Terus berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Semoga anak didik menjadi anak Malaysia. Berwawasan, berilmu, berdaya saing, majulah negaraku Malaysia.
Wednesday, March 5, 2014
PBS baharu lebih mesra guru
PBS baharu lebih mesra guru
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sistem baharu tersebut yang akan diumumkan pada 29 Mac ini selepas siap dikemaskini turut memberi lebih banyak masa kepada guru untuk mengajar.
"Sistem PBS bentuk baharu ini adalah mesra guru dan berfokuskan pengajaran. Sistem berkenaan juga tidak membebankan guru serta memberi lebih masa kepada mereka untuk fokus pada pengajaran," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sesi Perkongsian Pengalaman Bersama Bekas Naib Canselor Universiti-universiti Malaysia di Universiti Islam Malaysia (UIM) di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi UIM, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.
Dalam pada itu, Idris menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa sistem PBS tersebut tidak mementingkan peperiksaan.
Katanya, elemen peperiksaan merupakan salah satu komponen dan pada masa sama, komponen lain turut dimasukkan.
"PBS merupakan satu bentuk pentaksiran lebih menyeluruh yang bukan hanya mengambil kira peperiksaan tetapi meliputi juga psikometrik pelajar, perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial mereka.
"Sebelum ini juga banyak pihak yang memberi komen bahawa sistem kita terlalu berorientasikan peperiksaan, oleh sebab itu pihak kementerian mengubah sistem berkenaan dengan memperkenalkan aspek lain juga," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, kementerian memberi hak sepenuhnya kepada guru besar di setiap sekolah untuk membuat keputusan sama ada meneruskan sesi persekolahan atau tidak berikutan keadaan berjerebu di sesetengah tempat.
"Guru besar lebih mengetahui keadaan di sekolah masing-masing dan sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) mencecah 200, semua sekolah tidak dibenarkan mengadakan aktiviti luar dan kita serahkan pada kebijaksanaan guru besar untuk buat keputusan," katanya.
Sementara itu, mengulas isu sindiket penipuan pelajar yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Idris berkata, pihaknya sedang mengambil tindakan sewajarnya.
Beliau mengulas pembongkaran satu sindiket yang menggunakan lambang Kementerian Pendidikan, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan beberapa agensi lain bagi menjerat pelajar yang sedang menunggu keputusan SPM untuk menghadiri sesi temuduga kemasukan ke universiti awam dan swasta dengan mengenakan bayaran.
Subscribe to:
Posts (Atom)