Usah bebankan guru, pelajar
TANYA PENDAPAT...pengenalan sistem penilaian baru memerlukan penerangan
mendalam supaya pihak terbabit tidak akan menjadi mangsa keadaan. -
Gambar hiasan
PEMANSUHAN Penilaian Menengah Rendah (PMR)
pada 2014 pasti memberi
anjakan baru kepada sistem pendidikan dan peperiksaan negara yang kini
merentasi era globalisasi.
Bagaimanapun, ada pihak beranggapan pemansuhan itu akan gagal jika
pengenalan baru menerusi Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA)
yang akan menggantikan PMR tidak mampu dilaksanakan dengan baik.
Persoalannya, mampukah SBA memberi impak lebih baik berbanding PMR?
Pengarah Makmal Penyelidikan Pendidikan Universiti Pendidikan
Sultan Idris, Profesor Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah berkata, pemansuhan
atau pengenalan dua sistem penilaian tidak perlu dipertikaikan, namun
kemampuan kedua-duanya memberi impak terbaik kepada sistem pendidikan
negara.
Beliau berkata, setiap sistem penilaian perlu mengambil kira
pelbagai aspek dan wajar dilaksanakan apabila sudah bersedia kerana
implikasinya besar kepada sekolah, pelajar, tenaga pelaksana, masyarakat
dan masa depan.
“Persediaan penting kerana kita tidak mahu
apabila sistem penilaian baru diperkenalkan, impaknya tersasar sehingga
menjadi uji kaji semata-mata.
“Kita juga tidak mahu apabila
sistem lama dimansuhkan, ada pihak tidak berpuas hati dan mula
mempersoalkannya. Ini boleh menggugat proses dan keharmonian sistem
pendidikan negara.
“Yang penting, sistem penilaian yang
digunakan itu mampu memberi impak terbaik dan lebih baik daripada sistem
sedia ada, barulah pemansuhan itu berbaloi,” katanya.
PMR yang
diperkenalkan pada 1993 bagi menggantikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP)
akan dimansuhkan pada 2014 bertujuan mengelak sistem pendidikan negara
daripada terus berorientasikan peperiksaan.
Menerusi SBA, pihak
sekolah sebagai pengendali tetapi masih di bawah pengawasan Lembaga
Peperiksaan untuk memastikan soalan yang disediakan berkualiti, setara
dan mampu mengukur prestasi pelajar.
Katanya, tidak salah jika
mahu memperkenalkan sistem penilaian baru, namun kajian mendalam perlu
dilaksanakan bagi memastikan ia mencapai matlamat.
Selain itu,
katanya, sistem diperkenalkan itu perlu telus dan tidak menambah beban
fizikal dan mental guru sebagai mekanisme pelaksana.
“Sebab itu,
sebelum melaksanakannya, kajian mendalam perlu dilakukan kerana tidak
mahu timbul masalah yang akhirnya akan menjadikan pelajar, guru dan
sekolah sebagai mangsa keadaan.
“Memang benar, banyak negara
maju melaksanakannya, namun di negara kita masih banyak aspek perlu
diambil kira. Contohnya, kesediaan guru sebagai mekanisme pelaksana juga
penerangan jelas agar lebih memahami.
“Jika tidak, saya
percaya pengenalan sistem penilaian baru itu pasti rumit, sekali gus
menambah beban dan tekanan sedia ada. Yang menjadi mangsa ialah pelajar
dan guru,” katanya mengakui tempoh kajian yang tinggal kira-kira dua
tahun sebelum pelaksanaan sudah memadai.
“Panel yang
bertanggungjawab dalam sistem ini perlu mendapatkan pandangan pelbagai
pihak sama ada kementerian, sekolah, guru, pakar akademik atau badan
bukan kerajaan.
“Pendapat mereka juga boleh membantu memberikan
input terbaik selain penerangan kepada masyarakat khususnya ibu bapa
yang selama ini sudah serasi dengan sistem penilaian lama,” katanya.
Antara persoalan yang perlu dititikberatkan ialah bagaimana mahu
mengklasifikasikan kedudukan pelajar mengikut aliran ketika di tingkatan
empat.
“Menerusi PMR, kita boleh mengklasifikasikan mereka berdasarkan keputusan.
Bagi yang cemerlang akan memasuki aliran sains, yang lain sastera atau vokasional.
“Apabila SBA diperkenalkan, apakah kriteria yang akan digunakan, bagaimanakah kita mampu menilai pelajar berkenaan?
“Semua ini memerlukan jawapan dan penyelesaian. Sebab itu penting
perbincangan bersama untuk mengetahui persediaan dan tahap kemampuan
kita memperkenalkan sistem penilaian baru,” katanya.
Mengakui
pemansuhan PMR sebagai langkah berani melahirkan pelajar serba boleh dan
kompeten selari kehendak semasa, selain mahu menyamai sistem penilaian
diguna pakai di negara maju.
Bagaimanapun, ia tidak boleh
dilakukan secara drastik dan perlu melalui frasa demi frasa supaya
sistem penilaian itu selari dengan standard yang ingin dicapai.
“Kita tidak boleh menafikan, bidang pendidikan juga perlu melalui
anjakan perubahan supaya selari dengan negara maju, namun biarlah ia
dilaksanakan secara konsisten, bukan tergesa-gesa.
“Mencapai
standard seperti negara maju memerlukan masa, komitmen, perancangan dan
persediaan. Bagaimanapun, usaha ini wajar diberi pujian dan sokongan
kerana kita berani berubah.
“Bagaimanapun, ia juga perlu
diseimbangkan dengan perubahan pemikiran. Jika mahu lakukan perubahan
sistem, cara berfikir, menerima dan membuat tindakan juga perlu berubah.
“Andai sistem saja yang berubah tetapi pemikiran tetap di takuk lama, sistem ini akan gagal,” katanya.
Beliau juga berharap masyarakat diberi penerangan jelas supaya mereka
lebih memahami dan bersedia menerima perubahan sistem penilaian lama
kepada baru.
“Penerangan jelas kepada masyarakat pasti memberi
kelegaan dan membuatkan mereka faham. Kita tidak mahu, hanya sebelah
pihak saja beria-ia melakukannya tetapi yang lain tidak menyokong.
“Gunakan medium seperti media massa dan elektronik untuk menerangkan
mengapa perubahan mesti dibuat terutama kepada masyarakat kelas
sederhana dan bawah.
“Perubahan ini bakal memberi impak kepada
semua, justeru, penting bagi pihak terbabit mengetahuinya dengan jelas
supaya tidak akan timbul kekeliruan,” katanya.