Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, January 12, 2010

PR pantau pilihan raya ketua murid




MURID Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur, Aimi Sarafana Balqis membuang undi pada pilihan raya pemilihan ketua murid, semalam.

KUALA LUMPUR: Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 (SKTTDI1) di sini mencipta sejarah apabila pemilihan ketua muridnya semalam dikendali dan dipantau sepenuhnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan.

Pemilihan yang menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan murid Tahun Enam, meriah dengan semua calon serta penyokong masing-masing berkempen pada saat akhir bagi meraih undi sebelum pengundian bermula jam 11 pagi dan berakhir 1 tengah hari.

Pada pemilihan itu, Khairul Azli Khairul Razi diumumkan sebagai pemenang dengan memperoleh 365 undi, mengalahkan pencabar terdekatnya, Alia Suraya Ahmad yang mendapat 281 undi, sekali gus dilantik penolong ketua murid.


Calon lain, Nurul Amalina Amiruddin mendapat 177 undi, diikuti Nik Zaman Faisal Zakimi (86) dan Mohammad Shahril Mohammad Anuar (57) undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya yang juga Guru Besar sekolah berkenaan, Nik Nab Sulaiman pada jam 2.10 petang dan dipantau Timbalan Pengarah SPR Wilayah Persekutuan, Khairul Amri Ishak.

Seramai 966 atau 91.7 peratus daripada 1,053 pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing termasuk satu undi pos melalui internet yang dilakukan guru yang kini melanjutkan pengajian ke luar negara, manakala tiga undi rosak.

Proses pembuangan undi itu dimulakan oleh Nik Nab, diikuti guru dan kakitangan sekolah serta murid Tahun Dua hingga Enam membabitkan lima saluran peti undi.

Nik Nab ketika ditemui pemberita, berkata pilihan raya bagi memilih ketua murid di sekolah itu sudah dua kali diadakan, tetapi tahun ini pertama kali dijalankan dengan kerjasama SPR bertujuan menerapkan konsep demokrasi yang diamalkan negara kepada generasi muda.

Beliau berkata, semua calon berkempen sejak seminggu lalu dengan pelbagai cara termasuk memasang poster, mengedar kalendar yang tertera nama dan slogan masing-masing serta mengadakan kempen dari kelas ke kelas.

Kelima-lima calon turut berkempen untuk kali terakhir pada sesi pidato semalam sebelum pusat pengundian dibuka. Proses pengiraan undi turut dilakukan kakitangan SPR dan sekolah bermula jam 1.20 petang.

Nik Nab berkata, perancangan untuk mengadakan pilihan raya itu bermula sejak Disember lalu dengan menghantar kertas kerja kepada SPR untuk mendapat kerjasama menjalankannya seperti pilihan raya sebenar.

"Setiap kelas diarah menghantar nama tiga calon menjadikan jumlah keseluruhan calon peringkat awal seramai 100 pelajar sebelum jumlah itu dikecilkan kepada 80 orang dan kemudian 60 murid dipilih untuk menjalani kursus sehari semalam bagi memenuhi syarat yang ditetapkan pihak sekolah.

"Daripada kursus itu, kita memilih lima pelajar terbaik untuk dicalonkan sebagai ketua murid pada sesi persekolahan kali ini dengan proses penamaan calon bermula pada 5 Januari lalu," katanya.

BERITA HARIAN

Teruskan membaca..

Jamil: Gereja wajar gugurkan 'Allah'





Seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata pemimpin-pemimpin gereja di negara ini wajar mengambil pendekatan sama dengan seorang tokoh Kristian di Sabah yang meminta masyarakat Kristian di Malaysia menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah 'Allah'. Datuk Jamil Khir Baharom berkata pendekatan sedemikian boleh memberikan ruang bagi meningkatkan kerukunan dan keselamatan negara serta meredakan ketegangan yang timbul berikutan tuntutan penggunaan kalimah 'Allah' oleh Gereja Roman Katolik dalam penerbitan mingguannya, Herald. "Saya amat mengalu-alukan supaya pihak ini mempunyai kesedaran dan tanggungjawab terhadap keselamatan negara dan keamanan di Malaysia. "Saya rasa gereja lain juga sewajarnya memahami keadaan dan sejarah (mengenai penggunaan kalimah 'Allah' di negara ini) secara mendalam," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkara itu di Putrajaya hari ini. Akhbar hari ini melaporkan seorang tokoh Kristian Sabah, Datuk Clarence Bongkos Malakun menyarankan agar Herald menarik balik tuntutan itu demi keharmonian dan keselamatan negara. Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia itu, yang juga timbalan presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah, berkata penganut Kristian di Malaysia tidak wajar mencontohi masyarakat Kristian di Indonesia yang menggunakan kalimah 'Allah' dalam urusan agama mereka, sebaliknya harus mematuhi perlembagaan Malaysia. Ditanya mengenai insiden membakar gereja di beberapa tempat sejak dua hari lepas, Jamil Khir berkata sesiapa pun tidak wajar melakukan perbuatan ini. "Kita masih tak tahu siapa yang bertanggungjawab tapi sebenarnya kita tak boleh menyakiti antara satu sama lain dan ini adalah ajaran dan tegasan agama Islam," katanya. Beliau berkata dialog-dialog antara agama juga akan diteruskan dan diperhebatkan dari semasa ke semasa supaya rakyat di negara ini akan lebih memahami agama kaum lain. - Bernama
Teruskan membaca..

Ada-ada aje......








Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...