Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, July 14, 2012

Proses transformasi Sistem Pendidikan Negara bermula tahun hadapan



Sistem Pendidikan Negara

dijangka alami rombakan

tahun depan





JOHOR BAHRU: Sistem Pendidikan Negara dijangka mengalami rombakan besar-besaran dan proses transformasi bermula tahun hadapan dengan mengambil kira hasil dapatan Dialog Nasional Pendidikan Negara yang dijalan sejak April lalu.







Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, transformasi itu akan dijalankan mengikut fasa dengan mendahulukan perkara-perkara yang boleh dilaksana dengan segera tanpa membabitkan perkara besar. "Kami harapkan satu anjakan berganda dan semua pandangan daripada siri dialog ini dicatat, dikaji dan dianalisis untuk mendapatkan intipatinya dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan dalam tempoh 15 tahun dan Pelan Strategik Pendidikan bagi tempoh tiga tahun.







"Jadi ia ada pelan jangka pendek, jangka sederhana, dan panjang iaitu selama 15 tahun supaya bidang yang perlu kita perbaiki dapat dilaksanakan kerana ini satu perkara yang besar dan kalau hendak lihat satu perubahan kita kena mengambil kira banyak perkara dan pandangan untuk pastikan kualiti pendidikan kita setanding negara maju," katanya.








Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Dialog Nasional Pendidikan Negara Kementerian Pelajaran Malaysia 2012 di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud. - BERNAMA













Teruskan membaca..

Melonjakkan mutu perkhidmatan dan kerja seharian






Sombong jejas keharmonian





Kesopanan melahirkan pekerja sensitif

terhadap keperluan perkhidmatan









Apabila meneliti surah al-Furqan dari ayat 63 hingga 77, Allah SWT menyenaraikan ciri-ciri akhlak hamba-Nya yang baik lagi beriman yang berhak untuk mendapat balasan baik daripada-Nya. Panduan daripada al-Quran ini amat berguna untuk dihayati dan dijadikan amalan untuk melonjakkan mutu perkhidmatan dan kerja seharian. Ciri pertama yang disebut dalam ayat itu ialah sifat sopan dan tidak sombong.








Firman Allah bermaksud:






“Dan hamba yang baik

dari Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah)

orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati;

dan apabila orang jahil menyapa mereka,

maka mereka mengucapkan kata-kata

(yang mengandungi) keselamatan.”

– Al-Furqan ayat 63)










Menurut Ahmad Mustafa al-Maraghi dalam tafsirnya, perkataan al-Haun bermaksud halus, lembut iaitu mereka berjalan dengan tenang dan sopan bukan dengan kesombongan. Justeru, yang mendapat rahmat Allah adalah insan yang tawaduk bukan takbur.








Jika dalam memberikan perkhidmatan, kesombongan boleh menyebabkan pekerja cenderung untuk tidak peduli, menghargai orang lain dan lebih mengutamakan diri sendiri. Jika sikap ini dibawa dalam alam bekerja, sudah tentu ia tidak akan membuahkan hasil kerja disenangi rakan dan pelanggan.









Apatah lagi jika bertugas di bahagian kaunter. Mereka yang memiliki sifat ini akan terdorong untuk tidak mengendahkan pertanyaan, aduan dan keperluan pelanggan. Mereka ini perlu dielakkan daripada ditugaskan di bahagian perkhidmatan kaunter jika sikap ini tidak berjaya dilentur.








Ia bukan saja akan menimbulkan masalah dan ketidakpuasan hati dalam kalangan pelanggan, juga akan memburukkan keseluruhan imej organisasi.









Jika seorang pengurus atasan pula memiliki sikap kesombongan diri, ia cenderung antara lain bersifat ego dengan tidak mudah menerima pandangan dan teguran dari pihak bawahan atau sesuatu keputusan yang tidak menepati kehendaknya walaupun telah dipersetujui ramai.









Sombong jejas keharmonian









Begitulah besarnya kesan kesombongan yang hanya ada pada diri seorang pekerja jika tidak segera ditangani sekali gus menyebabkan suasana dalam organisasi tidak harmoni dan saling menghormati.








Peringatan Lukman al-Hakim bermaksud:






“Dan

janganlah kamu memalingkan mukamu

dari manusia (kerana sombong) dan

janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh.

Sesungguhnya Allah tidak menyukai

orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

(Surah Lukman, ayat 18)









Ciri ibad al-Rahman seterusnya ialah apabila disapa dengan perkataan buruk oleh mereka yang jahil, mereka tidak membalasnya dengan perkataan serupa tetapi memberi kemaafan dan hanya berkata dengan perkataan yang baik.








Latih sifat tenang









Sering kali terjadi pelanggan yang marah dan tidak berpuas hati mengeluarkan kata-kata kesat. Namun, pekerja sering dilatih untuk bersifat tenang dan tidak membalasnya dengan kekasaran. Mereka dilatih memberikan layanan baik dan mengawal diri berdepan kerenah pelanggan.








Daripada Saidatina Aishah bahawa Rasulullah SAW bersabda:







“Sesungguhnya

lemah lembut dalam segala sesuatu

akan dikira sebagai amal baik oleh Allah

dan orang yang tidak berlemah lembut akan dicerca.”

(Hadis riwayat Imam Muslim)










Kesopanan juga akan melahirkan pekerja yang sensitif iaitu peka terhadap keperluan perkhidmatan serta dengan mudah dapat merasakan apa diinginkan pelanggan. Sifat sensitif ini adalah akhlak terpuji.








Rasulullah SAW yang diutuskan mempunyai sifat sangat mengasihi dan sangat menginginkan kebaikan dan melindungi umat Baginda. Justeru, memupuknya dalam diri serta mengamalkannya adalah akhlak terpuji sekali gus akan memajukan rasa tanggungjawab terhadap amanah organisasi.








Sifat sopan dan tidak sombong ini sangat mulia dalam setiap tindak tanduk dan amat penting untuk dijadikan prinsip dalam pengurusan semasa memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.








Nilai ini telah dijadikan satu daripada amalan nilai 8S yang disenaraikan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) ketika berurusan dengan pelanggan untuk diamalkan dalam perkhidmatan.








Kedua-dua nilai amalan menunjukkan sikap menghormati serta prihatin terhadap keperluan pelanggan sesuai dengan teras perkhidmatan untuk berusaha mengikis sikap mementingkan diri serta berkhidmat dengan penuh muhibah dan kemesraan.








Penulis ialah

pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah,

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)










Teruskan membaca..

Johan Qari dari Malaysia, Muhammad Anuar Ghazali



Qari Malaysia

johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa


Johan Qari dari Malaysia, Muhammad Anuar Ghazali (kiri), 36,
dan Johan Qariah dari Magribi, Hasnae Khoulali,19,
pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54.






KUALA LUMPUR - Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengukir sejarah kepada peserta Malaysia Muhammad Anuar Ghazali, 36, apabila dinobatkan sebagai juara kategori qari (lelaki).





Anuar, yang berasal dari Kelantan dan memperdengarkan bacaaan Surah al-Hud, memperoleh markah 95.33 peratus. Naib johan disandang qari Iran Amin Pouya dengan 91.67 peratus manakala tempat ketiga milik Indonesia menerusi Raden Harmoko Baharudin (90.16 peratus).






Bagi kategori qariah (wanita), peserta Maghribi Hasnae Khoulali, 19, yang memperdengarkan bacaan Surah al-Israk, memperoleh 94 peratus, sama seperti

markah yang diperoleh naib johan dan pemenang ketiga.





Hasnae menewaskan qariah Indonesia Rahmawati Bakri Hunawa dan qariah Malaysia Che Aminah Che Awang menerusi cara bacaan, tajwid, kefasihan serta suara dalam menentukan perkiraan markah mereka.






Pemenang tempat pertama bagi kedua-dua kategori membawa pulang wang tunai RM40,000 serta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke majlis itu.






Naib johan pula membawa pulang wang tunai RM30,000 serta cenderamata dan sijil penyertaan manakala pemenang tempat ketiga menerima RM20,000, cenderamata serta sijil penyertaan.






Seramai 62 peserta tilawah kali ini menerima hadiah sagu hati wang tunai RM3,000 setiap seorang, cenderamata serta sijil penyertaan.






Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.







Sumber







Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...