Ibu bapa
boleh jadi pakar-pakar motivasi
JAPLIN (tengah) bersama murid, guru dan ibu bapa
yang menyertai program Kem Motivasi SK Labuan.
yang menyertai program Kem Motivasi SK Labuan.
MURID yang membesar dalam belaian kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa berupaya menumpukan perhatian kepada kecemerlangan akademik kerana mereka berasa selesa berada di rumah.
Galakan serta dorongan keluarga adalah faktor penting dalam melahirkan pelajar yang cemerlang. Elakkan terlalu bergantung kepada pihak sekolah dan guru untuk melahirkan pelajar cemerlang kerana kecemerlangan bermula di rumah. - Datuk Japlin Akim, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah
Sehubungan itu, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Japlin Akim mahu ibu bapa sentiasa mendampingi anak mereka untuk memberi motivasi dan menyelesaikan masalah dihadapi golongan pewaris kepemimpinan negara itu. Beliau berkata, ibu bapa juga hendaklah menjadi ‘pakar motivasi’ kepada anak masing-masing dengan menggunakan pendekatan tersendiri untuk memberi galakan dan meningkatkan motivasi mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.
Katanya, ibu bapa atau penjaga adalah orang yang paling rapat dengan anak dan adalah wajar mereka memberi rangsangan kepada golongan terbabit dan pada masa sama mengelak daripada memberi tekanan.
“Galakan serta dorongan keluarga adalah faktor penting dalam melahirkan pelajar yang cemerlang. Elakkan terlalu bergantung kepada pihak sekolah dan guru untuk melahirkan pelajar cemerlang kerana kecemerlangan bermula di rumah,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kem Motivasi Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Labuan di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sinar Jaya, Kota Belud, Sabah, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Japlin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata, masyarakat yang membudayakan ilmu mampu menghasilkan pelbagai teknologi dan inovasi canggih yang mampu meletakkan negara sebagai sebuah negara berteknologi tinggi.
Katanya, untuk meletakkan negara sebaris dengan negara maju, ia memerlukan sebuah masyarakat yang berilmu kerana aspek itu mampu melahirkan individu yang pakar dalam pelbagai teknologi canggih meliputi kejuruteraan, telekomunikasi dan pembinaan.
Beliau berkata, pembudayaan ilmu, pembangunan inovasi dan teknologi serta memperkukuh ekonomi adalah komponen penting untuk mencapai Wawasan 2020 yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
“Penguasaan ilmu juga dapat membantu menyedia dan membentuk kumpulan bijak pandai yang berjiwa besar, hebat dan berkarisma untuk menjadi pemimpin masa depan negara,” katanya.