Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, April 13, 2010

Pembentukan keperibadian melalui kokurikulum






KEGIATAN kokurikulum mampu membentuk peribadi dan disiplin murid. – Gambar hiasan


Keyakinan diri, keceriaan dan kematangan fikiran adalah di antara ciri-ciri keperibadian diri yang amat diperlukan oleh seseorang murid. Ciri-ciri keperibadian ini menjadi tonggak kepada kecemerlangan dan juga sebagai penentu masa depan murid-murid.


Pendidikan abad ke-21 ini memerlukan murid berfikiran kritis, kreatif dan inovatif dalam mengisi wadah pendidikan negara serta memenuhi keperluan tenaga kerja yang produktif. Pembentukan keperibadian ini bukan hanya boleh berlaku sekelip mata tetapi memerlukan masa dan bimbingan sejak di bangku sekolah lagi.


Aktiviti kokurikulum di sekolah adalah di antara aktiviti yang mampu memupuk dan membentuk keperibadian pelajar. Melalui kelab dan persatuan misalnya murid dilatih untuk memegang beberapa jawatan penting yang bertanggungjawab melaksanakan aktiviti yang dirancaang. Etika bermesyuarat, berbincang dan membuat keputusan adalah tertakluk kepada perlembagaan yang digubal.


Dalam hal ini murid sudah dilatih prinsip-prinsip asas yang akan diaplikasi sepenuhnya apabila mereka berada dalam dunia pekerjaaan. Pendedahan seumpama ini mampu memantapkan kemahiran generik yang amat diperlukan oleh seorang pekerja yang berwawasan.


Melalui badan beruniform banyak perkara yang menyentuh soal disiplin didedahkan. Kepekaan terhadap masa, keperihatinan terhadap rakan-rakan tanpa mementingkan diri sendiri adalah antara nilai-nilai murni yang sentiasa diamalkan dalam setiap aktiviti yang dijalankan.


Corak pembelajaran di institusi pengajian tinggi amat berbeza dengan sekolah. Pengurusan masa yang baik, kemahiran berkomunikasi dan membuat persembahan adalah antara kemahiran yang diperlukan dalam sistem pembelajaran. Seseorang murid yang pendiam, tidak suka bergaul dengan rakan serta hanya mementingkan diri sendiri akan terperangkap apabila mereka berada dalam situasi pembelajaran di institusi pengajian tinggi nanti. Pada masa itu jumlah A yang mereka perolehi di sekolah dahulu tidak lagi menjadi ukuran tetapi kemahiran mereka menyampaikan sesuatu tugasan projek, permaufakatan dalam kumpulan, kemahiran mencari maklumat, dan kemahiran berfikir dan berhujah adalah sebahagian daripada penilaian yang dibuat ke atas mereka.


Justeru, murid-murid harus bersedia dari sekarang. Murid-murid harus melibatkan diri secara aktif dalam setiap aktiviti yang diceburi. Hindarilah tabiat menolak atau mengelak untuk melaksanakan sesuatu tugasan. Sebaliknya murid-murid harus menerima secara sukarela atau menawarkan diri untuk turut serta dalam sebarang kegiatan. Ingat! Murid yang cemerlang ialah murid yang mampu mengimbangi dirinya dengan pengetahuan dan kemahiran ke arah pembentukan keperibadian diri.


Sumber : http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2010&dt=0323&pub=DuniaPendidikan&sec=Motivasi&pg=mo_01.htm





Teruskan membaca..

Kamus bersuara Arab-Melayu

Besta perkenal kamus bersuara Arab-Melayu





PENGURUS Jualan Amiux (M) Sdn. Bhd. memegang kamus elektronik Besta yang boleh bersuara Arab-Melayu di PWTC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 11 April - Kamus elektronik Besta yang memuatkan kamus bersuara Arab-Melayu yang pertama di dunia dilancarkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini baru-baru ini.

Kamus itu dikeluarkan oleh Amiux (M) Sdn. Bhd yang ditubuhkan pada 2005 dan sehingga kini Besta terus menerajui pasaran dengan kelahiran pelbagai model baharu untuk memenuhi keperluan semasa pengguna.

Pengurus Jualannya, Yap Wee Yik berkata, kamus terbaik seperti Kamus Oxford Fajar Advanced Learner’s, Kamus Perdana, Kamus Dewan, dan Kamus Besar Utusan dimuatkan dalam kamus elektronik Besta bagi memantapkan lagi tahap penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu pengguna.

"Kamus elektronik Besta merupakan kamus elektronik pertama di dunia yang memuatkan kamus bersuara Arab-Melayu & Melayu-Arab selain dimuatkan dengan bahasa Inggeris, Cina, Jepun, Korea, Thailand, Belanda, Sepanyol, Vietnam, Itali, Perancis, Jerman dan Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Menurutnya lagi, Besta mempunyai kumpulan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terlatih yang bertanggungjawab menghasilkan kandungan kamus yang memenuhi keperluan pengguna.

"Pembangunan dan pemilihan data yang berkualiti menjadi fokus utama selain membina kandungan mengikut kurikulum sistem pendidikan di Malaysia.

"Mata pelajaran seperti bahasa Melayu dan Inggeris, Sejarah, Geografi, Sains, Matematik, Fizik dan sebagainya menjadi antara kandungan kamus Besta," jelas beliau.

Tambah Wee Yik, kamus elektronik Besta juga dilengkapi dengan pelbagai fungsi yang canggih seperti muat turun dan ruangan kad slot bagi memastikan pelanggan sentiasa mendapat maklumat terbaharu seiring perkembangan teknologi semasa.

"Kamus ini turut dilengkapi skrin sentuh, enjin carian, MP3 dan fungsi cahaya latar membolehkan pembacaan dilakukan walaupun pada waktu malam menjadikannya kamus tribahasa, beranimasi, berinteraktif dan mobiliti pilihan ramai," kata beliau.

Jelas beliau, pemantapan pangkalan data yang lebih eksklusif, menjadikan produk Besta sebagai kamus elektronik yang unggul dan dijangka dapat menarik perhatian pengguna yang mementingkan kekuatan isi kandungan serta ketinggian mutunya sebagai sumber rujukan yang tepat dan jitu.
Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...