Murid benci dimarah guru
BARU- baru ini, guru yang saya suka
memarahi saya di depan pelajar lain
kerana tidak dapat menjawab soalan yang ditanya.
Saya rasa sangat sedih dan benci kerana bukan saya
tidak mahu menjawab soalan itu, tapi memang tidak tahu jawapannya.
Selalunya dia tidak pernah memarahi saya
kerana dia seorang guru yang baik.
Tapi apabila saya dimarahinya,
saya menjadi tawar hati untuk belajar.
Dr, saya ingin tahu, adakah dia sudah tidak suka kepada saya?
Adakah guru marah anak murid kerana mereka ambil berat?
Lara,
Selangor
MENJADI seorang guru memang besar cabarannya.
Berhadapan dengan pelbagai kerenah pelajar mendedahkan guru
kepada pelbagai tekanan.
Psikologi seorang guru perlu kuat kerana tugas guru
banyak berhadapan dengan emosi.
Guru baik ialah guru yang dapat mengawal emosi
apabila berhadapan dengan tekanan berbeza.
Selain itu, peranan guru sebagai tunjang utama
dalam memperkasa dan memajukan bidang pendidikan
di negara ini sememangnya nyata.
Peranan guru bukan saja sebagai penyampai ilmu,
malah sebagai jurutera sosial, penyubur perpaduan,
pencorak minda dan pembangun sahsiah.
Guru juga agen perubahan.
Guru mendidik anak-anak bangsa, seperti adik
yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri,
agama, bangsa dan negara.
Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak
kepada proses transformasi sistem pendidikan negara
Dr lihat, perbuatan guru memarahi adik
bukan kerana dia tidak suka kepada adik,
tapi lebih kepada keinginan beliau agar adik
dapat menguasai pelajaran yang diajar.
Sikap ini menunjukkan guru adik memang mengambil berat.
Tiada guru yang suka melihat
anak muridnya gagal dalam hidup.
Bersifat tawar hati untuk belajar akibat dimarah
hanya akan memberi kesan negatif
kepada pembelajaran adik.
Jadikan peristiwa dimarah guru itu
sebagai motivasi untuk adik lebih
bersungguh-sungguh dalam pelajaran.