Adab baik akhlak cantik
adab sangat dipentingkan kerana
orang yang beradab adalah orang yang
sentiasa mementingkan budi bahasa dan
tatasusila sebagai orang yang beradab.
Kita sering mendidik kanak-kanak dan remaja
supaya beradab tetapi orang tua tidak pula
beradab dalam berkata-kata dan perlakuan
yang ditunjukkan.
Islam amat menekankan pendidikan
adab kepada anak-anak dan juga dalam
kalangan keluarga. Islam menetapkan
beberapa adab seperti adab berhias diri,
adab menjaga orang sakit, adab amar makruf
nahi mungkar, adab di tempat rekreasi,
adab menjaga kemudahan awam,
adab menziarahi jenazah dan adab
dalam pergaulan seharian.
Sebagai ibu bapa pendidikan adab
terhadap anak-anak sangat penting.
Ibu bapa mestilah menunjukkan adab
dan teladan yang baik. Begitulah
seperti kata peribahasa, seperti
ketam mengajar anaknya berjalan betul,
sedangkan ibu atau bapa ketam tak pernah
berjalan betul. Ada ibu bapa melarang
anaknya merokok, sedangkan mereka sendiri
adalah perokok tegar.
Bagaimanakah nasihat
dan teladan hendak diterapkan
kepada anak-anak?
Jawapannya terletak kepada
kebijaksanaan ibu bapa tersebut.
Memetik kata-kata cerdik pandai,
adab yang baik adalah seni untuk
membuatkan orang berasa selesa
berhubung dengan kita.
Sesiapa yang menyebabkan
paling sedikit orang berasa tidak selesa,
dialah baka yang terbaik dalam kumpulan itu.
Ingatlah kehebatan adab
terutama adab yang baik yang
ditunjukkan oleh seseorang kepada orang lain.
Orang yang beradab sentiasa menjaga
percakapan, bicara dan perlakuannya di mana
sahaja dia berada sama ada keseorangan
atau di khalayak ramai.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya
seorang mukmin mengambil
(melaksanakan) adab daripada Allah.
Kalau Allah meluaskan adab baginya,
maka akan luas adabnya dan
menyempitkannya (menahan dan
tidak memberinya adab)
maka sempitlah adabnya."
(riwayat Al Hakim).
Begitulah juga kita seharusnya
menjaga adab dengan pemimpin,
ibu bapa, guru dan orang yang lebih tua.
Begitu juga kita wajar mempamerkan adab
yang baik kepada kanak-kanak dan orang
yang lebih muda sebagai teladan dan
ikutan kepada mereka.
Sebagai renungan,
Wahab Munabin pernah mengingatkan,
adab dan akhlak yang buruk seperti
tembikar yang sudah pecah.
Tidak dapat dilekatkan lagi dan tidak dapat
dikembalikan menjadi tanah.
Begitu jugalah manusia
yang tidak beradab dan berakhlak
diumpamakan seperti
tembikar yang pecah.
Ini membuktikan adab dan akhlak
sangat penting dalam kehidupan,
jika adab dan akhlak kita rosak
dan tercemar sukar sekali untuk
memperbaikinya. Orang akan ingat
selama-lamanya akan perbuatan yang kita
lakukan yang merosakkan adab dan akhlak.
Nabi SAW bersabda:
" Yang muda
mendahului memberi salam
kepada yang tua,
yang berjalan
kepada yang duduk
dan yang berjumlah sedikit
kepada yang banyak. "
(riwayat Bukhari)
Kesempurnaan budi dan adab
sangat dipentingkan dalam kehidupan.
Kata-kata yang lemah lembut dan beradab
adalah inti peradaban kepada bangsa.
Adab dan sopan juga adalah kecantikan
budi pekerti yang terpuji yang sangat
disanjung sejak dahulu hingga sekarang.
Menurut Al Bukhari, Nabi SAW
lebih malu daripada seorang gadis
dalam pingitannya.
Mempraktikkan adab yang baik
dalam kehidupan sangat digalakkan.
Pendidikan adab ini mestilah
dilakukan sejak kecil lagi bagi
memperkukuh akidah, ibadah
dan akhlak seseorang.
Pendidikan ini juga
dapat meneguhkan
pendirian atau istiqamah
terhadap perintah Allah
dengan penuh keyakinan.
Nabi SAW, bersabda:
"Sesungguhnya Allah
indah dan senang kepada keindahan.
Apabila seorang keluar untuk
menemui kawan-kawannya hendaklah
merapikan dirinya."
(Riwayat Baihaqi)
Kebaikan adab juga akan
menunjukkan ketinggian akhlak seseorang.
Apabila seseorang itu beradab baik,
sudah pasti akhlaknya juga turut baik.
Pendidikan adab juga akan meliputi
pendidikan ibadah, keimanan, akal dan akhlak.
Justeru, adab bercakap
juga sangat penting dalam kehidupan.
Bercakap merupakan suatu budaya manusia
yang melambangkan hati, sikap dan fikiran.
Oleh itu,
peliharalah lidah dan ikutilah adab
yang baik semasa bercakap.
Lantaran itu, Nabi SAW, bersabda:
" Sesiapa mempercayai Allah
dan hari kemudian (akhirat) maka
semestinya dia bercakap perkataan
yang baik ataupun hendaklah dia diam sahaja.
(riwayat Bukhari dan Muslim).
Oleh itu, sebagai ibu bapa
didiklah anak-anak dengan bercakap
menggunakan perkataan yang
baik-baik sahaja.
Natijah, pendidikan adab dan akhlak
mestilah dilakukan secara berterusan.
Menjaga aurat, perlakuan dan percakapan
adalah adab yang paling baik.
Jika adab sentiasa dijaga
tidak akan ada perbuatan yang
membabitkan gejala sosial yang merosakkan
dan menghancurkan masa depan.