Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, August 24, 2012

Adat berlandas al-Quran, sunah

Allahu Akbar..Allahu Akbar..Allahu Akbar..Allahu Akbar..Walillahilham..


Minda:


Adat berlandas al-Quran, sunah




Oleh Ahmad Fauzan Yahaya





APABILA Syawal menjelma, rata-rata kita tidak ketinggalanuntuk mengadakan rumah terbuka bagi menjemput kaum keluarga, sahabat handai, jiran dan rakan sekerja. Mungkin ramai tertanya, dari manakah asalnya amalan rumah terbuka ini? Kita pasti akan mengatakan bahawa rumah terbuka sudah lama diperkenal dan diamalkan sejak turun-temurun lagi.




Untuk apa? Sudah semestinya niatnya baik. Untuk memberi makan kepada insan dalam masa yang sama merapatkan ukhuwah sesama insan.




Mengapa ia timbul?



Amalan rumah terbuka disebabkan kepelbagaian budaya yang sudah lama wujud di Malaysia. Secara sejarahnya, amalan rumah terbuka sebenarnya tidak dianjurkan secara khusus oleh Rasulullah s.a.w dan juga salaf soleh.




Ini bukan bermaksud bahawa ia dilarang dan tidak dibenarkan dianjurkan. Malah, sebagaimana kita tahu, bahawa terdapat kaedah usul-fiqh yang mengatakan bahawa “asal hukum setiap sesuatu atau adat adalah harus, sehinggalah datangnya dalil mengharamkannya”.




Ia berlainan dengan kaedah dalam bab Ibadah iaitu “asal hukum ibadah itu adalah haram, hingga ada dalil membenarkannya”. Ini antara kaedah yang masyhur dalam kita menilai sesuatu adat yang rata-rata diamalkan di negara ini sama ada ia bertepatan dengan sunah ataupun tidak.



Jika bercanggah, maka harus ditentang dan disanggah dengan baik dan penuh berhikmah. Sebagai contoh, amalan menanam uri selepas isteri bersalin digalakkan menyalakan lilin dan meletak sesuatu objek atau benda dengan alasan si bayi akan menjadi terang hati dan pandai. Ini kepercayaan yang tiada asas dan boleh mengundang syirik.



Rumah terbuka adalah adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Malah, ia hanya istilah dan terminologi yang sinonim dengan masyarakat Melayu di Malaysia. Amalan ini juga diamalkan masyarakat Cina dan India dalam perayaan mereka.



Rumah terbuka yang selalunya dipraktikkan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia lebih bersifat sebagai ‘semangat’ hari raya. Jika diambil kira daripada sudut ukhuwah Islamiyyah, semestinya, rumah orang Islam hendaklah sentiasa terbuka dan sedia menerima tetamu jika masa diizinkan.



Dalam surah Al-Nur ayat 27, Allah mengingatkan kita agar meminta izin daripada tuan rumah sebelum masuk atau bertandang ke rumah mereka.




Firman Allah:



“Wahai orang-orang beriman


janganlah kamu masuk ke dalam sesebuah rumah


yang bukan rumah kamu hingga kamu meminta izin


dan memberi salam ke atas ahli keluarga rumah tersebut,


justeru adalah lebih baik


kamu dapat mengambil peringatan.”



Jika ayat itu dihalusi dengan baik, maka dapatlah difahami, bahawa agama kita mempunyai prinsip dan peraturan berkaitan ziarah dan kunjung.



Oleh itu, rumah terbuka lebih bersifat kesediaan tuan rumah dalam membuat persiapan dengan lebih rapi, dari segi bajet, tetamu, makanan dan pemilihan hari kerana kesibukan bekerja dan keperluan tuan rumah untuk membahagikan masa ziarah beliau ke rumah orang lain.



Malah, jelas amalan memberi makan ini selari dengan firman Allah dalam bersedekah dan memberi makan kepada orang lain.



Di dalam surah Al-Imran ayat 92:




“Kamu sekali-kali tidak sampai


kepada kebajikan (yang sempurna),


sebelum kamu menafkahkan


sebahagian harta yang kamu cintai.


Dan apa saja yang kamu nafkahkan,


maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”





Dan begitu juga dalam surah Al-Isra’, Allah menyebut:





“Dan

berikanlah kepada keluarga-keluarga

yang dekat akan haknya,

kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan;

dan janganlah kamu membelanjakan (hartamu) secara boros.”

(Al-Isra’: 26)



Jika ditinjau dalil sunnah dan hadis Rasulullah, kita dapati bahawa Nabi bersabda akan sesiapa yang memberi infaq, sedekah dan makan kepada insan, sebagaimana diriwayatkan daripada Imam Al-Bukhari bahawa memberi makan kepada orang berpuasa tidak akan dikurang pahala sedikitpun seperti yang berpuasa itu.



Nabi bersabda yang bermaksud:




“Barang siapa memberi makan orang lapar,

Allah akan memberinya makanan

daripada buah-buahan syurga.

Barang siapa memberi minuman

kepada orang dahaga,

pada hari kiamat nanti,

Allah akan memberinya

minuman syurga amat lazat (ar-rahiq al-makhtum),

dan barang siapa memberi pakaian

kepada orang tidak mempunyai pakaian,

Allah akan memberinya pakaian syurga

berwarna hijau (khudhr al-jannah).”

[HR Abu Daud: no 1,432; At-Tirmizi: no 2,373].





Walaupun begitu, penganjur rumah terbuka harus peka mengenai perkara yang jauh daripada petunjuk Allah dan rasul, dan hendaklah menjaga prinsip majlis dengan tatacara bersandarkan al-Quran dan sunah Rasulullah.



Antara beberapa perkara yang harus dititik beratkan oleh penganjur rumah terbuka dapat disimpulkan dalam beberapa perkara:



1. Hendaklah majlis rumah terbuka tidak disertai dengan maksiat, pergaulan antara lelaki dan perempuan, jauh daripada punca dan pintu kemaksiatan. Di dalam kaedah fiqh: “Man a’ana ‘ala ma’shiyyatin fahuwa syariik fi al ithmi” (Barang siapa membantu dalam suatu kemaksiatan, maka dia sudah bersekutu dalam berbuat dosa). [Syarah Ibnu Bathal, 17/207]




2. Si penganjur rumah terbuka tidak boleh memilih tetamu hanya dalam kalangan orang kaya dan meminggirkan orang miskin. Ini sebagaimana larangan Rasulullah kepada orang yang membuat walimah agar tidak menjemput dan mengasingkan antara kelompok mereka yang kaya dan miskin.




3. Hendaklah ia dianjurkan dengan suasana bersederhana dan tidak membazir, malah tidak dijadikan majlis rumah terbuka sebagai platform untuk bermegah-megah dengan apa yang dimiliki dan apa yang layak untuk dirinya.




4. Dijauhi daripada segala unsur riya dan takbur.




5. Dijadikan majlis rumah terbuka dengan niat untuk bersedekah dan merapatkan ukhuwah dengan keluarga, sanak saudara, jiran dan sahabat handai. Ini juga harus difahami oleh tetamu yang berkunjung agar tidak meletakkan syarat untuk mengetahui menu untuk menentukan persetujuan memenuhi jemputan itu.




Sesungguhnya Islam itu mudah, dan amat sesuai untuk semua lapisan masyarakat, malah lebih baik agar jemputan rumah terbuka bukan khusus untuk orang Islam saja, malah dipanjangkan juga kepada masyarakat bukan Islam bagi membuktikan bahawa Islam adalah agama bersifat rahmat dan memberi rahmat kepada mereka yang bergelar insan.





Penulis berkelulusan hadis di


Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


adalah


Timbalan Pengerusi


Sekretariat Ulama Muda Malaysia






Teruskan membaca..

Sedia loker sekolah






Sedia loker sekolah




KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbangkan semula cadangan untuk menyediakan kemudahan loker di sekolah terutama sekolah rendah bagi menangani isu beg sekolah berat.




Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, langkah itu juga boleh mewujudkan sistem persekolahan yang lebih sistematik.




“Memang ada beberapa cadangan dikemukakan dan Kementerian Pelajaran sendiri, pihak sekolah, terutamanya ibu bapa dan guru, sedar mengenai perkara ini kerana kesannya membabitkan jangka masa panjang. Ia tidak baik kepada kesihatan dan postur kanak-kanak,” katanya kepada Bernama. Mohamad Ali berkata, beg berat turut menggambarkan sistem persekolahan yang tidak teratur dari segi jadual kerana murid harus membawa semua buku ke sekolah setiap hari.





“Jadi jalan keluar, antara lain adalah dengan menyediakan loker di sekolah, seperti kebanyakan sekolah di luar negara yang sudah lama mempraktikkan sistem sebegini,” katanya dan menambah kata terdapat pelbagai mekanisme untuk melaksanakan usaha itu bagi mengurangkan beban kos kerajaan.





Antaranya, kata beliau pengendalian kemudahan loker itu boleh diserahkan kepada pihak sekolah, koperasi sekolah ataupun PIBG.





“Ia juga boleh diserahkan kepada syarikat-syarikat luar dan kosnya mungkin boleh dicaj ke atas pelajar supaya mereka lebih bertanggungjawab ke atas benda yang diberi,” katanya. Presiden Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim yang bersetuju dengan cadangan itu, berpendapat yuran yang diterima daripada pelajar untuk tujuan itu boleh diguna bagi menampung keperluan lain di sekolah.





“Seperti di sekolah persendirian, memang kita sewa loker itu dan duit yang diperoleh daripadanya dapat digunakan bagi membiayai pelbagai keperluan lain,” katanya.





Noor Azimah berkata, pelajar boleh menggunakan kemudahan loker untuk menyimpan barangan keperluan seperti pakaian, peralatan sukan dan kelengkapan lain, menjadikan mereka lebih bersedia untuk pelajaran.





“Terutamanya bagi sekolah yang mengutamakan kegiatan kokurikulum seperti sukan dan kegiatan badan seragam, kemudahan ini sangat membantu,” katanya. -Bernama









Sumber





Thanks google :)








Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...