Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, January 21, 2012

Tabiat merosakkan kulit




Tabiat merosakkan kulit






Tanpa disedari kadang kala sesetengah tabiat seharian kita memberi kesan buruk pada kulit termasuk berjerawat, kusam dan kering tidak bermaya. Antara tabiat buruk tersebut termasuklah:





Bercakap di telefon terlalu lama





Menjadi kebiasaan kita meletakkan telefon bimbit di sebarang tempat termasuk di tempat-tempat berdebu seperti dalam beg, atas meja, dalam kereta dan sebagainya. Tanpa disedari ia boleh menyebabkan jerawat pada muka apabila pipi bersentuhan dengan telefon akibat bercakap di talian terlalu lama. Untuk mengelakkannya lap dulu telefon sebelum menggunakannya.





Kerap mengerutkan mata





Tabiat sesetengah daripada kita tidak gemar mengenakan kaca mata atau lensa sesentuh walaupun penglihatan agak kabur. Ini membuatkan anda mengerutkan muka dan mengecilkan mata untuk melihat objek dengan lebih jelas. Jika perbuatan ini berlarutan kesannya kulit akan cepat berkerut dan kelihatan tua.





Penggunaan penyembur rambut (hair spray)





Banyak yang menggunakan tapak tangan untuk melindungi mata ketika menggunakan penyembur rambut. Tapak tangan tidak dapat melindungi seluruh wajah kerana partikal-partikal kecil daripada penyembur rambut akan menembusi celah-celah jari dan melekat pada wajah yang boleh menjejaskan kulit. Seeloknya gunakan tuala bersih untuk melindungi wajah ketika menggunakan penyembur rambut.





Malas mengganti sarung bantal





Ketika tidur, sel-sel kulit mati di wajah akan melekat pada sarung bantal. Lama kelamaan ia menebal dan timbul bakteria. Jadi jika malas mengganti sarung bantal bermakna anda tidur di atas timbunan bakteria.





Kerap mandi air panas




Mandi air panas memang nikmat. Tapi jika terlalu kerap dan tempohnya terlalu lama, lapisan luar epidermis akan terkikis dan kulit akan jadi sangat kering. Kulit kering lebih cepat kendur dan berkedut.









Sumber













Teruskan membaca..

Ukhuwah dibajai kasih sayang serlah keikhlasan


Ukhuwah dibajai kasih sayang serlah keikhlasan








Umat hidup saling membantu dapat membangunkan Islam di persada dunia








UMAT Islam selalu dirujuk sebagai saudara seagama atau umat bersaudara kerana silaturahim yang terikat kemas oleh kepercayaan yang satu serta cara hidup sama dipandu oleh al-Quran dan hadis.








Walaupun ada kala kita tergelincir daripada jalan-Nya, ia bukan bermakna akan putus saudara atau hilang kasih dan sayang antara kita tetapi itulah hikmah bersaudara, tujuannya supaya saling menegur dan memperingatkan.









Dalam sesebuah rumah tangga, yang sering memberi teguran tentulah seorang yang paling prihatin dalam kalangan ahlinya, sama ada ia seorang bapa, ibu atau anak. Tidak kiralah siapa pun yang ikhlas membetulkan kesalahan, ia tentulah bertujuan menjadikan ahlinya lebih baik, bukan lebih buruk.








Dalam konteks yang lebih besar, umat Islam bersaudara walau tanpa pertalian darah dan kaitan kerabat. Persaudaraan atau sering disebut ukhuwah, datangnya daripada kesedaran bahawa setiap individu tidak akan mampu bersendirian kerana saling memerlukan adalah asas kekuatan bagi setiap umat Islam. Meskipun begitu, ukhuwah hanya menjadi ikhlas sekiranya kita ikhlas membajai hati dengan rasa kasih dan sayang kepada saudara seagama. Perasaan tersebutlah yang memungkinkan kita mempercayai antara satu sama lain.







Hasil daripada sifat kepercayaan terhadap saudara pula akan membawa kepada pembelaan terhadap setiap perilaku saudara seagama terutama yang baik, dan cuba membantu dalam konteks kekeluargaan sekiranya perilaku itu tidak baik, tanpa perlu menghebahkannya kepada masyarakat yang tidak menganggap mereka sebagai saudara. Ini kerana ukhuwah akan mengatasi rasa benci, menjauhi hasad dengki dan caci maki sesama insan, sebaliknya menyuburkan kebaikan dan mendekatkan manusia kepada cara hidup yang bertoleransi.








Ukhuwah amat penting dalam agama. Itulah asas yang menjadikan umat Islam bersatu dan menjernihkan yang keruh, bukan membuka jalan keaiban terhadap kekurangan dan kelalaian orang lain. Anggaplah saja sebarang kesilapan manusia sebagai lumrah dalam meniti hidup sebagai manusia, bukan menambahkan lagi rasa benci hingga sebahagian besar umat Islam hari ini saling bermusuhan, bukan saling bersaudara. Bukanlah bermakna masalah dalam setiap perhubungan insan adalah petanda kehancuran Islam, tetapi darjat persaudaraan amat penting untuk mengharmonikan setiap manusia yang menjunjung al-Quran.







Rasulullah SAW dan sahabat contohnya, telah menyemai rasa kasih dan sayang sesama mereka hingga sanggup memperjudikan nyawa untuk mempertahankan nyawa saudara yang lain. Rasulullah SAW juga memulakan pembinaan Madinah dengan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar, hingga mereka bersatu dan mengumpul kekuatan yang akhirnya menjadikan Islam teguh di persada dunia.







Melalui persaudaraan, umat Islam akan saling bekerjasama dan menolak kepentingan diri demi membina kemajuan agama dan umatnya, terutama supaya keamanan dapat dipertahankan yang sekali gus memungkinkan tanggungjawab terhadap Allah SWT dapat dilaksanakan dengan sempurna.






Allah SWT merakamkan kisah itu dalam Surah Al-Hasyr, ayat ke-9 yang bermaksud:







“Dan orang Ansar yang mendiami negeri (Madinah)

serta beriman sebelum kedatangan mereka (orang Muhajirin)

mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka

dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkehendakkan

kepada apa yang telah diberikan kepada orang yang berhijrah itu,

dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu

lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan

kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan sesiapa

yang menjaga serta memelihara dirinya daripada

dipengaruhi oleh tabiat bakhil maka merekalah

orang-orang yang berjaya.”








Oleh kerana itulah Rasulullah SAW yang hanya seorang manusia yang terbatas sifatnya dilantik Allah SWT untuk membawa banyak peranan dalam kehidupan. Hikmahnya ialah supaya umat Islam sehingga ke penghujung zaman pun boleh mengambil iktibar daripada setiap tindak tanduk Rasulullah, sama ada sebagai seorang pemimpin keluarga, masyarakat, sahabat, guru, usahawan, petani, panglima perang, hakim, pengembara, peneroka, malah sebagai seorang umat yang paling taat kepada suruhan Allah SWT.







Tetapi sekiranya hakikat ini tidak dipeduli, alangkah ruginya kita bernabikan baginda Rasulullah SAW, yang susur galur hidupnya menjelaskan secara terperinci kehidupan sebagai seorang Muslim yang sebenar. Bukan itu saja, keutamaan dijanjikan oleh Allah SWT kepada setiap orang mempertahankan ukhuwah akan hilang begitu saja, sedangkan Allah SWT menjanjikan kemanisan iman dan pengampunan dosa buat mereka yang bersaudara dan bersatu kerana akidah yang satu. Allah SWT juga menjanjikan naungan arasy.










Sumber















Teruskan membaca..

Ruang pejabat bersih tingkat prestasi pekerja




Ruang pejabat bersih tingkat prestasi pekerja








Amalan membudayakan kebersihan jadi terapi minda, kekang tekanan tugas




KEBERSIHAN adalah tunjang agama dan sebahagian daripada iman. Ia amat dititikberatkan dalam segenap aspek kehidupan. Buktinya, ajaran Islam memperkenalkan sistem kebersihan secara khusus melalui amalan kebersihan.
Antaranya, kaedah berwuduk, bertayamum, beristinjak, membersihkan najis, mandi hadas, mandi mayat, kebersihan diri dengan memotong kuku, menggosok gigi, membuang bulu ketiak dan ari-ari, merapikan rambut dan misai serta membersihkan hidung.







Begitu juga amalan kebersihan umum seperti memastikan kebersihan ruang solat, larangan membuang air di laluan awam, di bawah pohon yang berbuah dan dalam air bertakung. Semua contoh ini adalah cara Islam dalam menjaga kebersihan diri, orang lain dan persekitaran.






Sabda Rasulullah SAW daripada Ibn Mas’ud:






“Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih.

Dia amat mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih.”







Manakala firman Allah yang bermaksud:






“Hai orang yang berselimut.

Bangunlah, lalu berilah peringatan!

Dan Tuhanmu agungkanlah.

Dan pakaianmu bersihkanlah.”

(Surah al-Mudatthir, ayat 1-4)







Bahkan, dalam kitab fiqh ulama selalu meletakkan bab taharah (kebersihan) pada bab yang pertama tetapi sayangnya isu kebersihan dalam kalangan umat Islam sendiri masih belum berkesudahan. Walaupun setiap hari kita berwuduk dan mandi, namun amalan itu belum menjamin pembudayaan kebersihan khasnya di tempat awam termasuklah di tempat kerja sendiri.






Contoh ketara ialah kebersihan tandas di surau dan masjid yang rata-ratanya masih belum memuaskan. Ada kala lebih buruk dan kotor daripada tandas awam. Ada juga ruang solat yang kotor dengan tahi cicak, habuk, sampah serta sejadah, telekung dan kitab tidak tersusun kemas. Malang sekali apabila kebersihan rumah milik umat Islam ini masih belum boleh dibanggakan.







Justeru, perlulah diingat bahawa kebersihan bukan perkara ranting sebaliknya ia adalah perkara pokok mesti diutamakan dalam soal kerohanian dan peribadatan serta diberi keutamaan dalam urusan kehidupan.







Teori pengurusan organisasi menunjukkan kebersihan ruang pejabat dan persekitarannya bukan saja perlu untuk kelihatan kemas serta cantik, tetapi ia memberi sekurang-kurangnya tiga kesan penting iaitu meyakinkan pelanggan terhadap kualiti pengurusan serta memberi dorongan motivasi kepada pekerja.







Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:






“Sesungguhnya kamu akan berjumpa saudara kamu,

maka perelokkanlah bekalan kamu dan pakaian kamu

sehingga kamu menjadi tahi lalat dalam kalangan manusia.

Sesungguhnya Allah tidak menyukai perkataan dan perbuatan

yang keji dan keterlaluan dalam perkataan dan perbuatan.”

(Hadis riwayat Abu Daud)







Menurut Dr Mustafa al-Khin dalam Fiqh al-Manhaji, maksud menjadi tahi lalat dalam kalangan manusia dalam hadis ini ialah menonjol dan berbeza daripada yang lain kerana kebaikannya atau membentuk imej yang nantinya akan menjadi ikutan.






Penekanan terhadap aspek kebersihan dan kekemasan persekitaran ruang fizikal membabitkan peralatan, jentera, kemudahan kerusi, meja, rak fail, tandas dan sebagainya boleh dilakukan dengan mempraktikkan amalan 5S yang diperkenalkan dalam organisasi di Jepun.







Amalan 5S itu ialah seiri, seiton, seiso, seiketsu dan shitsuke. Kesemuanya bermaksud sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa praktik.






Sisih bererti mengasingkan apa yang perlu dan tidak perlu. Apa yang tidak perlu itu boleh dibuang atau dilupuskan bagi menjimatkan ruang. Kemudian, semua perlu disusun atur dan diseragamkan dengan pelbagai sistem penyimpanan seperti angka, abjad atau warna supaya memudahkan urusan mencari serta menyimpan dokumen.













Ruang dan peralatan yang ada juga hendaklah sentiasa dijaga kebersihannya dengan sentiasa disapu. Mudahnya, kita boleh memulakan sendiri dengan menjadikan amalan menyapu ruang, menyusun fail dan membuang sampah di meja sendiri sebelum atau selepas memulakan kerja sebagai tabiat setiap hari.







Ruang yang bersih, kemas lagi cantik itu akan menjadi terapi minda yang baik untuk mendorong minat kita berada di pejabat dan bekerja dengan sistematik, cekap serta cepat. Ia juga memberikan pandangan mata dan fikiran tenang, sekali gus memudahkan lahirnya idea lebih kreatif, keputusan adil serta komunikasi menyenangkan.








Semua ini sudah tentu akan mewujudkan suasana seronok dan selesa di tempat kerja selain memberi keselesaan kepada pelanggan dan imej baik kepada organisasi.







Justeru, marilah sama-sama kita menjadi pekerja dan individu yang prihatin terhadap aspek kebersihan dan kekemasan serta membudayakan sifat ringan tulang untuk menjaganya di mana juga kita berada.







Semakin kita mengutamakan kebersihan semakin baiklah perjalanan pengurusan dan semakin baik perjalanan pengurusan akan semakin baiklah hubungan kita sesama manusia serta hubungan kita dengan Pencipta.







Penulis ialah pensyarah di


Jabatan Siasah Syar’iyyah,

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya (UM)










Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...