Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, November 6, 2011

Khalesa Mohd Shariff dapat pingat emas dalam ICAS 2011




5 jam telaah pelajaran




KUALA LUMPUR: Memperuntukkan lima jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran, terutama Matematik dan Sains, membuahkan kejayaan bagi Khalesa Mohd Shariff, 11, apabila meraih dua pingat emas bagi Pertandingan dan Penilaian Antarabangsa Untuk Sekolah (ICAS) 2011.



Pelajar Sekolah Kebangsaan Convent (1) Bukit Nanas itu antara 104 penerima pingat emas ICAS, satu program penilaian bertaraf dunia daripada University of New South Wales (UNSW), Australia yang dianjurkan Educational Assessment & Testing Services Sdn Bhd (EATS) di Pusat Sains Negara, semalam.



Anak sulung daripada tiga beradik ini mengakui terlalu seronok apabila kerja kerasnya mengulang kaji pelajaran gara-gara menyertai pertandingan berkenaan kali kedua membuahkan hasil membanggakan.



Dalam penyertaan pertama pada 2010, Khalesa menerima dua pingat emas bagi subjek Bahasa Inggeris dan Sains. Meskipun menetapkan sasaran memenangi tiga pingat emas tahun ini, dia reda dengan kejayaan itu.



“Biarpun sasaran tiga pingat emas gagal dicapai, saya tidak berputus asa dan akan mencuba dengan lebih gigih, tahun depan.



“Saya memperuntukkan lima jam setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran sama ada selepas sesi persekolahan mahupun sebelum masuk tidur.



“Hasilnya, saya bersyukur dan berterima kasih pada ibu bapa serta guru yang banyak memberi dorongan,” katanya selepas menerima pingat daripada Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.



Selain ingin mendapatkan kepuasan diri dengan menyertai ICAS, Khalesa berhasrat menaikkan nama sekolah dan ia turut dipersetujui gurunya.




Menanam cita-cita bergelar doktor mengikuti jejak langkah bapanya, Khalesa sentiasa merujuk kepada guru jika mengalami masalah pembelajaran dalam kelas.



Ibunya, Datuk Farshila Emran, 45, berbangga dengan pencapaian anaknya dan ia sebagai bukti kerja keras dilakukan Khalesa.



Biarpun fokus dengan pelajaran, Khalesa tidak pernah mengabaikan aktiviti kokurikulum yang dianjurkan pihak sekolah.



Buktinya, anak kecil ini kerap menyertai pertandingan ‘choral speaking’ dan koir di peringkat sekolah mahupun negeri.



Pemenang tiga pingat emas bagi kemahiran komputer, sains dan penulisan, Clifford Sia Yin Shen, 16, berkata kejayaan kali kelapan itu menjadi hadiah bagi membalas jasa orang tuanya.



Sumber : myMetro






Teruskan membaca..

Labbaik Allahumma Labbaik










Kalam Imam Muda

Mohd Hassan Adli Yahaya

Kalam Imam Muda


Kongsi kenikmatan korban





HARI ini umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidiladha iaitu antara perayaan terbesar dan penting dalam kalendar Islam. Aidiladha adalah perayaan istimewa kerana ia hari memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS dalam melaksanakan perintah Allah SWT.



Jadi, sempena nikmat umur yang dianugerahkan Allah SWT, mari kita mengambil iktibar dan semangat sirah pengorbanan Rasul.



Bagi saya, sambutan Aidiladha kali ini lebih bermakna kerana sudah dua minggu berada di Tanah Suci mengerjakan ibadat haji dengan perasaan bercampur baur.



Namun yang nyata, perasaan gembira bercampur teruja mengatasi segala-galanya kerana dapat mengerjakan haji pada usia muda.




Namun, usia bukan faktor yang dapat menyekat perasaan saya kerana terselit juga perasaan terharu dan hiba, apabila mengenangkan keinginan mengerjakan haji dimakbulkan Allah SWT.




Dalam masa sama, terselit persoalan sama ada saya mampu membalas segala nikmat dianugerahkan Allah.



Malah, sepanjang ‘menumpang’ di tanah suci, ada ketikanya saya kagum melihat betapa teguh dan kukuhnya keadaan Kaabah daripada ancaman manusia yang menyekutukan Allah sejak ribuan tahun lamanya.



Saya juga selalu bermuhasabah apabila melihat jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia, tidak kira muda mahupun tua, berkumpul dan bersesak di tanah suci hanya untuk memenuhi tuntutan Islam ini.



Ada yang berjalan, ada juga yang berlari, malah ada juga yang disorong dengan kerusi roda, sekali gus memberikan saya gambaran kecil suasana di Padang Mahsyar kelak. Entah bagaimana nasib kita di sana nanti.



Situasi ini mengingatkan saya kepada firman Allah SWT surah Al-Hajj, ayat 27 bermaksud:


“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”


Berbeza waktu dihidupkan di Padang Mahsyar, hanya darjat keimanan serta takwa akan menentukan keadaan seseorang itu sewaktu menemui Allah sama ada dalam keadaan berlari, berjalan, merangkak atau dengan keadaan mengaibkan di sana nanti. Nauzubillah! Saya ingin mengingatkan diri saya dan pembaca supaya sentiasa bermuhasabah terhadap sesuatu perkara yang kita lakukan di atas muka bumi Allah ini. Jangan asyik menongkat langit mengejar kehidupan dunia dan melupakan kehidupan akhirat.



Kerana sesungguhnya kehidupan akhirat adalah kehidupan sebenar dan tiada pengakhiran. Itu adalah pasti.



Walaupun sebelum ini banyak kali saya ke luar negara atas urusan tertentu, sebenarnya ini pengalaman pertama saya menyambut Aidiladha di luar tradisi rakyat negara kita.



Yang pasti, cara sambutannya memang berbeza tetapi kekal dengan semangat ibadah Qurban yang sama.



Maha suci Allah yang mencipta manusia dalam keadaan rupa paras dan taraf kehidupan yang berbeza-beza.



Allah juga mencipta haiwan dan tumbuh-tumbuhan sebagai rezeki untuk manusia. Jika kita buka minda, tidak ada satu pun kejadian ciptaan Allah itu diwujudkan dengan sia-sia tanpa manfaat.



Jika manusia mempunyai asas keimanan kukuh, mereka akan menjadikan ciptaan Allah ini sebagai wasilah untuk sampai kepada-Nya.



Ini sebagaimana dinyatakan dalam surah Ali-Imran, ayat 191 bermaksud:


“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”



Allah menentukan takdir sebahagian manusia yang mempunyai harta banyak, tetapi sebahagiannya lagi kurang berharta. Namun, Allah ciptakan ibadah korban ke atas haiwan ternakan seperti lembu dan unta sebagai ‘bonus’ bagi mereka yang mahu mencari jaminan kehidupan akhirat.



Ini kerana dengan melaksanakan ibadah korban, ia menjadi petunjuk Allah SWT mahu hamba-Nya berkongsi kenikmatan dunia supaya dapat dinikmati bersama-sama mereka yang kurang bernasib baik.



Ini disokong firman Allah SWT menerusi surah al-Hajj, ayat 36, bermaksud:


“Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.”



Begitu indah Islam memelihara hak setiap penganutnya. Diciptakan manusia daripada pelbagai jenis dan rupa, namun akhirnya keimanan dan ketakwaan yang menjamin kehidupan bahagia di akhirat. Apalah guna kaya di dunia sementara tetapi muflis di dunia abadi.



Namun begitu, tidak ramai menyedari betapa besarnya fadilat ibadah korban. Namun, saya yakin kita sekurang-kurangnya pernah mendengar kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.



Nabi Ibrahim mendapat wahyu daripada Allah untuk melakukan penyembelihan terhadap Nabi Ismail melalui beberapa siri mimpi ketika di Mina. Hinggalah terakam dialog di antara Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam surah As-Saffat ayat 102, bermaksud:



“Maka ketika anaknya itu sampai (pada umur yang mencukupi) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka berikanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari kalangan orang-orang yang sabar.”



Lantas dengan hati dan perasaan yang tidak berbelah bagi kerana keimanan dan ketakwaan tinggi pada Allah, Nabi Ibrahim melaksanakan perintah korban terhadap Nabi Ismail hinggalah pada saat akhir Allah menukarkan Nabi Ismail kepada kibas sebagai ganjaran ketaatan melaksanakan tuntutan Allah.



Alhamdulillah, pada kali ini saya diberi kesempatan untuk berada di tempat berlakunya kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Di Tanah Suci ini jugalah berlakunya kisah terjadinya telaga air zam zam.




Semangat inilah yang ingin saya kongsi bersama jemaah yang bakal menyertai rombongan umrah saya tahun depan. Insya-Allah, bersama Persada Oasis Travel & Tours, peserta akan mendapat lebih daripada sekadar umrah.









Teruskan membaca..

MBMMBI imbangi penguasaan dua bahasa utama

Menteri Pelajaran


MBMMBI imbangi penguasaan dua bahasa utama



Teks ucapan Timbalan Perdana Menteri
yang juga Menteri Pelajaran,
Tan Sri Muhyiddin Yassin
mengenai soft-landing PPSMI





Hasil kajian lapangan dapati murid
sukar fahami pengajaran
Matematik, Sains dalam BI



KERAJAAN pada 2009 mengambil keputusan memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).





Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Manakala di sekolah menengah, bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matematik dan Sains.




Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada Julai 2009 juga membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan soft-landing.



Berdasarkan keputusan berkenaan, Kementerian Pelajaran pada 2010 menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada 2011 yang mana murid Tahun Satu pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.



Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia pada semua peringkat persekolahan, kementerian juga memutuskan bermula 2012, pelajar Tingkatan Satu akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.



Bagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan Satu bermula tahun hadapan menimbulkan kerisauan ibu bapa kerana dibimbangi anak mereka yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak.




Selepas mengambil kira pandangan ibu bapa, Kabinet pada hari ini memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah kohort PPSMI meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, bahasa Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan Satu bermula tahun hadapan.



Ini bermakna semua murid kohort PPSMI yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan Lima.



Perlu diperjelaskan di sini juga, murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam pada 2012 dibenarkan untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan; bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa di SJKC; dan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa di SJKT seperti yang diputuskan jemaah menteri pada Julai 2009.



Bagi murid yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.



Dengan keputusan ini, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.



Bagaimanapun, kerajaan berharap keputusan yang membenarkan murid kohort PPSMI, iaitu murid Tahun Dua hingga Tingkatan Lima tahun ini untuk meneruskan pembelajaran dalam BI sehingga tamat Tingkatan Lima dapat melegakan hati ibu bapa. Kerajaan yakin dengan keputusan ini pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan terjejas.



Dengan pendekatan soft-landing ini, pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah pada 2021.



Kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah sudah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia.



Dapatan kajian menunjukkan, kurang lima peratus daripada jumlah kelas di 7,495 sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains. Manakala pada peringkat sekolah menengah, kurang sembilan peratus daripada jumlah kelas di 2,192 sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains.



Berdasarkan dapatan ini, kebanyakan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia. Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan.



Hasil kajian lapangan yang dijalankan kementerian dengan mengumpulkan maklumat melalui pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual murid mendapati murid sukar memahami mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.




Murid mengambil masa lama untuk memahami konsep Matematik dan Sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Ini memaksa guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran terbabit. Masalah seperti ini bukan saja dialami sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu Matematik dan Sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan.



Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris. Di bawah dasar MBMMBI, kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.



Antara inisiatif terbabit ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.



Kementerian Pelajaran juga sedang mengkaji beberapa inisiatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan lisan dalam kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.



Kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu Sains dan Matematik di kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan.






http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MBMMBIimbangipenguasaanduabahasautama/Article







Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...