Kemakmuran asas perpaduan
MINGGU depan kita akan memasuki tahun baru Islam, 1434 hijrah.
Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan sahabat lebih 1400 tahun dulu
terpaksa ditempuhi dengan pelbagai cabaran.
Bukan tugas mudah memperjuangkan Islam ketika itu sehingga kemuliaan Islam mampu diangkat ke tahap tertinggi.
Maka, apakah yang perlu dilakukan umat Islam bagi menyambut tahun baru hijrah kali ini?
Perkara
yang penting ialah setiap Muslim perlu menghitung diri serta
memperbaharui azam untuk menjadi insan lebih baik dari sebelumnya.
Saidina Umar al-Khattab pernah berkata,
“Hisablah diri kamu
sebelum kamu dihisab oleh Allah di akhirat kelak”. Hisablah diri sebagai
persiapan untuk menentukan kejayaan pada masa akan datang.
Seperkara lagi ialah setiap kali berakhirnya setahun putaran hari
dalam kehidupan kita ini memberi makna umur kita kian meningkat.
Seiring
dengan peningkatan usia, sisa-sisa kehidupan kita di dunia ini juga
semakin berkurang. Saidina Ali Abi Talib pernah berkata:
“Sesiapa yang
menghabiskan masa hariannya tanpa ada hak yang dilaksanakannya, tanpa
ada kewajipan ditunaikan, tanpa ada kemuliaan dibinanya, tanpa kepujian
yang diperoleh, tanpa ada kebajikan dilakukannya, tanpa ada ilmu
dipetiknya, maka sesungguhnya dia sudah menderhakai masa hariannya itu.”
Hakikatnya,
jika tidak ada keberanian dan usaha gigih untuk berubah, tiada siapa
yang mampu ‘berhijrah’. Nabi Muhammad dan pengikutnya mencetuskan
kecemerlangan hijrah yang akhirnya berjaya meletakkan Islam sebagai
pencetus kepada kegemilangan manusia.
Peristiwa hijrah
mengandungi pelbagai hikmah antaranya, Piagam Madinah yang mengandungi
empat teras iaitu penyatuan seluruh umat Islam dari pelbagai suku dan
kaum, bekerjasama walaupun berbeza latar sosial, tanggungjawab warga
negara bagi mempertahankan tanah air mereka serta jaminan persamaan dan
kebebasan setiap individu walaupun berbeza agama, budaya dan adat resam.
Penghijrahan
juga perlu berlangsung beransur-ansur dengan harapan membuahkan hasil
pada akhirnya. Paling penting, jaga ibadah kita kepada Allah, diikuti
hubungan sesama manusia.
Dalam konteks kehidupan di Malaysia,
jauhilah diri dari menimbulkan bibit-bibit perpecahan yang ternyata amat
merugikan. Jangan sampai orang kafir terus mentertawakan kita, malah
mengambil kesempatan merendahkan martabat Islam atas kelemahan yang kita
sendiri ‘cipta’.
Perpaduan adalah asas paling utama bagi
memakmurkan diri, masyarakat dan negara. Sejarah kemanusiaan menyaksikan
jatuh bangunnya sesebuah bangsa bergantung kepada kekuatan rohani
bukannya fizikal.
Penghijrahan Rasulullah juga membuahkan hasil
apabila berjaya mengubah permusuhan kepada penyatuan, kejahilan kepada
ilmu serta kemunduran kepada pelbagai limpahan kemajuan.
Menurut
Penolong Pengarah Biro Tatanegara Negeri Pahang, Jabatan Perdana
Menteri, Ustaz Ahmad Shah Jamlus berkata, penghijrahan Rasulullah
menjadi pengajaran terbesar buat umat Islam supaya sentiasa bermuhasabah
diri untuk meningkatkan amalan.
“Rukun Iman keenam iaitu percaya
kepada Qada’ dan Qadar meyakini buruk dan baik dalam kehidupan ini
adalah ketentuan Allah semata-mata.
“Namun, keyakinan itu
bukanlah membawa seseorang Muslim hanya berserah semata-mata kepada
ketentuan-Nya sehingga hilang usaha menjadi Muslim yang soleh atau
sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata, perubahan itu wajib dan tetap berlaku tanpa ada pilihan kepada manusia.
“Peningkatan
usia dari muda ke tua tetap berlaku secara alami. Namun, perubahan pada
akal dan budi menjadi ruang kepada usaha manusia untuk terus berada
dalam kesopanan akhlak yang murni.
“Kita juga perlu sentiasa
memanjatkan kesyukuran kerana menjadi warga di atas bumi yang bertuah
ini. Pelbagai usaha dan perancangan dibentuk bagi melahirkan masyarakat
dan negara yang harmoni.
“Contohnya, memperkenalkan Dasar Transformasi Nasional yang memberikan kesan besar terhadap kehidupan rakyat Malaysia.
Ia adalah semangat dan falsafah yang dibentuk hasil dari kefahaman hijrah yang ditonjolkan Rasulullah,” katanya.
Menurutnya,
peristiwa hijrah memacu diri dari keadaan kurang baik kepada yang lebih
baik. Malah, jika berada pada keadaan baik dipertingkatkan lagi untuk
mencapai tahap terbaik.
“Amalan solat, puasa, zakat, dan haji,
semua itu menjadi sendi kehidupan yang tersusun untuk setiap muslimin
dan muslimat. Mengambil falsafah penghayatan hijrah secara umum, ia
membawa transformasi meliputi kehidupan setiap insan.
Bermula dari individu, keluarga, masyarakat, negara dan ummah perlu menghayati falsafah di sebalik hijrah,” katanya.
Allah
berfirman di dalam Surah Az-Zalzalah, Ayat 7 dan 8 yang bermaksud:
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya
(dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah,
nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Begitu juga Allah
menjelaskan Kekayaan-Nya yang tidak memerlukan sumbangan dan bantuan
daripada makhluk-Nya termasuk manusia, melainkan setiap kebaikan yang
dilakukan manusia itu adalah untuk kebaikan diri mereka sendiri.
Dalam
Surah al-Isra’ ayat 7 Allah berfirman,
“Jika kamu berbuat kebaikan,
(maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan
jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada
diri kamu juga...”
Katanya, dalam hijrah perubahan dan transformasi tertakluk kepada perkara ikhtiar atau menjadi pilihan manusia itu sendiri.
Merujuk kepada sirah Rasulullah, terdapat tiga perkara utama yang
dilaksanakan baginda di dalam peristiwa hijrah iaitu pembinaan masjid,
mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar serta membuat perjanjian kontrak
sosial antara kaum Muslimin dengan kaum bukan Muslim bagi mempertahankan
Kota Madinah pada ketika itu.
“Agenda perpaduan perlu meletakkan
hormat-menghormati, rendah hati (tawaduk), kesederhanaan (wasatiyyah)
serta berakhlak mulia dalam usaha transformasi kehidupan masyarakat
berbilang kaum di negara ini,” katanya.
Berasas kepada kefahaman
saling mempertahankan negara rakyat perlu berganding bahu mempertahankan
keharmonian dan kemakmuran supaya terus terpelihara.
“Merujuk
kepada budaya ilmu contohnya, bermula dengan penciptaan Adam lagi,
baginda dimuliakan berbanding makhluk lain adalah kerana ilmu.
“Ini
disandarkan melalui al-Quran di dalam surah Al-Baqarah, Ayat 31-33,
yang bermaksud,
“Dan Ia (Allah) mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama
benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia
berfirman:
“Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.
Malaikat
itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai
pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami;
sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
Wahai
Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka
setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah
berfirman:
“Bukankah Aku katakan kepada kamu,
bahawasanya Aku mengetahui
segala
rahsia langit dan bumi dan
Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan
dan apa yang kamu sembunyikan?”.
“Begitulah budaya dan nilai
yang memungkinkan anjakan yang lebih meluas dalam memahami falsafah di
sebalik penghijrahan Rasulullah sehingga membawa transformasi besar
kepada kehidupan.
“Jauhkan perpecahan, eratkan kembali perpaduan
selain memungkinkan negara ini menjadi ‘baldatun tayyibatun wa rabbun
ghafur’ (negara yang baik dan mendapat keampunan daripada Tuhannya Yang
Maha Mentadbir),” katanya.
Sumber
IKRAR TAAT SETIA...
setiap rakyat Malaysia perlu mempunyai
semangat
mempertahankan negara serta berganding bahu
mempertahankan
kemakmuran supaya terus terpelihara.