Terus berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Semoga anak didik menjadi anak Malaysia. Berwawasan, berilmu, berdaya saing, majulah negaraku Malaysia.
Maksud kerana Allah ialah ikhlas. Ikhlas memberikan sandaran terhadap reda Allah. Berfikir adalah aktiviti akal untuk sesuatu maksud.
Berfikir kerana Allah adalah menggunakan kekuatan akal dan daya taakulan untuk berfikir ke arah sesuatu yang Allah reda. Menggunakan akal untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah kemudian melakukan kajian dan penyelidikan berasaskan jiwa tadabbur yang tinggi menyebabkan hasil pemikiran membimbing kedekatan manusia dengan Penciptanya.
Menggunakan kekuatan akal untuk menyuburkan maklumat yang dipandu oleh asas-asas yang benar tentunya bakal membimbing manusia suka dan cintakan kebenaran. Menggunakan akal bagi membuat sesuatu pertimbangan yang menuntut keadilan dengan merujuk faktor pemikiran dan faktor syarak ia bakal mempedoman manusia ke arah natijah yang baik.
Oleh itu maksud berfikir kerana Allah adalah menghubungkan proses dan natijah pemikiran selari dengan pedoman dan petunjuk Allah. Akal saja tidaklah segala-gala. Akal yang dipandu oleh hikmah yang terungkap dalam al-Quran memberikan sumber yang memandu manusia berfikir. Daripadanya lahir kegiatan berfikir tidak semata-mata kerana berfikir tetapi berfikir yang selari dengan petunjuk Allah, tidak bercanggah dengan syarak dan mendapat reda-Nya.
Menjadi suatu tuntutan kepada para remaja untuk membina tradisi berfikir kerana Allah dan berhikmah kepada manusia. Ia bermakna para remaja harus ada asas-asas ilmu Islam yang baik. Ilmu ini akan memandu remaja dalam proses berfikir.
Ilmu Islam memberi remaja suluh supaya aktiviti akal tidak hanya berkembang begitu saja tanpa arah dan matlamat tetapi dipandu oleh sumber hikmah atau al-Quran supaya matlamat berfikir bakal memberi manfaat kepada yang lain.
Ramai remaja kini amat terpengaruh dengan pemikiran semasa yang bercorak popular. Tidak pula salah bagi remaja mengetahui asas-asas ilmu daripada sumber Barat dan Timur untuk maksud berbanding. Tetapi sebagai remaja Islam keupayaan berfikir yang dipandu oleh sumber hikmah atau wahyu menjadi terlalu penting supaya pemikiran berkembang dan subur atas maksud kebaikan dan manfaat. Inilah asas berfikir kerana Allah yang amat diperlukan oleh para remaja.
Remaja tentunya selalu berfikir tentang hiburan, cinta, makna kebahagiaan, kejayaan dan kecemerlangan, sahabat dan persaudaraan. Berfikir ke arah itu adalah sesuatu yang fitrah. Tetapi sebagai remaja Islam apakah sandaran berfikir tentang hiburan yang dikaitkan dengan reda Allah sekiranya hiburan difikir dan difahamkan sebagai alat mengisi kekosongan hati dan keceriaan diri secara nafsu-nafsi, menyubur keinginan yang menyebabkan hilang malu dan jati diri, pengagum kepada hiburan popular Barat hingga menjadikan remaja tidak berfikir ke arah memperkasakan budaya sendiri.
Remaja tentunya berfikir tentang cinta. Berfikir tentang cinta seadanya boleh menjerumuskan remaja ke arah cinta kenafsian dan haiwani. Remaja akan mudah terpengaruh dengan pemikiran cinta dangkal yang hanya sekadar ingin merasai kelazatan emosi yang sifatnya nafsu-nafsi lalu melampiaskan lafaz dan hajat yang mengheret remaja ke arah kerosakan.
Berfikir tentang cinta kerana Allah, membimbing remaja ke arah meletakkan Allah sebagai sumber yang tertinggi di mana puncak cinta kepada Allah membawa remaja kepada asas ketaatan dan kepatuhan kepada pedoman yang Allah berikan. Dalam pergaulan, Allah memberikan sempadan dan batasan kepada yang bukan mahram. Allah memberikan landasan syarak supaya cinta yang fitrah tersalur dengan jalan yang terarah. Mematuhi asas yang telah dipedomankan oleh Allah membawa kepada asas redanya. Dan percintaan yang terjalin atas reda Allah bakal membawa berkat terhadap kehidupan itu sendiri.
Begitu juga pemikiran ke arah kebahagiaan yang berasaskan nilai-nilai Rabbani membimbing remaja memahami maksud bahagia tidak saja dari sudut perasaan dan kenafsuan tetapi bahagia dalam erti kata yang sebenar dicapai dari sudut rohaniah yang tinggi melakukan kebaikan terhadap diri dan orang lain supaya asas kebahagiaan menepati jalan yang Allah reda.
*Kebahagiaan
Berbahagiakah hidup seorang remaja yang melakukan sesuatu tanpa mengambil kira reda Allah yang menyebabkan perlanggaran terhadap hukum-hakamnya dan akhirnya kebahagiaan hanya berbentuk kenafsian, terhasil sesuatu yang sifatnya sementara dan tidak membawa kepada kebahagiaan yang abadi. Kebahagiaan yang abadi menghubungkan remaja dengan Allah iaitu patuh akan pedomannya dan taat akan larangannya.
Oleh itu, berfikir kerana Allah memberikan remaja beberapa pedoman yang penting. Pertama, harus ada asas keikhlasan dalam membina jalan berfikir. Kedua, sandarkan berfikir kerana Allah dan hikmahnya kembali semula kepada remaja dan orang lain. Ketiga, pemikiran yang berasaskan ilmu tentang Allah supaya tanda-tanda kebesaran Allah menjadikan remaja kerdil dan kecil di sisi-Nya. Keempat, menjadikan reda Allah sebagai sumber kekuatan dalam berfikir supaya apa yang difikir oleh remaja sentiasa bersandarkan keselariannya dengan batas syarak yang dipedomankan oleh Allah. Kelima, harus ada rasa bersyukur dalam proses berfikir remaja kerana tanpa rasa syukur remaja mudah lupa akan diri dan boleh membawa kepada riak dan ujub.
Asas-asas di atas amat perlu bagi remaja dalam menjalankan kegiatan berfikir supaya kekuatan akliah yang dipandu oleh kekuatan nakliah bakal menemukan titik keseimbangan antara fitrah remaja dengan Sunnatullah atau ketentuan Allah. Allah mengatur alam ini di atas titik keseimbangan. Tanpanya planet dan bintang-bintang akan berlaga dan membawa kepada bencana.
Fitrah remaja mahukan kebaikan dan keindahan dalam hidup. Ia hanya mampu dicapai sekiranya sandaran kebaikan dan keindahan itu terlihat pada faktor alam yang menurunkan hujan, faktor air yang menghidupkan ikan-ikan, faktor bumi yang menghidupkan pohon-pohon, faktor udara yang membolehkan remaja bernafas. Itulah rahmat dan nikmat Allah yang di luar kemampuan manusia menciptakannya, dilimpahkan kepada kita untuk menikmatinya. Ia membimbing remaja berfikir betapa besarnya kuasa Allah yang membimbing remaja rukuk dan sujud mengakui kebesaran-Nya dan menjadikannya sebagai sumber amanah untuk kesejahteraan diri dan orang lain.
*Prof. Dr. Sidek Baba ialah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Bicara Agama --- Utusan Online -- 12 Ramadan 1427 -- 5 Oktober 2006
BERFIKIR ialah suatu aktiviti akliah dan rohaniah yang berlaku pada seseorang akibat adanya kecenderungan mengetahui dan mengalami. Ia disusun dengan teratur supaya lahirnya makna, fakta dan kefahaman.
Akal manusia berfungsi untuk mengingat, berfikir dan menaakul. Daripadanya kegiatan berfikir berlaku.
Manusia diberi daya kognitif yang membolehkannya berfikir. Manusia juga diberi daya efektif yang membolehkan emosi, perasaan dan kerja hati berhubung dengan daya kognitif. Daripadanya lahir pemikiran. Pemikiran yang berkembang boleh memberi asas kepada lahirnya ilmu.
Pada diri manusia terdapat sumber ilmu. Persekitaran yang ada pada diri manusia terkandung ilmu. Pohon-pohon yang subur, haiwan pelbagai jenis, sumber-sumber hasil bumi yang banyak terkandung ilmu. Peristiwa yang berlaku, perubahan yang terjadi, rahmah dan nikmat yang banyak terkandung ilmu. Allah jadikan semuanya adalah untuk manfaat manusia. Ia mendorong manusia berfikir kerana daripada aktiviti berfikir manusia akan dapat manfaat ilmu.
Ilmu menyebabkan manusia tahu dan menerima makna akan sesuatu. Akhirnya dengan ilmu manusia tahu nilai guna sesuatu dan hikmah daripada sesuatu kejadian.
Para remaja perlu menyuburkan naluri ingin tahu dengan cara berfikir. Berfikir harus dipandu oleh maklumat, fakta dan ilmu. Sejarah pemikiran bukanlah sesuatu yang baru. Sejak Nabi Adam, manusia pertama, proses berfikir sudah berlaku. Sebab itu Allah ajarkan Nabi Adam tentang nama-nama sesuatu supaya dengan mengetahui nama-nama tersebut menjadikannya serba tahu dan ia amat bermakna untuk memandu kehidupan.
Remaja tidak tiba-tiba dewasa dan matang dalam berfikir apalagi mempunyai nilai yang betul tentang sesuatu perkara. Proses bertatih dalam berfikir adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Naluri ingin tahu, ingin mencuba, ingin mengkaji harus tumbuh dalam hati remaja supaya sesuatu yang dilihat dan diperhati tidak hanya berlaku begitu saja tetapi menyebabkan aktiviti berfikir berlaku. Dengan membaca, menonton, berkomunikasi, melihat gelagat dan masalah manusia yang silih berganti, ia membolehkan remaja berfikir.
Aktiviti berfikir membolehkan remaja mendapat jawapan, melakukan analisis dan ia memberikan asas yang baik untuk remaja mencari jalan keluar, meneliti akar masalah dan akhirnya mampu menghasilkan sudut pandangan terhadap sesuatu.
Ibnu Nafis, Ibnu Sina, Al-Batani, Az-Zahrawi, Newton, Einstein, Kepler, Plato, Aristotle dan ramai lagi ahli ilmu, ahli falsafah dan ahli fikir memulakan aktiviti saintifiknya dengan berfikir. Genius ini memiliki kekuatan berfikir yang luar biasa. Bila melihat langit, bintang-bintang, cakerawala yang beredar, hujan yang turun, petir kilat sambar menyambar, sakit dan kematian, ia mendorong mereka berfikir. Hasil daripada pemikiran lahirlah tanggapan dan kesimpulan terhadap sesuatu. Daripadanya ilmu subur dan hidup lebih bermakna.
Dalam tradisi orang Barat sejak zaman Plato, Aristotle dan Socrates membawa ke zaman Galileo, Bruno sehinggalah ke zaman Descartes, Kant, Derrida dan Michel Foucou pada abad ini, manusia tidak pernah berhenti berfikir. Pemikiran mereka berkembang berasaskan pemerhatian, kajian, dapatan, renungan yang bersandar kepada akal dan pengalaman.
Faktor agama, kitab dan kenabian tidak dijadikan sandaran utama. Akhirnya hipotesis dan teori tentang sesuatu dibina atas asas rasional dan saintifik bukan berasaskan autoriti wahyu atau pun agama.
Wahyu
Dalam tradisi Islam akal itu adalah sesuatu yang penting. Berfikir menerusi pemerhatian dan uji kaji tidak pula ditolak. Tetapi akal itu dipandu oleh nilai dan ilmu yang jauh lebih tinggi daripada apa yang diketahui oleh manusia. Akal manusia dan pancaindera manusia tidak mampu mencapai segala-gala. Walaupun banyak kehebatan dicetuskan oleh akal namun keterbatasannya tidak menjadikan manusia memiliki kudrat dan kuasa terhadap alam dan kehidupan ini secara mutlak.
Tradisi Islam meletakkan sumber-sumber wahyu sebagai hikmah dan pedoman untuk manusia berfikir. Sumber wahyu tidak saja menyatakan perkara-perkara yang nyata tetapi juga hal-hal yang ghaib. Yang ghaib tetap wujud walaupun sifatnya tidak maujud. Keyakinan manusia kepada benda yang nyata dan wujud semata-mata belum melengkapi sifat dan hakikat kejadian itu sendiri. Roh manusia adalah sesuatu yang wujud dan tidak maujud dalam bentuk benda.
Namun, manusia yang hidup boleh berkata-kata dalam melakukan pelbagai kegiatan dan ia adalah gambaran adanya roh pada tubuh badan manusia. Sekiranya roh telah tiada, sehebat mana pun akal manusia, hati manusia dan ketangkasan jasmani manusia, ia akan kaku dan mati. Roh ialah ciptaan Allah, bukannya manusia. Yang diketahui oleh manusia tentang roh amat sedikit.
Para remaja harus melihat bahawa berfikir adalah suatu fitrah. Fitrah ini mesti dipandu oleh ilmu dan nilai. Ilmu wahyu dan nilai agama menjadikan proses berfikir lebih bermakna. Proses berfikir menjadikan remaja lebih berilmu, menjadi tahu dan menerima makna akan sesuatu dengan merujuk kepada kebesaran dan keperkasaan Allah.
Apabila sandaran berfikir sifatnya kerana Allah, hikmah berfikir akan memberi rahmat kepada remaja. Remaja akan dilatih tidak saja berfikir secara zahir tetapi faktor batini akan sentiasa menjadi aspek penting dalam kehidupan. Bila remaja melihat dan mengkaji sesuatu dengan mata zahir, ia juga harus menghubungkan objek kajian dan pemerhatian dengan mata hati dan mata batin.
Sekiranya remaja berasa kagum dengan muzik popular Barat, pemikiran yang ada tidak saja untuk hiburan mengisi kehendak hawa nafsu semata-mata tetapi tuntutan batini dan hati yang berasaskan asas rohaniah yang tinggi mahukan hiburan yang tidak membawa kepada lagha dan melalaikan. Ia harus mampu mencetuskan minda dan hati dalam titik harmoni yang mendorong manusia mentertibkan hawa nafsu, menyuburkan nilai-nilai adab dan apresiasi dan menghasilkan keinsafan yang tinggi terhadap kekuasaan Allah s.w.t..
Ilmu inilah yang sebenarnya harus dijana oleh remaja hasil berlakunya proses fikir dan zikir yang membimbing remaja supaya dekat kepada Allah.
- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sumber: Bicara Agama --- Utusan Online -- 6 Ramadan 1427 --- 29 September 2006
BERFIKIR adalah suatu fitrah. Allah memberi manusia akal membolehkan manusia berfikir. Allah mengurniakan manusia pancaindera membolehkan manusia memandang, memerhati, melihat, menyaksikan, mendengar, menghidu, merasa dan menyentuh supaya darinya manusia memperolehi maklumat, pengalaman dan juga tanggapan.
Darinya manusia berusaha untuk melakukan kajian dan penelitian supaya manusia dapat memahami apa yang ada di sekitarnya dan apa yang diperlukan dalam hidup ini.
Alam ini Allah jadikan seluas-luasnya untuk mengajak manusia berfikir dan mengetahui kebesaran-Nya. Planet bumi di mana manusia hidup dilimpahkan rahmat dan nikmat yang amat banyak. Setiap kejadian yang Allah ciptakan terkandung hikmah yang amat luar biasa sifatnya.
Apa yang mampu dikaji dan diteliti dan dinikmati oleh manusia masih sedikit. Bayangkan alam yang terlalu luas dengan rahsia yang belum diteroka oleh manusia tentunya mengandungi hikmah yang amat menakjubkan. Allah memberikan kita al-Quran supaya manusia mendapat pertunjuk dan pedoman bagaimana memahami benda yang nyata dan benda yang ghaib, bagaimana manusia dapat berfikir tentang sesuatu di sekitarnya dan menghubungkannya dengan Pencipta. Inilah asas berfikir dalam zikir bagi orang-orang yang beriman.
Para remaja amat perlu membina tradisi berfikir dalam zikir supaya asas berfikir yang sebenar dapat dirasai dan dinikmati. Berfikir secara akliah semata-mata selalunya tersisih dengan hikmah mengenai sesuatu. Ia hanya menghubungkan pemikiran dengan asas yang rasional dan logik pada pertimbangan akal semata. Sesuatu yang di luar batas akal dianggap tidak rasional dan tidak logik dan ia ditolak.
Keyakinan remaja kepada kuasa Pencipta sudah tentu tidak sama dengan keupayaan manusia dengan akal dan pancaindera yang terbatas. Sekiranya akal manusia dan kemampuan berfikir adalah segala-gala sudah tentu manusia berupaya menyelesaikan banyak masalah kehidupan yang kelihatan semakin parah dan membimbangkan.
Apa daya manusia menyelesaikan pelbagai jenis penyakit yang datang silih berganti kalau hanya bergantung dengan akal semata-mata. Apa daya manusia mengatasi masalah kerosakan akhlak kalau hanya bergantung dengan pertimbangan akal semata. Dan apakah daya manusia mengatasi musibah banjir, gempa bumi, ribut dan taufan kalau hanya berpandu dengan kajian dan penelitian sahaja.
Para remaja yang menggunakan pendekatan berfikir dalam zikir tentunya mengetahui bahawa tidak semua yang terdapat dalam alam ini diketahui manusia dan tidak semua yang berlaku dalam alam ini di bawah kudrat dan kawalan manusia.
Mengajak remaja berfikir dalam zikir bermakna menghubungkan alam ini dengan Pencipta dan menghubungkan kejadian dan peristiwa dengan kuasa Pencipta.
Berfikir dalam zikir bagi remaja bermakna bagaimana remaja sejak awal umur lagi didedahkan dengan jalan berfikir yang mengingati kebesaran Allah. Memahami faktor ghaibiyyat dalam hidup remaja harus dihubungkan dengan tanda-tanda kebesaran Allah yang terdapat di mana-mana di muka bumi apalagi di angkasa.
Al- Quran memberi remaja pedoman dan panduan bagaimana memahami kebesaran Allah dengan menyaksikan tanda-tandanya. Kejadian siang dan malam, hujan dan panas yang berlaku silih-berganti, kehidupan manusia dan faktor alamiah yang berpasang-pasang, diturunkan hujan menghidupkan pohon-pohon dan haiwan adalah tanda-tanda kebesaran-Nya bagi remaja yang berfikir.
Manusia tidak mampu menguruskan perjalanan kejadian tersebut malah menerima saja apa yang berlaku dengan urus tadbir yang terbatas.
Zikir
Berfikir dalam zikir membimbing remaja untuk memahami bahawa seluruh kejadian alam ini adalah di bawah urus tadbir Allah s.w.t. Manusia yang diberi amanah sebagai khalifah perlu melakukan urus tadbir mengikut pedoman yang Allah telah berikan menerusi kalam-Nya al-Quran supaya ia menjadi pertunjuk bagi manusia. Mengingkari akan menyebabkan kerosakan kepada kehidupan dan muka bumi ini.
Berfikir dalam zikir bagi remaja mampu mendekatkan remaja kepada kebesaran Allah. Berzikir dalam erti kata yang luas bermaksud mengingati dan mengakui kebesaran dan keagungan Allah.
Bila remaja melafazkan kalimah zikir subahanallah atau Allahu Akbar, ia tidak hanya terpancar dengan kalimah dan dibenarkan atau ditasdikkan dalam hati semata tetapi lafaz kalimah itu memberi dorongan ilmu mengenai rahsia kebesaran Allah dalam alam ini yang perlu dikaji oleh remaja supaya manfaatnya dapat dirasai oleh manusia.
Sains dalam tradisi Barat mengkaji sesuatu benda seadanya dan mengkaji sesuatu fenomena seadanya. Dalam tradisi berfikir dan zikir mengkaji sesuatu benda tidak saja dikaji seadanya tetapi dikaji hikmah di sebalik kejadiannya. Apalagi bila mengkaji fenomena sesuatu kejadian ia tidak hanya dikaji mengenai kejadian itu tetapi berfikir dalam zikir memberikan pedoman, hikmah dan iktibar di sebalik sesuatu kejadian supaya manusia mendapat pengajaran dan pertunjuk dari sesuatu benda dan kejadian.
Mengapa manusia dilahirkan ke dunia kemudian dimatikan, mengapa manusia yang sihat kemudian jatuh sakit, mengapa manusia yang zaman mudanya cerdik dan sampai terlalu tua hilang ingatan, mengapa manusia suatu ketika kaya kemudian tiba-tiba jatuh miskin, mengapa suatu ketika manusia berada di tempat yang amat berkuasa kemudian jatuh sebagai manusia yang hina.
Mengapa manusia di suatu zaman membina tamadun yang hebat tetapi kini menjadi penciplak kepada tamadun orang lain, adalah gambaran fenomena kejadian manusia sejak dari dahulu sehingga kini.
Memahami fenomena ini dalam fikir dan zikir memberikan remaja iktibar tentang kejadian dan kuasa Allah yang seharusnya manusia mengambil iktibar darinya.
Penyakit
Hal yang sama juga berlaku terhadap pelbagai jenis penyakit yang sedang menghinggapi manusia kini, keadaan cuaca yang tidak menentu, lapisan ozon yang semakin menipis, sungai-sungai yang tercemar, udara yang semakin kotor adalah gambaran tentang ketidakseimbangan yang berlaku dan sebahagiannya adalah akibat perbuatan tangan-tangan manusia.
Berfikir dalam zikir bagi remaja membawa remaja ke arah dorongan mengkaji dan menyelidik tidak saja dalam batas benda yang nyata tetapi harus memiliki pedoman dari Pencipta tentang pedoman-pedoman mengurus yang betul supaya wujud pemahaman yang seimbang bahawa sesuatu itu adalah kejadian dan milik Allah.
Manusia diberi amanah untuk mengurusnya dengan baik dan betul. Darinya lahir sifat amanah yang tinggi dan terjadinya sesuatu ia ada hikmah yang membimbing manusia berfikir tentang upayanya yang terbatas dan upaya Allah yang tidak terbatas.
Berfikir dalam zikir meningkatkan keyakinan dan keimanan remaja tentang kekuasaan dan kebesaran Allah kerana tidak ada sesuatu yang terjadi dan diciptakan di alam ini tanpa kuasa-Nya.
Ilmu yang ada pada remaja hanya sedikit dan kalau yang sedikit itu remaja tidak bersyukur dengan-Nya malah sesetengah remaja sombong dan takbur terhadap-Nya, ia menyebabkan remaja akan kehilangan pedoman ilmu dan hikmah dan akhirnya remaja akan merasakan ia adalah segala-gala dan ia bakal menjerumuskan remaja ke arah kerosakan dan kebinasaan peribadi dan pemikiran.
- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).