Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, December 15, 2011

'Keamanan negara bukan datang bergolek, merosakkannya amat mudah'







'Keamanan negara bukan datang bergolek,

merosakkannya amat mudah'

SESIAPA sahaja yang menonton filem Ombak Rindu, pastinya terpesona dengan keindahan latar belakang dan pemandangan lokasi penggambaran filem tersebut.



Persekitaran yang sungguh permai dengan sawah padi menghijau yang terbentang luas, air laut yang jernih serta burung-burung helang sayup-sayup berterbangan mencari mangsanya di permukaan laut.



Sesekali ombak membadai lembut pantai dan batu-batuan di tepiannya. Pendek kata, bagi sesiapa yang ingin mencari ketenangan, di situlah tempat yang paling sesuai. Di manakah lokasi sebenar penggambaran filem Ombak Rindu? Tidak lain tidak bukan di negeri Kedah Darul Aman.



Negeri ini menjadi tumpuan bukan sahaja rakyat seluruh negara tetapi juga dunia. Baru sahaja Sabtu lalu, berakhirnya Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA '11) yang menggamit pelancong tidak kira tempatan mahupun luar negara.



Keindahan Langkawi semasa berlangsungnya Pameran LIMA '11 sungguh terserlah sehinggakan ramai para pelancong datang ke Langkawi sempena cuti sekolah. Maka, tidak menghairankanlah, syarikat produksi filem Ombak Rindu memilih Langkawi sebagai lokasi utama penggambaran filem tersebut.



Jika sekiranya sebelum Langkawi dibangunkan, namanya hanya dikenali dengan kisah lagenda Mahsuri. Namun, kini rezeki yang melimpah ruah dek kerana pembangunan pelancongan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan memberi impak positif kepada sosio-ekonomi penduduk Langkawi.



Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi dilancarkan minggu lalu bagi meletakkan nama pulau lagenda ini di peta dunia agar sebaris dengan pulau-pulau terkemuka di dunia seperti Seychelles, Mauritius, Bali, Maldives dan Hawaii. Kelebihan Langkawi sebagai antara pulau terindah di dunia bakal menjayakan Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi.



Apa yang penting di sini, semua pihak terutamanya pihak pelaksana dan penduduk Langkawi bekerja keras bagi menjayakannya. Bantuan yang diberikan oleh kerajaan patut digembleng sebaik mungkin. Kerjasama kerajaan negeri juga amat diperlukan.



Di sini perbezaan fahaman politik di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya menjadi halangan bagi meningkatkan kerjasama kedua-dua pihak.



Objektif utama ialah menjaga kebajikan rakyat dengan meningkatkan pendapatan mereka pada tahap yang lebih tinggi melalui sektor pelancongan. Kejayaannya bakal menjadikan negara kita sebagai destinasi utama pelancongan dunia.



Ketika ini, Malaysia berada di kedudukan kesepuluh terbaik dari segi jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia. Tidak mustahil satu hari nanti dengan pelan perancangan pelancongan yang rapi, Malaysia berada sebaris dengan negara Perancis (berada di kedudukan pertama).



Agenda melonjakkan pelancongan negara kini berada dalam 'kamus' Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA).



Selepas berakhirnya LIMA '11, minggu ini sekali lagi negeri Kedah menjadi tumpuan seluruh negara dan dunia. Sultan Kedah ditabalkan buat kali kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.



Sembah tahniah ke bawah Duli Tuanku. Semoga Malaysia di bawah pemerintahan ke bawah Duli Tuanku akan sentiasa aman sejahtera sebagaimana negeri Kedah yang selama ini sentiasa aman dan damai bertepatan dengan namanya Kedah Darul Aman.



Keamanan negara bukan datang bergolek. Ia perlu diusahakan. Negara kita pernah mengalami rusuhan kaum yang merencatkan pembangunan ekonomi negara. Namun, selepas itu semua pihak bingkas bekerjasama untuk menyatukan balik rakyat Malaysia.



Keamanan yang dinikmati pada masa sekarang adalah usaha semua pihak terutamanya para pemimpin terdahulu. Merosakkannya amat mudah. Sekelip mata sahaja. Tetapi membinanya memakan masa bertahun-tahun.



Dengan keamanan yang dinikmati oleh rakyat jelata. Kini, negara kita menuju ke arah negara maju. Sasaran pendapatan per kapita AS$15,000, tiga juta pekerjaan baru dan pendapatan negara kasar (PNK) RM1.7 trilion pada tahun 2020 mampu dicapai jika sekiranya keamanan negara sentiasa terjaga.



Agenda memajukan negara melalui pelbagai program transformasi seiring dengan keamanan negara yang sentiasa dijaga mampu merealisasikan Wawasan 2020.



Negara kita aman damai sehinggakan berjuta-juta warga negara asing berlumba-lumba untuk datang ke sini bagi mencari rezeki.



Ketika pengangguran di negara-negara Barat berada pada tahap tertinggi, negara kita masih mampu menjana peluang-peluang pekerjaan yang sebahagiannya dikuasai oleh warga asing.



Tiada gunanya segala transformasi dipersembahkan untuk rakyat tetapi rakyat secara keseluruhannya tidak mengambil peluang yang terhidang di depan mata. Rakyat juga perlu berusaha meningkatkan pendapatan, selain daripada usaha kerajaan membantu rakyat meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos sara hidup seharian.



Sekarang terpulanglah kepada rakyat sama ada ingin 'berlari' bersama-sama dengan kerajaan untuk mencapai kedudukan yang lebih baik pada masa akan datang atau selesa dengan keadaan sekarang. Semuanya terletak pada rakyat yang merupakan agen transformasi paling utama dalam memacu ekonomi negara pada tahap terbaik.




Oleh

ROHAMI SHAFIE

PENULIS ialah Pensyarah Kanan

Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB),

Universiti Utara Malaysia (UUM).




Sumber










Teruskan membaca..

Pertandingan taranum medan timba ilmu



Pertandingan taranum medan timba ilmu




JOHOR BAHRU 14 Dis. - Malam Seni Taranum al-Quran anjuran Yayasan Warisan Johor (YWJ) tahun ini turut diserikan dengan penyertaan daripada salah seorang bekas peserta program realiti Akademi al-Quran 2011.



Berbekalkan pengalaman yang ada di dalam akademi berkenaan, Mohd. Zakiuddin Hanafi, 16, berjaya muncul johan bagi kategori C iaitu peserta berusia 13 tahun ke atas selepas mengetepikan cabaran sembilan peserta lain.



Dengan pengalaman yang ada, dia yang mewakili daerah Muar memberitahu, sebelum menyertai pertandingan itu pelbagai latihan intensif dilakukan termasuk mendapatkan tunjuk ajar daripada guru-guru berpengalaman bagi memastikan kelancaran bacaannya pada malam itu.



"Saya bersyukur dengan kejayaan ini dan saya akui saya masih lagi gementar apabila berada di atas pentas untuk memperdengarkan bacaan saya tetapi semua itu berjaya di atasi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.



Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Seri Pengkalan, Semerah yang mewakili daerah Batu Pahat, Amirul Ashraf Jamaluddin, 10, berkata, dia begitu teruja apabila dapat menyertai pertandingan seumpama itu dan ia menjadi lebih bermakna apabila muncul johan bagi kategori A iaitu peserta berusia bawah 13 tahun.



Katanya, dia sedikit gementar apabila tiba hari bertanding kerana perlu bersaing dengan peserta-peserta lain yang dilihat lebih berpengalaman dalam bidang itu.



Bagi johan kategori D, Nurul Izzati Nashreen Maarof, 16, dari Sekolah Menengah Agama Segamat yang mewakili daerah Segamat turut menyuarakan rasa gembira apabila dapat menyertai pertandingan itu dan ia dilihat sebagai medan untuk menimba ilmu dalam seni taranum.



Katanya, latihan dilakukannya selama ini termasuk bimbingan daripada guru-guru berpengalaman dalam seni taranum ternyata sangat berkesan apabila dia berjaya menyampaikan bacaan al-Quran dengan baik pada hari pertandingan.



Johan Kategori B, Amira Badriyah Azahar, 11, dari Sekolah Kebangsaan Tangkak dari derah Ledang memberitahu, kejayaannya pada malam itu adalah sesuatu sangat bermakna buat dirinya yang masih baru dalam bidang itu.



"Selain mengadakan latihan sendiri, keluarga saya turut menghantar saya ke kelas untuk mempelajari ilmu taranum. Saya tetap ada rasa gementar kerana ini merupakan kali pertama saya menyertai pertandingan seperti ini," katanya.




Sumber








Teruskan membaca..

Aceh kaunseling belia 'punk'



Aceh kaunseling belia 'punk'




pix_gal0







Sekumpulan daripada 65 belia 'punk' mandi di tasik selepas rambut mereka dicukur di pejabat polis Aceh Besar, Aceh, semalam, selepas ditahan dalam satu konsert punk-rock kerana dianggap mencemarkan nilai Islam. Awalnya, remaja dan belia terbabit diarah menanggalkan rantai leher dan rantai besi sebelum ditolak masuk ke kolam untuk pembersihan 'rohani,' kata Ketua Polis, Iskandar Hasan.




Selepas diberi pakaian baru, beliau menyerahkan berus gigi kepada setiap seorang dan dengan nada tegas menyuruh mereka ‘menggunakannya.’ Ia adalah usaha terbaru pihak berkuasa mempromosi nilai moral di Aceh, satu-satunya wilayah dalam negara sekular 240 juta penduduk yang majoritinya beragama Islam melaksanakan undang-undang syariah. Di Aceh, berzina dihukum rejam dengan batu sampai mati. – Agensi





Teruskan membaca..

Belia patut sahut cabaran jadi 'superhero'




Belia patut sahut cabaran jadi 'superhero'



GENERASI muda negara ini terus menerima perhatian dan pengiktirafan daripada kerajaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin menggelar golongan ini superhero kepada negara sebab mereka mempunyai kuasa mengubah dan jika semua superhero ini berganding tenaga dengan kerajaan, program transformasi negara lebih mudah menjadi realiti.


Kerajaan juga dilihat terus komited dalam menerima pandangan dan buah fikiran belia negara apabila Najib juga mengumumkan kerajaan sentiasa terbuka mendengar pandangan dan idea daripada belia dalam menjayakan setiap program transformasi negara.
Dalam menggalas tanggungjawab ini, cabaran terbesar orang muda ialah kebijaksanaan dalam menggunakan ruang dan platform yang disediakan kerajaan untuk mengeluarkan idea bernas dan mempunyai impak tinggi demi kelestarian kemajuan negara melalui program transformasi yang dilaksanakan, di samping melontarkan kritikan dan maklum balas membina yang datang dengan idea untuk menyelesaikannya.
Sikap keterbukaan dan kesediaan kerajaan untuk mengiktiraf hak dan mendengar suara golongan ini tidak dapat dinafikan lagi. Misalnya baru-baru ini kerajaan bersetuju meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membenarkan mahasiswa berumur 21 tahun ke atas menjadi ahli parti politik.


Ini jelas memperlihatkan keseriusan kerajaan untuk turut membabitkan peranan belia dalam segenap program transformasi yang sedang dilaksanakan agar ia turut memenuhi kehendak dan harapan kelompok anak muda yang bakal menjadi generasi pelapis negara.


Ringkasnya, mereka mendapat ruang secukupnya untuk memberikan pandangan dan komen bersesuaian.


Justeru, apa yang diharapkan ialah belia kita akan lebih peka dan memainkan peranan lebih aktif dengan menyalurkan idea kreatif dan berinovasi untuk memajukan negara. Semoga harapan kerajaan terhadap belia tidak disia-siakan begitu saja. Oleh itu, belia kita perlu bangkit menyahut cabaran ini dengan membuktikan mereka mampu menggalas tanggungjawab mengemudi negara ini suatu hari kelak.


NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED,


Universiti Putra Malaysia,


Selangor.





Teruskan membaca..

Malam Seni Taranum al-Quran


Malam Seni Taranum al-Quran

Antara penal juri pada Majlis Malam Seni Taranum al-Quran

di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, baru baru ini.






JOHOR BAHRU 14 Dis. – Keindahan alunan bacaan al-Quran merupakan suatu terapi jiwa yang sangat berkesan dan mampu memberikan ketenangan jiwa kepada setiap individu yang menghayatinya.



Dalam usaha untuk terus menyuburkan bacaan al-Quran dan melestarikan seni taranum dalam masyarakat, Yayasan Warisan Johor (YWJ) tampil sekali lagi menganjurkan Malam Seni Taranum al-Quran.



Seni taranum jika dilihat daripada perspektif ilmu adalah satu kaedah suara dipelbagaikan serta diistilahkan sebagai kaedah seni suara yang dibunyikan menerusi nada, rentak dan irama yang sangat lunak menggunakan kaedah tertentu bagi mencantikkan seni bunyi sesuatu bacaan khususnya al-Quran.




Di Malaysia, kaedah ini dikenali dengan nama Taranum al-Quran sempena sepotong hadis Rasulullah yang bermaksud,



“Apa yang diizinkan Allah


atas sesuatu itu ialah apa yang diizinkan


kepada nabinya yang selalu


mengelokkan lagu (taranum)


bacaan al-Quran.”



Malam Seni Taranum al-Quran yang dianjurkan itu merupakan kemuncak kepada Program Kesenian Islam yang direncanakan sepanjang tahun ini oleh Unit Kesenian Islam YWJ dan ia salah satu pendekatan kerajaan negeri melestarikan bacaan al-Quran serta seni taranum itu sendiri di kalangan anak muda.



Ketua unit tersebut, Abu Bakar Selamat berkata, program itu adalah susulan daripada kursus taranum yang diadakan sepanjang tahun ini dan ia diadakan di semua 10 daerah di negeri ini dan beberapa peserta terbaik dari setiap daerah dipilih mempersembahkan bacaan masing-masing di hadapan panel juri terdiri daripada pakar seni taranum.



“Jika dahulu program ini hanya dibuka kepada peserta dewasa sahaja tetapi kali ini ia turut dibuka kepada pelajar sekolah dan juga guru pengiring mereka yang mana guru mengiringi murid sekolah juga dikehendaki turut serta dalam kursus taranum disediakan itu.



“Setiap kumpulan pelajar sekolah yang terlibat akan dibahagikan mengikut kumpulan terdiri daripada empat pelajar dengan seorang guru pengiring. Bagi pelajar sekolah ini, kita minta pihak sekolah menyediakan pelajar yang memiliki asas taranum agar mereka mudah mengikuti kursus disediakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.



Pada zaman keagungan Islam dahulu, ilmu taranum juga membangun serta mempunyai pelbagai aliran popular antaranya misri iaitu seni lagu al-Quran yang dipopularkan oleh qari dari Mesir dan kawasan sekitarnya, hijazi (Mekah dan Madinah), iraqi (Iraq dan kawasan sekitar), kurdi (Iraq dan Turki) dan ajami iaitu aliran dipopularkan oleh qurra yang bukan berketurunan Arab seperti Iran dan beberapa negara lain.



Kini aliran paling popular dan diterima di seluruh dunia ialah aliran misri. Qari-qari Mesir yang muktabar telah mengambil dan mengubah suai taranum atau lebih mereka sebutkan sebagai ilmu maqamat itu daripada aliran di atas mengikut budaya serta mengarabkannya untuk bacaan al-Quran.



Taranum asas dalam aliran misri terdiri daripada tujuh lagu iaitu al-bayyati, soba, hijaz, nahawand, rast, sikah dan jiharkah.



Abu Bakar berkata, seperti sebelum ini, para peserta pertandingan hanya akan mengetahui lagu yang bakal dibacakan ketika berada di atas pentas dan ia tidak mengikut susunan nada suara sebaliknya diberikan secara rawak.



“Seperti tahun lalu, mereka akan berlagu mengikut apa yang diminta oleh panel juri dan ia tidak mengikut susunan daripada nada rendah kepada yang tinggi seperti pertandingan taranum lain. Mereka mungkin akan menyampaikan bacaan menggunakan soba dan nahawand mungkin hijaz dan jiharkah.



“Selain bertaranum, mereka turut dinilai dari aspek ketepatan bacaan, hukum tajwid dan teknik penggunaan suara,” katanya.





Sumber







Teruskan membaca..

Kanak-kanak dicakar seekor siamang jantan







Budak parah diserang siamang


Anita Sulaiman menemani anaknya, Muhammad Afiq Haziq
yang masih trauma menerima rawatan di Hospital Besar Melaka, kelmarin. -
UTUSAN/Gaie Uchel







MELAKA 14 Dis. - Seorang kanak-kanak lelaki yang melawat Zoo Melaka bersama ibu bapanya diserang dan dicakar seekor siamang jantan menyebabkan daging kaki kanannya terkoyak hingga menampakkan tulang dalam kejadian yang berlaku petang semalam.



Haiwan tersebut sebelum itu bertindak ganas terhadap seorang kanak-kanak perempuan menyebabkan kecederaan ringan di tumit kanan.



Muhammad Afiq Haziq, berusia tiga tahun sembilan bulan kini mendapat rawatan di Hospital Melaka manakala kanak-kanak perempuan itu, Zukrina Abdul Hadi, 5, dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan pesakit luar di hospital sama.



Ketika kejadian yang berlaku pukul 2.30 petang itu, Muhammad Afiq didukung bapanya, Kamarul Baharin, 38, bersama isteri, Anita Sulaiman, 36, bersiar-siar di dalam zoo berkenaan.



Kata Anita, selepas sejam bersiar-siar, dia sekeluarga melewati kawasan khas seperti pulau terbuka yang di kelilingi kolam menempatkan siamang jantan.



"Tiba-tiba saya dikejutkan dengan jeritan orang ramai dan apabila menoleh ke belakang saya melihat 30 hingga 40 pengunjung lari bertempiaran seperti dikejar sesuatu," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka hari ini.



Dalam suasana panik ketika itu, kata Anita, secara tiba-tiba seekor siamang jantan muncul lalu bertindak agresif dengan menerkam dan menggigit kaki kanan anaknya.



"Dalam ketakutan saya terus berlari ke arah anak bongsu saya dan cuba menyelamatkannya," ujarnya.



Katanya, dalam suasana cemas itu dia melihat suaminya menarik bulu di kepala siamang itu supaya melepaskan kaki anaknya yang ketika itu sudah terkulai dan berlumuran darah.



"Haiwan itu langsung tidak berganjak dan mujurlah seorang pengunjung yang kebetulan berada di situ bertindak menyepak perut siamang itu menyebabkan haiwan itu melarikan diri," katanya.



Menurutnya, sebaik sahaja haiwan itu melepaskan gigitan pada kaki Muhammad Afiq, suaminya terus berlari ke pejabat zoo untuk mendapatkan bantuan dan rawatan.



Menurut Anita, dia difahamkan anaknya adalah mangsa kedua serangan haiwan tersebut yang sebelum itu menyerang seorang lagi kanak-kanak menyebabkannya cedera ringan.



"Doktor yang merawat memberitahu luka yang dialami Muhammad Afiq memang dalam dan saya sendiri melihat daging betisnya hancur sehingga nampak tulang," katanya.



Anita berkata, peristiwa hitam itu bukan sahaja menyebabkan anaknya trauma, malah dia sekeluarga serik untuk mengunjungi mana-mana zoo lagi selepas ini.



Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Zoo Melaka, Masri Mohd. Arof memohon maaf kepada keluarga terbabit di atas kejadian yang berlaku itu.



Menurutnya, pihaknya akan membuat siasatan terperinci dengan pakar-pakar haiwan dari universiti tempatan serta zoo lain dan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelak perkara itu berulang.



"Haiwan tersebut telah ditangkap dan diasingkan bagi menyiasat punca ia boleh terlepas kerana ia memang tidak pernah keluar dari kawasan pulau khas itu. Siamang sebenarnya tidak akan menyerang sekiranya tidak berlaku provokasi," katanya.






Sumber








Teruskan membaca..

Generasi Muda Benteng Pertahanan Negara


Belia benteng pertahanan negara




AKTIVITI bersama masyarakat mampu lahirkan generasi muda yang berjiwa kental.
AKTIVITI
bersama masyarakat
mampu lahirkan
generasi muda yang berjiwa kental.



Generasi muda perlu dalami ilmu agama elak tersasar

GOLONGAN muda harus dijadikan benteng pertahanan negara yang sedia berjuang dan berkorban apa saja untuk menyelamatkan tanah air tercinta. Dengan fizikal yang kuat, akal cerdas dan iman tuntas, generasi muda perlu menyedari serta meletakkan diri mereka di tempat sewajarnya.
Tiada siapa mampu menafikan kebanyakan generasi muda hari ini lebih bijak. Mereka betah bersama golongan yang lebih dewasa kerana mempunyai ilmu dan pengetahuan tinggi. Untuk menjadi benteng negara, selain fizikal dan minda perkasa, golongan muda juga bertanggungjawab dalam urusannya dengan Allah SWT, manusia dan alam.
Tanpa keberanian, orang muda tidak akan mempunyai cita-cita sedangkan impian hidup adalah angan-angan yang memungkinkan kejayaan lebih besar,
Mereka harus memahami kepentingan ilmu sehingga sanggup menadah kitab walau di mana saja dan apa juga rintangannya kerana mereka yang akan meneruskan legasi memastikan umat Islam seluruh dunia hidup di landasan agama sebenar.

Sungguhpun generasi muda cukup matang menilai dan membina keupayaan, tanpa bimbingan, mustahil mereka mampu menerajui diri untuk menjadi insan terbilang yang memiliki kebijaksanaan, kecerdasan akal serta sahsiah mulia.

Lebih-lebih lagi cabaran hari ini tidak setara dengan kesediaan ibu bapa dan pendidik menghadapi segala kemungkinan mendatang sehingga kelihatan lesu mencari punca, tetapi masalah semakin meruncing serta tidak terbendung.

Selain itu, mereka harus mempunyai hikmah dalam tindak tanduk selain adil, amanah terhadap tanggungjawabnya kepada Allah serta manusia dan alam. Jika tidak amanah, mungkin mereka tidak akan ragu-ragu untuk berdusta dan memusnahkan hak orang lain. Mereka juga mesti berani kerana kejayaan tidak dapat dicapai tanpa ada rasa gerun atau sanggup gagal. Jika berjaya, itulah langkah untuk mencipta kejayaan yang lain seterusnya menjadi ikutan kepada golongan yang memerlukan qudwah hasanah di kalangan mereka.

Tanpa keberanian, orang muda tidak akan mempunyai cita-cita sedangkan impian dalam hidup adalah angan-angan yang memungkinkan kejayaan lebih besar. Cita-cita boleh merubah kehidupan dan menjadikan seseorang itu berjasa kepada agama dan negara.

Bagaimanapun, ia memerlukan hasrat dan tekad yang tinggi serta sokongan berterusan. Perkara merisaukan ialah jika peluang menjadi orang muda yang hanya sekali dirasai sepanjang kehidupan dipersiakan dengan kejahilan terhadap agama.

Hari ini generasi muda menjadi beban kepada agama dan negara. Mereka tidak mempedulikan ilmu, menjauhi suruhan agama dan mempersendakan hukum yang mengikat mereka sebagai individu Muslim.

Entah di mana silapnya, orang muda bencikan cara hidup Islami, sering membantah, melangkaui akhlak dan sahsiah, malah mempercayai amalan tahyul yang mudah meresapi minda sehingga menjadikan nujum sebagai guru yang membimbing akidah mereka.

Sukar mencari generasi muda yang bersusah payah menelan keperitan hidup untuk menuntut ilmu dan mengamalkan akhlak mulia sekali gus merubah kehidupan dan keluarga supaya mengikut acuan agama.

Ibu bapa yang mempunyai anak remaja harus sentiasa belajar mempertingkatkan komitmen dan tanggungjawab membimbing mereka mengikut ajaran agama. Dosa dan pahala harus menjadi zikir yang basah di bibir supaya anak sentiasa diingatkan serta tahu batasan dalam tindak-tanduk, bukan menghalalkan semua cara sehingga menggadaikan maruah agama.

Bukan semua orang muda tidak tahu masa depan mereka bergantung kepada urusan dunia yang mereka tangani hari ini.

Bukan semua jahil bahawa masa muda hanya sekali dan jika tidak diambil peluang, akan berlalu pergi begitu saja.

Mereka harus berjaga-jaga, jangan sampai waktu muda merosakkan kehidupan. Tetapi ramai juga yang terpesong ke jalan lain kerana orang muda tidak ‘dipaksa’ menjadi mereka yang selayaknya.

Justeru, orang muda perlu mengatur langkah lebih gagah, usah peduli rasa rendah diri yang membantutkan usaha memajukan agama, bangsa dan negara. Mereka juga hendaklah setia kepada pemimpin, apalagi ibu bapa yang setia bersama sepanjang hayat.

Bagi generasi akan datang, zaman muda ini adalah tempoh mencorakkan masa depan dan boleh jadi menakutkan jika apa yang dicorakkan lebih dahsyat daripada fenomena dilalui belia hari ini. Diharap mereka dapat berubah dan mengubah untuk masa depan lebih baik.



Penulis ialah Pensyarah Kanan

Fakulti Syariah dan Undang-Undang

Universiti Sains Islam Malaysia,

kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom
.












Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...