Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, June 25, 2010

Berfikir Rasional


Fifa Logo World Cup 2010





Berfikir Rasional



Perkataan rasional
berasal dari akar kata ratio
yang merujuk kepada akal atau minda.
Fungsi akal dihubungkan
dengan proses mengingat,
berfikir, taakulan, kefahaman
dan darinya diperolehi data,
maklumat, pengetahuan, fakta
yang dijadikan asas dalam membina
konsep, rumusan, hipotesis dan teori.




Hasil pemerhatian,
cerapan, uji kaji, pengalaman
dan penelitian membolehkan
akal manusia mengetahui
tentang sesuatu dan menyebabkan
aktiviti manusia berlaku
dalam menghubungkan diri
dengan orang dan diri
dengan persekitaran.



Berfikir rasional bermakna
berfikir menggunakan akal
untuk mendapat jawapan atau pedoman
tentang sesuatu perkara.
Ikhtiar yang dilakukan,
pertimbangan yang diberi,
keputusan yang dibuat,
andaian yang dirumuskan
mengambil pertimbangan akal
sebagai sumber rujukan.
Faktor-faktor seperti agama,
kepercayaan dan faktor-faktor ghaib
yang lain dianggap sebagai
sesuatu yang irrational
atau
tidak masuk akal dan dikaitkan
sebagai tahyul atau dogma.




Dalam tradisi Islam,
akal tidak ditolak sebagai
alat mendapatkan maklumat,
pengetahuan, data, fakta dan ilmu.
Tetapi
faktor akliah saja tidak memadai
sekiranya faktor naqliah atau wahyu
dikesampingkan.
Banyak perkara-perkara
yang di luar penglihatan,
pendengaran dan pengalaman
akliah dan rohaniah manusia
yang memerlukan pedoman pencipta.



Al-Quran
terkandung hikmah yang
memberikan sumber maklumat,
pengetahuan, petunjuk dan pengajaran
tidak sahaja kepada yang nyata
tetapi juga kepada yang ghaib.
Oleh itu,
konsep rasional dalam erti kata
yang luas tidak sahaja merujuk
kepada fungsi akal manusia
tetapi
bagaimana sumber wahyu
memandu akal berfikir secara logik,
saintifik dan sistematik.



Para remaja Islam
amat memerlukan asas rasional
yang tidak sahaja merujuk
kepada benda yang nyata,
wujud dan maujud tetapi harus mampu
menghubungkan faktor-faktor
yang wujud dengan faktor ghaib
atau faktor yang tidak wujud
pada pandangan mata
atau
pendengaran telinga.




Bumi
ciptaan Allah ini
tidak wujud dan bergerak dengan sendiri.
Ia bergerak dalam suatu sistem.
Sistem solar di mana bumi
berada juga beroperasi
dalam sistem-sistem yang lain.
Terdapat sistem-sistem
dalam alam ini
yang di luar kemampuan
manusia mengetahuinya.




Para saintis
menggunakan pemikiran rasionalnya
cuba mengkaji fenomena,
kejadian dan takdir tentang sesuatu.
Yang diketahui oleh manusia
masih sedikit sedangkan alam
yang luas terbentang ini
terkandung khazanah ilmu, maklumat,
data dan fakta yang boleh membantu
remaja mengetahui tentang
hikmah penciptaan dan menjadikan
remaja lebih dekat dengan
penciptanya.




Remaja Islam
jangan hanya membaca al-Quran
sekadar untuk mendapatkan fadilat
atau pahalanya sahaja.
Al-Quran terkandung isi dan makna,
ilmu dan tafsir,
pedoman dan petunjuk
terhadap yang nyata apalagi yang ghaib.
Perspektif rasionaliti
yang harus ada pada remaja
tidak hanya yang bersifat akliah
tetapi mesti diwajarkan
dengan faktor naqliah
iaitu wahyu.




Dalam Surah al-Baqarah ayat 164,
secara naqliah Allah menyebutkan
tentang kejadian langit dan bumi,
pertukaran malam dan siang,
kapal-kapal yang belayar
membawa muatan yang bermanfaat,
air hujan dan menghidupkan tumbuh-tumbuhan,
membiakkan berbagai jenis binatang,
peredaran angin dan awan
yang terapung antara
langit dan bumi tunduk
atas ketentuan Allah.
Semua tanda itu
adalah bukti nyata tentang
kebesaran, keesaan, kekuasaan,
kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah
bagi mereka yang menggunakan
akal fikiran.




Meskipun ayat-ayat di atas
adalah mukjizat Allah yang turun
kepada seorang Nabi yang ummi
ia bernilai rasional dan saintifik.
Rasional bermaksud
pada ayat tersebut terkandung
maklumat yang saintifik.
Kajian saintifik
pasti akan membuktikan bahawa
semua yang dinyatakan
oleh sumber nakliah itu adalah benar.
Ia bukan dogma atau khayalan.




Epistemologi




Kekuatan ulama dan ilmuan
terdahulu menjadikan faktor naqliah
tersebut sebagai pedoman untuk
melakukan tadabbur atau kajian
serta penyelidikan yang telah menyebabkan
ilmu tentang astrofizik, astronomi
atau angkasa lepas dapat dikaji
dan dijadikan ilmu-ilmu yang saintifik
dan akhirnya menjadi rujukan
Barat dan Timur untuk membangunkan
epistemologi ilmu
atau
teori ilmu masing-masing.




Para remaja
harus melengkapkan diri
dengan ilmu-ilmu yang dikembangkan
hasil pemikiran manusia
dan ilmu-ilmu yang dipedomankan
oleh al-Quran supaya asas rasionaliti
tidak saja diambil dari
sumber pemikiran yang sifatnya
terbatas tetapi menjadikan
sumber wahyu sebagai sumber
yang mengembangkan upaya berfikir.
Rasionaliti
antara asasnya ialah sesuatu
yang masuk akal atau diterima oleh akal.
Maklumat al-Quran
menerusi surah al-Baqarah ayat 164 itu
ternyata masuk akal dan boleh diterima
terutama bagi orang yang berfikir.
Tidak timbul bahawa
maklumat dari al-Quran
adalah tidak benar, tidak logik,
tidak rasional dan tidak saintifik.




Rasional atau tidaknya sesuatu itu
perlu dihubungkan dengan maksud
yang terkandung di dalam ayat-ayat tersebut.
Maksud yang dinyatakan
dalam ayat itu adalah jelas
dan kajian saintifik juga
membenarkan apa yang disebutkan
dalam ayat-ayat tersebut.




Rasional dalam tradisi berfikir Islam
tidak saja dihubungkan dengan faktor aqliah
tetapi juga selari dengan faktor naqliah.
Sekiranya kekuatan akal digunakan
untuk mengetahui sesuatu dan manusia
tidak dapat menemui hikmah
di sebalik sesuatu kejadian,
tidak bermakna bahawa ia
tidak rasional.




Manusia
cuba memperlihatkan
sedikit keupayaan mengetahui
tentang rahsia alam dan perjalanannya
dan menyebabkan wujudnya kesombongan
dengan menolak konsep penciptaan
dan kewujudan pencipta.
Sedangkan manusia amat insaf
dan sedar bahawa rahmat
dan nikmat Allah yang diketahuinya
adalah amat sedikit.
Ini digambarkan
bagaimana rahmat dan nikmat Allah itu
tidak ada batas tepinya.
Sekiranya air lautan
dijadikan dakwat untuk menulis
seluruh rahmat dan nikmat
yang Allah kurniakan
nescaya kering air lautan itu,
rahmat dan nikmat Allah
tidak akan tertulis oleh
manusia.




Jika manusia menginsafi
bahawa ada kekerdilan pada diri insan,
maka sudah tentu manusia
akan menjadi hamba yang
taat dan patuh.
Inilah asas kekuatan rasionaliti
dalam Islam,
tidak hanya berpegang
kepada sumber akal
yang terbatas tetapi
menjadi wahyu sebagai
suluh dan pertunjuk
supaya logik dan kebenaran
harus dilihat menerusi
jendela berfikir yang Qurani.




Jendela berfikir yang Qurani
ibarat suluh yang menerangi jalan berfikir manusia
supaya manusia tidak saja menatap
perkara yang nyata dan bersifat benda
tetapi benda yang tidak nyata
dan
bersifat bukan benda
iaitu tanda-tanda kebesaran-Nya
yang membuktikan ada
pencipta-Nya.




Berfikir bagi remaja
tidak hanya suatu kemahiran
tetapi berfikir bagi remaja
ialah menuju kepada kebenaran.
Keterbatasan akal
tidak akan sampai membimbing remaja
kepada kebenaran yang hakiki.
Kebenaran hakiki tidak dapat dilihat
hanya dengan mata biasa
dengan hanya menatap sesuatu yang nyata,
tetapi kebenaran hakiki
menerima suluh dari mata hati
menghubungkan yang nyata
dengan faktor-faktor yang ghaibiyyah.
Allah s.w.t
adalah faktor ghaibiyyah
yang amat utama.




Oleh itu,
tanda-tanda kebesaran-Nya
seperti adanya langit dan bumi,
terjadinya silih gantian siang dan malam
adalah tanda-tanda yang amat nyata
tentang kewujudan dan keperkasaan-Nya.
Tanpa-Nya
tidak mungkin benda itu ada
dan berlaku kerana rasional akal manusia
tidak mampu menciptakannya
apa lagi mentadbir perjalanannya.





Para remaja
dalam membina upaya berfikir
harus selalu menghubungkan
faktor-faktor yang Qurani
sama ada dari sudut kandungan,
metodologi, prinsip, kisah dan ibrah
semuanya memberi fokus
kepada remaja untuk mengetahui
hubungan dirinya dengan pencipta,
dirinya dengan alam sekitar
dan
dirinya dengan orang lain.




Sekiranya asas ilmu
yang didapati,
pendekatan dalam hidup yang diambil,
aktiviti kehidupan yang berlaku
mengambil kira faktor akal
dan wahyu ia bakal memandu remaja
ke arah jalan berfikir yang seimbang.
Keseimbanganlah
sebenarnya menjadi pelengkap
dalam pemikiran rasional remaja
yang bakal membimbing
ke jalan hidup yang lebih sempurna,
terarah dan berpedoman.







Oleh DR. SIDEK BABA



Sumber: Bicara Agama, Utusan Online --- 10 Jamadil Akhir 1427 -- 6 Julai 2006


Argentina World Cup 2010

Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...