Anugerah Raja Zarith Sofiah
Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my
TUANKU Raja Zarith Sofiah Sultan Idris
Shah (tengah)
bergambar bersama hadirin selepas berkenan melancarkan
Anugerah Raja Zarith Sofiah di Persada Johor, Johor Bahru, baru-baru
ini.
JOHOR BAHRU 15 Jan. - Anugerah Raja Zarith Sofiah
yang dilancarkan baru-baru ini bagi mengiktiraf sumbangan golongan
belia yang mempamerkan bakat, kreativiti dan inovasi terutamanya dalam
bidang industri kreatif menyasarkan untuk melahirkan 10 orang usahawan
dalam bidang itu.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Mejar (K) Md. Nor Yusof
berkata, melalui anugerah tersebut, pihaknya turut menyasarkan untuk
membentangkan 60 kertas cadangan yang bertemakan industri kreatif,
sekali gus menghasilkan satu resolusi seminar yang mantap dan
berinovasi.
Beliau berkata, melalui penganjuran tersebut, negara mampu untuk
melahirkan dan meningkatkan peratusan graduan politeknik yang
menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.
"Dijangka melalui anugerah berkenaan, kira-kira 540,000 orang terdiri
daripada pelajar sekolah rendah dan menengah, penuntut institusi
pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti serta
komuniti setempat akan menikmati manfaatnya," katanya dalam ucapan aluan
yang dibacakan oleh Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengajian
Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar.
Anugerah berkenaan dilancar oleh Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan
Idris Shah dan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian
Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor yang turut hadir pada majlis berkenaan.
Tambah Md. Nor, anugerah yang diwujudkan Politeknik Ibrahim Sultan
(PIS) dan Pusat Keusahawanan Politeknik Malaysia (MPEC) dengan kerjasama
beberapa pihak itu akan digunakan sebagai wadah terbaik bagi mengenal
pasti 30 produk inovatif yang berpotensi untuk dipasarkan.
"Bukan itu sahaja, sepanjang tempoh penganjuran yang bermula November
dan dijangka berakhir April ini, kita sasarkan untuk menandatangani 20
memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa industri dalam bidang
terbabit," katanya.
Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu reka bentuk produk
kraf, reka bentuk fesyen dan aksesori, reka bentuk pembungkusan dan reka
bentuk produk dengan sasaran penyertaan akhir seramai 120 orang.
Pertandingan terbuka kepada pelbagai pihak seperti institusi
pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, komuniti
setempat, industri berkaitan serta sekolah dengan pemenang tempat
pertama, kedua dan ketiga bagi semua kategori akan menerima pingat emas,
perak dan gangsa berserta sijil penghargaan.
Tiga anugerah utama untuk mengiktiraf rekaan terbaik iaitu Anugerah
Pereka Raja Zarith Sofiah, Anugerah Potensi Raja Zarith Sofiah dan
Anugerah Khas Raja Zarith Sofiah dengan kesemua penerima akan membawa
pulang hadiah wang masing-masing RM12,000, RM10,000 dan RM3,000.
Teruskan membaca..