Gilap potensi remaja
REMAJA adalah cermin masyarakat manakala masyarakat pula acuan kepada pembentukan sahsiah remaja.
Baik sikap remaja maka baiklah masyarakat. Pada awal kedatangan
Islam, pemuda dan pemudi seperti Saidina Ali, Abdullah bin Umar, Zaid
bin Harithah, Asma’ binti Abu Bakar dan yang seangkatan dengan mereka
menulis tinta sejarah agung bersama Rasulullah s.a.w.
Zaid bin Harithah dalam usia belasan tahun menggempur Rom, Muhammad
bin Abdul Majid dalam usia 24 tahun membuka Kota Konstantinople yang
kemudian bergelar Sultan Muhammad Al-Fatih.
Malah, di sana terdapat nama dan bintang yang terdiri daripada pemuda-pemudi yang patut diputar kembali dalam layar ingatan agar menjadi inspirasi dan contoh.
Malah, di sana terdapat nama dan bintang yang terdiri daripada pemuda-pemudi yang patut diputar kembali dalam layar ingatan agar menjadi inspirasi dan contoh.
Setiap manusia berpotensi jika digilap dengan cara betul dan pasti boleh mengulangi kehebatan mereka. Kita bukan hendak berkhayal tapi ingin mengulangi sejarah, sebab itu kita tidak boleh berpisah dengan sejarah.
Sejarah akan berulang. Al-Quran sarat dengan cerita sejarah yang memberi hidayah dan petunjuk.
Dalam surah Ali-Imran ayat 110, firman-Nya bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, iaitu kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.”
Saidina Umar al-Khattab, berkata sesiapa yang ingin menjadi umat terbaik mestilah menunaikan tiga syarat Allah dalam ayat ini. Generasi dahulu yang sudah memenuhi syarat itu dan terbukti kehebatan mereka sudah lama meninggalkan kita.
Justeru, kita perlu buat sesuatu. Semua pihak mesti berganding bahu secara bersepadu, mendidik dan buat apa saja supaya anak yang menjadi penyambung warisan itu dapat digilap dan diukir yang memberi nilai berharga kepada masa depan umat.
Semoga usaha kerajaan melabur jumlah wang yang besar untuk melahirkan remaja yang berdisiplin dan berwawasan dalam pelbagai program akan membuahkan hasil diharapkan.
Remaja perlu didekati dan dibimbing. Tuduhan demi tuduhan bukan jalan penyelesaiannya. Hendak seribu daya, mahu seribu cara.
Kita tak banyak fikir mengenai cara hendak mendekati remaja, akhirnya mereka makin jauh daripada kita. Sekarang kita semua perlu fikir cara untuk membantu mereka dengan cara berkomunikasi dengan mereka, bukannya mewujudkan jurang lalu menjadikan kita berkonfrantasi.
Peranan guru di sekolah bukan hanya memindahkan maklumat kepada murid untuk berjaya dalam peperiksaan tetapi perlu membentuk mereka dengan nilai dan ilmu.
Rugi jika remaja hanya mempunyai maklumat tapi tidak memiliki kebaikan. Kita bukan hanya mahu mereka jadi cerdik pandai tapi juga jadi baik yang mampu menjadi teladan.
Jika baik tapi tidak cerdik pun tidak ke mana, kalau cerdik tapi tidak baik lagi kacau bilau. Sebab itu, ibu bapa perlu menganggap anak mereka sebagai amanah yang bukan hanya mesti ditanggung di dunia, tapi juga mesti dijawab di akhirat.
Pendekatan dalam mendidik anak perlu berubah, memarahi anak tanpa kaedah yang betul akan hanya membekukan minda remaja.
Menghukum anak tanpa berhikmah akan meninggalkan dendam dalam hati mereka.
Rumah jangan menjadi tempat transit, tempat tukar pakaian macam hotel, kemudian keluar, tiada interaksi, tidak bertegur sapa. Rumah sebetulnya menjadi sekolah kedua.
Ibu bapa perlu menjadi guru paling intim dengan anak. Remaja pula patut menyedari mereka adalah harapan keluarganya. Mereka perlu berdikari, jangan jadi pahat dengan penukul, sekali diketuk sekali bergerak, menunggu arahan saja.
Sebaliknya, mesti melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu. Di luar sana ramai remaja yang sedang mengecapi kejayaan, kita tunggu apa lagi? Kejayaan dimulakan dengan pengorbanan, kerja keras dan mampu mengatasi segala rintangan.
Iman dan Islam adalah senjata ampuh dalam menghadapi dunia remaja yang penuh dengan cabaran. Pesanan Luqman al-Hakim: “Sesungguhnya dunia ini laksana laut yang dalam dan sudah ramai manusia yang karam, oleh itu jadikanlah takwa sebagai perahu, takut Allah sebagai isinya, tawakal sebagai layarnya.
Bantuan media massa, media cetak, media elektronik, pembikin filem dan pelbagai NGO perlu bersama-sama berganding bahu untuk membantu.
Jangan sampai remaja terperosok dengan hidangan filem atau hiburan yang merosakkan. Semoga kita sama-sama berazam, merancang dan bertawakal untuk menjadi pewaris terbilang.
Sumber