PROSPEK untuk menjejakkan kaki ke menara gading
bagi lepasan STPM sangat cerah dan terbuka luas.
- Gambar hiasan
Peluang belajar terbuka luas
Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
Penantian 54,697 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
tahun lalu berakhir apabila keputusan peperiksaan terbabit diumumkan
hari ini.
Bagi yang memperoleh keputusan cemerlang, pasti sudah mencongak
langkah ke menara gading manakala yang kurang bernasib baik juga tidak
ketinggalan mempunyai perancangan sendiri.
Apa jua keputusan, STPM masih menjanjikan pulangan setimpal biarpun
pada masa sama, terpaksa berdepan pelbagai stigma tradisional dan
dikatakan tidak sepopular Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pensyarah
Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling Fakulti Pendidikan dan
Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim,
Perak, Dr Syed Sofian Syed Salim berkata, lepasan STPM memiliki
kelebihan dari segi sosial dan moral.
Menurutnya, kelebihan itu bukan saja kerana guru meletakkan mereka
setaraf seperti pelajar universiti yang matang, malah diperkukuhkan
dengan aspek pembinaan nilai jati diri sebagai golongan dewasa.
“STPM biarpun dilabelkan dengan tanggapan berbeza, masih
mempunyai ciri kehebatan tersendiri, selain setara seperti
prauniversiti.
“Lepasan STPM dilatih dan diajar untuk lebih
berdikari, melihat dunia luar dari perspektif berbeza, selain diterapkan
kemahiran berfikir, menganalisis, mengkaji dan menyelidik daripada
pelbagai sumber.
“Kematangan dan pendedahan itu memberi banyak
kelebihan tidak kira sama ada mereka mahu terus bergelar pelajar di
menara gading mahupun memasuki alam pekerjaan,” katanya.
Prospek
yang mampu ditawarkan kepada lepasan STPM menyeluruh dan mencakupi
pelbagai aspek dengan 19 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) turut
menawarkan tempat dari aliran sains dan sastera.
Lepasan STPM
hanya perlu memenuhi syarat kemasukan minimum seperti Purata Nilai Gred
Keseluruhan (PNGK 2.0) dan sekurang-kurangnya Gred C Nilai Gred Mata
Pelajaran (NGMP 2.0) mata pelajaran Pengajian Am dan Gred C (NGMP 2.0)
dalam dua mata pelajaran, selain Malaysian University English Test
(MUET) sekurang-kurangnya Tahap 1.
Dr Syed Sofian berkata, dengan
jumlah lepasan STPM yang tidak seramai calon lepasan SPM, peluang
adalah lebih terbuka dan tidak perlu keterlaluan bersaing untuk
memperoleh tempat.
“Malah, mereka (lepasan STPM) sudah diterapkan dengan suasana pembelajaran berbeza di sekolah merentasi keperluan sedia ada.
“Justeru,
dari aspek kejutan budaya, kegagalan berdikari mahupun terkejut dengan
sistem pembelajaran di universiti boleh dikatakan tiada langsung.
“Malah, mereka lebih pantas menyesuaikan diri dan kurang mendatangkan masalah,” katanya.
STPM
juga perlu dilihat sebagai peperiksaan yang mempunyai kelas tersendiri
kerana kemasukan ke tingkatan enam bukan melalui permohonan, sebaliknya
ditawarkan secara automatik kepada calon yang layak dan memenuhi syarat
ditetapkan.
Pada 1980-an, tingkatan enam menjadi tumpuan pelajar
lepasan SPM, namun sejak matrikulasi dan asasi sains diperkenalkan bagi
memenuhi tuntutan negara, tingkatan enam semakin suram.
“Sebab
itu, STPM menjadi kurang popular dan dianggap tempat pelajar tidak
pandai atau tidak mendapat tawaran melanjutkan pengajian.
“Selain
itu, stigma mengatakan STPM susah untuk lulus cemerlang biarpun hanya
membabitkan lima atau empat mata pelajaran saja menjadikan peperiksaan
itu disalah ertikan,” katanya.
Beliau berkata, pelajar perlu
melihat peluang luas yang disediakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
melalui program yang disediakan setiap IPTA kepada lepasan STPM.
Merujuk
kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan KPT bagi kemasukan ke IPTA sesi
akademik 2013/2014 bagi lepasan lepasan STPM atau setaraf, semua 19 IPTA
menyediakan peluang sebanyak 730 program bagi aliran sains dan 424
program bagi sastera.
Daripada semua 19 IPTA terbabit, Universiti
Teknologi Mara (UiTM) menyediakan paling banyak program boleh dipilih
iaitu sebanyak 119 program bagi aliran sains dan 82 untuk aliran
sastera.
Mengenai pilihan program boleh dibuat lepasan STPM, Dr
Syed Sofian menyarankan pelajar aliran sains supaya memilih program
berkaitan kemahiran peringkat tinggi dengan peluang kerjayanya lebih
luas hingga peringkat global.
Antaranya teknologi kejuruteraan
aeronautik (penerbangan profesional), teknologi kejuruteraan aeronautik
(kawalan trafik udara), kejuruteraan pembuatan (robotik & automasi)
dan kejuruteraan (minyak dan gas).
Bagi aliran sastera, pelajar
boleh memilih kursus katering, teknologi permainan, pentadbiran
perniagaan (kewangan Islam), pentadbiran perniagaan (keusahawanan),
pentadbiran perniagaan (perniagaan antarabangsa) dan perniagaan
(keusahawanan kejuruteraan).
“Bagaimanapun, ia subjektif dan
terpulang pada minat dan kelayakan. Mereka terlebih dulu perlu melihat
kemampuan diri serta prospek mampu ditawarkan sebelum membuat pilihan
program dikehendaki,” katanya.
Bagi yang kurang cemerlang juga
tidak sukar melangkah ke alam pekerjaan, malah katanya, lepasan STPM
tetap laku dalam pasaran biarpun pada masa sama terpaksa bersaing dengan
graduan lain.
“Negara kita cukup banyak menyediakan peluang pekerjaan tidak kira sama ada untuk pemegang sijil, diploma dan ijazah.
“Pengangguran berlaku kerana sikap memilih pekerjaan, selain tidak menepati piawaian majikan dalam kemahiran tertentu.
“Bagi
lepasan STPM, mereka tetap laku biarpun pada masa sama terpaksa
bersaing dengan orang lain. Pasaran pekerjaan STPM ada tempatnya
sendiri,” katanya.
Beliau juga positif STPM masih relevan, malah
transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran berdasarkan sistem
pentaksiran baru STPM bermula sesi pengambilan 2012/2013 menjenamakan
semula tingkatan enam ke tahap lebih berprestij.
“Semoga
penjenamaan semula ini akan membuka mata masyarakat pelajar STPM bukan
kelas kedua. Sebaliknya, berada dalam kelas tersendiri dan boleh
mengatur langkah lebih jauh seperti pelajar lain,” katanya.
Teruskan membaca..