Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, January 12, 2011

Kucing boleh bercakap mama




Kucing boleh bercakap mama di Jawa Timur


KUCING bernama Keting ini didakwa boleh bercakap beberapa patah perkataan.

JAKARTA - Seekor kucing betina peliharaan seorang wanita berusia 21 tahun yang hanya dikenali sebagai Claudia di Dusun Krajan, Jawa Timur, boleh mengungkapkan perkataan mama, mami, mamia dan nombor satu sehingga sepuluh, lapor sebuah akhbar semalam.

Kucing berusia satu setengah tahun itu diajar oleh Claudia untuk mengungkapkan perkataan itu sejak haiwan tersebut masih kecil.

"Bisa (boleh) berhitung satu sampai sepuluh bahkan bisa diajak bicara," kata Claudia kepada akhbar detikSurabaya.com semalam.

Menurutnya, kucing yang bernama Keting itu memahami arahan dan pertanyaan daripadanya.

"Bisa bilang (bercakap) mama, mami, mamia dan banyak yang lain juga," tambahnya.

Ibu kucing itu telah mati manakala proses latihan bercakap itu dilakukan oleh Claudia dan anggota keluarganya yang lain secara berterusan.

Dia turut mengajar lima kucing lain untuk bercakap tetapi hanya Keting sahaja yang memiliki kecerdasan luar biasa dengan memahami dan menuturkan perkataan itu.

Sebelum ini, pada Jun tahun lalu heboh diperkatakan penduduk mengenai seekor kucing Parsi jantan putih berusia dua tahun milik Anggita Rizki Ayu di Bandung, Jawa Timur yang boleh mengungkapkan perkataan yang berbunyi seperti enggak yang bermaksud tidak dalam bahasa Melayu. - Agensi



Kosmo!





Teruskan membaca..

E-pembelajaran mobil pertama di Malaysia





E-pembelajaran mobil pertama di Malaysia



MOHAMED Salleh Bajuri (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Mohd. Nasir Ali sambil disaksikan oleh Rafli Ridwan (kiri) dan Wahid Hashim pada majlis menandatangani perjanjian bagi membekal kandungan e-pembelajaran SekolahKu antara Duke Court Sdn. Bhd. dan Utusan Melayu (M) Bhd. di Kuala Lumpur, semalam.





KUALA LUMPUR 11 Jan. - Duke Court Sdn. Bhd. (Duke Court) akan menjalinkan kerjasama dengan Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan Melayu) dalam usahanya membangunkan sistem e-pembelajaran mobil pertama di negara ini yang dikenali sebagai SekolahKu.

Melalui perjanjian itu, Utusan Melayu menerusi Unit Pendidikannya akan membekalkan kandungan berbentuk soalan bagi latihan dan rujukan pelajar sekolah di seluruh negara kepada pemilik SekolahKu, Duke Court.

Pengerusi Duke Court, Datuk Mohamed Salleh Bajuri berkata, sistem e-pembelajaran SekolahKu mampu diakses di mana-mana sahaja menggunakan sebarang peranti yang mempunyai capaian Internet seperti telefon bimbit pintar, iPad dan PSP (PlayStation Portable) selain komputer.

"Kami ingin memanfaatkan kecanggihan teknologi untuk membantu pelajar di negara ini meningkatkan tahap pencapaian akademik mereka melalui medium yang selesa dibawa ke mana-mana," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Utusan Melayu dan Duke Court bagi membekalkan kandungan SekolahKu di KL Sentral di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali; Naib Presiden Kanan Duke Court, Rafli Ridwan dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Menurut Mohamed Salleh, SekolahKu menyediakan pembelajaran interaktif untuk semua subjek teras bagi setiap tahap peperiksaan merangkumi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Soalan-soalan yang terdapat dalam SekolahKu disediakan oleh kumpulan panel jurulatih utama dan guru pakar setiap mata pelajaran yang dilantik oleh Utusan Melayu.

"Selain itu, Utusan Melayu turut akan membekalkan berita berkaitan bidang pendidikan untuk portal SekolahKu," jelasnya.

Selain itu katanya, Portal Pendidikan Utusan juga akan membantu mempromosikan SekolahKu dengan mengadakan aktiviti berbentuk bengkel di sekolah-sekolah secara berkala.

"Publisiti dan berita berkaitan SekolahKu akan dimuatkan dalam akhbar Utusan Malaysia atau sisipan pendidikan, ADaP," tambahnya.

Sementara itu Rafli Ridwan pula memberitahu, para pelajar juga boleh mengetahui tahap kesediaan untuk menduduki peperiksaan berdasarkan rekod pencapaian dalam setiap latihan yang dilakukan.

"Selain itu, SekolahKu juga mempunyai program kesetiaan dengan beberapa intensif seperti pemberian hadiah dengan menukarkan mata ganjaran berdasarkan markah tertinggi dalam masa terpantas yang diperoleh murid semasa ujian.

"Mata ganjaran tersebut boleh ditukarkan kepada hadiah-hadiah menarik seperti iPad, iPhone dan iPod serta baucar makanan daripada KFC, McDonalds dan Pizza Hut bergantung pada jumlah mata yang dikumpul," jelas beliau.

Pendaftaran untuk mengikuti sistem pembelajaran serba moden itu boleh dilakukan di www.sekolahku.com.my.

Yuran bagi setiap pelajar adalah sebanyak RM150 setahun mengikut tahap peperiksaan yang diambil dan bagi pendaftaran bulan ini, Duke Court menawarkan potongan harga sebanyak RM20.



Utusan Malaysia Online




Teruskan membaca..

Tindakan tegas terhadap pelajar degil





Tindakan tegas terhadap pelajar degil

KUALA LUMPUR 10 Jan. – Kementerian Pelajaran melalui sekolah akan mengambil tindakan tegas terhadap pelajar yang masih berdegil enggan menggunakan topi keledar ketika menunggang motosikal ke sekolah.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihak sekolah boleh mengambil tindakan terhadap pelajar walaupun menunggang di luar kawasan sekolah.

“Perkara ini tidak boleh dipandang remeh, lebih-lebih lagi ia melibatkan keselamatan pelajar sekolah yang menjadi harapan negara.

“Jika tidak ditangani dari peringkat awal, lama-kelamaan tindakan mereka akan membawa kepada gejala merempit dan akhirnya memberi kesan negatif kepada institusi sekolah di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas Laporan Khas, Sikap pelajar ‘kepala batu’ yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini.

Ka Siong berkata, beberapa perkara telah diputuskan di peringkat kementerian di bawah program Keselamatan, Kesihatan dan Kebersihan (3K) dengan pihaknya akan menganjurkan kempen kesedaran keselamatan jalan raya di peringkat sekolah.


Utusan Malaysia Online




Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...