Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, January 5, 2010

Guru Penolong Kanan




KALAU dilihat daripada raut wajahnya, kita dapat mengagak usia lelaki itu dalam lingkungan awal 20-an. Bahkan pasti ada yang meneka lelaki itu seorang pelajar di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Tetapi siapa sangka, Sheikh Mohd. Zaki Sheikh Abdul Rahman, 22, sebenarnya seorang guru penolong kanan di sekolah persendirian Sekolah Sri Aeysha, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Memilih profesion perguruan kerana minat yang mendalam, Sheikh Mohd. Zaki pernah ditawarkan menyambung pengajiannya dalam bidang perubatan di Russia Medical State of University, Rusia selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun, beliau menolak.

"Tidak sangka pula dapat menyandang jawatan sebagai guru penolong kanan," kata anak ketiga daripada lima beradik itu yang menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Sains. Sheikh Mohd. Zaki juga pernah juga mendapat Vise President Peringkat Universiti (PENITI 4) yang merupakan sijil bagi pelajar yang mendapat purata markah CGPA 3.75 antara tujuh buah negara iaitu Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia, Malaysia, New Zealand, South Africa, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Zaki yang memperoleh 11A di dalam SPM juga tidak mengikuti mana-mana kursus perguruan sebelum menyandang jawatan tersebut.

GenK mengajukan lima soalan kepada Sheikh Mohd. Zaki.

Bagaimana anda memperoleh jawatan guru penolong kanan pada usia 22 tahun?

Kebetulan selepas tamat belajar, ibu bapa menyarankan saya untuk memohon jawatan guru di Sekolah Sri Aeysha yang dekat dengan rumah kami. Selepas seminggu memohon saya dipanggil untuk temuduga.


SHEIKH MOHD. ZAKI SHEIKH ABDUL RAHMAN juga merupakan Presiden, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor pada tahun 2007.


Apakah cabaran yang dihadapi selama menjadi guru dan guru penolong kanan?

Cabaran atas faktor umur. Kalau hendak ikut persekitaran, guru yang mengajar jauh daripada jarak umur saya. Sebagai guru penolong kanan saya juga perlu memberi arahan kepada mereka.

Selain itu, kebanyakan pelajar yang belajar di Sekolah Sri Aeysha terdiri daripada pelajar antarabangsa. Antaranya ialah Australia, Amerika Syarikat (AS), Asia Barat dan lain-lain.

Saya juga mencari pendekatan kepada pelajar-pelajar yang berbeza latar belakang terutama dari segi komunikasi.

Apakah tugas-tugas sebagai seorang guru penolong kanan?

Saya perlu menyediakan jadual untuk setiap guru dan kokurikulum.

Saya juga akan menentukan sukatan pelajaran tahunan sama ada perlu menurunkan gred stau menaikkan gred peratusan mengikut kemampuan pelajar.

Pada masa yang sama saja juga mengajar Matematik untuk pelajar tingkatan tiga dan Matematik moden untuk pelajar tingkatan empat dan lima.

Apakah pengalaman pahit selama bekerja?

Paling gembira selepas pelajar dapat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Matematik di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tip kepada remaja?

Kena berani mencuba apa jua yang diingini di dalam hidup. Tidak ada apa yang mustahil untuk diperoleh.Bagi remaja yang berminat menjadi guru pula, kena bijak membahagikan masa selain mengajar dengan niat baik dan tekun. - FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

Teruskan membaca..

Ayam Pun Ada Perasaan

Seorang pensyarah dari Universiti Putra Malaysia, Zulkifli Idrus mahu orang ramai tahu bahawa kebajikan ayam juga perlu dijaga sepanjang hayatnya. Namun, berapa ramai orang awam dan mereka yang terlibat dalam industri ternakan sedar tentang isu ini?




HIDANGAN ayam yang dimasak apa pun, digoreng, dibuat sup, masak kurma, madu berempah atau masak kari memang sentiasa membangkitkan selera.

Sebagai pengguna, selain isu halal, pernahkan kita terfikir isu kebajikan haiwan ternakan itu sebelum dagingnya dimasak dan sampai ke meja hidangan.

Tayangan video sewaktu syarahan Profesor Dr. Zulkifli Idrus dari Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini membuka mata bagaimana ayam-ayam tersebut dikendalikan sebelum dihantar ke pusat penyembelihan.

Zulkifli bercakap mengenai Kebajikan Haiwan Ternakan Dalam Pertanian Moden: Peluang atau Ancaman? di kampus UPM di Serdang, Selangor.

Video itu menayangkan ayam-ayam ditangkap dengan cara yang kasar dari tempat ternakan dan dicampakkan ke dalam bekas yang tersedia di dalam lori.

Sama ada ayam-ayam itu tersepit, patah sayapnya atau tergolek itu tidak menjadi hal, asalkan matlamat memenuhkan bekas yang disediakan tercapai.


Teknologi yang diperkenal sepatutnya meningkatkan penjagaan kebajikan haiwan ternakan.


Kemudian bekas itu disusun bertingkat-tingkat oleh pekerja di dalam lori sebelum dibawa ke lokasi tertentu berjam-jam lamanya.

Bagi ayam yang kedudukan bekasnya di bahagian tepi, ia mungkin mendapat udara yang selesa tetapi bagaimana pula dengan ayam yang berada di tengah-tengah? Sudahlah tersepit, perjalanan yang panjang dalam keadaan yang tidak selesa, sangat-sangat menyeksakan.


ZULKIFLI turut dikenali sebagai Dr. Dolittle Malaysia.


Sungguhpun rakaman itu bukanlah senario yang berlaku di negara ini, namun dari segi logiknya, kita juga tentu terfikir bagaimana pula dengan ayam-ayam yang diselenggarakan oleh industri ternakan ayam dan itik di Malaysia.

Menurut Zulkifli, kesedaran terhadap penjagaan kebajikan ternakan ladang di Malaysia masih berada pada tahap sifar.

Zulkifli yang turut digelar Dr. Dolittle Malaysia oleh kalangan rakan sekerja berpendapat kesedaran itu perlu melibatkan semua pihak, orang ramai dan mereka yang terlibat secara langsung di dalam industri ternakan.

Kesedaran terhadap kebajikan haiwan ternakan itu perlu ada selagi ia di bawah jagaan kita dan selagi ia hidup.

Begitu jugalah dengan ayam dan itik. Contohnya ayam daging, katakanlah umur ayam itu enam minggu, sebelum disembelih, penternak perlu menjaga kebajikan haiwan ternakan itu semasa hayatnya.

Menunggu masa

Persepsi bahawa ayam-ayam itu akhirnya akan disembelih menyebabkan kebajikannya tidak dipeduli.

“Kenapa perlu jaga? Siapa peduli? Pada saya, ini persepsi yang salah. Sehingga ke akhir hayatnya kita perlu jaga kebajikannya.


DILEMA. Jika sangkar ayam dibesarkan untuk keselesaan haiwan itu, kos akan meningkat.


“Ini yang sering saya tekankan. Jika haiwan tersebut anjing dan kucing peliharaan, kita lihat orang jaga kebajikannya kerana ia menjadi sebahagian daripada keluarga,” katanya.

Beliau turut memberi senario keadaan ayam yang belum disembelih di tempat memproses ayam.

Ayam-ayam itu dibiarkan menunggu dalam tempoh yang lama dalam keadaan tanpa makanan dan air. Haiwan itudibiarkan berhimpit-himpit di dalam bekas yang sempit sehingga tidak boleh bergerak. Malah ada yang mati sebelum disembelih.

Perkara itulah yang perlu difikirkan oleh pengusaha mahupun pengguna, katanya.

Beliau turut memberi contoh bagaimana ada negara yang sudah menjadi kebiasaan memasukkan kambing biri-biri yang diikat kaki ke dalam kereta.

“Itulah konsep yang kita nak tukar. Bukan setakat sembelih sahaja cara Islam atau cara betul, tetapi kita mahu dari awal lagi kita mengikut cara Islam,” jelasnya.


PERNAHKAH anda peduli dengan nasib ayam yang selalu anda makan?


Merujuk kepada laman web Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, ternakan yang diuruskan dengan betul dengan persekitaran yang selesa akan membesar dengan baik dan boleh menghasilkan output ladang yang maksimum.

Ia bermula dari peringkat perolehan anak ayam sehinggalah kepada pasaran. Output yang maksimum memerlukan integrasi sepadu dari segi kualiti anak ayam yang dibeli, kualiti dan pengurusan makanan/minuman, pengurusan kesihatan dan persekitaran pemeliharaan.

Sebarang bentuk tekanan hendaklah dielakkan kerana ia akan menjejaskan produktiviti ayam dan mengurangkan ketahanan melawan penyakit.

Peringkat pembesaran

Anak ayam yang bermutu akan membesar dengan baik. Makanan dan air minuman yang diberi hendaklah baik mutunya dan mencukupi.

Setiap ekor ayam perlu diberikan ruang lantai, ruang makanan dan minuman yang mencukupi mengikut peringkat pembesaran.


KEBANYAKAN orang hanya tahu menikmati daging ayam yang sudah terhidang.


Ketinggian bekas makanan dan minuman juga diselaraskan dengan peringkat pertumbuhan. Kesemua ini bukan sahaja dapat mengelakkan stres dan pembaziran tetapi juga memastikan keseragaman pembesaran.

Teknologi yang diperkenal sepatutnya meningkatkan penjagaan kebajikan haiwan ternakan. Misalnya, perumahan tertutup dengan ventilasi terkawal akan menyediakan persekitaran yang lebih sejuk dan selesa kepada ayam-ayam yang dipelihara.

Jika dilihat kepada peruntukan yang dinyatakan itu, konsep ternakan ladang yang baik akan menghasilkan pulangan yang maksimum.

Namun begitu, adakah implementasinya oleh para penternak mengikut kriteria yang dinyatakan Jabatan Haiwan?

Bagi sesiapa yang pernah mengunjungi ladang ternakan ayam sama ada yang tertutup ataupun tidak, berapa ramaikah penternak yang mengikuti kriteria itu?

Ayam juga memerlukan ruang lantai yang lebih besar tetapi masih ramai yang membiarkan ayam ternakan berhimpit-himpit di dalam kandang yang sempit, hendak makan terpaksa pijak-memijak sesama sendiri malah hendak air pun terpaksa berebut-rebut.

Ia turut menyumbang kepada penyakit. Misalnya, jangkitan kuman pada tapak kaki ayam yang nampak remeh pada kita, tetapi hakikatnya sangat menyakitkan buat ayam itu.


PROSES penyembelihan yang tidak sempurna boleh menyakitkan haiwan itu.


Zulkifli berkata, isu kebajikan ayam ini tidak begitu ditekankan di negara-negara Dunia Ketiga dan negara miskin seperti di Asia Tenggara dan Afrika.

Di negara Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom, misalnya, isu ini merupakan perkara yang besar.

Ia menjadi perkara kecil bagi negara-negara yang sedang membangun kerana keutamaan mereka adalah untuk menyediakan sumber makanan yang mencukupi bagi rakyat mereka, jadi tiada ruang untuk memikirkan kebajikan haiwan ternakan, katanya.

“Di Malaysia, kesedaran itu perlu ada kerana kita sudah mencapai taraf negara membangun. Kita boleh lihat ada banyak NGO (pertubuhan bukan kerajaan) memperjuang isu haiwan peliharaan dan juga haiwan di dalam zoo, tetapi belum ada lagi NGO yang memperjuangkan kebajikan haiwan ternakan.

“Kita perlu tahu bahawa tanggungjawab tersebut bukan hanya terletak di bahu penternak.

“Pengguna juga perlu main peranan. Jika mahu penternak ambil inisiatif, pengguna juga perlu sanggup bersama-sama menanggung kos yang dihadapi oleh penternak,” katanya.

Isu ini, kata Zulkifli, bukanlah isu yang mengancam industri atau isu yang boleh menimbulkan kemarahan orang industri.

“Orang industri mungkin marah kerana seolah-olah menyusahkan dia. Kalau ini tidak boleh, itu tidak boleh dan kena luaskan kandang pula, tentu mereka tidak suka.

“Tetapi dari segi kos, memang tidak adil. Jika sangkar ayam diluaskan, harga telur akan naik. Tetapi pengguna juga tidak boleh biarkan penternak tanggung keseluruhan kos. Pengguna juga perlu bersedia untuk bayar lebih,” katanya.


AYAM juga perlukan rawatan.


Negara-negara EU meletakkan label pada telur dan daging ayam yang diternak dengan cara yang berbeza. Bagi yang miskin, kebajikan ayam jadi perkara kedua. Tetapi bagi yang mampu, mereka akan membelinya.

“Ia samalah dengan konsep telur Omega 3 di Malaysia, orang yang mampu akan membelinya. Pilihan sebenarnya di tangan pengguna.

“Kita mahu mereka yang berkemampuan seperti doktor, peguam dan profesional lain ada pengetahuan dan kesedaran tentang isu ini. Barulah kebajikan haiwan ternakan ini dapat ditingkatkan.

“Mungkin ramai yang ambil mudah. Ayam... apalah sangat. Tapi kita perlu ingat, ayam juga ada perasaan, rasa sakit dan derita.

“Saya yakin menerusi pendidikan yang berterusan, kesedaran ramai terhadap isu ini akan meningkat,” katanya. – Bernama

Teruskan membaca..

Dengki Rosakkan Perpaduan


Quantcast

Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar

PERBUATAN menzalimi hak dan mencemarkan kehormatan sesama umat Islam dan bukan Islam amat dilarang Allah. Perpaduan yang dianjurkan Islam mengajak seluruh umat Islam bersatu padu dan berusaha menghidupkan budaya hormat-menghormati serta amalan saling melengkapi mesti diutamakan dalam semua aspek kehidupan seharian seperti maksud firman Allah, “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga dekat, dan jiran tetangga jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri” (An-Nisa, :36).

Perbuatan zalim ditakrifkan sebagai tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Perbuatan seumpama menceritakan perihal sulit kerjaya rakan sekerja di luar lingkungan tempat kerja, memburuk-buruk rakan setugas dengan niat mencemarkan reputasinya, ataupun menggunakan kuasa dan kedudukan untuk menjadikan rakan sejawatan diberikan tugas di luar kemampuan atau di luar bidang tugasnya.

Organisasi dan jabatan yang berjaya sebenarnya memerlukan perpaduan dan suasana harmonis yang berlangsung antara rakan sejawatan bagi membolehkan wujudnya persekitaran kerja yang mantap serta bersepadu.

Kerenah rakan sekerja antara virus paling berbahaya yang mampu merosakkan keberkesanan mana-mana matlamat organisasi sekiranya tidak segera diatasi majikan.

Keprihatinan majikan dalam memerhatikan kerenah pekerja mengikut pengurusannya wajar ditekankan agar tidak berlaku sebarang unsur penindasan, manipulasi serta penganiayaan terhadap orang bawahannya.

Allah Taala menciptakan manusia dalam pelbagai bentuk kebolehan, kemahiran yang berbeza dan sebagainya maka, menjadi tugas majikan untuk menggunakan variasi kebolehan pekerjanya

untuk menjana organisasi

selain tidak memungkinkan wujudnya persekitaran yang tidak sihat.

Allah dalam memastikan manusia tidak berlaku zalim ke atas sesama makhluknya menjelaskan dalam firman-Nya, “Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membuat kerosakan”. (al-Qasas: 77).

Sifat suka memperkecilkan kebolehan atau memperlekehkan orang lain adalah antara sifat keji yang perlu dielakkan. Barang kali terbitnya perasaan sombong, megah dan riak kerana golongan ini memiliki kelebihan yang diberikan Allah dalam takdirnya berbanding orang lain.

Sifat keji ini pasti membarah dalam diri menjadikan golongan itu lebih suka melihat orang lain dengan pandangan rendah dan hina sebagaimana maksud firman Allah, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.( Al-Hujuraat: 11).

Umat Islam perlu menyedari amaran Allah mengenai bahaya sifat mazmumah. Setiap perbuatan zalim dilakukan bakal mengundang kemurkaan Allah serta tetap diberikan balasan yang setimpal. Firman-Nya, “Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasnya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui. (Luqman:16)

Seterusnya kehidupan kita kelak tidak terlepas dari rentetan bala Allah lantaran perbuatan menzalimi manusia lain. Perlu diingat! Doa orang yang dizalimi tidak terhijab dengan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda, ” Dan takutlah engkau akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya (doa orang yang dizalimi itu) tidak ada di antaranya dan di antara Allah pendinding.” (Bukhari).

Balasan bala atas orang menzalimi hak manusia lain ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan jagalah diri kamu daripada dosa yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya”. ( Al-Anfal: 25)

Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...