Artikel Motivasi Kecemerlangan Pelajar |
Kualiti-Kualiti & Jati Diri Pelajar Cemerlang Petikan Kata-Kata Motivasi Belajar: |
"Kemahiran belajar disertai dengan motivasi belajar yang tinggi telah terbukti boleh meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan." (Gall & Rakan-Rakan, Tools for Learning, 1990).
|
Pengenalan
Artikel ini memaparkan 9 sifat, ciri-ciri serta jati diri (keperibadian atau identiti diri) pelajar cemerlang yang diadun berdasarkan Abjad ABCDEFGHI, agar lebih mudah pelajar terapkan dalam diri dan sanubari.
Pelajar Cemerlang
Pelajar yang cemerlang bukan sahaja handal dalam akademik tetapi juga hebat akhlak serta kelakuannya. Mencapai keputusan cemerlang dalam akademik tanpa jati diri atau keperibadian cemerlang, belum cukup untuk membolehkan seseorang pelajar itu dianggap sebagai cemerlang. Kedua-dua kualiti utama tersebut mesti ada pada pelajar cemerlang.
Kualiti-kualiti pelajar cemerlang yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
Amanah
Pelajar yang cemerlang boleh dipercayai, jujur dan ikhlas dalam segala tindakannya. Ia sentiasa bercakap benar, tidak bohong, tidak menipu, tidak mencuri atau tidak mengambil hak orang lain. Ia sedar bahawa segala perbuatannya adalah diperhatikan oleh Tuhan.
Bijak
Pelajar yang cemerlang bijak mengurus diri, menggunakan masa, serta sumber-sumber di sekelilingnya. Ia menggunakan masa hidupnya dengan sebaik-baiknya; melakukan hanya yang baik dan menjauhi perkara-perkara yang ditegah. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha memperbaiki dirinya. Ia cenderung melakukan serta mempelajari perkara-perkara yang mendatangkan faedah.
Cergas
Pelajar yang cemerlang sentiasa menjaga kesihatan fizikal, minda dan emosi diri. Ianya juga menjaga pemakanan serta membuat latihan jasmani. Kebijaksanaannya dalam mengurus diri serta kecenderungan melakukan hanya aktiviti-aktiviti yang berfaedah membuatkan dirinya lebih berdisiplin, sihat, dan cergas. Ini juga menyebabkannya lebih tangkas dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang diceburinya.
Dedikasi
Pelajar yang cemerlang amat rajin, bersemangat tinggi serta komited dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawabnya. Apa juga tugasannya, akan dilakukan dengan sepenuh hati. Pelajar yang cemerlang akan melakukan dengan penuh tanggungjawab dan iltizam apa juga perkara yang harus dilaksanakan ke arah dan untuk mencapai hasil yang terbaik.
Elok
Pelajar yang cemerlang baik dari segi penampilan diri, tuturkata dan perbuatan. Ia mempunyai perwatakan yang ceria, yakin dan senang didampingi. Ianya juga menjauhi diri daripada perbuatan maksiat. Ianya sedar bahawa mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Tuhan.
Pelajar yang cemerlang menjadi contoh kepada pelajar yang lain, baik dari segi gerak-gerinya, fikiran dan percakapannya serta tindakan-tindakannya. Keelokan peribadinya disanjung baik oleh orang lain termasuk guru-guru, ibu-bapa serta keluarganya.
Faham
Pelajar yang cemerlang lebih banyak mendengar daripada bercakap. Sikapnya yang demikian, menyebabkan ia lebih banyak berfikir, menganalisa dan mengetahui sesuatu isu sebelum ianya memberi maklumbalas. Ingatannya juga kuat kerana ia mempunyai kualiti yang ingin benar-benar memahami apa yang didengar, dibaca, dilihat atau yang dipelajarinya.
Gigih
Pelajar yang cemerlang sentiasa melakukan kerjanya dengan penuh minat dan tekun. Ia seronok belajar setiap mata pelajaran. Ianya juga pandai dan mudah menyesuaikan diri dengan semua guru yang mengajarnya.
Hasrat
Pelajar yang cemerlang sentiasa menyimpan pada hati kecilnya suatu hasrat untuk menjadi manusia yang sangat berguna dan berjaya. Hasratnya untuk mencapai cita-cita atau impiannya memberikan suntikan motivasi kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dalam kehidupannya.
Iman
Pelajar yang cemerlang sentiasa taat kepada perintah Allah S.W. dan berusaha mencapai kejayaan selaras dengan tuntutan agama iaitu mengamalkan apa yang disuruh dan menjauhkan apa sahaja yang dilarang. Ianya juga mentaati ibubapa, pemimpin-pemimpin, guru-guru, undang-undang negara serta segala peraturan dan amalan yang harus diikuti.
Sumber : http://www.ugmc.bizland.com/pelajarcemerlang.htm
====================================================================
15 FORMULA SAKINAH LAHIRKAN ANAK CEMERLANG
Anak cuma seorang dua. Tetapi, tidak dapat tidak tentu si ibu mahupun ayah berasa amat girang dan bangga apabila anak yang pernah ditatang menjadi cemerlang setelah dewasa kelak. Namun bagaimanakah cara untuk memperoleh anak yang berjaya sedemikian rupa? Berikut adalah 15 Tip menjadikan anak kita cemerlang.
1. Anak kecil memang gemar bertanya itu dan ini. Ada kalanya tingkah lakunya ini boleh menyebabkan anda bosan dan rimas. Namun, usahlah memandangnya remeh. Sebaliknya, layanilah sifat ingin tahu anak kita itu secara ikhlas dan positif. Elakkan daripada mengelak atau berbohong.
2. Zaman kanak-kanak hanya sekali seumur hidup. Jadi berilah peluang anak kecil anda bermain sepuas-puasnya. Walaupun tampak membuang masa, tetapi anda harus ingat bahawa proses pembelajaran kanak-kanak khususnya pra sekolah berlangsung sewaktu mereka sedang bermain. Ketika itulah dia membina kreativiti dan imaginasinya.
3. Asah kemahiran mendengar yang baik di kalangan anak kita. Cara yang paling mudah ialah menjadikan diri anda sebagai contoh kepadanya iaitu dengan memberi tumpuan apabila dia berbicara.
4. Usah kedekut memberi pujian kepada anak kita si comel apabila dia layak menerimanya. Pujian merupakan suatu bentuk penghargaan. Apabila dia menerima pujian daripada anda, dia akan berasa bahawa dirinya memperoleh perhatian anda.
5. Berilah galakan yang positif kepada anak dan elakkan daripada memaksanya. Walau bagaimanapun, galakan harus diberikan berdasarkan tahap kemampuan si kecil.
6. Berilah ruang yang cukup dan selamat untuk diterokai anak kecil anda. Pada masa yang sama, usah sekat peluangnya untuk menconteng, melukis, membina dan berinteraksi dengan kanak-kanak lain.
7. Bantulah anak agar bersedia menerima kesilapan yang telah dilakukan. Tenangkanlah dia dan suruhlah dia belajar daripada kesilapan tersebut. Pada masa yang sama, beritahulah anak bahawa kesilapan itu boleh diperbaiki dan diatasi. Berilah galakan untuk dia terus mencuba.
8. Elakkan daripada menegah mahupun melarang anak kita daripada melakukan sesuatu perkara secara negatif. Ini boleh menyebabkan anak kita hilang kepercayaan terhadap kebolehan dirinya untuk mendayausahakan sesuatu aktiviti.
9. Usahlah berleter dan bersungut di hadapan anak apabila dia gagal melakukan sesuatu. Tindakan anda ini hanya akan menyebabkan dia tidak dapat menguasai daya inisiatif.
10. Elakkan daripada bersifat baran dan mengeluarkan kata-kata negatif terhadap anak-anak. Tindakan anda boleh menyebabkan dia gemar menyisihkan diri, murung dan tidak proaktif.
11. Usah amalkan budaya berkata ’ jangan ’ dan ’ tidak boleh ’ kepada anak. Ia kurang sesuai untuk dipraktikkan sekaligus tidak membantu perkembangan positif dalam diri anak. Sebaik-baiknya tukar bentuk arahan negatif kepada lebih positif iaitu dengan cara memberitahunya apa yang patut dia lakukan.
12. Tanam dan cambahkan perasaan ’ saya boleh ’ dalam diri anak. Ini mampu menjadi pemangkin untuk dia mencuba perkara baru sekaligus menghadapi pelbagai keadaan hidup dengan penuh yakin.
13. Kaji terlebih dahulu sesuatu tingkah laku yang ditonjolkan oleh anak. Ada kalanya mengubah persekitaran mampu menyelesaikan kekecewaan anak. Cubalah fikirkan bagaimana anda boleh menbantu dia melakukan sesuatu.
14. Terdapat pelbagai cara yang boleh anda lakukan bagi mempamerkan kasih sayang kepada anak. Namun, bukan semua cara anda mampu difahaminya. Oleh itu, adalah lebih baik jika anda menunjukkan kasih sayang anda dengan cara yang lebih langsung dan bukan melalui kebendaan.
15. Kanak-kanak pra sekolah tidak mahir dalam membuat keputusan sendiri. Jadi dia akan lebih cenderung untuk memilih berdasarkan naluri ataupun kemahuan yang mungkin bertentangan dengan kehendak anda. Oleh itu, corakkanlah dengan baik dan berhikmah agar supaya anak kita dapat memahami dengan sepenuhnya.
Wassalam.
” ILTIZAM, HARMONI, CEMERLANG ”
Sumber : http://www.ypkdt.org.my/ypkdt/articles.php?id=367