Terus berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Semoga anak didik menjadi anak Malaysia. Berwawasan, berilmu, berdaya saing, majulah negaraku Malaysia.
Hari
ini adalah Jumaat terakhir bagi 2013, bermakna detik waktu berjalan
begitu pantas, saat, minit, jam, hari, minggu, bulan dan tahun terus
berlalu tanpa menunggu kita. Sedarlah, pergerakan masa ini bermakna ia
telah menambah lagi usia kita yang sememangnya kurniaan Allah SWT.
Bertambahnya usia, selayaknya membuat kita menjadi insan lebih
bernilai di sisi Allah SWT. Nikmat usia dipinjamkan Allah SWT yang
bersifat sementara adalah anugerah sangat bernilai bagi hamba yang
mengerti erti hidup sebagai satu ibadah.
Rasulullah SAW bersabda;
“Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian
sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya
serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).”
(Riwayat at-Tirmizi)
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“(Katakanlah wahai Muhammad
kepada mereka): Maka
segeralah kamu kembali
kepada Allah (dengan
bertaubat
dan taat), sesungguhnya aku
diutuskan Allah kepada kamu,
sebagai pemberi amaran
yang nyata.”
(Surah adz-Dzaariyat, ayat 50)
Justeru, tahun baru yang akan menjelma ini hendaklah dimulakan dengan
lafaz kesyukuran kerana kita masih lagi diizinkan meneruskan kehidupan
di samping menjalankan tugasan harian sama ada sebagai anak, ibu, bapa,
pendidik, pelajar, pekerja amnya dan individu Muslim khasnya.
Semoga kehadiran tahun baru membawa pengertian cukup besar bagi
mencetuskan rasa ingin berubah dari satu kekurangan kepada satu kekuatan
yang baru. Dalam kesyukuran ini, usahlah kita sesekali lupa pada
sejarah kerana sejarah adalah cerminan masa lalu untuk panduan pada masa
depan.
Ibarat memandu kenderaan, kita memerlukan cermin
sebagai panduan. Bolehkah kita memandu dengan selamat jika tidak adanya
cermin? Itulah pentingnya sejarah.
Negara sudah merdeka 56 tahun, namun kita telah dijajah
hampir 446 tahun oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan menerima
ancaman pengganas komunis. Ini semua bermula selepas jatuhnya Empayar
Kesultanan Melayu Melaka dan khilafah Islam Uthmaniyyah di Turki.
Derita di bawah cengkaman penjajah
Bayangkanlah, betapa peritnya, deritanya, azab dan seksanya kehidupan
apabila berada di bawah cengkaman penjajah dan ditindas oleh musuh.
Mungkin ada antara kita tidak pernah mengalami pengalaman dan
penderitaan di bawah cengkaman penjajah dan negara ditadbir oleh musuh.
Persoalannya, adakah kita mahu peristiwa sama berulang kembali? Adakah
kita mahu merasakan azab dan seksanya? Adakah kita rela menerima
penjajahan moden yang sudah pasti tidak akan ada jalan keluar untuk kita
melepaskan diri?.
Tepuklah dada, tanyalah iman dan akal serta
bermuhasabah diri. Bermuhasabah atau menghitung diri adalah satu amalan
anbiya’, mursalin dan orang soleh. Justeru, perkara penting yang harus
dijadikan budaya dalam hidup semua manusia ialah menilai diri sendiri.
Mengikut Ibnu Qudamah:
“Pengertian muhasabah ialah
melihat keadaan
modal,
keadaan keuntungan dan
kerugian, supaya dapat
mengenal pasti
sebarang
penambahan dan pengurangan.
Modalnya dalam konteks agama
ialah
perkara yang difardukan,
keuntungan ialah perkara sunat
dan kerugiannya
pula ialah maksiat.”
Ibnul Qaiyim pula berkata:
“Muhasabah
ialah
membezakan antara apa yang
diperolehnya dan apa yang perlu
ditanggungnya. Setelah mengetahui
yang demikian, maka dia hendaklah
membawa apa yang diperolehnya
dan melunaskan apa yang
ditanggungnya. Dia
seolah-olah
seorang musafir yang tidak akan kembali.”
Rasulullah SAW pernah memuji
sikap muhasabah dalam sabda Baginda:
“Orang
yang pintar ialah
orang yang menghitung dirinya
serta beramal untuk
hari
selepas kematian sementara orang
yang lemah ialah orang yang
mengikut hawa nafsunya serta
berangan-angan terhadap Allah
dengan
angan-angan (yang banyak).”
(Riwayat at-Tirmizi)
Sesiapa yang
bermuhasabah diri tidak akan membiarkan ruang dan masa untuk melakukan
perkara batil sebaliknya menyibukkan diri dengan ketaatan. Jika inilah
keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk
membuat kesalahan dan kebatilan.
Memetik kata-kata ulama
as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie dalam kitabnya Burhan al-Muayyad:
“Daripada
takut akan timbulnya muhasabah.
Daripada muhasabah timbulnya muraqabah.
Daripada muraqabah hati akan sentiasa
sibuk bersama Allah SWT.”
Laksana amanah
Marilah kita bersama menghitung setiap tindakan kita selama ini,
sejauh mana telah melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT. Apakah
kita telah benar-benar melaksanakannya mengikut lunas dan akhlak Islam.
Marilah kita mulakan tahun baru ini dengan menanamkan semangat
menyampaikan sesuatu yang baik dengan penuh kebenaran. Kebenaran yang
hakiki itu kadangkala menuntut kita bersikap yakin dan berani dalam
setiap hal.
Hayatilah ungkapan ‘berkatalah benar sekalipun
pahit’ untuk menjadi satu semangat kepada kita bila berdepan cabaran dan
dugaan. Namun kata-kata benar yang hendak kita lafazkan haruslah
berprinsip dan beretika. Kita juga hendaklah saling ingat mengingati
atas prinsip kebenaran.
Marilah kita bersama menjana kembali
semangat Islami dengan mata hati. Kita mulai semangat dengan jiwa
tawaduk, berusaha mempertingkatkan kualiti diri untuk mendapat keredaan
Allah SWT. Inilah masanya kita mesti bangun dan sedar wahai umat Islam
daripada terus bersengketa dan berbalah sesama sendiri.
Bekerja dalam Islam bukan sekadar untuk mendapat gaji pada akhir
bulan atau memenuhi tuntutan hidup yang kian mencabar. Bekerja mencari
nafkah yang halal adalah sebahagian daripada ibadah yang besar maknanya
di sisi Allah SWT.
Sebab itulah dalam konteks Islam, kualiti kerja tidak diukur cuma
dari sudut pertimbangan neraca manusiawi atau ‘utilitarian’ semata-mata.
Lebih jauh daripada itu, kecemerlangan tertakluk kepada syarat dan
ukuran keredaan Allah SWT.
Bagi orang Islam kualiti, kejayaan dan kecemerlangan sebenar ialah
apabila pekerjaannya diredai dan diberkati Allah SWT. Untuk itu amal dan
kerjanya haruslah memenuhi kod etika keagamaan, selain daripada
memenuhi etika kerja yang digariskan oleh majikan.
Apa yang pasti, kualiti amat berkait rapat dengan aspek
kecemerlangan yang tidak hanya ditentukan oleh teknik pengurusan.
Sebaliknya, kualiti dan produktiviti amat bergantung kepada faktor
kemanusiaan iaitu sikap manusia terhadap pekerjaannya. Seterusnya,
pembentukan sikap manusia pula amat terkait dengan tabii manusiawi yang
punya akal dan perasaan.
Akal dan perasaan manusiawi ini pastinya memerlukan motivasi dan
dorongan secukupnya untuk manusia melaksanakan pekerjaannya dengan rela
tanpa perlu dikerah atau dipaksa-paksa. Yang pasti, untuk meningkatkan
produktiviti dan kualiti kerja, manusia tidak boleh lagi dipacu seperti
kuda atau diperlakukan sewenangnya bagaikan robot bernyawa. Sistem
bekerja seperti ‘pahat dan penukul’ tidak lagi relevan, malah tidak akan
mampu memberi natijah yang maksimum.
Kerja dengan rela
Sebaliknya, kualiti dan kecemerlangan hanya akan tercapai jika
seseorang itu menunaikan tanggungjawabnya dalam pekerjaan dengan rela,
dedikasi dan penuh bermotivasi. Orang Islam sejati terdorong untuk
bekerja kuat, bukan kerana tekanan daripada majikannya. Bukan juga
berasaskan dorongan material mahupun ganjaran yang mempesonakan
semata-mata tetapi yang lebih utama kerana digerak oleh motivasi dari
dalam dirinya sendiri yang berupa rasa tanggungjawab untuk melaksanakan
tugas sebagai hamba dan khalifah Allah.
Menyedari posisinya sebagai hamba dan khalifah (wakil) Allah di
muka bumi akan mendorong manusia untuk menghayati dan memanfaatkan nilai
positif agama dan budaya anutannya. Dalam konteks ini, budaya kerja
dalam Islam bertitik tolak daripada hakikat makna kehidupan itu sendiri
yang merupakan suatu persaingan kecemerlangan amal dan kualiti kerja.
Dalam al-Quran disebutkan dengan jelas yang bermaksud:
“(Allah) yang
telah
menjadikan kematian dan
kehidupan bagi menentukan
siapa di antara
kamu
yang terbaik amalannya.”
(Al-Mulk:2).
Memang hidup ini harus diisi
dengan amal soleh (kerja yang baik) sebagai pembuktian dan manifestasi
keimanan utuh kepada Allah. Bahkan dalam al-Quran ada lebih 70 ayat yang
menggandingkan iman dengan amal soleh.
Kerja satu jihad
Oleh kerana itu jugalah manusia yang berfikiran waras akan sentiasa
didorong untuk berlumba-lumba bagi memaksimumkan keupayaan demi memburu
kebajikan dan kecemerlangan agar hidup dan matinya berkualiti. Kerja
yang dilaksanakan dengan semangat sedemikian pastilah dapat menatijahkan
produktiviti yang maksimum.
Islam melihat pekerjaan sebagai suatu yang cukup bernilai. Malah
Islam menganggap bekerja untuk memperoleh pendapatan yang halal adalah
satu jihad (maksud hadis). Diriwayatkan bahawa Saidina Umar Al-Khattab
berkata: “Keadaan yang paling aku sukai bila ajal menjemputku ialah
apabila aku sedang berjihad di jalan Allah. Kemudian keadaan di mana aku
sedang mencari rezeki kurniaan Allah. Kemudian beliau lantas membaca
ayat daripada firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan
sebahagian manusia
berjalan di muka bumi
mencari sebahagian
daripada (rezeki)
anugerah
Allah.
Sebahagian yang lain pula
berperang di jalan Allah.”
(Al-Muzammil:20)
Budaya kerja yang disemangati oleh nilai Islam juga diharapkan
dapat menghindari perilaku songsang dan gejala tidak bermoral dalam
pekerjaan.
Justeru, dalam upaya untuk mencipta budaya kerja yang lebih
berkualiti dan cemerlang, kita perlu memanfaatkan nilai positif dan
dinamik yang mengakar pada budaya dan agama Islam sejati. Hanya dengan
menterjemahkan pandangan hidup Islam yang syumul saja mampu mengangkat
martabat dan meningkatkan produktiviti pekerja demi kecemerlangan negara
masa depan.