Perkasa peranan ulul albab
dalam sistem pendidikan
Ulul albab atau manusia yang memahami didukung oleh ilmu akli dan
nakli yang membina tasawwur menjadi asas bagi pendidikan yang sifatnya
integratif. Manusia memerlukan pandangan semesta yang lebih menyeluruh
supaya wujud sinergi antara pemahaman terhadap yang nyata dengan perkara
yang ghaib terjadi.
Strategi integrasi dan Islamisasi ilmu dan pendidikan yang sedang berjalan dalam sistem dan institusi mengukuhkan lagi maksud ulul albab yang ingin menghasilkan watak seimbang dan harmoni menepati matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Justeru, ulul albab tidak saja membangunkan fikrah seseorang tetapi juga jiwa zikrullah yang tinggi. Fikir dan zikir adalah adunan yang baik bagaimana ilmu disantuni dan amal ditekuni supaya faktor ghaibiyyat menjadi pedoman memahami hikmah di sebalik kejadian dan penciptaan.
Ulul albab dalam pendekatan pendidikan menjadikan al-Quran sebagai sumber memahami fenomena. Alam dan kehidupan adalah sumber ilmu yang sangat kaya. Pemahaman terhadap al-Quran tidak harus sifatnya tekstual (harfiah) semata-mata tetapi menghubungkan alam dan kehidupan memerlukan pendekatan kontekstual.
Dualisme pendidikan
Pendekatan kontekstual menjadikan ilmu berkembang dalam disiplin yang pelbagai. Teras kepada ilmu itu ialah etika dan nilai. Tanpa etika dan nilai ilmu menjadi kosong dan lompang. Ilmu dan kemahiran hanya bersifat mekanistik, sedangkan ilmu memerlukan roh supaya sifatnya memberi cahaya dan penunjuk jalan ke arah kebenaran, kebaikan dan manfaat.
Dualisme dalam ilmu dan pendidikan sudah terbina sejak sekian lama. Pendekatan empiris yang berasaskan penjanaan minda, pemerhatian dan uji kaji semata-mata tidaklah segala-gala. Ada faktor dalaman diri manusia yang menjadi asas binaan akhlak dan watak yang memerlukan perhatian. Ulul albab adalah suatu kaedah terbaik bagaimana aspek diniah (agama) dijadikan landasan membangunkan aspek ketamadunan yang perlu bagi umat manusia.
Ulul albab adalah proses pengilmuan dan pendidikan yang mampu memberi tautan epistemologi (teori ilmu) yang tidak saja berkembang dalam batas kognitif atau akal fikir tetapi mampu diterjemahkan secara aplikatif dalam amal dan buat.
Pemikiran (fikrah) dalam tradisi Islam tidak memadai. Ia tidak menghasilkan contoh dan sumber ikutan. Fikrah yang diikuti dengan amal adalah suatu simbiosis memperlihatkan bahawa proses pengilmuan dan pendidikan mampu menghasilkan insan berfikir tahap tinggi untuk mencari kebijaksanaan.
Modal insan miliki sinergi
Kebijaksanaan adalah barangan yang hilang daripada insan. Ulul albab adalah landasan terbaik bagaimana pemahaman manusia terhadap sesuatu terhubung dengan Pencipta dan daripada-Nya terbina satu sikap diri mengenai kenapa kita dihidupkan dan apa peranan yang patut dilakukan bagi menyumbang ke arah kehidupan yang sejahtera.
Menjadikan pendekatan ulul albab sebagai suatu pendekatan di sekolah dan institusi pendidikan adalah suatu langkah bijaksana kerana tasawwur atau world-view yang baik tidak akan terbina tanpa terlebih dulu asas Qurani tidak terbangun.
Tradisi hafazan umpamanya adalah baik sekiranya al-Quran diikuti dengan landasan tafsiran dan keupayaan mengolah petunjuk daripada Allah SWT ini dalam kreativiti kajian dan ketelitian supaya terhubung akliah insan dengan daya kompetensi tinggi memahami faktor yang nyata dengan faktor yang ghaib. Teknologi umpama selamanya alat dan bukannya matlamat. Ia mendukung matlamat sekiranya nilai guna yang berasaskan etika dan nilai dijadikan sandaran.
Pencapaian teknologi tinggi
semata-mata bukan ukuran mutlak terhadap kejayaan. Tetapi teknologi
tinggi yang disantuni dengan sentuhan keinsanan menjadi ukuran terbaik
terhadap aplikasi teknologi dalam kehidupan.
Oleh itu ulul albab dalam keilmuan dan pendidikan harus mampu mencetuskan upaya berfikir yang tinggi dalam kalangan pelajar supaya generasi muda mampu memiliki daya artikulatif (berfikir) yang baik di samping dikawal oleh etika dan nilai yang berkualiti.
Ia bakal menghasilkan modal insan yang memiliki sinergi antara faktor diniah dengan faktor ketamadunan, fikir dan zikir dan memiliki jiwa tadabbur (kaji selidik) yang tinggi supaya alam dan kehidupan ini dapat difahami secara seimbang. Inilah asas ulul albab yang patut diperkasa dalam sistem pendidikan yang sifatnya integratif dan Islamik.
Sumber