Fahami bangsa melalui Sejarah Melayu
JIKA direnung dan dikaji hanya bangsa Melayu sahaja yang mempunyai sejarah tentang kehidupan bangsanya masa lalu iaitu Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang. Kehebatan Tun Seri Lanang adalah kemahiran mengarang, mengolah dan menulis dengan teliti.
Sejarah sepatutnya bukan hanya dikenang atau diikuti, tetapi diteladani apa yang baik dijadikan teladan, manakala yang buruk di jadikan sempadan. Inilah yang tersurat dan juga yang tersirat dalam tulisan yang dipaparkan oleh Tun Seri Lanang dalam Sejarah Melayu.
Tiga buah naskhah lama tulisan tangan Sulalatus Salatin yang lebih dikenali sekarang dengan nama Sejarah Melayu yang kemudiannya ditulis semula oleh A. Samad Ahmad. Banyak persoalan di pemikiran pembaca seperti "Siapakah lawan Hang Tuah bertikam, Hang Jebat atau Hang Kasturi? Adakah Hang Tuah dan Hang Jebat wujud atau hanya gambaran penulis? Hingga ke hari ini masih terdengar-dengar persoalan ini.
Mengikut sejarah, Tun Seri Lanang ialah Bendahara Paduka Raja, Johor antara tahun 1580 dan 1615, serta penyunting Sejarah Melayu (buku, 1612) yang merupakan moyang kepada Sultan Johor dan Sultan Terengganu.
Salasilah kesultanan Terengganu yang terdapat dalam Sejarah Terengganu (buku) karya Haji Buyong Adil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1974 ada menyatakan bahawa Tun Habib Abdul Majid (Bendahara Seri Maharaja, Johor - Marhum Padang Saujana - Bendahara Johor 1688-1697) yang menjadi Bendahara Johor dari 1688 hingga 1697 adalah bapa kepada Sultan Zainal Abidin I (Sultan Terengganu Pertama) dan kepada Sultan Abdul Jalil IV (Sultan Johor ke-11 dari 1699 hingga 1719). Selanjutnya dipaparkan bahawa Tun Habib Abdul Majid adalah anak kepada Tun Mat Ali (Bendahara Paduka Maharaja, Johor), iaitu anak kepada Tun Seri Lanang (Bendahara Paduka Raja, Johor 1580-1615).
Dalam pengetahuan orang-orang Melayu, nama Tun Seri Lanang lebih dikenali sebagai salah seorang bijak pandai dan pengarang ulung bangsa Melayu yang setaraf dengan Munshi Abdullah (Pengarang Hikayat Abdullah).
Kehidupan di Aceh. ketika Perang Batu Sawar pada tahun 1613 berlaku, beliau dibawa ke Aceh sebagai tawanan bersama-sama Sultan Alauddin Riayat Shah III, Sultan Johor-Riau, adinda Sultan, Raja Abdullah (Sultan Abdullah Maayah Shah)dan kerabat diraja Johor serta 23000 rakyat Johor. Mereka yang ditawan itu dilayan baik oleh sultan Aceh malah Raja Abdullah sendiri dikahwinkan dengan adinda sultan Aceh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang bernama Ratna Jauhari.
Pada akhir tahun 1613, Raja Abdullah dihantar pulang bersama-sama dengan 2000 tentera Aceh dan diberikan sejumlah wang oleh Iskandar Muda untuk membina semula kota Batu Sawar. Pada tahun 1614, Sultan Alauddin dibenarkan pulang setelah baginda berjanji untuk membantu Aceh melawan Portugis.
Namun sebahagian besar rakyat Johor memilih untuk menetap di Aceh dan ditempatkan oleh sultan Aceh di jajahan bernama Samalanga termasuk Tun Seri Lanang yang dilantik sebagai "
"Uleebalang" atau gabenor Samalanga dan diberi gelaran Orang Kaya Dato' Bendahara Seri Paduka Tun Seberang oleh Aceh dan di Johor.
Tun Seri Lanang dilantik sebagai uleebalan
Samalanga yang pertama yang terletak di pesisir timur Aceh pada tahun 1613 dan terus memerintah selama 40 tahun sehingga kematiannya pada tahun 1659 di Samalanga, Aceh.
Beliau telah menjadikan Samalanga sebagai pusat pendidikan di Kesultanan Aceh Darussalam. Beliau membangunkan banyak masjid yang bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah tetapi juga pusat pengajian Islam seperti Kuta Blang, Mesjid Raya dan Masjid Matang Wakeuh.
Beliau juga bertindak sebagai penasihat kepada Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Sultan Iskandar Thanidan Seri Ratu Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah.
Pengaruh Penyair Usman Awang yang sering membaca dan mengkaji Sejarah Melayu tulisan Tun Seri Lanang mendapat idea dan terkesan dengan cara penulisannya. Beliau menulis sajak Melayu Johor hasil dan pengaruh daripada pembacaan Sejarah Melayu tulisan Tun Seri Lanang.
Penyair Muhammad Haji Salleh telah menjelmakan Tun Seri Lanang melalui sajak transformasi daripada Sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang. Kepetahan , ketelitian dan kesungguhan , dan iltizam Muhammad Haji Salleh menghasilkan sajak berepisod sejarah ini telah mengangkatnya dalam puisi yang cukup indah dan mengesankan seperti dalam sajak Ceritera yang Kedua Puluh Enam (i).
Kehebatan Tun Seri Lanang adalah kekuatan daya renung, memahami sistem politik dan budaya tradisional pada masa itu dan menerapkan dalam tulisan untuk tatapan generasi masa depan iaitu masa kini. Beliau juga memahami kewibawaan (atau keesahan) kuasa dalam kehidupan istana dan juga kehidupan rakyat jelata. Sebagai penulis beliau dilindungi oleh pihak istana dan mereka yang mempunyai kuasa.
Kajian mendapati, kesarjanaan Melayu dimulakan oleh tokoh seperti Tun Seri Lanang, Hamzah Fansuri, Munshi Abdullah, Raja Chulan, Za'ba, Syed Tahir Jalaludin, Abdul Rahim Kajai, Pak Sako dan lain-lain. Mereka ini adalah pelopor dalam persuratan Melayu sejak zaman silam hingga abad ke 20 ini.
Memahami manusia Melayu sejak dari Sejarah Melayu terpancar akal budinya, mengikut alur perasaan dan keindahannya. Ia boleh dijadikan landasan dalam bidang politik, budaya, sosial, ekonomi, sejarah dan juga pendidikan. Justeru, terdapat beberapa persoalan dalam kehidupan bangsa Melayu pada zaman silam yang kini berulang kembali dalam kehidupan masa kini. Membaca Sejarah Melayu seharusnya dijadikan landasan pemikiran politik dan sosial serta tatacara kehidupan masa kini. Peta sastera Melayu Nusantara adalah bertapak dan berasal daripada Sejarah Melayu.
Seorang pengarang seperti Tun Seri Lanang, menulis sejarah bangsanya, maka dipilihnya generasi sejarah, yang juga digolongkan sebagai sastera yang melakarkan perjalanan kerajaan, pergerakan bangsa, peristiwa dan watak penting dalam karya-karya beliau. Dia menjadikan Sejarah Melayu sebagai hasil sastera dan sejarah yang bernilai sebagai khazanah bangsa yang sangat indah bahasa dan penceritaannya.