
bermakna iaitu detik penggabungan Sabah dan Sarawak dengan Tanah Melayu
yang memungkinkan kewujudan nama Malaysia.
Tidak kiralah bagaimana cara kita meraikannya, sama ada turut serta
dalam acara sambutan yang dianjurkan, menyaksikan lintas langsung di
kaca televisyen atau mengambil kesempatan daripada cuti umum dengan
keluar beriadah bersama teman dan keluarga mahupun sekadar lepak-lepak
di rumah - yang pastinya kita ialah warga yang merdeka dan bebas berbuat
apa sahaja (asalkan tidak menyalahi undang-undang negara).
Tidak seperti kita, malang bagi rakyat sesetengah negara kerana tidak
mengecap erti merdeka. Penduduk Palestin di Gaza, Rohingya di Rakhine,
Myanmar, etnik Uighur di China dan penganut Ahli Sunnah Wal Jamaah di
Iraq, ialah antara yang tidak mengenal erti kebebasan hidup sebagai
warganegara.
Tanah air mereka bukan milik mereka. Kampung halaman bahkan rumah
mereka bukan lagi syurga. Ramai yang terpaksa hidup sebagai pelarian di
negara sendiri.
Kita bersyukur kerana selepas 57 tahun merdeka dan 51 tahun membentuk Malaysia, negara tercinta ini terus aman dan makmur di bawah
pemerintahan yang stabil berpayungkan Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun ada episod berdarah yang menggugat keamanan dan kestabilan
negara, Malaysia berjaya membentengi dan mempertahankan ibu pertiwi
daripada terjebak ke kancah pergolakan.
Justeru sebarang anasir jahat yang cuba mengancam keselamatan negara
baik secara fizikal seperti tragedi Lahad Datu mahupun secara lisan dan
maya seperti cadangan jahat mahu mengeluarkan Sabah dari Malaysia, perlu
ditentang habis-habisan.
Culprit atau pelakunya perlu diheret ke muka pengadilan. Jika
pelakunya rakyat Malaysia, dia ialah pengkhianat negara. Jangan ada pula
sesiapa yang cuba mempertahankan tindakan puak-puak pengkhianat ini.
Soal keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dikompromi apatah lagi diperlekeh dan diperjudikan.
Setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab mempertahankan negara
daripada sebarang ancaman. Tidak kiralah dalam bentuk lisan yang cuba
mencemar dan menghina negara termasuk di laman-laman sosial, apatah lagi
secara langsung keluar dari mulut atau dalam bentuk fizikal.
Walau di mana kita berada, jangan malu mengaku sebagai anak Malaysia.
Jangan pula hanya patriotik apabila berada di bumi Malaysia tetapi
menjadi 'kacang lupakan kulit' apabila berada di luar negara.
Seorang teman yang sedang mengembara di benua Eropah meluahkan betapa
sakit hatinya bertemu rakyat Malaysia yang bermastautin di sana, malu
mengaku Malaysian malah berpura-pura pula menjadi warganegara lain.
Selepas puas berborak, terbongkar juga asal-usulnya.
Lebih malang apabila ada rakyat Malaysia yang pergi ke seberang laut
sama ada menyambung pengajian atau bertugas, mengutuk negara 'sampai tak
ingat dunia'. Sedangkan pemergian mereka ke sana adalah atas tajaan
kerajaan mahupun agensi berkaitan.
Tidak kiralah apa pun fahaman politik kita, apa salahnya menunjukkan
kesetiaan sebagai rakyat Malaysia. Bagaimana hendak mempertahankan
negara jika kita sendiri yang sama-sama menjadi 'gunting dalam lipatan'
mencemarkan reputasinya?
Nama Malaysia sejak sekian lama harum di merata dunia sebagai antara
negara yang paling pesat membangun, stabil dari segi sosioekonomi dan
politik selain menjadi negara Islam contoh termasuk kepada negara-negara
Arab.
Jadi kenapa pula kita sebagai rakyat tidak berbangga bahkan lebih jelik mahu menjadi orang yang melempar najis ke rumah sendiri?
Jika bukan kita sebagai warga yang mempertahankan Malaysia, siapa lagi?
Jangan tunggu sehingga nasi sudah menjadi bubur baharu hendak
bertindak. Jangan selepas Malaysia hanya tinggal nama baru hendak
menyesal. Ketika itu segalanya sudah terlambat.
Marilah kita memperkuatkan semangat patriotik dan nasionalisme demi ibu pertiwi yang tercinta.
Subscribe to:
Posts (Atom)