
 
470,395 calon 
duduki SPM tahun ini
 
 
  	
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Sebanyak 470,395 calon akan menduduki 
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 3,316 pusat peperiksaan di
 seluruh negara mulai 6 November hingga 5 Disember.
Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini 
memberitahu, sebanyak 415,509 calon dari sekolah kerajaan, 8,054 calon 
(sekolah di bawah agensi kerajaan selain kementerian) dan 8,325 calon 
(sekolah menengah agama negeri). 
Selain itu, kata kenyataan tersebut, turut menduduki peperiksaan 
tahun ini ialah 11,261 calon (sekolah swasta yang berdaftar dengan 
kementerian), 1,389 calon (sekolah menengah agama rakyat) dan 1,389 
calon (persendirian).
"Sebanyak 30,863 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar," kata kenyataan itu.
Lembaga Peperiksaan turut mengingatkan calon untuk merujuk jadual 
waktu peperiksaan tentang waktu peperiksaan serta arahan dan amaran yang
 perlu dipatuhi semasa peperiksaan.
  
"Jadual peperiksaan yang telah diedarkan ke sekolah-sekolah boleh dimuat turun melalui laman web Lembaga Peperiksaan di alamat http://www.moe.gov.my/lp.
"Calon turut diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing 
ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian 
peperiksaan berjalan dengan lancar,'' kata kenyataan berkenaan.
 

 
 
 
 
Tabik Tok Gajah
SHAH ALAM - Setelah 21 tahun menanti, Pahang 
akhirnya menamatkan kemarau juara Piala Malaysia dengan meranapkan 
impian Kelantan mempertahankan kejuaraan dengan kemenangan tipis 1-0 di 
Stadium Shah Alam, semalam.
Kejayaan Pahang itu bukan sahaja disambut dengan sorakan ribuan 
penyokong Pahang di stadium, malah pastinya menggembirakan setiap rakyat
 negeri itu yang menyaksikannya menerusi skrin televisyen yang bersiaran
 secara langsung. 
Sekalung tahniah buat pemain import dari Argentina, Matias Conti yang
 muncul wira Tok Gajah, apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-58 
sudah cukup buat Pahang memahat sejarah merangkul kejuaraan ketiga dalam
 sejarah penganjuran Piala Malaysia selepas melakukannya (juara) pada 
tahun 1983 dan 1992.
Di hadapan 85,000 penonton yang membanjiri stadium, anak-anak buah 
Dollah Salleh sewajarnya layak dinobat sebagai juara berdasarkan aksi 
yang lebih berkualiti dengan penguasaan di bahagian tengah dikemudi 
pemain berbakat besar, Azamuddin Akil dan Mohd. Amirulhadi Zainal.
Perlawanan semalam bagaikan mengulangi keputusan 1-0 ketika mereka 
menang ke atas Kedah pada tahun 1992 dan lebih menggembirakan kali ini, 
mereka hanya dilabel sebagai underdog untuk menang tetapi berupaya mengejutkan Kelantan yang jauh lebih berpengalaman.
Selain Conti dan Azamuddin yang layak dilabel sebagai wira pasukan, 
aksi cemerlang yang dipamerkan oleh penjaga gol muda, Khairul Azhan 
Mohd. Khalid wajar diberikan pujian apabila menafikan banyak peluang The Red Warriors terutama pada penghujung permainan apabila menyelamatkan percubaan Mohd. Nor Farhan.
Kelantan yang dianggap pilihan untuk memenangi perlawanan ini 
mempamerkan aksi yang tidak begitu bermaya dengan kelibat ketua pasukan,
 Mohd. Badhri Mohd. Radzi tenggelam manakala Indra Putra Mahayuddin dan 
Mohd. Norfarhan Muhammad tidak dibiarkan bebas di bahagian sayap.
Ketiadaan Obinna Nwaneri di pertahanan jelas mengundang masalah 
apabila gandingan Nik Shahrul Mohd. Azim dan Azizi Matt Rose tidak mampu
 mengekang kelincahan Conti dan Azamuddin yang acap kali dapat 
melepaskan diri ke dalam kotak penalti The Red Warriorrs.
Permainan antara kedua-dua pasukan seperti kurang bernyawa pada babak
 pertama ekoran hujan lebat sebelum perlawanan bermula yang banyak 
merencatkan pergerakan bola.
Tok Gajah lebih banyak menguasai jentera tengah tetapi Kelantan 
memilih taktik secara serangan balas kilat bagi mendapatkan jaringan 
dengan Dickson Nwakaeme banyak memberikan ancaman kepada pertahanan 
Pahang.
Kelantan nyaris memecahkan kekebalan pintu gol pada minit ke-25 
melalui Nwakaeme yang dapat melarikan diri secara solo ke arah gawang 
Pahang, mujur tindakan Damion Stewart menjatuhkan pemain import Nigeria 
di atas garisan berhampiran kotak penalti menyelamatkan Pahang buat 
seketika.
Nasib tidak bersama Pahang seminit kemudian apabila percubaan jarak 
jauh pemain kelahiran Bera, R. Surendran mengenai palang walaupun 
Khairul Fahmi sudah tertewas.
Penonton akhirnya terhibur dengan aksi pada babak kedua apabila hujan
 berhenti dengan lebih banyak serangan pantas dan bermutu dapat 
dipamerkan oleh kedua-dua pasukan sebelum jaringan pertama hadir, 13 
minit kemudian.
Taktikal Dollah meletakkan Azamuddin di bahagian sayap kanan 
menggantikan Surendran selain memasukkan Mohd. Fauzi Roslan begitu 
menjadi dengan pemain kelahiran Kampung Relong, Kuala Lipis itu menjadi 
punca kepada gol sulung Pahang. 
Selepas berjaya melepasi kawalan Zairul Fitree, hantaran silangnya 
berjaya menemui Matias Conti yang begitu bergaya menanduk masuk ke dalam
 gawang Kelantan bagi memastikan Pahang memimpin perlawanan pada minit 
ke-58 dan menggembirakan kira-kira 40,000 penyokong setia Tok Gajah yang
 hadir.
Walaupun tempo permainan Kelantan berubah sedikit selepas jaringan 
dari Pahang dengan kehadiran Faiz Subri serta Ahmad Fakri Saarani tidak 
mampu mengubah kedudukan 1-0 bagi memastikan Piala Malaysia akhirnya 
singgah ke bumi Kuantan setelah sekian lama.