Hikmah Al-Quran:
Zakat asas kesejahteraan ummah
Amalan tingkat struktur
sosio ekonomi golongan miskin
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka
menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada
dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk).”
(Surah At-Taubah, ayat
103)
Syeikh Ahmad Mustafa Al-Maraghi menyebut dalam tafsirnya,
walaupun ayat ini turun dengan sebab khusus, namun nas mengenai pengambilan
harta seperti terdapat dalam ayat bersifat umum termasuk khalifah Rasulullah
selepas kewafatan Baginda dan pemimpin Islam setelah wafatnya khalifah.
Sabda Rasulullah SAW:
“Islam itu dibina atas lima perkara,
mengucap dua kalimah syahadat, mendirikan solat, mengeluarkan zakat,
mengerjakan haji dan berpuasa di bulan Ramadan.”
(Riwayat Muslim)
Ia juga mencakupi secara umum orang yang diambil hartanya iaitu orang memiliki kekayaan. Justeru, Saidina Abu Bakar as-Siddiq bersama sahabat lain telah memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat seperti pernah dilakukan pada zaman Rasulullah SAW.
Abu Bakar, “Demi Allah seandainya mereka enggan membayar kepadaku seutas tali unta yang dahulunya pernah mereka tunaikan kepada Rasulullah, nescaya aku akan perangi mereka kerana keengganan itu.”
Fardu zakat tahun kedua hijrah
Allah SWT telah mewajibkan kefarduan zakat pada tahun kedua hijrah di mana sebelum itu pemberian dibuat adalah secara sukarela. Allah SWT memuji hamba-Nya yang menjadikan sebahagian hartanya untuk diinfakkan kepada yang berhak sebagai zakat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”
(Surah Al-Ma'aarij, ayat
24-25)
Dr Mustafa Sibaie dalam ulasannya pada ayat itu menjelaskan, pemberian kepada orang yang berhak menerima zakat dalam keadaan mereka mengangkat kepalanya dan menerima dengan bermaruah. Mereka mendapatkan hak mereka seperti hak pekerja untuk mendapatkan gajinya.
Kenyataan sarjana dan penulis ulung ini menggambarkan keistimewaan ibadah ini sama ada kepada pemberi dan penerima zakat.
Zakat adalah asas kepada struktur sistem ekonomi Islam dan mempunyai komitmen berterusan terhadap pembangunan sosio ekonomi secara global. Setiap individu Muslim atau pemilik syarikat yang menghayati tuntutan rukun Islam wajib membabitkan diri demi kesejahteraan masyarakat.
Sabda Rasulullah SAW:
“Islam itu dibina atas lima perkara, mengucap dua kalimah
syahadat, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa
di bulan Ramadan.”
(Riwayat Muslim)
Antara zakat diwajibkan
Dalam konteks negara kita, antara zakat harta yang diwajibkan ialah zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, saham, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), emas, perak, pertanian dan ternakan.
Kefahaman terhadap kewajipan zakat harta ini perlu didedahkan supaya masyarakat tidak terbenam dalam benak pemikiran apabila disebut perkataan zakat hanya tertumpu pada kewajipan zakat fitrah yang dikeluarkan pada Ramadan.
Shah Waliyullah al Dahlawi berkongsi pengalaman rohaninya membantu orang yang memerlukan dalam Kitab Hujjatullah al Balighah. Beliau berkata, “Pada suatu hari, seorang fakir miskin telah datang kepadaku dengan meminta sesuatu untuk keperluannya. Di dalam hati ini aku merasai suatu ilham yang memintaku supaya memberi keperluan yang diperlukan oleh fakir miskin itu serta kegembiraan dengan pahala yang banyak di dunia dan di akhirat sebagai ganjarannya. Setelah aku memberi keperluan itu, aku menyaksikan sendiri apa yang telah dijanjikan Allah SWT kepadaku adalah benar di mana ketukan pintu kemurahan Ilahi dan dorongan ilham serta pilihan hatiku pada masa itu ternyata ganjaran pahala. Semuanya jelas terbayang di mataku.”
Tarbiah dalam sistem zakat
Sheikh Hassan Karzun dalam bukunya Ibadah Azzakah menyebut, terdapat lima kelebihan tarbiah yang menyeluruh dalam sistem zakat.
Pertama, pengabdian diri kepada Allah SWT. Ibadah zakat berada di carta kedua selepas kefarduan solat kerana menunaikan zakat salah satu perintah Allah SWT yang perlu ditunaikan bagi yang berkemampuan. Amalan zakat menunjukkan tanda kesyukuran dan pengiktirafan hamba atas segala pemberian-Nya.
Kedua, orang yang bersegera menunaikan zakat apabila sampai haulnya untuk menyucikan diri, maka di situ lahirlah roh kemurahan dalam mengutamakan orang lain. Melalui keperibadian ini, ia dapat memantapkan persaudaraan sesama Islam.
Ketiga, amalan zakat turut melahirkan masyarakat yang berada dalam suasana kasih sayang, prihatin dan saling membantu tanpa mengira sama ada mereka dari golongan kaya mahupun miskin.
Keempat, sistem zakat menggalakkan penyuburan harta serta menghalang harta disimpan secara pasif di samping mampu membuka ruang pekerjaan kepada orang miskin dan memerlukan.
Kelima, ia adalah siasah syariyah yang unggul di mana sistem zakat mewajibkan negara Islam memungut zakat untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang berhak.
Sesungguhnya amalan berzakat akan menambahkan keberkatan hidup, meraih doa malaikat, memadamkan kemurkaan Allah, menambahkan limpahan rahmat dan menolak azab akhirat yang berpunca daripada sifat bakhil dan kedekut. Justeru, setiap orang mampu wajib bertindak segera melaksanakan kewajipan penting ini sebelum segala-galanya sudah terlambat.
Penulis ialah
perunding motivasi Islam
Fitrah Power Resources