Photobucket

Sahabat Maya :

Monday, September 5, 2011

Mari Muhasabah




Muhasabah di bulan Syawal






SEBENARNYA, hidup ini boleh diumpamakan seperti perjalanan sebuah kereta api. Tempat perhentian hanya menjadi persinggahan sementara untuk menurunkan penumpang.


Setiap tempat yang menjadi persinggahan tidak akan dijumpai lagi selepas itu. Perjalanannya akan berakhir apabila sampai ke destinasi yang sepatutnya.


Itulah perumpamaan yang boleh dibuat untuk menggambarkan kehidupan kita di dunia yang fana ini. Setiap masa yang dilalui tidak akan kembali lagi. Semalam semestinya tidak sama dengan hari ini dan hari ini tidak mungkin sama dengan esok.


Ramadan yang telah berlalu juga tidak akan sama dengan Ramadan akan datang. Kita tidak akan dapat melalui semula perhentian Ramadan yang telah berlalu. Apa yang boleh dibawa adalah nilai dan hasilnya bersama.


Demikian juga hari-hari yang berlalu dalam hidup kita. Setiap masa yang dilalui sepatutnya digunakan semaksima mungkin kerana ia pastinya tidak berulang lagi.


Umur yang dimiliki oleh kita mempunyai tarikh luputnya yang tersendiri. Bahkan Allah SWT akan membangkitkan persoalan umur dan bagaimana kita memanfaatkannya di akhirat kelak.


Sabda Nabi SAW yang bermaksud:


“Setiap hamba di hari kiamat tidak akan mengorak langkah menuju ke mana-mana, selagi dia belum selesai disoal-siasat tentang empat perkara, tentang umur, ke manakah dihabiskan sewaktu di dunia dahulu? Di masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian di waktu itu? Tentang harta, dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya? Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmunya itu? (riwayat Tirmidzi).”


Pepatah Melayu ada menyebut, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Pepatah ini cukup bermakna kerana ia menganjurkan kita supaya sentiasa membuat muhasabah terhadap kehidupan yang ditempuhi.


Sekiranya ia bercanggah dengan penilaian syariah, maka lebih baik berpatah balik ke pangkal jalan. Walaupun kadang-kadang ia memerlukan pengorbanan, namun ia cukup berharga serta bernilai di sisi Allah SWT. Jangan sampai sudah terlambat, barulah hendak menyesali segalanya.


Terlalu banyak ayat yang tercatit dalam al-Quran menceritakan penyesalan orang-orang yang melakukan maksiat kepada Allah dan minta diberikan sedikit ruang masa untuk kembali ke dunia untuk melakukan amal kebajikan.


Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud:


Sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan Tuhan mereka sambil berkata: Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia agar kami mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami sekarang telah yakin dan beriman. (as-Sajadah: 12)


Dan belanjakanlah sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajalku ke suatu masa yang sedikit lagi, maka aku dapat bersedekah dan dapat pula aku tergolong dalam orang-orang yang soleh. (al-Munafiqun: 10)


Demikianlah digambarkan sesalan golongan yang berbuat dosa di akhirat kelak. Amat dahsyat penyesalan itu sehingga merayu dan meratap kepada Allah SWT supaya diberikan sedikit masa untuk kembali ke dunia.


Marilah sama-sama kita bersyukur di atas nikmat masa yang diberikan Allah. Gunakanlah ia sebaik mungkin kerana kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Bulan Ramadan telah berlalu.


Namun, apakah amalan puasa yang kita jalani pada bulan tersebut di terima Allah? Atau puasa kita hanya menjadi sia-sia sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW?


Daripada Abu Hurairah Sabda Rasulullah SAW:


“Berapa ramai daripada orang berpuasa yang tiada mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga, dan berapa ramai yang berjaga malam tiada mendapat apa-apa dari bangunnya kecuali letih kerana berjaga (riwayat Ahmad).”



Diharapkan semangat mengerjakan ibadah pada bulan tersebut dapat diteruskan dalam bulan-bulan yang lain juga. Dan sepatutnya kita tidak lupa membuat kesinambungan puasa Ramadan yang lalu dengan mengerjakan puasa sunat enam hari di bulan Syawal ini.


Abu Ajjud berkata Rasulullah SAW bersabda:


“Siapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian diikutinya dengan enam hari Syawal, maka bagaikan berpuasa sepanjang masa. (riwayat Muslim).”



Justeru, marilah kita membersihkan diri dari dosa dan noda. Janganlah pada bulan Syawal yang mulia dicemari dengan maksiat kepada Allah SWT yang akan merosakkan benih-benih taqwa yang telah dituai selama sebulan.


Takwa kepada Allah SWT perlu dituai dengan penuh keimanan serta rasa syukur di atas peluang menjalani ibadah puasa selama sebulan. Mudah-mudahan Ramadan tahun hadapan akan kita temui lagi, insya-Allah.







Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...